Archive for December 2009

Sedikit Tentang Aku, Kita, Kau dan Blog Sempena Hujung Tahun

Friday, December 25, 2009 · Posted in

Genap Julai tahun depan, sudah enam tahun aku berblog sejak 2004. Dan entri ini adalah entri ke-647 aku. Sepanjang enam tahun menulis, penulis-penulis blog datang dan pergi. Ya, menjadi penulis blog konsisten bukan kerja mudah.

Ada kawan aku masih tak faham kenapa aku begitu bersungguh menulis blog. Tambahan lagi aku menulis tanpa dapat apa-apa pun. Tapi sebenarnya yang dia tidak tahu, tidak semua perkara yang kita lakukan perlukan bayaran atau dibayar. Bayangkan seorang ibu tuntut harga bayaran membesarkan kita?

"Mamat, mak sekarang sudah berjaya besarkan kau selama 24 tahun. Sekarang mak nak kau bayar RM1 juta dan jangan lupa masukkan duit dalam tempoh 48 jam. Kalau tak kau masuk neraka!" ujar seorang ibu kepada anaknya, Mamat.

Aku anggap menulis blog ni macam kerja ibu. Macam kerja amal juga. Jadi, orang yang melakukan sesuatu tanpa minta dibayar ini adalah orang yang penuh kasih sayang. Penulis blog boleh buatkan pembacanya gembira dengan catatan entri yang lawak, mampu buatkan pembacanya sedih dan insaf tentang kesusahan hidup dan macam-macam perkara yang memberi kesedaran sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Bukan semua orang yang mempunyai jiwa menulis blog. Tanpa jiwa itu, aku berani jamin dalam masa setahun saja blognya akan bungkus.

Hmm.. Itulah serba sedikit tentang blog. Jadi, sempena tahun baru yang bakal menjelma, aku beri peluang kepada korang untuk tanya apa saja dan aku akan jawab. Harus diingatkan, soalan terbaik tidak akan dapat biasiswa ke United Kingdom.

Sedikit Tentang Umur Berdasarkan Prinsip Cakerawala

Saturday, December 19, 2009 · Posted in

Tak sampai dua minggu lagi bulan Disember nak habis. Bermula 1 Januari 2010, umur kita bertambah lagi kalau diikutkan kepada prinsip pengiraan umur orang Melayu (yang gemar menggenapkan semua perkara).

Tapi kalau diikutkan prinsip matematik dan undang-undang, usia kita cuma dikira genap bila tiba tepat tarikh lahir.

Contohnya, kalau kau bunuh orang sehari sebelum usia kau genap 18 tahun, maka terlepaslah kau daripada hukuman mati. Tapi itu bukanlah bermakna aku suruh kau bunuh orang (diulangi: CONTOH).

Tapi kalau diikutkan prinsip perubatan, umur kau perlu ditambah selama 9 bulan lagi (bagi mereka yang lahir cukup bulan), diambil kira saat kau bergulung di dalam rahim ibu. Jadi kau memang jauh lebih berumur daripada usia sebenar.

Tapi, itu pun cuma prinsip umur di bumi. Menurut saintis angkasa lepas, pusingan bumi sebenarnya mempengaruhi umur manusia. Di zuhrah atau kejora, planet jiran kita itu berputar mengelilingi orbit cuma 224.7 hari di bumi. Ini bermakna kalau kau ada adik yang tinggal di zuhrah, selepas beberapa tahun dia pulang ke bumi, mungkin kau perlu panggil dia abang kerana umurnya jauh lebih tua.

Tapi, bayangkan pula kau ada adik yang tinggal di pluto yang mengelilingi orbit selama 90,613.305 hari di bumi. Siapa nak jawab?

Lagi, bayangkan pula berlaku malapetaka di bumi dan manusia menjadi dungu hingga mengubah kalendar peradaban manusia daripada setahun 12 bulan kepada setahun enam bulan saja. Mungkin masa tu kau akan masuk universiti semasa umur 34 tahun dan pencen kerja pada usia 112 tahun.

Ok, cukuplah tu. Aku nak cuba sambung studi teori Einstein pula ni.




ps: Terima kasih semua atas ucapan lahir. I lap U!!

Ali yang Benci Sama itu Amerika

Wednesday, December 09, 2009 · Posted in

Ali, warga Pakistan dari Islamabad. Merantau jauh dari Asia Selatan ke Asia Tenggara semata-mata untuk kerja sekuriti di Malaysia. Aku tak tanya pula mana dia tau ada banyak kerja sekuriti dalam negara 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan' ni.

Satu hari. Aku buat-buat cemas.

"Ali, Lahore kena bom. 50 lebih mati!" - aku
"Bom lagi ka? Mana mana?" - Ali
"Laaaa.. Hooooorrrre.." -aku
"Bukan bukan.. Tempat tempat.. " -Ali
"Kat pasar mana entah.. Berani mati punya bom," -aku

.
.

Ali diam, kemudian sambung sembang bahasa urdu dengan kawan sekapal dalam konti sempit. Langsung aku tak faham. Yang aku faham diorang sebut nama Presiden Asif Ali Zardari dan Amerika banyak kali. Dulu Ali ada bagitau aku yang dia tak suka Zardari sebab Presiden tu syiah dan sekutu Amerika. Sunni tak suka sama itu Amerika jahat. Banyak kali juga aku tengok dia termenung. Mungkin dia sedih mengenangkan nasib tanah air tercinta yang selalu dibom. Mungkin juga dia teringat sama itu makwe di Islamabad sana.

Melayu di Kaca Mata Mendiang Swettenham

Tuesday, December 01, 2009 · Posted in

Orang Melayu berbadan pendek, gempal dan tegap. Rambutnya lurus dan hitam, warna kulitnya gelap, hidung dan bibirnya agak tebal dan matanya cerdas dan cerdik.

Biasanya dia bersifat baik hati, gerak gerinya sopan dan senang berbicara.

Orang Melayu tidak pernah menikus, tetapi dengan orang tidak dikenali dia agak pendiam dan agak curiga walaupun tidak ditunjukkan.

Dia seorang yang berani dan amanah dalam menjalankan tugas, tetapi da juga bersikap suka berbelanja, suka meminjam wang dan lambat pula membayar balik.

Dia petah bercakap, berkata-kata dengan kiasan dan ibarat, suka menggunakan peribahasa dan kata-kata pujangga, suka berkelakar dan suka benar dengan jenaka.

Dia mengambil tahu hal ehwal jiran tetangga dan sebab itu kadang-kadang dia juga bercerita tentang hal orang.

Dia pengikut Muhammad dan percaya kepada takdir, tetapi juga percaya kepada tahyul.

Dia tidak pernah minum sebarang minuman memabukkan, jarang-jarang sekali menghisap ganja. Tetapi gemar berjudi, menyabung ayam dan permainan lain seperti itu.

Dia semula jadi suka bersukan, pandai menangkap dan menjinakkan gajah, nelayan yang mahir dan sungguh cekap sekali dengan perahu.

Tetapi yang penting sekali dia seorang yang konservatif, bangga dan cintakan tanah air dan rakyatnya, memuliakan adat resam, takut kepada raja dan menghormati pihak berkuasa.

Tetapi dia mencurigai semua jenis pembaharuan dan akan menentang apa-apa pembaharuan yang dipaksa ke atasnya.

Residen Inggeris Negeri Melayu Bersekutu, Sir Frank Swettenham - 1850-1946



Powered by Blogger.