Dalam perjalanan pulang ke rumah, entah apa yang tidak kena, perut aku meragam lain macam. Isi perut aku terasa seakan dipintal taufan. Spontan, otak aku bukakan peta mencari stesen minyak dan masjid terdekat, iaitu lokasi tandas awam paling dicari di Malaysia.
Apabila bercerita tentang perut meragam atau apa saja yang ada kena mengena dengan buah pinggang atau usus besar, aku sebenarnya sudah lama bertaklid dengan pepatah ini, "Masalah rumah tangga, hubungan cinta boleh aku tolak ansur, tetapi tidak untuk sakit perut." (ceh, tak rhyme langsung).
Ini mungkin kesan trauma aku masa kecil dulu. Masa tu, dalam usia 5 tahun, aku pernah cuba nak kencing, tapi tak boleh gara-gara berjam-jam lama aku menahan kencing dalam kereta.
Sampai satu tahap abah terpaksa belikan ais batu kasi tuam atas burung dan pinggang aku. Aku tak tahu sama ada itu kaedah betul di segi ilmu medik. Tapi, kalau aku di tempat abah, itu sajalah ikhtiar paling logik yang aku akan buat sebelum fikirkan tentang hospital. Dan teknik itu berjaya.
Sejak itu, satu perkara aku belajar, 'tiada tolak ansur untuk sakit perut atau kencing'. Dan sepanjang zaman persekolahan, aku bertuah kerana termasuk dalam kelompok yang gagal terkencing atau terburai isi perut dalam kelas.
Jadi aku sangat faham situasi orang lain ketika sedang azab menahan sakit perut. Kalau ada mana-mana kawan aku sakit perut semasa sedang memandu, selepas makan atau tengah sedap bersembang, aku biasanya akan cepat carikan lokasi tandas terdekat. Kalau di kedai makan, aku akan tunjuk dan suruh diorang pergi ke tandas tanpa ragu lagi. Kalau tak ada aku sanggup serahkan kunci kereta aku. Kau cari mana-mana tandas, sudah settle kau datang balik. Serius, aku tak ada masa nak berlawak dan melengah-lengahkan masa dalam isu ini. Bagi aku, ini masalah berat. Lagi berat daripada isu Menara Warisan.
Bersambung kepada insiden aku sakit perut. Ya, aku akhirnya singgah di sebuah stesen Petronas. Tapi tandas lelaki penuh. Puas aku ketuk tapi cuma kedengaran deruan air pili. Dan aku faham sangat bahasa isyarat paling mudah tu.
Aku gesit ke tandas sebelah, perempuan. Baru saja aku melondehkan apa yang patut, pintu tandas diketuk. Sama seperti tandas sebelah tadi, aku biarkan deruan air pili yang menjawab. 2 minit. 4 minit. 6 minit. 8 minit. 10 minit. Selesai.
Sambil menarik nafas steady, aku buka pintu tandas dengan penuh ketenangan. Ada tiga wanita bertaraf kakak sedang beratur, menunggu giliran.
"Hek eleh, dah macam tak ada tandas lain nak masuk!"
Sepantas kilat pelempang aku hinggap ke pipi. Brader-brader Bangla datang cuba kawal keadaan.





