Archive for March 2011

Pengalaman pulang kerja menaiki komuter

Monday, March 28, 2011 · Posted in ,

Kawan aku, Jarul baru dapat kerja KL. Kesesakan ibu kota membuatkan dia terpaksa menggunakan khidmat pengangkutan awam. Naik komuter di Sungai Buloh dan bertukar tren di KL Sentral untuk ke KLCC.

Suatu hari dia balik sambil memaki hamun dan mencarut.

"Tren penuh gila!"

"Penuh macamana?" Tanya aku.

"Kau tau sardin dalam tin kan. Kau ambil lagi satu tin kau buka. Kemudian kau masuk dalam tin tadi. Ubah gaya hidup apa macam ni? Macam setan!!"

.
.

Spontan kepala otak aku keluarkan hologram menteri berkhutbah, "Syukurlah, sekurang-kurangnya kita lagi bagus daripada India!!

Rebiu: Hikayat Merong Mahawangsa

Thursday, March 24, 2011 · Posted in

"Sampai masa tibanya waktu.. Redup hati kamu berdua.. Bila dua jasad bersatu.. Hidup mati jadi bersama.."

Ini sikit rebiu pasal Hikayat Merong Mahawangsa (HMM).

Ada beberapa perkara menarik yang patut dipuji tentang HMM walaupun mungkin sesetengah orang menganggap filem tempatan kedua termahal itu (selepas Puteri Gunung Ledang) biasa-biasa saja.

Tapi dengan bajet cuma RM8 juta atau jika ditukarkan kepada dolar Amerika cuma bernilai AS$2.6 juta, penghasilan filem tersebut dengan kesan CGI yang boleh tahan, ia sebenarnya mampu membuatkan sesiapa saja angkat kening dan cakap 'not bad'.

CGI dalam HMM tidak sempurna tapi dalam tidak kesempurnaan itu, Yusry selaku pengarah bersama Mohd Nor yang menjaga hal ehwal sinematografi berjaya mewujudkan kesan drama skala besar, iaitu antara elemen penting yang bagi aku patut ada dalam sesebuah filem epik.

Gerak kamera yang pantas dan rajin membuatkan adegan perang dalam HMM tidak nampak lengang seperti dalam filem Leftenan Adnan Saidi (2000) yang mana Jepun menyerang rejimen Adnan dengan kekuatan askar sebanyak dua bas sekolah saja. Sudut kamera yang rendah dan mendatar dalam HMM menghasilkan perang antara puak Geruda dan geng Merong nampak real, kalut dan penuh huru-hara.

Cuma aku agak terganggu dengan beberapa efek tempur ala Cicak Man. Ia akan jadi menarik kalau si putera Rom, Marcus (Gavin) bertempur dengan Kamawas dengan menggunakan gusti Roman, Laksamana Liu Yun (Craig Fong) menggunakan kungfu Shaolin dan Merong (Stephen Rahman Hughes) pula bersilat sambil berkalari payat (yang dipelajarinya di Goa). Celah mana orang Rom pandai bertumbuk tendang bagai?

Namun, kekuatan sebenar HMM terletak pada lakon layarnya yang ditulis Amir Hafizi, iaitu tentang etos raja dan meritokrasi (menurut intepretasi aku).

Tentang etos raja, Merong tidak seperti Parameswara, si pelarian dari Temasek yang berlebong tentang seekor kancil menumpaskan anjing-anjingnya di bawah pohon Melaka. Sebaliknya, Merong menipu Marcus bahawa dia keturunan Alexander hingga membuatkan putera Rom itu menawarkan kerakyatan Rom kepadanya dengan syarat dia tunjukkan jalan ke Golden Khersonese (Semenanjung Emas) untuk meminang Puteri Meng Li Hua (Jing Lusi). Kepintarannya memperdaya angkatan Rom berjaya membuatkan dia 'merdeka' sebagai tawanan Goa, menjadi warga Rom dan dapat pula peluang pulang ke kampung halaman.

Tentang meritokrasi, Merong menjadi raja bukanlah dengan melebong rakyat, apatah lagi merasuah Pak Kesum (Rahim Razali) supaya melobinya menjadi raja walaupun dalam vision orang tua itu dia adalah Messiah yang akan menyelamatkan Golden Khersonese. Tetapi, Merong meraih reputasi sebagai raja dengan mengalahkan pahlawan-pahlawan paling handal di dua kampung yang saling bersengketa. Malah, dia menyatukan penduduk kedua-dua kampung untuk bangkit menentang Geruda.

Ketika Merong mengorbankan dirinya untuk membunuh Taji (Wan Hanafi Su) , di situlah kemuncak kepada etos raja yang menyebabkan wujudnya konsesi raja-rakyat di Tanah Melayu yang mana pengorbanan mulia Merong itu dibalas rakyatnya dengan mengiktiraf kerajaan beraja dari susur galur keturunannya. Bagaikan pengorbanan Jesus (mengikut faham Kristian) yang merelakan dirinya diseksa dan disalib yang menjadi etos kepada pengikutnya melancarkan gerakan misionari seluruh dunia.

**Tambahan - Mungkin juga Merong kena lebong dengan mak dia (Umi Aida) bahawa dia keturunan Alexander supaya semangat naik sikit. Orang Melayu ni kalau cerita pasal ada darah pahlawan-pahlawan ni lain macam sikit dia punya sheikh.

10 aneka soalan dijawab

Friday, March 18, 2011 · Posted in

Teh tarik sedap adalah lambang keunggulan sebuah kedai makan


Famia said...
1. Di antara kedai mamak dan kedai kopi high class... yang mana lagi selesa dan sesuai untuk dilepak berjam-jam oleh anda?
Macam tau saja ada dua tempat makan yang selalu aku lepak. Hahaha. Tapi, aku tak pastilah kalau lepak kopitiam (macam Old Town, Pak Li Kopitiam, Bangi Kopitiam, Papa Rich) boleh dikategorikan sebagai kedai kopi high class. Sebab bagi aku, berdasarkan purata harga makanan di Lembah Klang, semua kopitiam yang aku sebut tu masih jatuh dalam kategori sederhana. Tak murah dan tak adalah mahal sangat (kecuali Starbucks-tapi kopi dia sedap sungguh). Macam restoran fast food juga. Ok, aku tak jawab soalan pasal mana lagi lama, selesa dan sesuai dilepak.

Pasal lepak lama, aku pilih kedai mamak sebab kalau nak tambah minum atau makan, aku boleh terus order dengan yakin. Tapi, kalau nak tambah order di kopitiam, kepala otak aku automatik keluar kalkulator hologram. Hahaha.

Pasal selesa, aku pilih kopitiam. Tandas dia bersih dan kawasan pun rileks. Sesuai untuk aku rehatkan minda, hilangkan stres atau siapkan kerja ofis.

Pasal sesuai pula, ia ikut keperluan dan tuntutan. Kalau nak lepak dengan kawan yang ramai (yang terdiri daripada pelbagai kelas kerja dan pemikiran), sudah tentu mapley jadi pilihan berdasarkan kesesuaian harga dan boleh tambah order dengan senang hati. Mamak juga jadi pilihan kalau mau tengok bola dan tetiba rasa lapar pagi-pagi buta. Kopitiam lebih kepada apa yang aku sebut di atas tadi. Rileks, layan blues dan berlagak cool. Cait.

2. Adakah hampir semua lelaki tahu asas seni pertahanan diri? Atau sekurang-kurangnya mempunyai sedikit pengetahuan dalam mempertahankan diri sendiri jika diserang.
Nak kata hampir semua lelaki tau asas pertahankan diri tu tak. Tapi hampir semua lelaki memang ada kecenderungan dan minat ke arah benda tu atau apa saja yang ada unsur-unsur pergelutan dan pergaduhan. Seperti teruja menonton filem aksi, gusti, sukan lawan-lawan dan ada unsur pergaduhan. Ya, boleh kaitkan dengan testosteron.

Pasal pengetahuan dalam pertahankan diri jika diserang aku lebih suka kaitkan dengan adrenalin. Semua orang ada hormon tu. Maknanya, jika ada orang nak tumbuk, secara automatik kita akan cuba tepis. Kalau kena kejar Rottweiler, kita akan lari. Hahaha. Cuma dalam martial arts, kita diajar supaya bertenang, berfikir dan buat keputusan tepat. Tapi bila berdepan sendiri aksi real, benda-benda macam tu memang susah nak buat.

3. Pada pendapat anda, bagaimanakah politik yang sebaiknya mengikut landasan Islam?
Pendapat aku, politik mengikut landasan Islam mesti datang dulu dengan dakwah. Dakwah ni kena ada ilmu dan mesti disampaikan dengan kebenaran dan kesabaran. Bukan dengan cara menakut-nakutkan orang, tangkap orang sana sini, anti kanak-kanak, anti orang muda, anti perempuan, anti hiburan, anti seni tapi bila berdepan dengan pemerintah korup, ok!

4. Adakah anda seorang pesimis atau optimis?
Atas apa yang aku pernah alami, aku mengaku aku pesimis dalam banyak perkara.

5. Adakah anda sudah mampu untuk membeli sebuah rumah?
Mampu tu mampu, tapi dada rasa ketat juga berfikir untuk ansuran sampai ke tua.

6. Apa pandangan anda tentang wanita memakai legging?
Itu cita rasa masing-masing. Masalahnya, banyak fesyen legging yang dipakai kaum wanita kita sesuai untuk bersenam robik, padahal diorang pergi bershopping di One Utama. Dalam fesyen legging, ia cantik jika dikenakan dengan blaus labuh atau skirt untuk tutup bontot, cuma tayang paha dan betis. Tapi, banyak pula aku tengok perempuan berlegging baju singkat yang tayang bontot dan secara tak langsung mendedahkan lurah bontot diorang. Lagi satu, legging memang tak sesuai untuk cuaca panas di Malaysia, sama macam pakai kot atau spek hitam dalam shopping complex.

7. Sebutkan codename Windows 7, Windows XP dan Windows Vista.
Serius aku baru tau lepas Google tadi. Sebelum ni dalam famili XP, aku cuma tau Service Pack (SP) 1, SP2 dan SP3. Pasal Windows 7 dan Vista aku angkat bendera putih.

8. Jelaskan takrifan Hijrah mengikut pandangan anda.
Pandangan aku sama saja macam jawapan tipikal buku teks kot. Di segi makna, ia merujuk kepada hijrah Nabi Muhammad dari Mekah ke Madinah. Di segi bahasa, berpindah dari satu tempat ke satu tempat baru. Contoh, Safee Salee akhirnya berhijrah ke Pelita Jaya FC.

9. Berdasarkan pemerhatian anda, kebiasaannya perempuan yang mempunyai rupa paras yang menarik pasti memperoleh pasangan yang kurang berupa dan begitu juga sebaliknya. Setuju atau tidak.
Setuju. Ok, macam ni. Jika kau lawa dan ada pakwe hensem, kau cuba jawab, kau percaya dia tak dan kau rasa hidup kau tenteram tak bila dengan dia?

Aku lihat situasi ni ada kena mengena dengan dua faktor tu. Apa guna kau ada pakwe hensem tapi asyik syak dia ada skandal, selalu jeles bila nampak dia sembang dengan perempuan lain (tambah lagi perempuan lawa walaupun cashier). Lepas tu kau pula kuat membebel, minta itu ini, suara bingit dan etc.. Sebab itu pakwe hensem kau akhirnya berfikir, lebih baik aku kapel dengan awek biasa-biasa saja. Janji dia percaya aku dan buat hidup aku tenteram. Perempuan lawa pun akan fikir benda sama.

10. Tanpa melihat kalkulator, apakah butang yang terdapat pada sebelah kiri nombor 9?
Aku rasa 8. Betul tak ni?

Yang sahih dan tak sahih

Tuesday, March 15, 2011 · Posted in ,



Anonymous said...
Apa kesahihan kes anwar dan saiful? ada kaitan dgn pilihanraya yang akan dtg?

Serius aku tak ikut sangat pun pasal kes Anwar kecuali berita dia jadi tajuk utama dalam surat khabar dan berita. Itupun sebab terbaca, tertonton atau terdengar. Kalau baca surat khabar, aku biasanya akan skip cerita politik dan lompat ke bahagian sukan, global, rencana dan ruangan sisipan yang ada cerita sains atau sejarah atau orang sekeliling, termasuk kartun.

Tapi kalau pasal anak dia, Nurul Izzah atau mana-mana ahli politik muda, memang aku baca lebih sikit. Sebab dia mewakili generasi aku dan orang muda. Tambah-tambah lagi sejak dia kata dia minat Radiohead dan bukan Maher Zain. Takkan nak harap Ibrahim Ali? Hahaha.

Tentang kesahihan kes Anwar dan Saiful aku tak tahu. Itu kerja mahkamah. Banyak spekulasi aku dengar. Tapi bagi aku, isunya bukan Anwar sohih meliwat atau tak, tapi ketelusan mahkamah selaku badan adil dan bebas. Macam kes 1998 dulu, kalau kau tanya mana-mana budak Law, ia antara kes yang tak boleh dibuat rujuk langsung sebab celaru amat. Apabila mahkamah sudah tak ada kredibel, kau nak harap persepsi positif apa lagi dari orang ramai? Macam isu polis jugaklah, cuba kau tanya setiap orang, apa persepsi diorang pasal polis? Sebab apa persepsi orang ramai terhadap polis negatif? Dan tolong jangan cakap sebab kes mata lebam Anwar.

Itu baru kes Anwar yang ada duit banyak dan boleh rekrut Karpal Singh. Kes-kes mahkamah syariah yang bertahun-tahun tak selesai apa cerita? Ada kes isteri digantung tak bertali lebih 10 tahun kau nak cakap apa? Benda-benda macam ni tak mau demo. Lepas tu terpampang tajuk Metro, 'isteri khalwat dengan teman lelaki', pakat-pakat mengutuk si perempuan. Padahal syok tengok gambar perempuan berkain batik bersimpuh atas katil. Senanglah kau berfantasi macam-macam.

Pasal kaitan dengan pilihan raya akan datang memang ada kaitan. Logiknya mudah, sebab Anwar dari parti pembangkang. Kalau nak disentuh pasal isu moral dan akhlak mulia lagi suci murni, banyak lagilah pak-pak menteri kita buat semua benda tu. Jangan tipulah.

.
.
.

Betul ke sebenarnya klu isu politik ni orang yang berkenaan iaitu pemimpin spt BN,PKR dsbnya ni sebenarnya xde masalah di antara mereka cuma apabila adanya pilihanraya saja dorg ni caci-maki, hina-dina,mengeji-mengata hentam-menghentam sesama sendiri sebenarnya atas dasar keje(politik) jer?

Aku tak nafikan juga. Kalau nak tahu lebih jelas boleh turun Parlimen tengok sendiri. Memang ada geng pembangkang pekena teh sekali dengan kerajaan. Tapi bila tengok muka memang sorang-sorang nampak plastiklah. Hahaha. Macam main bola juga. Ada kawan kita main untuk pasukan lain. Kena pula dia menang cup, kita pula terkulat-kulat mengidam tak dapat-dapat. Tapi kawan tetap kawan la.

Pasal pening mau pilih yang mana satu

Friday, March 11, 2011 · Posted in

rinz raime said...
boleh tak ulas sikit pasal hal2 politik nih.. aku pening nak pilih mana satu benda yang betul..
baca tukar tiub pun pening, tah ada yg betul tah ada yg tak betul,
tengok tv berita pun ragu2, bunyi mcm nak membodek kerajaan yg amat je..
baca harakah pun konpius jugak, mcm banyak auta putar2 dari fakta...
baca suratkhabar perdana pun pening, asyik menyokong pihak kerajaan dan perkena pihak pembangkang je..
so, bolehkan saudara kelambu mengulas kes-kes politik ini dengan jujurnya tanpa ada cerita2 tersembunyi..
dan lagi satu, tolong komen sikit pasal saman2 nih.

Macam blog politik pula tanya aku bab-bab politik ni. Sepatutnya bagi korang yang keliru mau pilih mana satu (parti politik), sepatutnya hantar e-mel atau jumpa mana-mana pemimpin dua belah parti politik dan dengar hujah diorang serta tanya apa yang terbuku di hati tentang kenapa korang patut pilih parti diorang. Kemudian pilihlah mana berkenan ikut tahap kepuasan masing-masing dan mana yang lebih 'in'. Simple. Tapi itu bagi korang yang melihat politik di segi kepartian la.

Tapi bagi aku yang mendokong mazhab 'cinta' dan 'trust nobody', aku tak pernah meletakkan orientasi politik aku kepada mana-mana parti walaupun jiwa dan fikiran aku ni jenis menentang. Untuk lebih jelas, menentang di sini bukanlah bermaksud menjadi ahli parti pembangkang.

Sebab bagi aku, kalau aku meletakkan diri aku dalam mangkuk kepartian, aku ada satu perasaan macam dijajah di segi pemikiran dan jiwa. Aku tak suka orang kawal minda aku dan takut-takutkan aku dengan benda yang tak nampak dan dibuat-buat. Aku juga benci orang yang mengajar tentang benci. Sebab sepanjang hidup, aku sudah letih dikelilingi dengan orang yang penuh dengan rasa benci dan dendam.

Sepanjang aku sekolah, majoriti cikgu aku menjadikan benci sebagai subjek untuk menaikkan semangat belajar dan patriotisme kenegaraan. Masalahnya, kebencian itu ditujukan dalam bentuk kotak perkauman dan keagamaan dan bukan penindasan dan kezaliman.

Cuma dua cikgu saja yang mengajar aku tentang cinta dan bencikan penindasan. Pertama, cikgu sejarah aku, Cikgu Rozaidi@Roland (dia orang Serani, Melaka) yang Melayunya kental, tapi kuat mengkritik korupsi Sultan dan pemerintah Melayu dulu. Kedua, cikgu bahasa Inggeris aku, Sir Quah yang selalu ajarkan aku tentang berhati baik dan cintakan Tuhan tanpa sedikitpun menyebut tentang Jesus dan ayat Bible.

Sekarang, kau tengoklah berapa ramai kalangan kita hidup dengan membawa isme yang mensinonimkan penindasan dan kezaliman dengan satu-satu kaum. Contohnya, Melayu suka buli kaum lain, Cina kuat menipu, India tak boleh percaya, semua Yahudi jahat atau semua Islam pengganas.

Jadi, apa yang mahu diharapkan dengan bapak-bapak menteri kita? Diorang sama macam kebanyakan cikgu-cikgu aku saja yang gunakan benci untuk menaikkan patriotisme dan sokongan terhadap parti diorang. Tapi kalau kau lihat realiti (bukan realiti surat khabar), betul ke diorang tu pejuang Melayu atau pejuang rakyat atau pejuang Islam? Realiti hidup kita ni di mana? Siapa yang tentu dan aturkan hidup kita?

Kalau dipilih mahu percaya siapa antara Harakah, surat khabar perdana atau Tukar Tiub, aku lebih percayakan Tukar Tiub. Sebab aku rasa dia macam serpihan anarkis dalam jiwa aku yang tak mampu aku buat dalam hidup aku yang real. Jangan hanya baca kata lancau dan puki yang dia tulis. Lagi penting, dia tak jual integriti.

Kalau pasal parti, aku fikir hidup aku lebih aman kalau tak memilih.

Pasal saman nanti aku buat entri khas. Nak jawab soalan lain dulu. Heh.

.
.
.


Ellie Best said...
apa keistimewaan encik kelambu yang tak ada pada orang lain?

p/s: kena jawab tidak kurang daripada 100 patah

Sebenarnya tak pernah perasan pun ada apa-apa keistimewaan yang tak ada pada orang lain. Cuma orang lain yang boleh jawab apa keistimewaan aku. Kalau nak banding dengan rakan-rakan akrab aku, mungkin aku boleh cakap aku ni ada sikit kelebihan menulis. Tapi kalau kau seorang pembaca blog tegar, kau akan jumpa ramai penulis blog hebat. Lagi hebat daripada aku dan penulis-penulis yang menulis dalam media arus perdana.

Powered by Blogger.