Archive for February 2007

kad khwin dr kwn yg trputus hbungan

Tuesday, February 27, 2007 · Posted in

KAD KAHWIN DARI KAWAN YANG TERPUTUS HUBUNGAN

Dapat kad kahwin dari Zila anak pak Syed dari Sungai Siput, Perak. Dia kawan sekursus aku semasa di sebuah Institut Teknikal di Johor dulu. Setiap kali senyum matanya akan menyepet. Ada baris gigi yang cukup sempurna. Tuturnya sedikit-sedikit. Kemudian ketawa. Sedikit-sedikit. Kemudian ketawa.

Dulu. Pernah ada hati nak mengurat dia. Tapi dia tak berapa nak layan. Sebabnya dia ada pakwe. Aku dapat tau bila tiap kali dia tandatangan mesti dia tulis nombor 5201. Jenuh aku tunggang terbalik mencari makna kod rahsia tu. Tapi gagal [sebenarnya, aku memang suka rumitkan masalah yang kecil]. Tapi dengan selambanya Bain beritahu. Maksudnya Faizullah. Faizullah? Tak. Faizul! 5 tu Fai. 2 tu Zek. O tu Wuuu. L tu El. Jadi, FAIZUL!! Ooooooo.. [alahai, betapa slow-nya aku masa tu]

Masa tu aku baru 19 tahun ketika musim Nokia 3210 menjadi aksesori paling mewah dan kewl. Aku cakap, eleh kau duduk belajar sini entah dia ada awek berlonggok-longgok. Masa tu Zila tak pakai telefon bimbit pun. Zila senyum saja. Ada baris gigi yang cukup sempurna. Dan aku bersama kawan lain akan berkelakar. Mengusik-ngusik.

Habis belajar. Rajin juga aku berutus kad raya. Bercerita tentang diri.
Setahun - kad+surat.
Dua tahun - kad+surat.
Tiga tahun - kad.
Empat. Lima. Enam. Tahun. Hilang...

Tup-tup. Tahun ni. Setelah lama terputus hubungan. Pada usianya 26 tahun. Zila hantar kad kahwin. Aku tengok nama suaminya, Faizul. Faizul!

Woww!! Tabahnya diorang bercinta. Kalau dikira dari tingkatan 5. Dah 9 tahun. Woww! Aku masih tak percaya dengan kronologi cinta diorang yang panjang sebegitu.

Dulu aku tak pernah percaya pada cinta energizer. Cinta yang berdurasi jauh. Sekarang dia memaksa aku untuk percaya.

Zila anak Syed. Selamat pengantin baru.

Aku lipat kad kahwin. Aku simpan ke dalam laci meja tulis.

aku dan man yg sosialis

Sunday, February 25, 2007 · Posted in ,

AKU DAN MAN YANG SOSIALIS

Aku. Man. Epit. Fahmy. Kami lepak di Ahmediah, sebuah restoren mamak yang ada pokok ceri di Bandaraya Alor Star.

Epit. Fahmy. Mereka sudah kahwin. Epit mahu tolong Fahmy yang kesempitan wang. Fahmy, seorang kontraktor yang pernah kaya pada zaman Mahathir dulu. Sekarang perniagaannya merudum. Jadi Epit usulkan sistem pelaburan matawang secara online!

Aku. Man. Kami masih bujang. Kami dengar saja. Sambil menyedut minuman. Slurrpp.. Slurpp... Ahhhhhhhh..

Tanya Man, perlahan. Wei. Tak berminat ka?
Aku kata. Kita student mana boleh kaya. Kita sosialis.
Man angguk. Betul jugak tu.
Tak kewl-lah kalau kita student dok fikir nak jadi kaya. Dok sokong pemerintah. Kita tak ada kepentingan. Kita jujur. Nanti bila kita kerja. Kahwin. Kita jadilah kapitalis. Kita dah tak jujur dah.
Man angguk. Betul jugak tu.
.
.
.
Aku. Man. Kami masih bujang. Kami dengar saja. Sambil menyedut minuman. Slurrpp.. Slurpp... Ahhhhhhhh.

saya nk blk kg jmpa adik

Friday, February 23, 2007 · Posted in

SAYA NAK BALIK KAMPUNG JUMPA ADIK

Satu hari abah tanya Majidah, sepupu aku yang 12 tahun itu.

Nak balik kampung tak?

Majidah angguk.

Sebab apa?

Sebab nak jumpa adik-adik.

Ok. Pak Njang bilang sampai 10. Beri 3 sebab nak jumpa adik-adik? Kalau tak. Tak boleh balik. Satu.. Dua.. Tiga..

Er.. Sebab dah lama tak jumpa depa.

Lagi?! Empat.. Lima.. Enam..

Errr.. Sebab.. Err.. Sebab nak tarik kambing!!
.
.
Hahahahaha. Aku bantai gelak dengan abah.

bdk yg mahu mkn di sebuah rstoran fst food

Thursday, February 22, 2007

BUDAK YANG MAHU MAKAN DI SEBUAH RESTORAN FAST FOOD

Aku keluar dengan Hanis. Beli halwa telinga cetak rompak. Masa balik ada seorang budak hampiri aku.

Abang. Ada duit tak? Nak makanlah.
Nak makan? Jom aku belanja.
Err.. Saya datang dengan kawan.
Takpalah. Ajak kawan hang sekali.
Err.. Makan kat dalam boleh?
Hang nak makan apa kat dalam?
McDonald!
.
.
.
.
Pasar malam. Warung bihun sup. Aku tak belanja dia McDonald. Aku belanja dia bihun sup dengan sirap.

dan cinta itu pun gugur

Wednesday, February 21, 2007 · Posted in

DAN CINTA ITU PUN GUGUR

Selalu sahaja aku bersentimental, andaikan aku bercinta nanti ceritanya akan seperti kisah fairy tale. Ada pelbagai sengsara yang datang untuk memisahkan tetapi cinta kami tegar seperti itulah. Tak bergoyah pun. Dan penghujungnya adalah cerita-cerita gembira. Happily ever after! Dan hujan pun berguguran. Ya, hujan itu adalah personafikasi dan metafora cinta kami. Sejuk, dingin dan penuh bahagia.

Ah. Konservatif.


DIA MAHA MENGETAHUI

Tapi Tuhan maha mengetahui. Dia berikan apa yang aku mahukan. Dan sampai satu ketika aku kemabukan. Sehinggalah suatu waktu Dia berikan aku kebenaran yang menyakitkan. Aku mula menempelak takdir.

Bagaikan aku lelaki paling mulia lagi teraniaya.


LALU DIBERIKAN AKU SAKIT

Ketika bahagia-bahagia itu datang. Sedikit sakit pun Dia tidak beri.

Dan aku percaya manusia tanpa sakit itu akan buatkannya mudah lupa pada Tuhannya. Macam aku..


GELETAR DI KAMAR MANDI

Pertama - aku kemalangan.
Kedua - muncul seseorang memberitahu kebenaran.

Aku longlai. Insomnia sepertiga malam. Aku termenung. Geletar di kamar mandi. Dan menghamun diri sendiri.

Bangang!


HAKIKAT YANG PERLU AKU TELAN

Aku benci kerana terlalu susah untuk membenci. Aku cukup takut kehilangan. Sepertimana aku hampir kehilangan seseorang dahulu. Dan sekarang ketakutan itu datang lagi.

Aku mudah saja menjadi lelaki pengecut yang membenci pertemuan. Sedangkan setiap pertemuan itu sudah Tuhan letakkan tarikh perpisahannya. Cuma aku yang tidak mahu menelan hakikat. Aku rapuh.


JANGAN PANDANG BELAKANG

Seketika aku seperti mahu berpatah balik semula. Merancang mahu bermain api. Cuba memupuk dendam. Tetapi perasaan itu tiba-tiba sahaja bertukar menjadi rasa kasihan. Rasa kasih. Rasa rindu. Dan aku seakan mahu memulakan semula. Tapi bagaimana.

Tapi benarlah kata orang, kalau kita jujur pada perasaan ada alamat luar biasa yang akan Tuhan berikan. Alamat yang tak disangka. Dan aku raikan rahmat Tuhan yang satu itu.

Lalu aku kambus semula niat aku. Aku harap aku betul-betul berserah. Kerana aku percaya ada sesuatu yang mahu Tuhan berikan agar aku lebih mengerti. Lebih menerima. Lebih menjadi manusia.

Ajaibnya hati aku berbisik terima kasih kepada seseorang itu.

Terima kasih.


LALU DITELANNYA PIL-PIL EGOIS

Dan dos-dos ego terpaksa aku suntik. Bukankah kerana itu terciptanya aku menjadi lelaki?

Kata seorang kawan, bagaimana kita tewas sekalipun pastikan kita keluar sebagai seorang hero. Yang penuh rasa jujur, setia, redha dan percaya. Juga kacak. Setiap lelaki adalah kacak. Kan.

Dan episod-episod lalu terasa begitu dirindukan. Begitu sekejap. Begitu berharga.

Kau jalan sajalah..

abg bas yg tuturnya penuh gundah

Monday, February 19, 2007 · Posted in ,

ABANG BAS YANG TUTURNYA PENUH GUNDAH

Komuter yang menyesakkan. JPJ yang datang menyerang. Dan bas yang pemandunya hilang.

Makin banyak aku bengang dengan pengangkutan awam Malaysia makin banyak pula masalah tentang pengangkutan awam yang datang. Bertimpa-timpa.

Aku rasa bersalah amat mengheret Syem dan Jarul berkongsi malam minggu yang meletihkan. 3 jam kami tunggu bas macam bodoh sejak pukul 11 malam. Abang bas cakap, bas datang pukul 2.30 pagi. Kami tunggu. 2.30 pagi kemudiannya dia cakap, bas datang pukul 5 pagi nanti.

Gila!


GADIS KAUNTER BAS DAN PROVOKASI SIA-SIANYA

Seorang gadis kaunter bas provok kami untuk berpiket. Kononnya mahu tuntut pelepasan dari JPJ. Aikk, JPJ yang salah?! Ini tanggungjawab syarikat baslah. Kenapa nak lagakan kami dengan JPJ? Kami cuma tau nak balik kampung. Soal permit atau dokumen sah atau tidak itu tanggungjawab korang!

Dia silap kerana rata-rata penumpangnya kali ini ialah mahasiswa yang tahu berfikir dan bijak beremosi. Lalu kami relakan dia terjerit-jerit. Kasihan.


AKU PUNYA TIKET JARUL YANG MARAH

Bagi Syem, menghantar aku pulang bagaikan satu kenikmatan. Seperti menghadiri acara Sure Heboh. Dan dia akan bersantaian menikmati gadis-gadis cantik dan seksi yang melintasi segenap hentian. Fuh fuh. Dihembusnya asap rokok. Nikotin barangkali sekadar escapisme bagi dia meredakan ghairah nafsu yang tertahan-tahan.

Tapi Jarul kali ini sekejap-sekejap hilang. Tiga empat kali dia mudik ke kaunter bertanyakan tentang bas. Rasa sedikit bersalah juga. Aku yang mahu bercuti tapi Jarul yang tak puas hati. Barangkali dihambat rasa bersalah kerana inilah kali pertama dia membeli tiket yang malang untuk aku.

Bagi meredakan ketidakpuasan, dia berhenti berbicara dengan seorang lelaki, juga penumpang yang malang seperti aku dan yang lainnya. Diluahkannya segala permasalahan. Keadilan tiba-tiba sahaja dapat memesrakan sesiapa sahaja.

Aku dan Syem sekadar memerhati. Bukan pada lelaki, si teman bicara Jarul. Tetapi pada adik perempuannya itu. Yang err.. Seksi!! Gadis Melayu chinese look dengan singlet putih ketat yang dipenuhi ropol bunga warna hijau menghiasi bidang dadanya. Jeans! Ya, dan jeans ketat itu rasanya begitu sempurna melitupi kembang punggungnya. Gila!! Tutur hati aku. Syem menyedut nikotin dalam-dalam. Dan Jarul tiba-tiba aku lihat memicingkan matanya. Digigit-gigitnya bibir bawah.

Aku cuit Jarul, "Aku tau kau tengah marah. Tapi sekarang kau marah dalam ghairahkan?"

Jam terus berdetik. Jarul menggigit bibir bawah. Syem menyedut nikotin dalam-dalam. Dan aku tak henti-henti menyebut kata gila.

Ah, indikator dosa kami bertambah lagi malam ini.

seorg gadis cantik dan caci makinya

Saturday, February 17, 2007 · Posted in

SEORANG GADIS CANTIK DAN CACI MAKINYA

Para negarawanku, tolong tambahkan STAR, Komuter, Putra atau apa saja sistem tren di ibu kota sempena musim perayaan mega!! Bukan apa. Aku kasihan melihat gadis cantik yang terpaksa merelakan punggungnya bergeselan dalam kepadatan lelaki-lelaki bertubuh kekar.

Kemudian mukanya masam mencuka. Baginya lelaki semuanya si makhluk gila seks. Diketap-ketap baris giginya. Dan dari mimik bibir halusnya aku dapat membaca dia berkata,

BABI!!

Hahaha. Aku menahan kekek perlahan.
.
.
.
Sesat di Kuala Lumpur..
Dosa pahala bercampur..
.
.
.
Tak lupa rasa kasihan aku buat pakcik-pakcik dan makcik-makcik, ibu-ibu mengandung, anak-anak kecil, warga-warga tua, gadis-gadis bersusuk kecil yang tegar menggunakan pengangkutan murah yang menyesakkan.

Dengan ucapan: Err.. Gong Xi Fa Cai [boleh gitu]

aku menteri pelajaran malaysia

Tuesday, February 13, 2007 · Posted in ,

AKU, MENTERI PELAJARAN MALAYSIA

Aku ada satu cadangan. Hapuskan PTPTN. Memberi pinjaman kepada manusia yang liat mahu membayar semula bagaikan memberi ikan kepada kucing yang belum tentu berjanji tidak akan berak di atas sofa kulitmu.

Alasan aku mudah. Sebagai negara kapitalis terpimpin hanya mereka yang berkemampuan dapat menikmati taraf pendidikan yang bermutu.

Kalau kemampuan famili kau hanya sekadar mampu menaja pengajian kau sekadar peringkat menengah tinggi terima sajalah.

Carilah duit kalau mahu ke universiti. Tak ada duit kau perlu kerja. Tak cukup duit? Kerjalah lagi.

Sesiapa pun akan marah kalau hutangnya tidak dibayarkan. Apa kau ingat ini rumah kebajikan!


AKU, PELAJAR MALAYSIA

Kata En. Khai. Pengajian di Jerman percuma. Kau tak perlu bayar apa-apa. Tapi kau terlalu sukar untuk lulus fasa-fasa ujiannya. Jadi graduan-graduan Jerman diakui penuh kredibiliti sebagai seorang intelek.

Konklusinya, untuk melahirkan banyak graduan intelek ialah dengan menyediakan pengajian yang percuma dan fasa-fasa ujian yang sukar.

Kalau tidak lahirlah pelajar-pelajar kosong macam kau. Juga aku. Mungkin.


AKU, SI PENJUAL DADAH

Rata-rata bila ditanya cara untuk menjadi cepat kaya bukannya dengan memasuki perniagaan multi-level tapi ialah dengan menjadi pengedar dadah.

Aku tak tahu. Mungkin mereka berkata demikian kerana mereka pernah mengedar dadah. Atau pun kerana selalu sangat dimomokkan dengan cerita tivi dan filem tentang kemewahan si pengedar dadah yang kewl bermercedes dan ber-spek hitam.

Dan rata-rata juga bila ditanya bagaimana mahu melangsaikan beban pinjaman PTPTN dengan pantas ialah dengan menjadi pengedar dadah.

Kalau suatu hari nanti jumlah pengedar dadah meningkat di tanah air adalah bukan kerana gilakan kemewahan tetapi sekadar mahu melangsaikan beban hutang pelajaran.

Agaknya, berapa kilogram dadah untuk aku dapatkan wang RM 40, 000?


AKU DAN DOA

Selain doakan ibu bapa kau.
Dan minta kau tidak dimasukkan ke dalam neraka.
Dan minta kau diketemukan jodoh yang sempurna.
Dan minta dimurahkan rezeki.
Kau juga perlu berdoa. Agar dapat melangsaikan pinjaman PTPTN-mu.
Moga-moga.

mama, berikan aku hak asasi

Sunday, February 11, 2007 · Posted in

MAMA, BERIKAN AKU HAK ASASI

Pukul berapa dah niiiiiiiiiiiii. Bangunnnnnn!!! Seperti ibu-ibu lain yang punya fundamental keibuan yang kental, mama akan menjerit mengejutkan abang.

Ma, biarlah dia nak lambat pun. Itu kerja dia. Taulah nak pi kerja pukul berapa pun. Kalau lambat dia kena buang kerja. Janganlah dok kacau hak asasi manusia. Nanti boleh stres. Aku sedikit protes.

Depan mata kena la tegur. Kalau tak nampak depan mata tak apalah. - Mama

Dia bukan sekolah lagikan. - Aku

Siapa cakap? Diakan masuk sekolah balik. Hihihihi!! - Mama

Heh..
.
.
.
.
Pukul berapa dah niiiiiiiiiiiii. Bangunnnnnn... Seperti ibu-ibu lain yang punya fundamental keibuan yang kental, mama akan menjerit mengejutkan abang.

Nota: Abang - baru dapat kerja jadi guru bahasa Arab.

my sleeping tooth, wake up!

Friday, February 09, 2007 · Posted in

MY SLEEPING TOOTH, WAKE UP!

Sudah lebih 2 minggu tampalan komposit di geraham bongsu aku tertanggal. Kerana tidak mahu menunggu untuk menjadi sakit aku berjumpa doktor gigi di pekan BB.

Kata doktor, tiada guna lubang di geraham ditampal semula. Bukannya sebab lubang geraham tersebut telah sampai ke rongga pulpa tapi sebab geraham aku jenis 'sleeping tooth'. Tumbuhnya melintang dan membentuk ruang antara geraham di sebelahnya. Fungsinya tidak lain sekadar menjadi lubuk yang akan membiakkan karies-karies yang kemudiannya akan menghasilkan nanah dan sakit-sakit yang seksa. Ouch. Mendengar ceritanya aku menjadi ngilu.

Betul. Sebagai seorang yang jahil ilmu perubatan kata-kata doktor adalah satu dogma.

1 jam surgeri. Digerudi. Disiat. Dituil. Diketuk. Dicungkil. Dijahit.

Aku longlai. Rahang aku macam nak tercabut dari tengkorak.

hari minggu yg mendesak

Monday, February 05, 2007 · Posted in ,

HARI MINGGU YANG MENDESAK

Entah punca apa aku dan Jarul bertemu di ruang Yahoo Messenger. Terasa kesempatan cuti-cuti sekejap sebegini begitu mendesak.

Wei. Aku nak try call PC kau. Kau ada speaker dan mic kan?

Mana ada la. Handsfree ada la. Hahahaha.
.
.
Truttt.... Truttttt.. Hoi.. Dengar tak? Clear tak?
.
.
Suara Jarul berkumandang di corong speaker. Jarul bercakap. Aku menaip. Terkejar-kejar. Dan Jarul mengekek mengalahkan jenglot. Cuma aku mengekek secara aksara.
.
.
.
Hoi, kenapa aku rasa macam orang bangang saja!! Aku menempelak. Dan Jarul mengekek mengalahkan jenglot. Cuma aku mengekek secara aksara.
.
.
.
.
Entah punca apa aku dan Jarul bertemu di ruang Yahoo Messenger. Terasa kesempatan cuti-cuti sekejap sebegini begitu mendesak.

ya, bas ada sekarang.

Thursday, February 01, 2007 · Posted in

YA, BAS ADA SEKARANG

Aku penat. Aku ambil tiket 7.30 malam. Boleh turun sekarang ye, ujar kakak di tepi kaunter memberi aku penuh keyakinan.

Turun ke platform 2, Pudu Raya. Beramai-ramai membuntuti seorang mamat berambut puing keperangan ke seberang jalan, bersebelahan sebuah restoren mamak.

Ramai terkandas. Ada yang beli tiket jam 6.30 petang tadi pun belum naik lagi. Aku sudah rasa lain macam. Bas datang. Semua berebut. Jenis dan warna tiket tak dipedulikan lagi. Aku sendiri tak tahu sama ada kami semua dalam syarikat bas yang sama atau tidak. Aku tengok kau. Kau tengok aku. Ah, masuk sajalah. Semua sudah tak ikut Rukun Negara lagi. Individualistik lebih penting.

Dan bas pun penuh. Tapi aku lima terakhir yang tiada tempat.


AWEK YANG MENGUNYAH TWISTIES

Aku tunggu 2 jam. Aku jadi bosan. Dua kali aku naik ulang alik dari tempat tunggu bas ke stesen. Mula mencari kakak kaunter tadi. Tiada. Aku buka tiket. Tak ada nombor telefon langsung. Aku rasa betul-betul teraniaya.

Aku keluarkan duit. Aku beli tiket satu lagi. Kali ni betul-betul pada kakak di dalam kaunter. Bas Etika. Hmm. Harga tiket aku sudah sama macam harga tiket Alor Star ke JB.

Aku kena tunggu lagi 2 jam sebelum bas datang pukul 12.15 pagi nanti. Aku penat. Marah masih bergelut. Caci maki tersimpan-simpan.

Ada awek cun tengah makan Twisties dan kunyah mangga potong bersama rakan-rakannya. Sesekali mencuit pipi seorang anak kecil di sebelah. Nampak sungguh keibuan. Barangkali resam perempuan begitu.

Pada keindahan, marah aku reda sedikit demi sedikit.


ABANG, SAYA MAHU DUDUK TEPI TINGKAP

Aku naik bas. Aku orang ketiga. Jadi aku dapat duduk tepi tingkap. Beberapa minit kemudian datang teman di sebelah. Aku senyum. Dia cakap, abang, Tiket C sebelah dalam. Tiket B sebelah luar.

Aikk. Macam tu pula?

Aku bangun. Aku injak ke sebelah. Hati aku menyumpah-nyumpah.


CUTI

Untuk orang KL. Selamat Hari Wilayah.
Untuk orang India. Selamat Hari Thaipusam

Sebagai warga Malaysia yang tipikal. Aku hargai cuti-cuti yang sekejap ini.

Powered by Blogger.