Archive for May 2012

Melayu dan Hantu

Friday, May 25, 2012 · Posted in , , ,


Aku buka tivi dan tertengok Misteri Nusantara (aku tak tau sama ada ini rancangan musim baru atau ulang siar). Cerita pasal kewujudan hantu yang menghuni di satu kawasan yang dipenuhi kereta eksiden. Lokasi dibuat di Thailand dan aku tiba-tiba keliru apakah Thailand termasuk dalam istilah Nusantara? Tapi itu tidak penting pun.

Kru tivi yang ditemani dua pemburu hantu pergi melihat kawasan bangkai kereta yang kebanyakannya diambil terus dari lokasi kemalangan dan kau dapat tengok kesan darah kering dan rambut manusia masih melekat. Aku rasa Horatio Caine pasti teruja kalau dapat menziarah tempat ini untuk menguji daya taakulannya.

Sampai di sebuah bangkai bas, yang didakwa pemburu hantu Thai ia menyebabkan kematian beberapa budak sekolah, seorang pemburu hantu itu menawarkan diri duduk di dalam bas untuk merasai fiil didekati hantu.

Tidak sampai 20 minit, ada bunyi ketukan dari atas bumbung bas dan si pemburu hantu telan air liur, tapi dia masih steady. Selepas itu, selesailah rancangan kerana kewujudan hantu dapat dibuktikan.

Aku anggap bunyi ketukan itu berpunca daripada cuaca sejuk waktu malam. Aluminium bumbung, yang tentunya berkarat dan meleding kerana terdedah lama kepada cuaca tropika (panas-sejuk), menyebabkan berlaku gelembung bunyi yang boleh saja kedengaran seperti ketukan, pijakan, bukaan pintu dan nafas manusia.

Situasi sama juga boleh berlaku pada objek mekanikal yang tidak diselenggara atau dipasang dengan betul.

Macam kereta aku, masalah madgad lopong (yang tertanggal kerana meredah banjir) menyebabkan kereta aku menghasilkan satu bunyi seakan bersinan blow-off daripada kereta turbo setiap kali aku cuba memecut. Sah, kalau kereta aku dinaiki kru Misteri Nusantara, aku syak dia orang akan suspek kereta aku ada hantu bersin.

Lif flat aku pun sama juga, akan ada bunyi ketukan dari atas bumbung kerana plat besi menggelembung dan bergesal akibat tidak dipasang betul. Sudahnya, ada bunyi seperti seekor Ju On mengetuk bumbung lif meminta orang ramai macam aku melepaskannya daripada tambatan.

Dan sebagai Melayu tulen, mereka biasanya akan rasa cuak secara tiba-tiba (sambil duduk diam dan beristighfar) dan esok hari pula begitu teruja mahu berkongsi pengalaman ngeri itu kepada rakan pejabat.

Melankolia Jebat

Tuesday, May 22, 2012 · Posted in , , ,



Sejarah menulis, Jebat mengamuk kerana Sultan menghukum bunuh saudaranya, Tuah tanpa usul periksa. Jebat dilabel penderhaka, tetapi hari ini ramai menganggap beliau sebagai revolusioner pertama Melayu yang berani menyanggah daulah atas nama memerangi kezaliman.

Namun, sebelum Tuah difitnah dan dihukum bunuh dan disembunyikan Bendahara di dalam hutan sebelum dipanggil balik (atas idea Bendahara) dan dikerah pula membunuh Jebat (aku dapat bayangkan minda Tuah didoktrin ala tentera Nazi), tiada siapa pun tahu kejahatan apa lagi yang dilakukan Sultan selain hukuman bunuh ke atas Tuah.

Sedangkan Tuah yang bergelar Laksamana pun dihukum bunuh hanya kerana adu domba orang istana, tidaklah dapat dibayangkan nasib rakyat biasa lain yang dizalimi atau dituduh melakukan kesalahan yang belum dibuktikan bersalah.

Mungkinkah ada ramai isteri yang dirampas. Atau ada yang dibunuh kerana melintas dan tertonggeng depan Sultan sebab tak tahan mahu memerut. Semua itu kita tidak tahu pun kerana peel umat Melayu ketika itu sama saja seperti hari ini, mereka lebih gemar berlebong ceramah dan mendengar propaganda semata-mata daripada menulis catatan sejarah dan hal ehwal keilmuan mengenai alam seputar mereka.

Persoalannya, kalau Tuah tidak dihukum bunuh, apakah Jebat ambil peduli pasal perihal kezaliman Sultan terhadap orang lain? Aku rasa tak.

Cuma, dek hukuman tak masuk akal ke atas Tuahlah yang menyebabkan Jebat naik minyak. Mungkin fikir Jebat ketika itu, Tuah patut diberikan sedikit imuniti atas statusnya sebagai orang istana yang banyak berjasa, malah terbukti kesetiaannya. Malangnya, Tuah tak dapat apa-apa pengampunan pun, sebaliknya dihukum pula bunuh dan dendam Jebat meledak, lalu beliau mengamuk.

Jebat bukan penderhaka, tetapi apa dilakukannya itu (mengamuk dan menawan istana) tidaklah pula melayakkan beliau bergelar revolusioner. Beliau cuma lelaki yang terperangkap dalam melankolia kerana keliru kenapa Tuah diperlakukan sedemikian rupa.

Percayalah, Jebat sebenarnya langsung tidak pedulikan perihal rakyat Melaka dan orang Melayu pun.

Pasal tol dan lebuh raya

Tuesday, May 15, 2012 · Posted in , ,


Setiap negara ada highway atau lebuh raya nasional sendiri yang berfungsi sebagai jalan utama sesebuah negara tersebut atas kapasitinya yang 'high'. Daripada lebuh raya ini, kemudian wujud pula sistem jalan raya yang menghubungkan jalan negeri, daerah, pekan dan seumpamanya.

Di Malaysia, lebuh raya PLUS adalah antara lebuh raya nasional yang menghubungkan hampir semua daerah sepanjang negeri Pantai Barat Malaysia. Ia menjadi tulang belakang utama kepada ekonomi Malaysia kerana sejak ia siap dibina, laluan perdagangan darat dapat disingkatkan dan kos dikurangkan.

Kita selalu kaitkan lebuh raya dengan tol, walhal ia sebenarnya tak ada kaitan langsung. Dalam erti kata lain, sesebuah lebuh raya itu boleh saja ada tol atau tidak. Sebaliknya, jalan raya bukan berstatus lebuh raya pula boleh saja mengenakan tol kepada penggunanya.

Tapi, aku tak salahkan kau pun atas ketidakfahaman tersebut kerana apabila menyebut tentang lebuh raya, kita selalu mengaitkannya dengan saiz jalan yang lebar, kualiti jalan terbaik, menjimatkan masa perjalanan dan ada kemudahan lain seperti kawasan Rehat & Rawat (RnR). Tak salah pun kalau kau sinonimkan lebuhraya dan tol.

Namun, terminologi sebenar tol ialah apa saja laluan (lebuh raya atau biasa) yang mengenakan bayaran kepada pengguna dengan menawarkan akses perjalanan pantas dan tiada kesesakan jalan raya.

Ini bertepatan dengan tujuan asal tol dibina, iaitu mengalih aliran dan mod trafik. Bagi pihak tol, hasil tol yang dikutip digunakan semula untuk kos penyelenggaraan, pentadbiran dan keuntungan, manakala bagi pengguna jalan raya pula, mereka membayar tol untuk akses pantas ke sesuatu destinasi. Muktamad.

Ini hukum mudah kapitalisme yang perlu kau faham, yakni setiap sen yang kau bayar mesti bersandar kepada nilai sesuatu produk/servis itu. Maknanya, lagi mahal harga sesuatu produk/servis, maka lagi berkualiti sesuatu produk/servis tersebut.

Peliknya, Malaysia sebagai negara yang mengamalkan kapitalisme gagal menepati maksud isme itu sendiri, di mana rakyat membayar sesuatu produk/servis yang tidak berbaloi dengan harganya, macam tol.

Aku setuju kau buat jalan raya bertol, tetapi biarlah ia benar-benar laluan akses pantas dan tidak membabitkan laluan utama orang ramai.

Cuba bayangkan satu-satunya jalan depan rumah kau dirembat entah siapa syarikat konsesi untuk dijadikan laluan tol hanya kerana laluan rumah kau itu jalan pintas ke Shah Alam (contoh). Jangan kata orang miskin, kalau aku orang kaya pun jadi panas hati (kecuali kau totok parti politiklah).

Jadi, aku faham sangat sebab apa orang KL marah gila dengan Kerajaan bila masuk bab tol ni. Cakap kawan aku yang datang dari kampung, "Patutlah orang KL duk berdemo saja, keluaq rumah saja dah kena tol berlambak."

Brader, hidup sekarang mana ada semua free saja. Tak mau bayar tol naiklah pengangkutan awam?

Betul, antara tujuan jalan bertol ialah mengurangkan kesesakan trafik dan boleh saja dianggap sebagai cukai kepada mereka yang mampu berkereta.

Ia juga boleh dianggap sebagai antara usaha mengurangkan pencemaran, dengan harapan caj tol tinggi membuatkan orang ramai tidak berkereta dan menggunakan pengangkutan awam. Ataupun mengenakan tol pada waktu tertentu (malam/hari minggu) bagi memberikan ruang dan masa untuk bandar 'bernafas'.

Tapi, semua itu boleh dilakukan kalau Malaysia ada sistem pengangkutan awam bersepadu yang kau boleh akses ke mana-mana tempat dengan harga murah dan relatif ralat masa yang minimum.

[Info: Di Iran, sebuah negara yang dikenakan sekatan antarabangsa pun tambang bas lebih kurang 10 sen saja, manakala di Jepun, ralat masa lewat sistem tren di sana cuma beberapa saat!]

Aku tak nampak semua tu ada di Malaysia, malah kalau aku naik pengangkutan awam dari rumah aku di Pantai Dalam ke Subang USJ di Taipan, kos pengangkutan aku lebih mahal daripada kos aku tuang petrol. Bukan itu saja, aku juga terpaksa habiskan masa lebih lama berbanding aku berkereta.

Lagipun kerja aku yang selalu keluar sana sini menyukarkan aku menggunakan pengangkutan awam yang kita sedia maklum dibangunkan ikut sedap kepala lutut. Jadi, aku tak ada pilihan untuk tidak berkereta ke tempat kerja.

Mengenai caj tol pula, aku tak tau kriteria apa yang digunakan syarikat konsesi untuk mengenakan caj. Nampak macam suka-suka hati saja dia orang kenakan tol. Ada laluan yang kenakan banyak tol untuk jarak laluan yang pendek sangat, seperti di lebuh raya NPE dan Guthrie. Ada juga laluan bertol yang tarafnya macam jalan biasa saja, sesak bukan main.

Kenapa buat permulaan, caj tol tidak boleh dikenakan pada kadar rata, contohnya RM1 untuk semua laluan bertol dalam bandar. Volum kereta bertambah apa? Dan aku pernah buat satu entri pasal Malaysia yang menduduki tempat ketiga antara negara paling ramai kenderaan bermotor selepas Amerika Syarikat dan Luxembourg. Logiknya, syarikat konsesi kita sudah buat untung hari-hari.

Brader, kau pun tahu Malaysia nombor tiga paling banyak kereta. Kalau tol murah sangat, lagilah sesak KL ni.

Macam aku beritahu. Aku sokong laluan bertol dengan syarat kau mesti ada satu sistem pengangkutan awam bersepadu yang dapat akses ke mana-mana tempat dengan murah dan cekap.

Kalau itu dapat dilakukan, percayalah, takkan ada demo hapuskan tol. Tak ada siapa yang peduli pasal tol mahal kerana masa tu sesiapa saja boleh naik pengangkutan awam. KL akan jadi lebih hijau.

Tapi, kalau hapuskan tol, apa jadi dengan nasib brader dan makwe pondok tol? Dia orang nak kerja apa?

Kau ingat tak masa semua syarikat minyak buat sistem layan diri (angkat-tolak-masuk-picit) untuk kurangkan kos operasi, ada kau peduli pasal nasib pekerja stesen minyak?

Kalau benda tu nampak macam pro-rakyat, kau peduli pula pasal nasib pekerja, walhal dia orang boleh saja diserap masuk kerja pejabat atau mana-mana jabatan. Lagipun, berapa ramai sangat shif pekerja pondok tol. Tapi bila benda tu pro-cukong, mana suara kau?

Mencabar kematian

Saturday, May 12, 2012 · Posted in , ,


Dulu aku ada seorang kawan nama Lobo, asal Melaka. Aku dan Lobo sebenarnya tidaklah rapat sangat pun, cuma ada satu perangai dia yang buat aku tak boleh lupa. Pasal kegemarannya bermain kata tentang kematian.

Setiap kali mahu berambus ke mana-mana, Lobo biasanya akan cakap:

"Ok geng, gua blah dulu. Jangan lupa doakan kematian gua."

Atau...

"Gua gerak dulu beb. Doakan gua eksiden kejap lagi."

Tapi esok dan esok dan esok dan esok Lobo tak mati-mati pun. Hinggalah satu hari aku tak jumpa dia langsung. Bukan sebab dia sudah mati, tapi sebab dia dah tak mau sambung belajar lagi.

Apapun aku harap dia masih hidup sekarang ni.

Revolusi dan demonstrasi orang Melayu

Monday, May 07, 2012 · Posted in , , , , ,


Revolusi dan demonstrasi adalah dua kata berbeza yang kerap membuatkan kau keliru. Benar, sejarah mencatatkan demonstrasi (menerusi penentangan) adalah sebahagian daripada revolusi. Sekarang kau boleh sebutkan semua revolusi menerusi demonstrasi yang kau ingati seperti di Perancis, Amerika, Iran, Filipina dan Indonesia.

Tetapi, sejarah juga mencatatkan revolusi juga boleh berlaku tanpa demonstrasi. Dan sejarah juga menulis tentang betapa banyak demonstrasi yang tidak membawa revolusi apa-apa pun.

Dalam bahasa skema, revolusi ialah perubahan sosial atau budaya yang berlaku dalam skala masa pantas dan berkait rapat dengan kehidupan sesebuah masyarakat.

Aku tidak salahkan kau kalau kau sempitkan revolusi itu kepada revolusi politik semata-mata, sedangkan sejarah dunia ini juga ada revolusi sosial. Itupun kalau kau masih ingat tentang Revolusi Industri, tercetus di Britain sebelum merebak ke seluruh Eropah dan Amerika pada abad ke-18 dan 19.

Namun, sebelum revolusi itu berlaku (yang membuatkan kau dan aku sekarang lebih mencintai makhluk tidak bernyawa seperti duit dan kereta), Eropah terlebih dahulu melalui revolusi sosialnya menerusi zaman pencerahan, 'Enlightenment' seawal abad ke-16.

Pada zaman itu, lahir beratus-ratus cendekiawan Barat dalam pelbagai bidang. Falsafah. Agama. Fizik. Kejuruteraan. Astronomi. Sastera. Politik. Kimia, Perubatan. Undang-undang. Banyak lagi.

'Enlightenment' muncul atas sikap kuriositi orang Eropah untuk menentang dogma agama dan politik istana. Ia (kuriositi) meluap-luap disebabkan dasar agihan ekonomi tidak seimbang dan undang-undang barbarian yang menyebabkan kehidupan rakyat menjadi derita.

Ya, sekarang kau mesti ingat tentang kata DERITA. Inilah punca utama yang mendorong kepada kemunculan 'enlightenment' dan kemudian mencetuskan pelbagai revolusi di Eropah.

Derita melahirkan 'enlightenment' yang kemudian membiakkan revolusi, sama ada dalam politik atau sosial. Demonstrasi atau bukan.

Namun, dalam sejarah Melayu, kata revolusi tidak pernah ada, apatah lagi 'enlightenment', yang ada cuma pemberontakan dan penderhakaan. Apakah kerana aku dan kau tidak pernah mahukan pencerahan?

Bersih 3.0 Sepintas Lalu

Tuesday, May 01, 2012 · Posted in , ,


Berikut ialah statistik sehari yang terpampang di dinding Facebook (FB) aku semasa demo Bersih 3.0 tempoh hari. Aku tak turun pun Bersih sebab balik kampung sebab ada kerja. Ini cuma statistik sehari dalam FB aku dan tak layak pun kau guna untuk siapkan tesis mengenai analisis mendalam mengenai Malaysia dan Demonstrasi. ;)

Pro Bersih - 14

Anti Bersih - 9

Filem - 2

Buku - 4

Bola - 2

Personal - 5

Agama - 3

Hiburan - 5

Powered by Blogger.