Archive for June 2009

Malapetaka Bola Sepak Malaysia II - Cara Mengatasi Masalah MyTeam

Monday, June 29, 2009 · Posted in

Ya pasal bola lagi. Harap bersabar untuk entri sensasi lain. Tuan punya blog tengah kena sampuk jin Piala Konfederasi FIFA.

Kali ni pasal bagaimana mahu mengatasi masalah kewangan pasukan-pasukan bola sepak di Malaysia amnya ataupun UPB-MyTeam khususnya. Aku buat secara snippet supaya senang faham.

1. Sebenarnya untuk mengatasi masalah kewangan UPB-MyTeam ni cuma perlukan pengetahuan matematik mudah saja dan sedikit logik ekonomi. Aku tak tau sebab apa FAM masih tak nampak dan tak mampu nak selesaikan masalah tersebut. Mungkin ini salah satu punca kenapa Che Det perkenalkan PPSMI. Sebabnya, FAM lemah matematik dan ekonomi.

2. Kata pegawai kanan FAM, setiap pasukan bola Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya RM2.5 juta untuk mengharungi satu musim liga meliputi perbelanjaan kos pengangkutan, penginapan, gaji, elaun dan lain-lain.

3. Jadi di sini, sepatutnya semua persatuan bola sepak (FA atau FC) dalam Liga Malaysia sudah mempunyai dana pengurusan yang cukup (RM2.5 juta) untuk membiayai pasukan masing-masing sebelum liga bermula lagi.

Bukan itu saja, FA dan FC juga seharusnya sudah mempunyai draf jangka pendek dan panjang bagi menjana dan mendapatkan lagi RM2.5 juta (atau lebih) bagi mengekalkan status 'ada' pasukan mereka untuk saingan liga pada musim akan datang dan ia mesti sentiasa berterusan.

4. Ok, kita berbalik pula kepada MyTeam. Kalau dilihat laman web, senarai penaja pasukan kelab realiti tivi (dan bergabung dengan UPB Perak) ini memang bukan calang-calang. Ada Scomi, Berjaya, TV3, AirAsia, MayaTeam, Privasia dan Westport.

5. Tapi kenapa MyTeam masih bermasalah?

6. Aku cuba jelas secara mudah ikut pemahaman dan logik aku. Dalam sesuatu tajaan, akan wujud kontrak perjanjian antara pihak FA/FC dan penaja. Di sini, jumlah (RM1 juta? RM2 juta?) dan bentuk (jersi? bas? stadium? duit?) tajaan akan ditulis dengan jelas dalam kontrak. Ini termasuk jangka masa tajaan tersebut. Berapa lama ia berkuat kuasa (setahun? dua tahun?).

7. Sebelum mewujudkan MyTeam pada 2006, pihak pengurusan MyTeam pastinya sudah mempunyai dana awal hasil daripada sumber penaja dalam jangka masa tertentu (aku letakkan tiga tahun sebab 2009, kelab ni mula bermasalah). Jadi sepanjang tiga tahun tu, MyTeam FC sepatutnya sudah mempunyai dana sekurang-kurangnya RM7.5 juta bagi melangsai perkara asas pengurusan kelab tersebut (gaji, elaun, pengangkutan, lampu stadium dll).

8. Jadi sekiranya beban kewangan bertambah melebihi dana yang dimiliki, ia adalah menjadi tanggungjawab FC dan bukannya tanggungjawab penaja kerana penaja membayar seperti yang tertulis dalam kontrak. Persoalannya, bagaimanakah cara FC menambahkan dana pengurusan jika berdepan masalah kekurangan dana? Ya, cari lagi penaja baru. Tetapi masalah mula timbul apabila tidak ada penaja yang sudi menaja FC tersebut. Kalau FA negeri mungkin boleh dapatkan suntikan kewangan daripada kerajaan negeri. Tapi kalau kelab seperti MyTeam? Apakah kerajaan Selangor akan begitu murah hati memberi pelan rangsangan ekonomi untuk kelab ini? Sudah tentu tidak kerana ia akan melibatkan hal-hal politik yang akan jadi lebih rumit. Tidak mustahil kerajaan PR akan tumbang kepada BN disebabkan menaja MyTeam (sekadar contoh).

9. Pada peringkat ini, FAM akan cakap, kami kesal kerana sektor swasta tidak berminat (atau tidak patriotik) dalam usaha membangunkan bola sepak negara. Ini adalah sesuatu yang mendukacitakan.

[sila maki di sini]

10. Ok. Kenapa penaja susah menaja pasukan bola sepak di Malaysia?

11. Untuk pengetahuan anda, pelaburan dalam sesebuah syarikat besar adalah banyak dihabiskan pada bahagian pemasaran dan pengiklanan sehingga ia mampu mencecah suku ke separuh keuntungan yang diperoleh. Ini adalah kerana fungsinya yang bertanggungjawab menjana keuntungan dan menaikkan reputasi syarikat. Jadi, jangan hairan kenapa selebriti atau ahli sukan terkenal menjadi rebutan banyak syarikat untuk ditaja. Kerana mereka ini menjadi platform mudah dalam menjana pendapatan dan menaikkan reputasi produk syarikat tersebut.

12. Andaikan aku ni CEO sebuah syarikat minyak urut, KuatLagi Sdn Bhd. Tahun ni, pendapatan syarikat aku RM10 juta setahun. Sebagai CEO yang hensem dan penuh wawasan, aku bercadang menggandakan keuntungan syarikat kepada RM20 juta tahun depan. Bagi merealisasikan sasaran tersebut, aku sekarang bersedia melaburkan keuntungan syarikat sebanyak RM2.5 juta supaya orang ramai dapat kenal produk minyak urut aku dan teruja untuk membelinya sekali gus menambahkan keuntungan dan menaikkan reputasi syarikat, selain mengalahkan pesaing lain. Dalam kes studi ni pesaing ketat aku ialah minyak urut Haji Toyyib.

13. Satu hari datang dua wakil minta sponsor. Satu wakil MyTeam dan satu lagi wakil Lisa Surihani. Aku pun tanya, "kalau beta menaja kalian, apakah yang akan syarikat beta dapat?" Lalu kedua wakil tersebut pun usul proposal masing-masing. Selepas melihat kelebihan yang ditawarkan dua wakil tersebut, aku pun memilih Lisa Surihani.

Huh, dasar jantan!!, getus pengurusan MyTeam di dalam hati.

Nanti, jangan marah dulu. Aku akan terangkan sebab kenapa aku pilih Lisa untuk ditaja.

Malapetaka Bola Sepak Malaysia (Bekas Gergasi Asia)

Thursday, June 25, 2009 · Posted in

Bola sepak Malaysia memang teruk tahap celaka. Ok, minta maaf terlebih dulu dengan mukadimah hamun tadi.

Kenapa FAM celaka? Buktinya FAM buat idea gila lagi. Nak tukar format profesional ke semi pro. Lebih malapetaka FAM bercadang mahu hadkan penyertaan pasukan dalam liga sebagai satu cara mengatasi masalah kewangan. Dan bagi menguatkan lagi idea 'super' tersebut, FAM merujuk kepada liga Myanmar (atau Burma) yang hanya menampilkan lapan pasukan tetapi tetap mampu menghasilkan pasukan kebangsaan yang beraksi 'power' di peringkat antarabangsa walaupun baru dua bulan diperkenalkan.

FAM,
Liga bola sepak domestik yang bagus ialah liga yang kompetitif, yang bertanding banyak pasukan dan banyak perlawanan. Kalau kau seorang samurai, level jaguh kau diukur dengan berapa banyak kepala musuh sudah kau pancung dan berapa ramai lawan sudah kau jumpa. Hero samurai Jepun, Miyamoto Musashi tak akan jadi legenda kalau setakat lawan pedang dengan lapan orang musuh, dia perlu lawan seribu musuh satu musim (contoh).

Jadi, secara kasar dan di atas kertas, liga yang kompetitif (yang banyak pasukan dan perlawanan dalam liga) sepatutnya menghasilkan pasukan kebangsaan yang bagus juga. Kita tak perlu terbang ke Eropah untuk membuat rujukan, cukup sekadar teropong ke liga-liga gergasi Asia Tenggara seperti Singapura (12 pasukan-S-League), Thailand (16 pasukan-Thai Premier League) dan Indonesia (18 pasukan-Indonesia Super League).

Sepatutnya tiga negara tersebut yang dijadikan penanda aras bola sepak Malaysia, bukan Myanmar. Jadi, untuk menjawab persoalan kenapa pasukan bola sepak Myanmar semakin maju berbanding kita adalah kerana tahap liga bola sepak kita yang mundur dan primitif.

Aku bukan suka hati cakap bola sepak Malaysia mundur dan primitif. Ok, untuk mengukuhkan kecaman aku terhadap kemunduran dan keprimitifan bola sepak Malaysia adalah dengan membandingkan laman web liga Malaysia (laman web liga, bukan persatuan bola sepak) dengan tiga negara Asia Tenggara tersebut.

Singapura - S League
Thailand - Thai Premier League
Indonesia - Indonesia Super League
Malaysia - Liga Malaysia (tiada)

Inilah segala kubra punya masalah yang dihadapi FAM. Cemas tak tak tentu pasal. Tapi buat laman web liga pun tak lepas lagi. Aku rasa FAM baik pergi kursus buat laman web dulu. Nanti bila dah lulus hubungi aku dan aku akan terangkan pula cara mengatasi masalah kewangan UPB-MyTeam.

Mari Belajar Mengeja Bersama Pakcik Nil

Sunday, June 21, 2009 · Posted in

Aznil buka soalan, "siapa tahu eja 'PERONDA'?"

Tetttttt... Budak baju biru menekan bazer.

"P.E.R.O.N.D.E"

"Salahhhh!!" Aznil menjerit girang.
.
.
.
Budak tu tak faham maksud peronda sebenarnya. Jadi dia eja ikut fonologi yang disebut Aznil. Dalam hal ni Aznil yang salah sebab sebutan tak baku. Dia sepatutnya sebut 'peronda' bukan 'peronde'.

Keputusan Kelambu:
Budak Baju Biru (1) Aznil (0)

Hikmat Menyatupadukan Sel-Sel

Monday, June 15, 2009 · Posted in

Internet surfing. Cuba cari cara fisio terbaik untuk proses pemulihan pantas. Kalaulah aku boleh dapatkan mesin pengimejan ultrabunyi, mungkin proses pemulihan jadi lebih fokus dan cepat. Tapi rasanya tak berbaloi habiskan duit semata-mata nak beli mesin tu. Baik aku beli Newcastle United.

Hari ni sudah boleh bawa kereta. Sakit memang sakit. Tambahan lagi semasa aku gunakan kuasa menolak untuk gerakkan gear. Berlaku beberapa renjatan elektrik di sekitar pergelangan tangan. Aku tahan saja sambil mengaktifkan hikmat menahan sakit peringkat ketiga. Walaupun tangan menggigil selepas selesai sesi pemanduan, tetapi hasilnya memberangsangkan.

Hmm, berkesan juga teknik fisioterapi hasil 'internet surfing' ni:

Patah Tangan Kiri

Friday, June 12, 2009 · Posted in

Dalam hidup ni kita selalu hargai benda yang besar-besar saja. Yang penting-penting. Benda-benda kecil kita tak berapa peduli sangat. Sehinggalah kita merasai sendiri kehilangan 'benda-benda kecil' tu.

Dua minggu lalu hingga kini aku hilang tangan kiri. Maksud aku fungsi tangan kiri. Hilang langsung, tempang dan lumpuh. Angkat benda seringan gelas pun tak boleh. Mungkin ini yang dirasai pesakit yang hilang fungsi tangan mereka.

Kalau dalam filem, tangan kiri bolehlah diibaratkan sebagai pelakon pembantu. Penyedap cerita. Pembantu waktu utama (tangan kanan). Tapi filem yang tak ada pelakon pembantu memang tak sempurna malah kau mungkin boleh jadi benci dengan pelakon utama tu.

Selama ini aku hanya ingat fungsi penting tangan kiri sekadar basuhkan najis saja tetapi selepas apa yang berlaku, aku mula berfikir sebaliknya. Ok, untuk merasai pengalaman hilang tangan kiri, kita bolehlah sama-sama bereksperimen dengan melakukan semua perkara menggunakan sebelah tangan saja (yang dominan). Cukup untuk satu hari dan catatkan hasil eksperimen tu.

Serius susah.

Ok, aku akan terangkan kesusahan aku.

1. Untuk pakai seluar, mula-mula aku perlu duduk dan masukkan kaki sehingga menembusi dua lorong seluar supaya tidak terpijak kaki seluar bila bangun nanti. Semasa bangun dan menarik seluar ke atas pinggang, bahagian kiri seluar biasanya sedikit terlondeh dan aku perlu angkat kaki kiri dengan gaya side kick Bruce Lee. Kadang-kadang aku hilang keseimbangan. Dengan tangan kanan memegang pinggang seluar, aku tak ada pilihan lain melainkan gunakan kepala sebagai tongkat ke dinding. Aksi bertukar agak ekstrem ketika menyarung jeans berbutang penuh.

2. Sebenarnya hujung bulan lepas aku dah setuju jadi pengapit Syem (selamat pengantin baru). Tapi akhirnya tak jadi (sebab macamana aku nak pegang kipas sambil bawa payung?). Jadi dia rekrut adik dia. Sudahnya, aku cuma turun makan nasi saja. Semasa makan, semua benda aku masih boleh buat kecuali cuci tangan. Aku kena juga minta tolong orang. Ada lagi tak cara terbaik cuci tangan guna teko?

3. Pakai baju guna satu tangan. Badan kau perlu elastik dengan meliuk kiri dan kanan macam cacing kepanasan.

4. Tak boleh memandu.

5. Ikat tali kasut guna gigi.

6. Kau akan rasa macam nak menangis bila hanya boleh menaip satu tangan.

7. Susah sapukan deodoran ke ketiak kanan.Terpaksa gesel-geselkan ketiak untuk kesan sapuan lebih rata dan menyeluruh.

8. Tak boleh potong kuku jari kanan.

9. Memasak jadi susah. Tak ada tangan kiri untuk stabilkan kuali. Cukup susah nak alihkan telur yang melekat. Kena kecilkan api, kais telur, betulkan kuali (guna sudip), kais telur, betulkan kuali, kais telur, betulkan kuali, kais telur, betulkan kuali. Semuanya guna tangan kanan.

10. Basuh najis guna tangan kanan. Ya, bila tak ada tangan kiri, suka tak suka tangan kanan akan cuci najis di punggung.
.
.
Sesiapa pun orang-orang kecil di sekeliling kita, tolong hargai mereka. Oh, aku dalam proses fisio dan sebagai terapi aku mula belajar mencium tangan kiri sendiri dengan penuh rasa sayang.

Bertukar Menjadi Mutan

Friday, June 05, 2009 · Posted in

Kali kedua aku masuk bilik bedah. Paling akhir masa aku darjah enam, buangkan tonsil di anak tekak.

Dr Mahamud masuk, ambil pen dan lukis rajah tulang atas A4 putih. Bersungguh dia tunjukkan aku struktur tulang dan plat besi yang akan diskru di hujung tulang radius aku.

Aku sakit sangat masa tu dan aku tak berapa nak faham. Aku angguk-angguk saja. Aku teringat filem Wolverine yang aku tengok minggu lepas.

Tragedi Lewat Mei Ketika Matahari Rembang

Wednesday, June 03, 2009 · Posted in

26hb. 11.30 pagi. Suzuki aku terpelanting terlanggar sisa bonggol simen bergerigi di tepi jalan. Padah melengah-lengahkan masa untuk betulkan fork motor. Tapi hidup sebagai penunggang motor di Malaysia memang selalu teraniaya.

Aku kutip henfon, kamus, kad nama, sapu tangan, dompet, gula-gula hacks dan tanggalkan helmet. Tangan kiri aku kebas dan ibu jari macam panjang sebelah.

Lima minit aku mamai tepi jalan macam pemabuk wiski. Seorang Melayu pun tak ada yang berhenti. Aku tarik nafas dalam. Tak mau pitam. Tak lama lepas tu berhenti dua makhluk Tuhan. Seorang Cina tua dan kawan India di sebelahnya. Kadang-kadang kerana terlalu fikirkan bangsa, kita selalu terlupa mahu berfikir tentang rasa manusia.

Powered by Blogger.