Archive for May 2009

Yang Sebenarnya Hasad Dengki

Saturday, May 23, 2009 · Posted in

insaf jap bace cite dato why, thanks...
kelambu, nak tau pandangan mengenai kenapa manusia suka dengki2 ngan org lain..dengki y positive takpe gak, ni dengki y menyusahkan hidup org lain...menyakitkan mata y memandang...
- 'ainrahimin

1. Secara mudah dengki bermaksud perasaan tidak senang, gelisah dan keluh kesah melihat kelebihan yang dimiliki orang lain dengan berharap agar nikmat tersebut hilang daripada orang tersebut.

2. Hasad dengki bermaksud dengki dengki. Sebabnya dalam bahasa Arab, perkataan hasad itu memang membawa maksud dengki. Gabungan yang molek sepatutnya hasad dendam (dengki dan dendam). Jadi gabungan kata hasad dengki itu sekadar penyedap sebutan - sama juga dengan beberapa sebutan yang biasa kita atau orang lain ucapkan seperti; try test, pintu gate, mesin atm, kotak box, ic card.

3. Justeru di sini dari segi bahasa, dengki merujuk kepada sifat-sifat keji yang patut dihindari dan tiada dengki positif sebenarnya. Mungkin apa yang dimaksud itu ialah cemburu. Sebab itulah ada ungkapan cemburu buta dan cemburu tanda sayang. Tidak ada ungkapan dengki buta atau dengki tanda sayang.

4. Tapi memang ada dengki yang positif sebenarnya. Rujuk hadis ni:

"Tidak boleh dengki dan iri hati kecuali dalam dua hal; iaitu iri hati terhadap orang yang dikurniakan harta dan dia selalu menginfakkan harta itu pada malam dan siang hari. (Juga iri) terhadap seseorang yang dianugerahkan ilmu, lalu ia amalkan ilmu tersebut serta diajarkannya kepada manusia lain" - Riwayat Bukhari dan Muslim

5. Sebaliknya ungkapan yang biasa didengar tentang dengki ialah PHD atau Perasaan Hasad Dengki atau Perasaan Dengki Dengki.

6. Tapi bunga dengki ini sebenarnya berputik daripada perasaan cemburu, yang tidak dikawal, dibiar melarat sehingga bernanah, pecah dan membusuk serta membahayakan diri sendiri. Faham tak ni?

7. Contoh mudah, jiran membeli Gen2 CPS. Kita cemburu kerana hanya mampu memiliki kereta haiwan bijak, Kancil. Kita cemburu gila tetapi kemudian menjadi insaf kerana itu adalah rezeki Tuhan yang diberikan kepada jiran tersebut dan kita redha dengannya (ini positif). Ia bertukar negatif apabila perasaan itu diterjemahkan dalam bentuk tindakan seperti mencalarkan kereta jiran, memancitkan tayar keretanya atau membunuh jiran tersebut kerana lebih bernasib baik berbanding kita.

8. Di antara cemburu dan dengki ini ada satu lagi perkataan ditengahnya, iri hati. Jadi ia membentuk struktur diagram sebab-akibat. Cemburu --> Iri hati --> Dengki.

9. Merujuk kepada diagram sebab-akibat di atas, manusia sememangnya tidak dapat lari daripada perasaan cemburu. Cuma takwa dan iman yang mampu mengekang level cemburu yang bersarang dalam hati kita.

10. Sebut pasal cemburu, aku ada satu cerita mengenai Rasulullah S.A.W yang mahu dikongsi. Satu hari isteri-isteri baginda datang berjumpa dan mendesak baginda memberitahu siapa isteri yang paling disayanginya. Baginda beri satu tarikh untuk buat keputusan. Dalam tempoh itu baginda pergi jumpa setiap isterinya dan masing-masing dihadiahkan sebentuk cincin. Masa yang dinanti pun tiba. Tapi sebelum diumumkan, baginda ingatkan isteri-isterinya supaya diam-diam saja dan tidak beritahu madu-madu lain apabila jawapan sebenar diketahui kerana takut menimbulkan cemburu. Mereka semua berjanji. Baginda cakap, isteri yang paling dia sayang ialah isteri yang dia hadiahkan cincin tempoh hari. Selepas itu semua isteri-isteri baginda pulang dengan hati yang girang. Wallahualam.

Soalan daripada Kawan-Kawan

Thursday, May 21, 2009 · Posted in

cuba hang tulis entry pasal kegembiraan aku mendapat tv LG yg hang hadiahkan tu..huhu - hazman

1. Minta maaf Man, tak ada siapa dapat tivi LG sebab tak ada tivi LG bersaiz 49 inci sebenarnya.

2. Tapi bagi siapa yang mahu beli tivi second hand boleh hubungi aku. Aku boleh bawa dia pergi satu kedai brader tivi kat Paya Jaras. Kau boleh dapat tivi Pensonic 29 inci dengan harga RM250 saja. Kalau sesiapa nak cari tivi khas untuk main PS2 pun ada. Brader tu boleh kasi adjust tivi untuk main game.

3. Menurut brader tivi, salah satu punca tivi rosak ialah main game. Sebabnya pemproses dalam papan induk (motherboard) terpaksa bekerja dengan cara luar biasa sehingga menyebabkan kapasitor menjadi panas dan terbakar.

4. Tapi bagi sesiapa saja yang mendapat hadiah hanya ada satu perasaan saja - gembira.

5. Tapi lumrah manusia, kita selalu tidak gembira bila dapat hadiah yang kecil. Dan kalau tersilap memberi hadiah, ia boleh bertukar menjadi rasuah.

.
.

ko cerita pasal aku. huh. - aie akaike

1. Aie seorang wartawan sebuah akhbar indie tapi mainstream.

2. Aku kenal Aie melalui Danielle Corleone dan dia kenal aku melalui Danielle Corleone juga.

3. Danielle Corleone tak ada kena mengena dengan godfather mafia Amerika ataupun bandar kecil dalam wilayah Palermo di Sicily, Itali apatah lagi kaum kerabat Diana Danielle.

4. Tak banyak yang aku kenal Aie, sebabnya kami lain jabatan walaupun satu bangunan, tapi kami berkongsi minat yang sama melalui blog dan acara-acara seni.

5. Aie mempunyai sebuah kereta Volkswagen berwarna ungu dan dari pemerhatian aku, dia seorang yang sentimental, soft spoken, energetik dan klasikal.

.
.

Poskrip:
Untuk Ainrahimin dan Adeqq, idea anda akan diulas kemudian. Harap bersabar. Untuk Anonymous, terima kasih kerana info panjang lebar yang diberi dalam komen. :)

Hari Selasa Saya yang Begitu Bersemangat

Tuesday, May 19, 2009 · Posted in

Semalam, lepas makan nasik dan update laman web bola (pasal Wenger kononnya nak ke Bernabeu tapi dinafikan adik Samir) dan sebuah lagi laman web anarki politik, aku terus tidur.

Bangun pagi terus semangat pergi kerja. Bawa motor pun tak lebih had laju kebangsaan. Sebelum sampai ofis singgah Mesra kejap, beli air oren Twister dan roti krim blueberi vanila. Memang hari ini seperti selalu. Damai abadi.

Lepas tabik kat jaga terus masuk ofis dan buka pc. Baru buat stori satu dua, brader Nod jumpa aku dengan muka separa bengis.

Kau switch dengan Dani?

Hah, mana ada. Kerja la hari ni bang.

Tengok balik schedule.

17, 18, 19.. eh cuti?

.
.

Aku pulang dengan penuh rasa terkilan.

Namanya Cerita Pendek Kerana Ia Tidak Panjang

Sunday, May 17, 2009 · Posted in

Haha. Aku pun no idea nak tulis entri, nak bagi idea, lagi la no idea.
Tapi bleh gak bagi idea.
Cerita pendek
- Amyz

1. Secara ringkas, cerita pendek ialah cerita yang tidak panjang.

2. Dalam bidang penulisan ia dipanggil cerpen, iaitu satu prosa naratif fiktif.

3. Ia terbina dari anekdot, satu situasi yang digambarkan singkat dan dengan cepat tiba pada tujuannya seiring paralel pada tradisi penceritaan lisan. Faham ke ni?

4. Skema penulisan cerpen perlu ditaip lebih kurang 12 halaman A4 dengan fon Times New Roman dan selang 2 paragraf.

5. Cerpen yang sudah disiapkan boleh dihantar ke media cetak, blog atau simpanan peribadi.

6. Kalau mahu buat duit, hantarlah ke media-media cetak dan pastikan anda tidak lupa sertakan butir peribadi dan setem mencukupi. 50 sen. RM1 lagi selamat.

7. Bayaran untuk satu cerpen yang disiarkan bergantung kepada syarikat penerbitan. Setakat ni yang aku tahu, DBP membayar paling tinggi untuk setiap cerpen yang disiarkan dalam produk keluaran syarikat itu. RM200++.

8. Secara matematiknya, untuk mendapat ekstra RM2000 sebulan atau berhasrat menceburi penulisan cerpen sepenuh masa, anda perlu menulis lebih 10 cerpen dalam sebulan. Berani?

9. Ada yang lagi pendek dari cerpen. Ia dipanggil certot. Cerita kontot.

10. Kalau anda boleh menulis cerita dalam tiga atau empat paragraf, ia sudah layak dikategorikan sebagai certot. Strukturnya boleh jadi cuma dialog, cerita atau kedua-duanya. Antara penulis certot cemerlang yang boleh dirujuk ialah Saharil Hasrin Sanin dan Sufian Abas.

Cerita Tentang Tivi dari Negara Asia

Thursday, May 14, 2009 · Posted in

tulis cerita tentang tivi berjenama LG bersaiz 49 inci - Eliana

1. LG bukanlah bermaksud Lu Gila, tetapi singkatan kepada Life's Good sebagai motto utama yang memacu syarikat ini untuk mencipta satu kehidupan yang lebih baik dan hepi.

2. Menurut laman web LG Group, ia bermula seawal tahun 1947 oleh jejaka Korea, Koo In Hwoi yang menubuhkan syarikat Lak Hui Chemical Industrial Corp (sekarang dikenali sebagai LG Chem) dengan memfokuskan operasinya dalam industri pembuatan kimia (plastik).

3. Selepas 11 tahun beroperasi, In Hwoi masih berasa tidak hensem dengan apa yang diusahakannya. Justeru dia mengambil keputusan untuk meluaskan lagi perniagaan pembuatan plastiknya pada 1958 dengan menubuhkan syarikat Goldstar Co Ltd. (sekarang dikenali sebagai LG Electronics Inc)

4. Setahun selepas itu, Goldstar mengeluarkan radio pertama Korea - menandakan bermulanya era industri elektronik di Korea, jauh lebih lama sebelum drama Korea menyerang Malaya.

5. Ketika era lewat 50-an dan pertengahan 60-an, berlaku revolusi budaya China di Korea akibat pengaruh Mao Tse-Tung. Lagu-lagu klasik Barat seperti Beethoven dan Brahms diharamkan dan lagu-lagu dari republik China dimainkan. Ya, tak ada kena mengena dengan jenama LG pun. Hahaha!

6. Tahukah anda siapakah Papa Rock Korea Selatan? Namanya Shin Jung-hyun. Pernah dipenjarakan selama empat bulan pada tahun 1972 kerana dituduh menyalahgunakan dadah berbahaya selepas enggan menulis lagu memuji pemimpin diktator Korea pada masa itu, Park Chung-hee.

7.
Chung-hee apa lagi, dia pun naik berang dan bengang serta bertindak mengharamkan lagu-lagu Jung-hyun sehingga beliau (Chung-hee) akhirnya mati dibunuh pada Oktober 1979.

8. Kata keramat Papa Rock Korea Selatan: "(Dictators) try to seal people's lips. Our dictator at that time imposed silence on influential popular stars, taking an oppressive measure on our culture".

9. Melihat kepada konsistensi perjuangan muzik Jung-hyun, ia sebenarnya jauh mengatasi perjuangan 'rambut' papa-papa rock Malaysia pada era lewat 80-an dulu.


10. Aiseh. Jauh terbabas dah. Oklah. Berbalik kepada tivi berjenama LG. Kawan-kawan, sebenarnya tiada tivi LG yang berukuran 49 inci. Cuma ada saiz 42", 47" dan 50". Jadi keputusan sekarang, Kelambu-1 Pembaca Blog-0.

Selesai juga permintaan:
apa kata ko cerita tentang bagaimana mahu sediakan hadiah utk pemenang idea terbaik itu. sebab ko kata ko xde laa kaya sangat kan. ekekekeke - fafarafa

Hari Ibu yang Kau dan Aku Raikan

Tuesday, May 12, 2009 · Posted in

cite pasal IBU
mggu nie kn HARI IBU
Selamat Hari IBU
- Dato Why

1. Hari Ibu yang disambut dunia moden hari ini adalah hasil usaha aktivis wanita, Anna Jarvis bagi menghargai jasa manusia-manusia bergelar ibu dalam konteks kekeluargaan.

2. Untuk pengetahuan, Anna memulakan kempen Hari Ibu selepas dua tahun kematian ibunya, iaitu pada 12 Mei 1907.

3. Untuk pengetahuan lagi, Anna Jarvis ni berasal dari Amerika Syarikat, tidak pernah berkahwin dan tidak pernah mempunyai anak, tetapi sudah tentu mempunyai seorang ibu bernama Ann Maria Reeves Jarvis.

4. Hari Ibu disambut hari Ahad minggu kedua pada setiap Mei, termasuk Malaysia.

5. Namun sejarah yang lebih panjang mengatakan asal usul Hari Ibu adalah sempena meraikan perayaan Dewi Cybele, Mahadewi Greek dan masih disambut di sekitar Asia Kecil dan Rom.

6. Hari Ibu di Malaysia biasanya diraikan dengan menghantar kad, kiriman sms atau mms atau menelefon ibu di samping menonton iklan dan drama tivi yang memaparkan kisah ibu-ibu yang malang dan berendam air mata.

7. Menurut Abu Hurairah r.a., seorang lelaki datang menemui Rasulullah s.a.w dan bertanya;

"Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?"

Baginda menjawab: "Ibumu."
Dia bertanya lagi: "Kemudian siapa?"
Baginda menjawab: "Ibumu."
Dia bertanya lagi: "Kemudian siapa?"
Baginda menjawab: "Ibumu."
Dia bertanya lagi: "Kemudian siapa?"
Baginda menjawab: "Ayahmu."

8. Dalam tradisi dan hukum Rom Kuno disebutkan bahawa wanita adalah makhluk yang selalu bergantung kepada lelaki. Jika seorang wanita itu berkahwin, maka dia dan seluruh hartanya secara automatik menjadi milik suami. Ia hampir sama dengan yang tertulis dalam English Common Law, ...all real property which a wife held at the time of a marriage became a possession of her husband.

9. Dalam konteks Bahasa Melayu, perkataan ibu itu sendiri merupakan simbolik kata yang penuh suci, keramat dan penuh fungsi. Misalnya ibu pertiwi, ibu negara, ibu jari, ibu duit.

10. Dan aku selalu berimaji, kalaulah dunia ini punya jantina, maka aku rasa jantinanya adalah perempuan. Perempuan tua yang penuh kasih sayang.

Idea Terbaik yang Belum Mau Datang Kerana Hidup Sehari-Hari yang Penuh Duka Nestapa

Thursday, May 07, 2009 · Posted in

Oleh kerana aku tak ada idea. Aku buka komen ni untuk korang berikan apa-apa idea untuk aku tuliskan sebagai entri akan datang. Panjang atau pendek entri adalah terpulang pada aku. Kalau tak ada halangan, mungkin aku akan tuliskan semua idea-idea korang. Idea terbaik akan menerima set tivi berjenama LG bersaiz 49 inci.

Powered by Blogger.