Archive for July 2010

Efek Lebih Sensasi

Saturday, July 31, 2010 · Posted in

Petang semalam Why pasang Astro Beyond di rumah. Tambah RM20 saja, ujarnya sambil menyarankan aku membeli tivi LCD untuk menikmati efek lebih sensasi. Nanti boleh jadi aset kahwin kau, katanya.

Kepala aku menerawang. Aku syak, ketagihan manusia kepada efek lebih sensasi ini sedikit sebanyak mempengaruhi mereka untuk membelanjakan wang bagi menikmati efek tersebut. Kalau tidak, manakan laku produk-produk yang menawarkan efek-efek lebih sensasi itu. Bukalah tivi. Selaklah akhbar. Tengoklah sekeliling kita. Pelbagai produk efek lebih sensasi diiklankan. Efek lebih putih, lebih ketat, lebih besar, lebih 3D dan bukan sekadar kejuruteraan bendalir. Semua ada.

Dan aku mula faham. Manusia memang dilahirkan untuk berasa teruja dan bernafsu untuk menikmati efek yang lebih sensasi.

Tak sampai sejam Beyond dipasang, Why (selaku suami hujung minggu) capai kunci kereta dan gerak ke rumah mentua jumpa bini.

Kawan, manakan sama efek Beyond dengan efek bini bagi lelaki yang baru saja berumah tangga, getus aku, sengih sendiri.

Tentang Tanah dan Manusia

Saturday, July 24, 2010 · Posted in

1. Sumpah aku ingat lagi. Dalam buku Alam dan Manusia, ada tiga perkara utama yang ditakrifkan sebagai keperluan hidup manusia. Makanan, tempat tinggal dan pakaian. Namun, modenisasi yang tidak terkawal sejak Tunku Abdul Rahman melaungkan merdeka memaksa manusia-manusia di Malaysia menambah dua lagi keperluan hidup mereka, duit dan kereta. Tapi ini bukan cerita tentang duit dan kereta, tetapi tentang harga rumah sewa.

2. Di Lembah Klang, harga sewa RM480 untuk sebuah apartment tingkat bawah adalah murah. Buktinya apabila aku cerita sama penduduk kota lain, mereka akan jawab, eh eh murahlah tu. Sepatutnya harga macam tu kau kena duduk tingkat 4 atau 5. Kalau nak murah lagi, kau cari rumah kat Rawang atau Batang Berjuntai. Persoalannya, siapakah yang menentukan harga pasaran rumah-rumah di Lembah Klang ini?

3. Ini realiti. Harga tanah KL mana sama harga tanah di Changloon sana, ujar Sameon, seorang tokoh jutawan hartanah (yang bangga memiliki 35 buah rumah sekitar KL dan bercadang menambah dua lagi tahun ini). Persoalannya, siapakah yang menentukan harga pasaran rumah-rumah di Lembah Klang ini? Siapakah yang menentukan harga tanah KL mana sama harga tanah di Changloon sana?

4. Realiti apapun yang dicakap, tanah adalah tanah. Apakah kualiti tanah di KL tidak sama dengan kualiti tanah di Changloon? Kalau kau pergi di Shah Alam Darul Student, sewa flat merpati di Seksyen 7 ada yang mencecah RM800. Apakah flat itu dibuat daripada emas? Apakah ada askar Gurkha mengawal keselamatan penghuni flat tersebut? Tidak, semua benda itu tidak ada pun di sana. Sebaliknya, flat itu dihuni 13 pelajar yang memutuskan meminimumkan duit poket untuk pergi berhibur dan membeli iPhone atau Blackberry.

5. Hukum kapitalis bersabda, harga tanah bergantung dengan nilai ekonomi sesebuah kawasan itu. Dalam bahasa mudah, jika tempat itu memiliki potensi ekonomi (boleh buat duit), maka naiklah harga tanah berkenaan. Persoalannya (berapa banyak persoalan daa), potensi ekonomi itu untuk siapa? Apakah untuk Budiarto, buruh binaan dari Indonesia, Jamal, jaga syarikat percetakan dari Pakistan atau Sulaiman, peon dari Mentakab?

6. Tempat tinggal (rumah/tanah), makanan dan pakaian adalah keperluan hidup. Kegagalan mengawal tiga keperluan utama manusia itu menyebabkan ketidakstabilan sosio ekonomi dan memarakkan protes dalam hati rakyat. Siapakah yang terkesan dengan protes-protes ini? Ya, mereka adalah manusia yang dikutuk tujuh keturunan hanya kerana mereka memilih untuk bekerja sebagai peniaga warung, si tukang kasut dan pengutip sampah di lorong-lorong kota. Ibu kota hanya layak untuk mereka yang berjaya di segi memakai kasut kilat dan berkot di tengah hari dan meletak Mercedes di bahu jalan.

7. Sampai sekarang aku tidak pernah percaya yang merampas tanah hanya orang Cina. Dan aku menipu juga kalau aku ini Melayu tanpa rasis. Hakikatnya, Melayu dipaksa menjadi teknokrat dan si kaya bodoh sejak sekolah, dipaksa membenci kaum lain dan bukan membenci penindas atau menjadi manusia mengasihani, dipaksa bekerja selesa dengan kerajaan untuk mengundi mereka ketika pilihan raya dan dipaksa lari meninggalkan tanah yang dilabelkan dengan kemiskinan. Kita semua dipaksa dan bukan terpaksa.

8. Jadi, Melayu tinggalan moyang-moyang dulu yang mahsyur dan bangga kerana menguasai dan mengerjakan tanah dan air dipaksa menukar kecintaan mereka kepada wang, memiliki 35 buah rumah untuk dijual kepada pelajar, memanipulasi pasaran dan menaikkan nilai tanah-tanah atas nama ekonomi. Ekonomi taik kucing!

9. Arab di Palestin mengamuk bukan kerana Zionis Yahudi mengutuk Tuhan Allah? Tetapi mereka mengamuk kerana tanah mereka dirampas dan hak mereka bertanah dinafikan. Ia sama saja dengan Islam di selatan Thai dan Islam di Mindanao. Dan bersedia sajalah, apabila segenap Semenanjung Emas ini diangkat menjadi tanah ekonomi, orang-orang pinggiran macam kau akan dihambat berumah di celah longkang.

10. Minta maaf kepada kawan-kawan yang kita sama-sama pernah merancang membeli banyak rumah untuk disewakan kepada manusia-manusia yang juga tidak ada pilihan seperti kita. Kerana, aku tidak pernah berhenti menyumpah diri sendiri dan orang lain setiap kali aku melihat seorang gila di lorong sampah yang cuma berbumbung bangunan tempat aku kerja.

Kaitan Saman dan Petrol

Thursday, July 15, 2010 · Posted in

1. Hari ini aku dapat dua keping saman daripada dua pihak berkuasa berlainan. Sedang aku berfikir entah malapetaka apa yang melanda, satu mesej berangkai masuk ke peti henfon, harga petrol akan dinaikkan sebanyak 5 sen seliter, serentak dengan beberapa kenaikan barangan lain.

2. Pertambahan jumlah saman dan kenaikan petrol adalah dua contoh betapa kerajaan hari ini sudah tidak ada duit. Justeru, contoh di atas, aku syak, adalah sebahagian langkah menampung ketirisan wang dalam dompet kerajaan.

3. Situasi ini bolehlah disamakan dengan lawak klise hari raya, di mana seorang bapa meminta duit raya daripada anak selepas menjadi sengkek akibat boros berbelanja. Kenyataan yang sering diberikan si bapa adalah duit itu akan dipulangkan untuk sesuatu yang lebih baik seperti disimpan, dilaburkan atau dipulangkan suatu hari nanti.

4. Malangnya, anak-anak itu, yang masih suci tentang erti nilai wang, senang saja terlupa ke mana aliran wang tersebut digunakan. Di simpan di mana? Apakah benar ia dilaburkan? Dipulangkan dalam bentuk apa?

5. Retorik apapun yang disebut, hakikat yang perlu ditelan di sini ialah kerajaan sudah tidak ada duit. Jadi, janganlah hairan sangat kenapa banyak operasi saman menyaman giat dijalankan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

6. Masalah di sini, daripada tinjauan dilakukan, ramai memutuskan untuk tidak membayar saman. Tapi langkah sama tidak dapat digunakan untuk tidak mengisi minyak. Bincangkan.

Corat Coret Piala Dunia (IV)

· Posted in

Beberapa minit lagi aku akan bergerak ke mamak Salma di ceruk U5 sana. Lokasi sama ketika Pejal hampir histeria menyaksikan pasukannya, Sepanyol, yang bukan negara kelahirannya menumbangkan pasukan aku, Jerman, juga bukan negara kelahiran aku. Ya, lokasi itu juga menjadi medan terakhir untuk aku menutup edisi kejohanan sukan paling ultimate di planet bumi ini.

Banyak yang aku fikirkan tentang apa yang akan berlaku selepas berakhirnya pesta Piala Dunia nanti. Hidup pasti akan kembali normal dengan rutin yang merenggut masa dan menunggu uban memutih di kepala. Sekurang-kurangnya, pesta hedonisme yang penuh ritual puja memuja ini membawa aku lari daripada rusuh dalam diri.

Beberapa detik, sebelum stabil, hidup akan bertukar menjadi koro, lembap dan bodoh. Aku rasa aku layak mendaftar di pusat pemulihan Piala Dunia.

Eh, Belanda menang kot.
.
.

Kenapa patut sokong Belanda?


Tidak ada durian Sepanyol.

Tidak ada ayam Sepanyol.

Tidak ada tikus Sepanyol.

Ada barang letrik bunyi Sepanyol? Spender ada la. Hehe..

Corat Coret Piala Dunia (I)

Thursday, July 01, 2010 · Posted in

1. Jepun tumbang kepada Paraguay dalam aksi penuh dramatik, penentuan penalti. Terpaksa aku batal niat mahu bergambar dengan jersi Jepun edisi Piala Dunia 2006. Bagus juga. Lagipun baju tu dah sendat pun, terutama bahagian perut. Tiba-tiba aku teringat iklan Dr Rozmey. Apa cerita filem juta-juta dia tu. Bila mau tayang?

2. Sepanyol layak selepas menumbangkan Portugal. Malangnya aku tertidur 10 minit sebelum Villa meledakkan jaringan kemenangan buat Sepanyol. Kalaulah Piala Dunia wujud semasa abad ke-15, kemenangan Sepanyol itu akan menaikkan semangat jutaan rakyat Melaka untuk bangkit menewaskan soldadu-soldadu Alfonso Albuquerque yang sudah moral down.

3. Aku rasa nak aktif menulis blog semula. Sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Aku banyak idea, tapi setiap satu idea aku bergentayangan macam roh hantu. Aku terfikir mahu menulis secara intelektual, ilmiah. Tapi tidak semua manusia punya kurnia dapat menulis apa yang dibaca, dirasa, dilihat. Sekarang aku sedar kenapa ramai profesor kita gagal menulis naskhah ilmiah untuk masyarakat kita selain mengutuk naskhah pop Ahadiat Akashah menggunakan dakwat air liur.

4. Aku ramalkan Malaysia ke Piala Dunia seribu tahun lagi. Malaysia ketika itu mungkin sudah bertukar menjadi republik. Mungkin republik sekular. Mungkin juga republik Islam. Apakah satu dosa meramalkan Malaysia menjadi republik?

5. Satu masa dulu, dek kerana bengang dengan prestasi buruk bola sepak Malaysia-gara-gara kalah kepada pasukan Vietnam-kawan aku, Saud (bukan nama sebenar) menyarankan dana dan peruntukan untuk bola sepak diharamkan. Ini membabitkan apa saja perkara yang ada kaitan dengan bola sepak sama ada promosi, liputan media atau pembangunan sukan di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan.

"Lebih baik laburkan kepada sukan yang membawa hasil. Badminton atau skuasy. Atau sukan-sukan tangan lain. Orang Malaysia ni ada kelebihan dengan sukan tangan!!" bentak Saud bersungguh dan garang.

6. Aku terbayang hand of god Maradona (1986). Masa tu semua mau jadi Maradona. Aku syak fenomena Maradona menjadi inspirasi kepada arwah Dato' Paduka Ahmad Basri Akil merevolusikan bola sepak Kedah. Empat tahun kemudian Kedah menjulang Piala Malaysia buat kali pertama selepas tiga kali mencuba sejak 1987. Tatkala melihat ketua pasukan, Lee Kin Hong menjulang piala di tengah pekan Alor Setar, air mata aku membutir sebiji macam awek Jepun dalam tivi semalam.

7. Dan aku bersyukur Saud tidak menjadi Menteri Belia dan Sukan, apatah lagi Perdana Menteri Malaysia.

Powered by Blogger.