Archive for March 2006

republik cinta

Wednesday, March 29, 2006 · Posted in

REPUBLIK CINTA

Jangan sakiti ku lagi
Mungkin aku bisa pergi
Pergi untuk selamanya
Dan mungkin takkan kembali

Aku baru dengar gita-gita cinta 'Republik Cinta'. Karya Dewa.

Sejarah adalah bukti. Apabila cinta itu bisa membunuh cita-cita si lelaki.

Cinta merobohkan Dinasti Romawi. Membina sebuah Taj Mahal. Membuat jiwa Adam sepi biarpun hidupnya di syurga. Ada 2 tahun paling mendukacitakan Rasulullah. Kehilangan bapa saudaranya, Abu Talib. Dan isterinya, Khadijah. Yang pernah menyelimut tubuh ketika dia gigil dipeluk Jibril.

Cinta memaksa banyak kawan aku di gelar Dewa. Dewa cinta. Mengayuh basikal berkilometer jauhnya. Ada kawan aku sudah serik bercinta. Kerana kekasih pujaan menjadi milik orang. Ada juga kawan aku sanggup berkorban ringgit untuk mudik dari hulu semenanjung ke pangkal semenanjung. Saban bulan. Itu. Kawan aku.

Ya. Kerana cinta.
Cinta.
Cinta. Cinta.

Itulah cinta di dalam republik cinta si lelaki. Dia adalah si lemah. Biarpun dia seorang presiden. Yang agung.

Aku memamah gita-gita Dewa. Yang penuh ucap-ucap cinta si lelaki kepada si perempuan.

Betul kata En. Ijat. Mendengar Republik Cinta kau akan jadi meluat. Menyampah. Meloya. Mual. Getik.

Dan tiba-tiba. Kau bisa jadi rindu. Sangat rindu.

Jangan sakiti ku lagi
Mungkin aku bisa pergi
Pergi untuk selamanya
Dan mungkin takkan kembali

Ciss..

Info: gita => lagu

sukan fakulti, seminar buku

Sunday, March 26, 2006 · Posted in

SUKAN FAKULTI

Semalam. Fakulti aku anjurkan sukan. Bertanding di bawah tiket mentor masing-masing.

Mentee En. Muhammad buat t-shirt. Mentee En. Zaidi ikat kepala macam Karate Kid sambil jerit, Ichibana!! Apa tu? Mencarut ke? Hehe. Ada mentee yang bawa lilit selendang dari kain batik, kain pelikat dan kain alas meja (kain meja siapa?). Kami buat perbarisan keliling padang. Dengan sorak-sorai gembira.

Opps, lupa. Mentor aku. En. Syakiran. Kami buat sepanduk kain untuk dia. Kami tulis 'Battle of da Shark'. Satu lagi kami buat juga kertas rentang sepanjang 5 meter. Kami ikat kat depan bangku batu stadium mini. Siapa-siapa yang lalu-lalang di luar universiti pun boleh nampak kertas rentang yang kami ikat tu.

Nasib baik semester ni aku tak ada kelas dengan En. Syakiran. Kalau tak mesti dia bagi aku A. :)


SEMINAR BUKU

Bro Khairusy suruh war-warkan mengenai seminar yang akan dianjurkan oleh laman webnya. Untuk keterangan lanjut klik saja buku online.

tepukan, buka kaunter

Thursday, March 23, 2006 · Posted in

TEPUKAN

Tuan Haji. Berikan dua tepukan. Untuk grup kami. Yang cemerlang. Terbilang. Gemilang.

Dan.

Dia mahu soft copy. Dia suruh kami rakam secara audio visual. Nanti dia boleh guna untuk seminar dia yang lain nanti. Lagi. Lagi. Dan lagi.

Rasa-rasanya aku kena minta royalti tak? :)


BUKA KAUNTER

Malam tadi semua persatuan dan kelab buka kaunter di PKP. Apa kejadah buka kaunter persatuan hujung-hujung semester ni? Getus aku.

Agen perisik cakap, sebab MPP baru dibentuk. Agen satu lagi cakap, sebab GB nak buat shooting. Hah, aku nampak Elyana tadi. Dia punya make-up aku rasa dia guna bedak 1 kg.

Jadi aku tumpang menyibuk kat kaunter. PKKU.

Persatuan lain ada kain rentang mahal-mahal. Kain rentang cetakan berkomputer. Siap dengan projektor dan sistem audio canggih. Apa, diorang ingat fun fair ke?

PKKU sempoi saja. Ada alas meja dan borang masuk persatuan. Kalau ada persatuan paling miskin dan berjiwa rakyat, aku rasa persatuan kami boleh menang.

short dramas

Monday, March 20, 2006 · Posted in

SHORT DRAMAS

Aku kelam kabut lagi. Kena buat 5 drama pendek untuk projek akhir kelas Tuan Haji, subjek MIS (Management Information System). Esok present!

Grup lain, Tuan Haji suruh pergi temuramah kompeni besar-besar. Juta-juta. Grup kami Tuan Haji suruh buat drama. Sebabnya Tuan Haji kenal aku. Aku pernah buat sketsa pendek untuk seminar anjurannya. Oklah tu. Korang bukannya rajin nak buat temuramah pun. Kan.

Kami buat dialog lebih kurang. Lawak secukup rasa. Ada iklan kopi Radix. Bahaya merokok. Susu cap I Love My University. Dan sistem Jamban Automatik! Aku harap. Dapat puaskan hati Tuan Haji. Harap-haraplah.

Malam tadi aku buat rehearsal dengan Ayie dan Apai. Dalam bilik. Ayie jadi profesor dan Apai jadi Datuk. IT Forum.

Dan Ayie. Beberapa kali menghantukkan kepala ke bantal kerana kesukarannya menghafal dialog. Pada waktu-waktu yang menghimpit begini.

selesai

Thursday, March 16, 2006 · Posted in

SELESAI

Teater KSRC sudah habis. Malam semalam.

Selepas ini semuanya akan bermula seperti biasa. Mengadap buku-buku komputer. Menyiapkan assignment tertunggak. Menghadiri kuliah-kuliah yang terponteng.

Bersama grup teater kerdil ini aku banyak belajar. Tentang pengurusan. Tentang komitmen. Aku pengarah. Aku punya idea. Dan aku perlukan pelakon-pelakon dan kru-kru untuk menjayakannya.

Dan kerana mereka. Segalanya tertunai.

Abah cakap,
"Dok ralit teater. Jangan dok lupa studi."

Mama buat lawak,
"Pantang tok nenek aku berlakon."

Aku senyum. "Adik bukan nak jadi pelakonlah". Hati aku berbisik.

Seni macam ulam. Ada atau tiada ia dalam sesuatu makanan itu tidaklah menjadi satu keperluan sangat. Kalau ada makanan bertambah enak. Lazat. Itu kata En Ijat. Pensyarah fakulti kejuruteraan, Universiti Kerajaan Swasta. Juga mentor teater aku.

Dan aku pegang kata-kata itu. Dan aku hargai ruang seni ini sebagai wadah untuk mahasiswa berpencak. Bersuara. Tentang apa saja. Yang mereka rasakan betul dan suci. Itu pun selagi ruang ini masih belum kotor. Masih belum disekat-sekat.

Ok. Aku perlu siapkan drama pendek untuk projek kelas Tuan Haji sekarang. Berlakon lagi. Ceh.

kembara si raja cincin (part II)

Sunday, March 12, 2006 · Posted in ,

KEMBARA SI RAJA CINCIN (PART II)

Al-Kisah.

Raja Cincin ialah seorang raja yang kaya di negeri KAYA RAYA tetapi tidak tahu apa-apa tentang rakyatnya yang melara. Hidupnya sehari-hari membilang harta dan menempeleng rakyatnya yang tidak berdosa. Para pembesarnya pula menjadi tukang angguk dan pembaca akaun harta-harta baginda.

Ditakutkan dengan kata-kata seorang tua bijaksana bahawa jari-jarinya akan membunuh diri dengan mengudungkan diri masing-masing maka Raja Cincin keluar mengembara untuk menjual cincin-cincinnya ke negeri-negeri timur berpandukan arahan lima jari-jarinya yang muncul tiba-tiba.

Dengan meninggalkan negerinya di bawah tadbir tukang kebun, baginda mengembara jauh menemui pelbagai manusia. Ada negerinya dalam perang yang belum usai. Ada negeri yang terlalu zuhud manusianya. Ada negeri yang daulatnya adalah nafsu dan dunia semata. Ada pula negeri yang manusianya hanya tahu bercinta sahaja. Bertemu dengan makhluk aneh bernama Binatang Manusia, akal Raja Cincin semakin diakali. Raja Cincin diajar tentang apa itu sejahtera, agama, dunia dan cinta.

Raja Cincin dipaksa belajar daripada kembaranya itu dan kembara baginda dalam menjual cincin banyak mengajarnya tentang sesuatu.....


Hamba Rakyat: Tapi ini bukan emas. Warnanya saja emas dicelup dari Siam, Tuanku.

Jari Kelingking: Patik pula hanya mampu mengorek tahi hidung Tuanku sahaja.

Raja Cincin: Wah..., kamu tak kenal beta? Betalah Raja Cincin dari negeri Kaya Raya. Kamu tak belajar geografikah?

Pemuda: Buat apa nak tahu negeri orang sedangkan negeri sendiri pun banyak yang kita tak tahu.

Orang Tua: Kalaulah suatu hari nanti semua jari-jari Tuanku membunuh diri dengan mengudungkan diri mereka mungkin pada masa itulah baru Tuanku sedar betapa berjasanya jari-jari Tuanku. Mana Tuanku hendak sarungkan cincin-cincin Tuanku ketika itu? Kat lubang hidung? Atau pun kat jari kaki Tuanku pula?

Raja Cincin: Cinta memang perlu dalam hidup manusia. Tapi manusia sepatutnya mengawal cinta dan bukannya cinta mengawal manusia. Manusia yang dikawal cinta akan lemah dan lesu jiwanya. Akhirnya hidup dalam awan-awangan dan tak berpijak di bumi nyata. Sebabnya kerana cinta kepada manusia itu akan binasa akhirnya. Sebab itu jugalah banyak manusia gila kerana cinta. Cinta pula tak pernah gila kerana manusia.

Binatang Manusia: Bukankah ada manusia binatang. Mestilah ada binatang manusia.

Tukang Kebun: Tuanku di istana Tuankulah. Takkan kat dalam hutan pula. Kami lihat Tuanku terbaring kat luar istana tadi. Kenapa tak sms saja yang Tuanku mahu pulang.

.
.
.

Masanya makin hampir. Kembara Si Raja Cincin. Jeng! Jeng! Jeng!

sudah ada buku

Friday, March 10, 2006 · Posted in

SUDAH ADA BUKU

Rekabentuknya separa colloseum seperti di zaman Romawi. Dibauri warna biru, kuning dan merah sebagai latar dinding. Cantik!

Ya, itulah perpustakaan Universiti Kerajaan Swasta yang tak ada buku.

Tapi itu dulu. Sekarang sudah ada buku. Ya. Universiti Kerajaan Swasta sudah ada perpustakaan yang ada buku.

Hmm, sekarang Grand Brilliance boleh shooting kat dalam perpustakaan ok. :)

komitmen

Wednesday, March 08, 2006 · Posted in

KOMITMEN

Aku sibuk. Nak pergi cc pun tak ada masa. Signal wifi dalam bilik Lalbi dah makin teruk. Kejap saja yang ada dan banyak yang putus. Baik aku makan biskut. Kenyang.

Lagi pun sekarang aku sibuk dengan teater aku. Tiap-tiap malam ada latihan. Pementasan pada 14 dan 15 haribulan ni. Poster dah tampal. Ada nama pelakon. Juga nama aku. Sebagai pengarah. Malam nanti dah mula buka kaunter tiket di PKP. RM2 saja.

Tapi lakonan masih huru hara. En. Ijat datang komen malam tadi. Katanya teruk. Banyak off! Bosan. Aku pun ada perasaan begitu. Aku dah dalam peringkat mental block!

Sebabnya komitmen. Setiap kali latihan pelakon tak pernah cukup. Aku malas nak cakap banyak sebab aku dah cakap banyak dah pun. Aku dah singkir seorang junior masa awal latihan dulu sebab tak ada komitmen. Sekarang aku dah tak boleh pecat-pecat orang lagi. Dah lambat.

Aku pengarah. Dan aku yang kena tanya, "Awak. Awak. Boleh datang tak latihan malam ni?" Dan dia marah aku. Pecat dia. Cakap aku tak profesional. Habis tu dia dah cukup profesional agaknya.

Baru aku tau perasaan seorang ketua bila anak buah dia main-main. Tak fikir langsung pasal sukses dalam kerja. Asal kerja siap sudah. Kenapa nak serius sangat brother ni?

Aku cakap kat diorang, "Korang kena buat betul-betul. Sebab korang yang akan mengadap penonton. Korang yang akan kena baling kerusi. Sebab persembahan korang berbayar. Orang tengok bola 5 ringgit pun boleh maki-maki. Apatah lagi korang. Aku tak apa. Aku duduk bawah. Kalau aku bosan aku keluar hisap rokok. Nak jadi apa jadilah."

"Sekian. Wassalam." Ujar aku meninggal mereka. Terkulat-kulat.

masuk drama

Wednesday, March 01, 2006 · Posted in

MASUK DRAMA

Ayie begitu girang di samping van produksi GB

Pelajar selalu komplen pasal fasiliti Universiti Kerajaan Swasta. Tak ada perpustakaan. Makmal tak ada air-cond. Panas macam dalam jel! Macam dalam neraka!

Tapi. Semalam.

Ada penggambaran drama bersiri. Produksi Grand Brilliance. Aku tak tau slot drama mana. Tapi drama pada waktu premier. Di TV3. Tungguuuuu. Kata Lalbi bersungguh-sungguh.

Tajuknya 'Dunia Baru'. Ada Que Haidar. Aisyah Sinclair. Elyana. Juga Rosnah Mat Aris! Penggambaran sebulan lebih. Jadi diorang tinggal di blok D. Ya, itu blok aku.

Ya. Jangan hairan. Ada produksi ambil Universiti Kerajaan Swasta sebagai latar student life. Walaupun tak ada perpustakaan. Dan makmal tak ada air-cond.

Sebabnya Universiti Kerajaan Swasta ada bangunan berwarna-warni. Ada juga bekas lombong yang dipanggil tasik. Kau boleh nampak sekawan itik pulang petang, unggas berjemur girang dan sekali sekala kerbau datang meragut lalang.

Apa, ingat saja-saja ke tak ada perpustakaan? Tak ada air-cond? Ada sekawan itik pulang petang? Unggas berjemur girang? Dan sekali sekala kerbau datang meragut lalang?

Dapat masuk drama TV. Tau. :)

Powered by Blogger.