Archive for April 2012

Bahagia dan sengsara

Wednesday, April 25, 2012 · Posted in , , , , ,


Untuk mencari bahagia kita perlu terlebih dahulu mencari sengsara.

Macam cili, ia pedas, tetapi kita tak kisah pun walaupun sampai mengalir air mata dan menjelir lidah. Ini kerana dengan kepedasan itulah kita meraih nikmatnya makanan.

Tapi, dalam hidup, kita takut sangat merasai sengsara. Kita rasa selesa dan cukup seadanya dengan hidup kita yang ok.

Dan kita cipta pepatah, rezeki secupak tak akan jadi segantang.

Pasal pendidikan dan percuma

Thursday, April 19, 2012 · Posted in ,


Kadang-kadang kita lupa, dulu ketika bumi ini belum lagi menjadi benua-benua, pendidikan itu percuma. Allah mengurniakan alam sebagai guru kepada moyang-moyang purba kita. Mereka belajar tentang membuat senjata, memburu, bercucuk tanam dan mendirikan tempat tinggal.

Hasil daripada pendidikan percuma itu, lahirlah beberapa individu yang punya beberapa kelebihan berbanding individu lain. Ada yang pandai membuat senjata, ada yang mahir memburu, ada yang bijak bercucuk tanam dan ada yang pakar mendirikan tempat tinggal.

Di sini, manusia mula faham tentang batas ilmu dimiliki mereka, betapa mustahil seseorang manusia itu menguasai semua cabang ilmu. Justeru, konsesi berlaku dan mereka belajar berkongsi. Aku buat senjata untuk kau, kau pergi memburu untuk aku. Kau tolong aku buat senjata, aku tolong kau pergi memburu.

Pada 385SM, manusia Greek bernama Plato menubuhkan Akademia di Athens, Greek, yakni institut pengajian tinggi pertama di dunia Barat yang menjadi asas kepada perkembangan sains dan falsafah di Barat dan dunia amnya.

Namun, lama sebelum Akademia ditubuhkan, guru Plato adalah Socrates, ahli falsafah yang memilih untuk mati minum racun kerana mempertahankan intelektual dan kebenaran yang dipercayainya. Dan selepas Socrates, setiap ilmuwan yang mati kerana mempertahankan intelektual dan kebenaran pasti menjadi legenda yang dikenang.

Jangan lupa, tidak jauh dari rumah kau, ada tempat bernama Gerik (disebut Grik) di Perak. Mungkin itulah alasan paling tidak mitos untuk membuktikan tentang Iskandar Zulkarnain dan askar-askarnya pernah mendarat di sini dan melahirkan keturunan raja-raja Melayu yang kemudian dimuliakan manusia-manusia sebelah rantau sini melebihi nabi mereka sendiri (ok, abaikan paragraf antiplot ini).

Dan daripada Akademia inilah terwujudnya asas kepada ilmu-ilmu moden yang membantu manusia membina tamadun. Karya-karya Greek (atau Yunani) ini jugalah yang dikaji sarjana Arab dan Parsi hingga mencetuskan zaman keemasan Islam di Baghdad pada abad pertengahan.

Imam Syafii ketika berkelana dari Mekah ke Madinah untuk menuntut ilmu dari Imam Malik diriwayatkan menggunakan lidi yang dicelup air liur untuk menulis nota-nota kitab Muwatta' karangan Malik.

Malik merasa sungguh jelik dan pelik dengan perbuatan Syafii dan bertanya: "Apa hang buat tadi?"

Syafii jawab, "Aku menulis nota wahai guru"

Malik pun datang tengok tapak tangan Syafii dan dakwat air liur yang ditulis sudah kering. Tapi, belum sempat Malik fikir bukan-bukan, Syafii sudah terlebih dahulu hafal dan baca semula apa yang diajar Malik.

Bermula sebatang lidi dan air liur, Syafii kini adalah imam besar dalam kalangan umat Islam mazhab Sunni. Dan di sebalik kesarjanaan itu ialah tiada riwayat mengatakan Imam Malik mengenakan yuran pengajian untuk kuliah-kuliahnya.

Namun, apabila dunia menginjak moden dan tanah mula dipetak-petakkan dengan nama negara, pendidikan mula menjadi eksklusif.

Pada zaman Abbasiyah, jika kau dari Rom, kau masih boleh ke Darul Hikmah di kota Baghdad dengan berbekalkan semangat dan seekor kuda untuk menuntut ilmu. Pada zaman Melaka, Hang Tuah belajar silat dengan Adiputra di Gunung Ledang dengan berbekalkan sampan dan keris.

Namun, jika sekarang kau mahu belajar kejuruteraan di Jerman dengan berbekalkan semangat dan seekor kuda atau sampan dan keris, kau bila-bila masa boleh saja tercampak di penjara Guantanamo atau mana-mana pusat sakit mental sekitar Eropah atas dakwaan pendatang haram atau pengganas muka coklat yang tidak waras.

Jadi, manusia moden hari ini mula belajar satu perkara, seperti difahami Dr M, pendidikan percuma itu adalah fiksi semata-mata.

Namun, kadang-kadang kita lupa, dulu ketika bumi ini belum lagi menjadi benua-benua, pendidikan itu percuma.  Allah mengurniakan alam sebagai guru kepada moyang-moyang purba kita. Mereka belajar tentang membuat senjata, memburu, bercucuk tanam dan mendirikan tempat tinggal.

Pasal Twister

Monday, April 16, 2012 · Posted in , , , ,


Ayie cakap dia nampak seekor anjing hitam gigit dan lambung Twister  tinggi sebelum terkam dan ratah kucing tu. Aku tak tau sama ada Ayie membesar-besarkan cerita untuk kesan lebih dramatik. Tapi apa yang aku perasan jantung aku sedang berderau.

Jauh di tengah padang mainan, aku nampak perut Twister kembang kempis. Dia nampak macam nazak dan mata dia terkebil-kebil sambil mulut cuba mengiau tapi tak ada sebutir suara pun keluar sebab sakit sangat.

Kalau Twister lari panjat pokok atau terjun longkang, dia tak akan kena terkam dengan Hitam. Tapi, sebagai kucing yatim, mungkin dia tak tau spesies anjing tu musuh. Mungkin Twister ingat anjing tu datang cari tilam atau surat khabar lama.

Dari dekat aku nampak kesan gigitan Hitam di peha Twister. Bila aku cuba angkat, badan Twister rasa lembik semacam, seperti papah orang lumpuh dengan kaki meleret tak bermaya (tapi sebenarnya aku tak pernah pun angkat orang lumpuh).

Kami lapik Twister dengan kain buruk dan letak dalam pagar surau. Aku ambil air, tuang atas tapak tangan dan titis dalam mulut Twister. Orang cakap, kita akan jadi cepat haus bila sakaratul maut.

Sebab risau Hitam patah balik untuk makan Twister, kami pindahkan dia ke tepi tangga. Kami mula rasa bersalah sebab biarkan Twister sakit macam tu.

Kami patut hantar dia pergi klinik. Tapi mana ada klinik haiwan buka malam-malam buta macam ni. Jadi kami buat keputusan balik rumah dan buka Internet untuk cari klinik haiwan terdekat. Ada satu di KL (aku tak ingat di mana) dan aku cadang bawa Twister pergi klinik esok.

Esok pagi sebelum pergi kerja, aku tengok Twister sekali lagi. Mata dia penuh tahi dan hidung dia ada kesan hingus dan darah kering. Mungkin organ dalaman dia sudah dijangkiti kuman. Dia nampak macam kritikal sangat.

Aku baca doa dan hembus atas ubun-ubun Twister. Matanya menipis, seakan pasrah yang aku takkan ambil MC semata-mata untuk bawa dia ke klinik haiwan. Dia macam  bercakap, pergilah kerja, tak payahlah risaukan aku. Aku tau jaga diri.

Aku rasa bersalah gila. Sepanjang hari semua kerja aku buat jadi huru-hara. Aku terbayangkan, aku kena serang dengan gengster (orang Nigeria) dalam dunia kucing dan kaki aku patah. Kemudian, semua kucing tak pedulikan aku sebab dia orang perlu pergi kerja, walhal aku sedang nazak.

Balik kerja aku nampak Twister berjalan macam Ju-On.

Pasal kucing dan panik

Monday, April 09, 2012 · Posted in , , ,


Dulu di rumah bujang aku ada tiga ekor kucing comel yang kami beri nama Stokin, Chacha dan Twister. Aku syak tiga ekor kucing itu anak yatim yang kebetulan berjumpa di apartment kami, kemudian saling berkenalan dan bersumpah menjadi adik beradik.

Kalau kau orang masih ingat, dalam entri aku yang lamaaaaa dulu, aku ada cerita pasal insiden brader-brader apartment buat operasi tangkap anjing liar yang menyelinap masuk ke kawasan kediaman kami.

Tapi insiden pencerobohan tersebut tak berhenti di situ saja. Tak sampai sebulan selepas kes brader Sham dan Zul kepung anjing dan taruk masuk dalam kotak, ada seekor lagi anjing masuk apartment kami.

Aku yang masa tu sedang menonton tivi (tak ingat cerita apa), biasanya buat tidak peduli saja. Cuma kalau bunyi terlalu mengganggu, aku akan jenguk muka tepi tingkap dan buat suara harimau mengaum ataupun bunyi anjing jenis Rottweiler menyalak. Macamlah suara aku dapat buat anjing liar tu takut dan lari keluar.

Tapi, malam tu tiba-tiba Ayie masuk dari muka pintu dengan wajah penuh suspen.

"Twister kena makan anjing!"

Sebenarnya kata 'makan' yang dimaksudkan Ayie ialah gigit dan dia sebut makan sebab panik sangat masa tu.

Tiba-tiba aku teringat kisah kawan aku, Amin eksiden bawa kereta jatuh parit dan luka di kepala. Masa tu, kawan aku, Man yang panik dan cuba beraksi tenang telefon mak Amin dan dia cakap:

"Amin takde apa pun makcik. Dia cuma jatuh gaung saja."

Kasut dan fungsinalisme

Friday, April 06, 2012 · Posted in , ,

Di atas rak rumah di sudut pintu, ada sepasang kasut Timberland hi-cut yang sudah 6 bulan aku pakai. Aku beli di Midvalley selepas dua kali aku datang jenguk ke butik kasut buatan Amerika itu sambil berkali-kali berfikir apakah aku patut beli kasut yang mencecah harga RM500 itu.

Dan akhirnya kasut kulit lembu itu bertemu jodoh juga di kaki ini dalam satu urusniaga tidak diduga ketika berlakunya pesta jualan murah beberapa bulan sebelum 2011 mengucapkan selamat tinggal.

"Perghh.. Sosialis pakai Timberland."

Aku tak tahu sinikal apa yang kau cuba sampaikan kepada aku. Tapi aku faham dan aku dapat baca fikiran kau. Fikir kau, aku yang dulu tidak pernah peduli langsung pasal perihal jenama berjenama ni kini sudah jadi fashion victim.

Tapi, macamlah aku pernah berjanji kepada kau bahawa aku mahu jadi pengganti Gandhi. Aku bukan fashion victim dan aku mahu engkau faham perihal manusia fungsinalisme macam aku (mungkin kata functionalisme akan buat kau lebih faham) yang berkadar arus dengan duit poket. Apakah pernah kau tahu tentang falsafah ini?

Aku lahir dalam kelas menengah dan aku bukan kelas pekerja macam kau yang membesar dalam kelompok penuh benci. Seolah-olah apa saja erti keseronokan dan kegembiraan itu satu dosa. Sosialis ataupun kapitalis itu tidak penting sebab aku manusia fungsinalisme dan bukan strukturalisme. Aku tidak mahu hidup aku dibelenggu dalam satu kerangka atau kepompong tertentu. Aku merdeka.

Aku belajar tentang rekabentuk, aku belajar tentang kejuruteraan dan aku juga belajar tentang kewartawanan (walaupun hal yang satu ini tiada kena mengena dengan perihal aku beli kasut pun).

Tetapi, membeli kasut cikai yang kemudian jahanam selepas dua tiga kali terkena hujan adalah satu penghinaan ke atas isme aku. Jangan cerita pasal buruh tertindas sebab kau sendiri tak tahu berapa banyak peluh buruh menitik untuk membuat kasut cikai kau tu.

Cuba faham, aku beli bukan atas nama kapitalisme, tapi fungsinalisme.

Amerika? Suruh Arab Saudi tutup dahulu Starbucks di Kota Mekah.

Powered by Blogger.