Archive for August 2012

Pasal interpretasi dan filem

Thursday, August 09, 2012 · Posted in , , ,



Sama seperti buku untuk kau tahu siapa penulisnya, filem juga sama. Kau perlu tahu siapa si penulis skrip dan pengarahnya, ini membantu kau menyelami ideologi mereka.

Ini kerana sesebuah filem itu adalah tentang interpretasi seorang penulis dan pengarah. Misalnya, aku menulis buku pasal tragedi lima budak lemas dengan gambaran sekian-sekian, tetapi apabila karya aku sampai ke tangan pengarah, gambaran itu mungkin tidak sama kerana ia sekarang diinterpretasi oleh si pengarah.

Sebab itulah kita kerap baca tentang konflik pengarah-penulis skrip. Tambahan lagi kalau filem itu adaptasi buku, selalu timbul situasi tak puas hati penulis terhadap pengarah. Jadi sekarang kau fahamkan kenapa Yusof Haslam tulis dan arah filem sendiri. Dan aku syak, mungkin penulis skrip Malaysia banyak songeh, ataupun daya fikir pengarah kita tak berapa nak boleh pergi. Fahamkan?

Sebabnya, imaginatif kita berbeza-beza. Interpretasi dipengaruhi apa kita lihat, dengar dan rasa yang ada hubungkait emosi, hal politik, jenis bahan bacaan atau tontonan, pengalaman dan macam-macam.

Filem sebagai wadah seni seharusnya tidak ditafsirkan sebagai kau salah, aku betul. Sebaliknya, interpretasi kreatif pengarah. Jadi hal penangguhan 'Tanda Putera' (aku tengok trailer saja), jika kau pertimbangkan dari segi karya seni dan kebebasan berfilem, ia tidak sepatutnya ditangguhkan atas alasan apa pun.

Sejarah itu sendiri ada pelbagai tafsiran oleh sarjana dan umum, inikan pula Shuhaimi Baba. Ia boleh jadi hitam atau putih, setuju atau bantah. Hasilnya, 'Tanda Putera' adalah karya interpretasi beliau tentang Tun Abdul Razak dan Tun Dr Ismail, ia masih dalam ruang lingkup fiksi serta imaginatifnya.

Kalau mahu semua lurus semata, bikin saja dokumentari pacak dan jemput orang itu ini untuk kau dapatkan hasil ikut hati kau. Masalahnya, apa seninya?

Kita dan air



Krisis air di Malaysia samalah seperti seorang gemuk bercerita pasal kebuluran dan tak cukup makan. Sekali lagi kau keliru sama ada kau patut cemas atau buat tidak tahu saja sambil berperilaku macam biasa.

Tanpa perlu mengulang kaji buku budak darjah 6, sesiapapun pasti tidak lupa bahawa Malaysia adalah negara beriklim tropika, merujuk kepada negara yang kedudukannya terletak di bahagian tengah peta. Istimewa tentang negara tropika adalah nikmat panas dan lembab sepanjang tahun yang tidak ada di negara lain. Ada waktu kita berdepan dengan kemarau panjang dan ada masa kita dilanda musim hujan berbulan lamanya.

Kita pernah hadapi kemarau teruk (jerebu juga), kita juga pernah dilanda banjir besar. Tetapi, tidak pernah pula segala cobaan musibah itu mengheret kita kepada krisis kemanusiaan meruncing. Semuanya sederhana saja, malah, sempat pula kita berkelahi pasal parti mana yang tidak hulur bantuan kepada mangsa bencana.

Ketika Ptolemy menggelarkan Tanah Semenanjung sebagai Golden Khersonese, Greek sebenarnya sudah cukup kaya. Mungkin emas yang dimaksudkan sarjana itu bukanlah semata-mata bijih emas, tetapi kata ambiguiti tentang nikmat limpahan cahaya matahari dan curahan hujan ke atas bumi yang satu ini.

Daripada cuaca panas itu, kau tidak perlu berbelanja membeli mafla, stokin, baju hud, kot labuh atau mencari kayu api untuk menyalakan pendiang api.

Airnya tawar dan sedap pula diminum. Ia tidak memerlukan kau mencipta loji pemprosesan serba sofistikated. Kau bukannya negara Arab yang perlu menawarkan air laut, ataupun Singapura yang terpaksa menyulingkan air kumbahan menjadi air mineral bebas toksin.

Ah, kau juga tidak perlu melancarkan ekspedisi cari gali air, seperti dilakukan ejen minyak tempatan dan antarabangsa yang dilengkapi kejuruteraan kapal tangki dan pelantar tercanggih, termasuk melalui prosedur pemeringkatan termaju.

Kau cuma perlu bina takungan air, loji rawatan (yang aku fikir tidaklah serumit membina pelantar minyak) dan saluran paip ke rumah.

Akhir sekali, kau perlukan kejujuran dan rasa rendah diri tentang nikmat Tuhan. Itu saja.

Powered by Blogger.