Archive for October 2010

Tragedi Stesen Petronas

Wednesday, October 27, 2010 · Posted in , ,

Dalam perjalanan pulang ke rumah, entah apa yang tidak kena, perut aku meragam lain macam. Isi perut aku terasa seakan dipintal taufan. Spontan, otak aku bukakan peta mencari stesen minyak dan masjid terdekat, iaitu lokasi tandas awam paling dicari di Malaysia.

Apabila bercerita tentang perut meragam atau apa saja yang ada kena mengena dengan buah pinggang atau usus besar, aku sebenarnya sudah lama bertaklid dengan pepatah ini, "Masalah rumah tangga, hubungan cinta boleh aku tolak ansur, tetapi tidak untuk sakit perut." (ceh, tak rhyme langsung).

Ini mungkin kesan trauma aku masa kecil dulu. Masa tu, dalam usia 5 tahun, aku pernah cuba nak kencing, tapi tak boleh gara-gara berjam-jam lama aku menahan kencing dalam kereta.

Sampai satu tahap abah terpaksa belikan ais batu kasi tuam atas burung dan pinggang aku. Aku tak tahu sama ada itu kaedah betul di segi ilmu medik. Tapi, kalau aku di tempat abah, itu sajalah ikhtiar paling logik yang aku akan buat sebelum fikirkan tentang hospital. Dan teknik itu berjaya.

Sejak itu, satu perkara aku belajar, 'tiada tolak ansur untuk sakit perut atau kencing'. Dan sepanjang zaman persekolahan, aku bertuah kerana termasuk dalam kelompok yang gagal terkencing atau terburai isi perut dalam kelas.

Jadi aku sangat faham situasi orang lain ketika sedang azab menahan sakit perut. Kalau ada mana-mana kawan aku sakit perut semasa sedang memandu, selepas makan atau tengah sedap bersembang, aku biasanya akan cepat carikan lokasi tandas terdekat. Kalau di kedai makan, aku akan tunjuk dan suruh diorang pergi ke tandas tanpa ragu lagi. Kalau tak ada aku sanggup serahkan kunci kereta aku. Kau cari mana-mana tandas, sudah settle kau datang balik. Serius, aku tak ada masa nak berlawak dan melengah-lengahkan masa dalam isu ini. Bagi aku, ini masalah berat. Lagi berat daripada isu Menara Warisan.

Bersambung kepada insiden aku sakit perut. Ya, aku akhirnya singgah di sebuah stesen Petronas. Tapi tandas lelaki penuh. Puas aku ketuk tapi cuma kedengaran deruan air pili. Dan aku faham sangat bahasa isyarat paling mudah tu.

Aku gesit ke tandas sebelah, perempuan. Baru saja aku melondehkan apa yang patut, pintu tandas diketuk. Sama seperti tandas sebelah tadi, aku biarkan deruan air pili yang menjawab. 2 minit. 4 minit. 6 minit. 8 minit. 10 minit. Selesai.

Sambil menarik nafas steady, aku buka pintu tandas dengan penuh ketenangan. Ada tiga wanita bertaraf kakak sedang beratur, menunggu giliran.

"Hek eleh, dah macam tak ada tandas lain nak masuk!"

Sepantas kilat pelempang aku hinggap ke pipi. Brader-brader Bangla datang cuba kawal keadaan.

Seputar PWTC dan Isu Bagaimana Pengguna Patut Menggunakan Hak Mereka

Thursday, October 21, 2010 · Posted in ,

Aku ke PWTC. Bos suruh gegar buat liputan tentang perhimpunan sebuah parti politik yang mendakwa memperjuangkan slogan Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan. Sumpah, sebelum ni aku tak pernah datang buat liputan mana-mana parti politik pun. Jadi, dengan langkah terpaksa aku turutkan saja walaupun dalam hati rasa tak berapa nak masuk sangat berjumpa manusia bernama datuk datuk bagai.

Selepas terlepas ke Stesen Hang Tuah dari Sentul Timur sebab asyik bersembang dengan Am, si rakan reporter, kami akhirnya sampai di hadapan lobi. Ramai orang sedang berpusu-pusu keluar untuk menunaikan waktu makan.

Kami mengorak langkah ke The Mall mencari mapley. Tiada mapley ditemui. Di luar kaki lima, kelihatan brader-brader bersampin sedang enak mencicip kopi buatan Starbucks, sebuah syarikat francais beribu pejabat di Amerika Syarikat yang didakwa menyumbang peratusan keuntungan kepada juak Zionis di Israel. Ceh, boikot produk Israel dan Amerika konon.

Sebagai menyahut dasar Tok Det, Pandang ke Timur, kami memutuskan makan di sebuah restoran Jepun yang makanannya dimasak oleh warga asing dari Asia Selatan. Kemudian, kami berpatah semula ke destinasi tujuan dan bergabung dengan TK si fotografer.

Selepas penat berjalan sambil menunggu TK menangkap gambar itu dan ini, sekarang tibalah masa untuk kami minum. Kami keluar lobi dan terlantar lelah di meja bulat. Aku angkat punggung mahu pekena sama itu teh tarik PWTC.

Teh Tarik = RM4

Dan aku cuba kaitkan antara boikot teh tarik dan pergi pekena kopi Starbucks.

Projek Mampu Milik

Wednesday, October 20, 2010 · Posted in

Pembinaan projek pembangunan bercampur termasuk kediaman mampu milik bernilai RM10 bilion di Sungai Buloh. - Bajet 2011


Aku tak tahu RM10 bilion itu banyak mana. Tapi aku syak kalau jumlah sebanyak itu diisi dalam rumah aku, maka penuhlah ia di segenap penjuru bilik dari lantai sampai ke siling.

Perkataan projek pembangunan dan rumah mampu milik memang indah dibaca dan didengar. Rumah mampu milik adalah kata syurga bagi mereka yang miskin, baru mahu memulakan hidup dan juga kelas menengah. Projek pembangunan pula adalah kata syurga bagi mereka yang sedang meneropong mencari laba dan habuan untuk mengaut keuntungan.

Tapi, bapak menteri, beritahulah pada aku, projek pembangunan mana satukah di Malaya ini, terutama di Lembah Klang yang kediamannya masih boleh dikategorikan sebagai mampu milik?

Harga tanah, rumah, makan, sewa beli dan keperluan hidup lain akhirnya dipaksa tunduk kepada kehendak projek pembangunan. Dan tak lama lagi, muncullah spekulator hartanah yang akan membeli pukal rumah-rumah mampu milik dan menyewanya pada harga berlipat kali ganda.

Aku tak tahu sama ada orang-orang Kampung Paya Jaras dan Kubu Gajah bersedia berkongsi nasib sama dengan penduduk Kampung Baru di KL sana.

Yang Sebenarnya Kahwin (III)

Sunday, October 10, 2010 · Posted in


kahwin bukannya 'settle down'. sebab bila dah kahwin - its end your single life, but it is the begining of marriage life. - Amyz

pernah jumpa kawan 1sekolah yang tak tahan stress dan malu kerana tak kawen2 lagi. Dia telah mempalsukan statusnya di FB siap letak nama anak2 rekaannya lagi. Padahal aweks pon tak der lagi. Tu tahap desperet gilos tu.. nauzubillah - MushroomCute@Mariea

Aku tak suka bercouple. Aku tak suka budak. Aku tak rasa jeles pun tengok orang lain bercouple. Aku rasa aku kalau kahwin nanti sebabkan seks saja. - kawan aku, Pa'an (gamer kategori hardcore, true lone ranger, antisosial, rajin sembahyang)

You [men] are not our protectors.... If you were, who would there be to protect us from? - pejuang hak asasi wanita, Mary Edwards Walker


Dua komen di atas beri dua situasi berbeza mengenai apa yang akan aku bincangkan di bawah ini sebagai jawapan final buat Marquez. Satu (komen Amyz), mengenai kenapa kau patut kahwin. Dua (komen Mushroom), korang tengok, siapa cakap masalah Marquez kecik?

Di Barat, institut keluarga runtuh sebab ramai tak faham falsafah kahwin. Kahwin atau tak sama saja. Tak kahwin pun kau boleh dapat buat seks dan dapat anak. Kenapa perlu kahwin, biarkan diri kau terikat dalam undang-undang dan terpaksa pula berkelamin dengan seorang mamalia saja sedangkan kau boleh bereksprementasi tentang emosi dan biologi dengan ramai orang. Faham Barat, kahwin sekadar upacara atau adat akhir selepas kau puas atau letih melakukan eksperimen emosi dan biologi dengan orang sekeliling kau.

Kalau kau anggap kahwin dapat menyelesaikan semua masalah, kau silap. Kahwin cuma selesaikan beberapa masalah kecik kau semasa bujang saja. Tapi, selepas itu kau akan hadap masalah baru pula yang aku rasa bertambah banyak berbanding kau bujang. Cuba senaraikan masalah orang bujang dan orang kahwin. Akhirnya kau akan nampak siapa sebenarnya paling banyak masalah?

Masalah tipikal orang bujang Melayu Malaysia biasanya ialah kewangan, stres tempat kerja, nak cari pasangan, skandal awek/pakwe dan famili (mak ayah sakit, kena sara adik beradik etc.. etc..). Tolak masalah cari pasangan, orang kahwin juga mengalami masalah orang bujang. Tetapi, mereka dilambakkan pula dengan masalah tak dapat anak (rujuk kes Marquez) atau tenaga batin (bagi yang mengalaminya), stres dengan mertua/menantu, anak-anak buat hal, kirim black magic, fikir kenduri anak dan bla.. bla.. Habis tu, apa yang kau faham kahwin dalam konteks tuntutan agama?

Aku beritahu kau, kahwin memang meletakkan diri kau dalam masalah. Tapi, apa pula falsafah tuntutan berkahwin dalam agama sedangkan pada masa sama kau dibebankan banyak masalah? Kalau kau gagal jawab soalan ni, aku rasa satu hari kau akan fed up dengan perkahwinan kau dan perlahan-lahan kau mengaku berkahwin bukan perkara yang menenangkan kau selagi impian perkahwinan kau tak memenuhi garis piawaian kau (seperti dapat anak sempurna sifat, anak cemerlang (bijak dan kaya lagi soleh), hubungan seks tip top dan isteri/suami sempurna (soleh lagi tawaduk dan bla.. bla..).

Banyak masalah yang kau hadapi selepas kahwin adalah satu proses untuk menguji hakikat hidup kau sebagai manusia. Kahwin boleh saja diibaratkan sebagai sebuah negara, rakyatnya ialah suami/isteri dan dipenuhi dengan pelbagai peraturan dan undang-undang. Ia juga sekolah kehidupan kau, di mana kau dan pasangan adalah guru dan murid yang saling belajar dan mengajar.

Dengan kahwin, kau merelakan diri kau diuji! Nama pun ujian, mesti ada gagal dan sukses. Thomas Alva Edison beritahu dia gagal sejuta kali sebelum dapat cipta mentol yang kini memberi manfaat kepada berjuta-juta umat manusia. Jadi, tak ada alasan pun kau patut bermuram durja dan lama-lama bersedih jika kau gagal memenuhi maksud kahwin seperti mana yang kau faham (buat seks, dapat anak, happily ever after). Ini kerana kau sebenarnya sudah memberi manfaat kepada diri sendiri dengan membuka rahsia hakikat hidup kau.

Kahwin ialah proses menguji diri tentang tanggungjawab cinta dan politik diri antara kau dan pasangan. Kalau kau seorang sosialis, toleransi apa yang akan kau guna jika bini kau pemuja kapitalis. Kalau kau pejuang moralis, pasangan atau anak kau nanti mungkin seorang anarkis. Dalam kahwin kau akan belajar tentang banyak perkara yang tunjangnya adalah tanggungjawab dan toleransi dengan manusia lain. Kahwin menguji isme-isme yang kau pegang.

Jika kau bertuah, proses emosi dan biologi yang kau lalui dalam memenuhi proses tunjang itu akan menemukan kau dengan akar atau hakikat hidup kau sebagai manusia, iaitu cinta dan kesunyian yang akan membawa kau kepada hakikat pencipta.

Kata Maulana Rumi, “This is love: to fly toward a secret sky, to cause a hundred veils to fall each moment. First to let go of life. Finally, to take a step without feet.”

Yang Sebenarnya Kahwin (II)

Wednesday, October 06, 2010 · Posted in

“Perkahwinan itu memang perlu bagi sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah perintah-Nya. Aku tidak mempunyai apa-apa pun.” - ahli sufi, Rabiatul Adawiyah

Aku sambung lagi pasal kahwin. Sebenarnya memang seronok bercerita pasal kahwin. Tahu tak kenapa manusia seronok bercerita pasal kahwin? Ini kerana apabila kita menyebut tentang kahwin, kita tak dapat lari daripada mengaitkannya dengan seks. Macam aku kata dalam entri sebelum ini, ia fitrah mamalia.

Kalau tak, tak mungkin kisah kahwin, cerai, skandal seks, cerita dari kamar mahkamah syariah dan soal jawab bersama doktor batin menjadi faktor nombor wahid yang dapat melariskan jualan sesebuah akhbar selain cerita pasal mati dan hantu.

Sebenarnya, aku senyum saja kalau ada yang beri jawapan kaitkan kahwin dengan membina kehidupan bahagia dalam perjalanan menuju negeri abadi. Come on, itu jawapan standard STPM.

Sengaja aku tinggalkan jawapan dalam bentuk soalan untuk cetus provokasi pembaca. Sebenarnya, tak ada salah pun semua jawapan bagi soalan yang ditanya. Cuma aku tercari-cari jawapan berbentuk filsafat yang mungkin ada persamaan dengan apa yang aku faham. Tapi rata-rata komen lebih kepada maksud harfiah yang mana kau sendiri boleh baca dalam buku fardu ain kaler hijau tulisan Ustaz Sulaiman Endut (aku beli daripada jurujual jalanan).

Secara umum, jawapan komen pembaca (bagi soalan: untuk apa kau (Marquez) kahwin sebenarnya?) adalah:
1. mahu berteman/berkasih sayang/mengadu nasib.
2. tuntutan agama (sunnah/kerana Allah).
3. tambah zuriat.
4. silaturahim.

Kalau berkahwin untuk berteman, berkasih sayang dan mengadu nasib, apakah mesti kita berkahwin? Apakah berkahwin memenuhi keperluan berteman, berkasih sayang dan mengadu nasib kau? Tengok sekeliling, berapa ramai suami yang mengaku bosan di rumah. Berapa ramai suami prefer tengok bola dengan kawan berbanding layan bini di rumah? Berapa ramai? Jadi, untuk apa kau kahwin?

Kasih sayang? Cinta? Bagi aku, kasih sayang ibu bapa lagi pure sebab tak ada hukum Tuhan di segi zahir yang mengikat kita. Kau tak boleh ceraikan mak ayah kau (di segi lafaz atau material) kalau tak puas hati atau tak sebulu dengan diorang. Dalam drama Melayu, mak ayah yang bengang dengan anak yang derhaka akan cakap,"Mulai sekarang kau bukan anak aku lagi. Nyah kau dari sini!" Tak ada pula aku tengok drama Melayu mak ayah sebut,"Kau memang derhaka. Esok bawa dokumen, kita pergi mahkamah aku nak ceraikan kau sebagai anak aku. Esok jangan harap kau akan berbinkan aku lagi!"

Tapi kalau kau suami isteri, masing-masing boleh cerai/fasakh/taklid/mut'ah bergantung kepada syarat dan situasi tertentu. Cinta dan kasih sayang dalam kahwin boleh diputuskan. Cinta dan kasih sayang seorang ibu dan ayah kepada anak atau sebaliknya tidak dapat diputuskan. Jadi, untuk apa kau kahwin?

Tambah zuriat? Aku tak nafikan majoriti yang kahwin memang nak dapat anak atau zuriat. Siap berbangga lagi kalau dapat buntingkan bini secepat mungkin. Bagi si isteri yang tak dapat beranak dengan secepat mungkin, mereka mula stres. Dan air mata pun berguguran melihat kebahagian pasangan lain yang punya anak yang comel. Apatah lagi kebahagiaan itu dikombokan dengan kereta besar dan banglo mewah. Tapi, kalau semua itu kau tak ada (rujuk kes Marquez), apakah kau akan minta bini kau izinkan kau kahwin satu lagi? Dulu bercinta bukan main, you are the only one! Kalau kau perempuan, korang pasrah ke suami korang kahwin lagi sebab tak dapat beranak? Jadi untuk apa kau kahwin?

"Itu semua ketentuan dan ujian-Nya. Tuhan tak bagi lagi rezeki tu nak buat macam mana? Mungkin rezeki anak takde, tapi Dia bagi rezeki kat lain. Mana kita tau." - kata seorang brader yang cuba menenangkan masalah Marquez.

Kalau kau di tempat Marquez, kau rasa tenang ke dengar ayat-ayat atas tu. Silap-silap kau akan cakap balik, "Aku tau la semua tu ujian. Tapi, kau apa tau. Kau tak pernah jadi macam aku." Kalau aku cakap benda sama kat Marquez, confirm dia cakap, "Kau apa tau, kau tak kahwin lagi."

Jadi, jawapan di atas tak dapat selesaikan dan legakan hati Marquez pun. Sebab kau, Marquez tak tahu sebab apa kau kahwin?

Yang Sebenarnya Kahwin

Sunday, October 03, 2010 · Posted in

"Kekayaan, kebahagiaan rumah tangga, semua datang daripada Allah, bukan daripada bapak" - Syawal, Ahmad Albab (1968)

.
.

haha..biasa la tu lumrah manusia suka brtanya..yg bujang kene tanya bile nk kawin..yg dh kawin kene tanya bile nk dpt anak..yg dh ad anak kene tanya bile nk dpt cucu lak..kui3 -
nurAddin

.
.

Bro, Marquez.

Selepas seminggu berfikir (yelah tu) dan merujuk respon pembaca, akhirnya aku dapat satu jawapan kepada masalah kau. Aku tak tahu sama ada jawapan ini dapat bantu selesaikan masalah kau atau tak. Sebab tak semua masalah dalam dunia ni dapat diselesaikan walaupun jalan penyelesaiannya ada.

Kalau tanya ustaz-ustaz, kahwin ni ada beberapa hukum. Harus (standard). Sunat (tak ada apa-apa masalah dan kahwin). Wajib (untuk yang tak tahan/gatai etc..). Makruh (aku rasa kau masuk kategori ni). Haram (memudaratkan diri atau suami/isteri). Tapi aku tak nak ulas panjang pasal kategori agama ni.

Biasanya, jawapan standard yang diberi apabila ditanya kenapa nak kahwin ialah: "Yelah. Itukan fitrah manusia. Mahu berpasang-pasangan. Ada nafsu. Mahu dapat baby." Walhal, secara peribadi, aku anggap jawapan utama bagi mereka yang nak kahwin ni adalah untuk memenuhi tuntutan nafsu secara sah. Kerana inilah yang dinamakan fitrah mamalia.

Tapi bila kau cakap, kau kahwin sebab tak tahan ditanya soalan (bila nak kahwin?), aku boleh kategorikan kes kau ni sebagai unik dan berbahaya. Bayangkan bila kau dah tua ganyut dan orang sekeliling tanya kau, bila nak mati? Apakah ketika itu kau akan ambil keputusan untuk mati?

Sebenarnya, tak perlulah kau berasa stres kerana ramai lagi umat Melayu yang mengalami masalah sama dengan kau. Aku sendiri pun. Malah, ia juga berlaku dalam masyarakat lain. Di India, ada tradisi mengahwinkan anak mereka sejak kecil lagi. Boleh kau bayangkan kau dikahwinkan sejak kecil? Masa kecil memanglah semua comel-comel saja. Apabila besar, siapa sangka si comel boleh bertukar menjadi monster (contoh). Ketika itu apakah kau sanggup memenuhi fitrah mamalia kau?

Kau rasa kenapa tradisi macam ni berlaku? Struktur sosial sesebuah masyarakat, bro. Ini banyak berlaku dalam satu-satu komuniti yang ada sejarah feudal yang lama, negara-negara dunia ketiga tentunya, termasuk Malaysia.

Status diri bukan lagi dilihat kepada apa sumbangan kau kepada manusia sejagat, tetapi siapa isteri/suami kau, berapa besar kereta/rumah kau, berapa banyak duit kau, berapa tinggi pangkat dan kuasa kau, berapa ramai anak kau dan berapa ramai isteri kau? Seolah-olah kita dilahirkan ini untuk berlumba-lumba memenuhi keperluan individualistik masing-masing. Lepas tu, ada hati pula cakap, kita ni lahir untuk menjadi khalifah di muka bumi. Ceh.

Aku tidaklah mahu menyarankan kau melempang orang yang tanya soalan-soalan tipikal Melayu tu. Kerana masalah hidup takkan selesai hanya dengan melempang. Bayangkan pak-pak menteri kita, kerajaan dan pembangkang, pakat-pakat melempang lawan masing-masing kerana sakit hati dengan soalan tipikal dalam Dewan Rakyat. Kawan, hidupkan lebih daripada sekadar pelempang.

Aku cuma mahu menyedarkan kau tentang hakikat betapa sepanjang hidup ini, kita memang sudah perlu bersiap sedia menghadapi beberapa soalan tipikal. Sejak di bangku sekolah, kita sudah perlu menghadapi tiga soalan besar, iaitu berapa result UPSR, PMR dan SPM kau?

Dulu masa sekolah, aku mengaku pernah high volume dengan mak aku (dulu mak seorang yang energetik) sebab selalu cerita result periksa anak orang lain. Aku rasa stres dan bad mood dan marah. Dan masa tu (dan mungkin sekarang pun) aku rasa, orang tua sememangnya sampai bila-bila pun dilahirkan untuk tidak faham orang muda.

Tapi bila kau dah lama mengenal hidup, sepatutnya setiap persoalan itu sudah dapat kau hadapi dengan hati yang terbuka dan menggembirakan. Dan satu hari, bila mak tanya, "Bila lagi? Dah ada sapa-sapa ka?" Aku jawap, "Ada, tapi dia negro. Kulit hitam gila. Tapi dia orang Islam." Mak jawab, "Hishh.. Ketahuan sikit aih." Hidup jangan serius sangat, beb.

Akhir sekali, aku akan jawap masalah kau dengan soalan juga. Tanya balik diri kau, untuk apa kau kahwin sebenarnya? Jika jawapan kau kerana fitrah mamalia, apa jadi perkahwinan kau bila nafsu kau sudah mula mengendur dan senjata kau sudah tidak lagi menegang? Kalau jawapan kau untuk dapat anak, apa jadi perkahwinan kau bila doktor sahkan kau atau isteri kau mandul? Kahwin lebih daripada dua soalan tu. Jadi, untuk apa kau kahwin sebenarnya, kawan?

Powered by Blogger.