Archive for 2006

raya lagi

Saturday, December 30, 2006 · Posted in

RAYA LAGI

Raya Haji punya pasal aku balik Kedah lagi. Dan seperti biasa aku ambil bas di Shah Alam.

Aku dapat bas tambahan. Free seat. Jadi aku pilih untuk duduk di tepi tingkap. Yang kosong. Yang tidak ada orang. Tempat lain sudah diteroka. Lagi pun aku suka duduk tepi tingkap. Boleh tengok orang dalam kereta bawah. Cait!!

Kemudian ada sepasang suami isteri masuk. Si suami terus meluru kat aku dan cakap, boleh saya duduk di sini dengan wife saya?

Sebab apa mesti aku? Aku rasa macam kat dahi aku ada tulis ANDA BOLEH HALAU MANUSIA NI KALAU MAHU TEMPAT DUDUK.

Tapi sebab aku ni orang baik-baik aku gesit berdiri. Betul kata orang, orang baik-baik selalunya teraniaya.

Bang, kat belakang sekali ada lagi kosong. Tiba-tiba. Ada awek cun menjadi superhero menyelamat tempat aku dari dijajah.

Woooo. Si suami mengewoo.
Abang, sakit la bontot duduk belakang. Si isteri protes.
.
.
Wah. Terima kasih. Aku senyum saja. Mengulum. Nasib baik aku tak ada Hacks. Kalau tak serius aku bagi kat awek cun tu.

sumpah, raja, sms, tahyul

Wednesday, December 20, 2006 · Posted in ,

SUMPAH

Aku kena daftar Ahad ni. Tapi Man racun-racunkan aku ke stadium. Tonton Liga Super. Kedah lawan Brunei.

Apa barang senior daftar awal!! Ujar Man penuh provokasi.

Hmm. Ok. Aku tunggakkan sesi pendaftaran. Jadi, aku suruh Lalbi daftarkan untuk aku. Aku bank-in ke akaun Maybank dia. Selesai!

Di Stadium, Kedah kalah 1-2.

Sumpah, aku tak tengok dah. Ujar Man penuh emosi.


RAJA

Aku bawa balik cadar baru. Bukan cadar biasa yang diimprin lukisan bunga-bunga. Tapi cadar yang punya sulaman dan tenunan. Semestinya gebu dan cantik. Warna biru gelap dan putih . Diselang-selang penuh seni.

Uiihhhhh.. Gila gila. Ni raja-raja saja yang pakai cadar ni.. Cakap Edi.

Hehehe.


SMS

Bahasa sms mencemar bahasa Melayu.

Bayangkan kau tulis -Kau apa khabar? Sihatkah? Buat apa sekarang? Aku nak ajak kau keluar petang ni di Restoren Abuyu.- Dalam sms kau.

Rasa-rasanya kenapa wujudnya trengkas? Atau stenografi?

Jadi. Aku tak sokong. :)


TAHYUL

Minggu pertama aku malas pergi kelas! Aku senior! Otai!

Jadi aku habiskan masa menonton cerita tahyul. Bawang Putih Bawang Merah.

Ah, peduli apa orang cakap.

tajam

Thursday, December 14, 2006 · Posted in

TAJAM

Betul. Aku tengok anu rimau tajam. Ada macam duri duri. - Soni

Ah, tipulah. Habislah berdarah si rimau betina. - Rumi

Mana ada tajamlah. Tu selepas diawet. Jadi benda tu jadi keras dan nampak tajam. Tapi lembut sebenarnya. - Juli

Ooooooo. Patutlah kondom rimau yang extra sensual ada macam bonjol-bonjol kat sekeliling tepi tu... - Rumi

pendirian

Wednesday, December 13, 2006

PENDIRIAN

Dulu. SMKDSO. Ketika usia masih hijau di celah-celah kematangan.

Hanis selalu ponteng. Bila dia ponteng dia akan suruh aku tulis surat. Taip guna komputer. Lepas tu tandatangan sendiri dan hantar.

Bukan sekali dua. Tapi berbelas-belas kali. Hanis ponteng. Dan aku tulis surat. Taip guna komputer.

Tiba-tiba aku rasa macam jadi balaci Hanis. Huh. Kali ni. Aku mesti tunjuk pendirian.
.
.
.

Satu hari. Ustazah Jariah dapat surat dari Hanis. Dia buka. Dia baca.

KALAU NAK TIPU.. TIPU ADIK HANG BOLEHLAH WOII!!

Ya. Aku yang tulis surat tu. Taip guna komputer. Lepas tu tandatangan sendiri dan hantar. Hanis tak baca surat tu seperti selalu. Dia terus bagi kepada Bob si ketua kelas dan Bob hantar terus kepada ustazah.
.
.
.

Lepas tu perut kami kena kutil sampai lebam-lebam. Hmm. Masa tu aku rasa sangat berpendirian.

Dulu. SMKDSO. Ketika usia masih hijau di celah-celah kematangan.

jaminan

Sunday, December 10, 2006 · Posted in

JAMINAN

Malam yang permai. Embun masih terlalu awal untuk menitis.

Aku dan Ayie bertekak. Aku pun tak tau kenapa aku asyik bertekak saja dua tiga menjak ni?

Ayie cakap industri perkilangan kita mengamalkan laissez faire. Memeras keringat dan intelektual para graduan. Kebajikan tak dijaga. Kerja di kilang selalunya secara kontrak dan berkala. Bila tenaga dan prestasi kau luntur maka bermulalah fasa kau akan dibeban dengan tekanan kerja. Sehingga kau bisa stres. Depresi. Rasa macam barua. Macam pencacai. Ayie bagi contoh. Satu. Dua.

Jadi baik kau kerja kerajaan. Kerja kau tetap dan stabil. Nak buat pinjaman senang. Naik pangkat senang. Ada masa dengan family.

Aku cakap tak. Apa yang graduan muda perlu ialah pengalaman. Pengalaman menerima tekanan itu yang lebih penting. Juga pengalaman berhadapan dengan manusia-manusia. Tekanan ini yang akan meletakkan kau pada tahap hati kau jadi tepu. Keyakinan kau jadi tinggi. Daya intelek dan putar belit kau diuji-uji. Lagi pun kau muda dan kuat. Cari duit banyak-banyak. Sekarang semua duit. Nak bercinta pun kena duit. Pergi mati dengan cinta suci!! [ayat last ni aku saja tambah bagi bunyi dramatik sikit.]

Tak. Kerja kerajaan lagi bagus. Dapat jamin hidup kita.

Yang jamin hidup kita bukan kerajaan. Tapi Tuhan!
.
.
.
Diam.
.
.
Diam
.
.
Entah macamana aku boleh terkeluar ayat tazkirah tu. Aku ni cakap saja berapi-api. Entah nanti aku pun kerja kerajaan juga. Saja nak menghangatkan suasana.

nama saya ialah..

Thursday, December 07, 2006 · Posted in

NAMA SAYA IALAH..

Majidah. Dia sepupu aku. 12 tahun. Dia anak Mak Andak dan Pak Andak. Dia anak yatim selepas Pak Andak meninggal 3 tahun dulu. Tinggal bersama kami. Sudah setahun.

Suatu petang. Ngah datang. Dengan Mak Ngah yang baru.

Duduk mana ni? - Mak Ngah.

Duduk sini - Majidah.

Memang la duduk sini. Asal mana? Hah, bagitau sikit. - Abah

Asal Kampung Gelam - Majidah

Laa. Tu saja? Hah, lagi? Bagitau la saya ni siapa. Cepat bagitau, nama saya ialah sapa.. Anak sapa.. - Abah.

Nama saya ialah Majidah. Anak Tipah. - Majidah

Hahahaha.

cinta - dosnya agak cukup

Wednesday, December 06, 2006 · Posted in

CINTA - DOSNYA AGAK CUKUP

memang gambar hiasan

Filem cinta yang baik walaupun mungkin naratifnya agak klise [ada ke filem cinta yang tak klise?] atau pun plotnya berterabur tetapi kalau ada babak yang mampu buatkan aku bercakap "apasal kau tak cakapppp!!" pada babak [contoh] mamat mahu mengorat tapi masih memendam rasa di angin lalu maka itu adalah filem cinta yang bagus.

Ya. Filem cinta tak perlu CGI. Tak perlu aksi lagak ngeri. Atau set filem yang berjuta-juta.

Sebuah filem cinta cuma memerlukan fiil dan soul yang akan disampaikan kepada khalayak penonton umum. Dan fill dan soul ini adalah berbeza mengikut tahap pemikiran, emosi, pengalaman dan pemahaman seseorang individu penonton tersebut.

Aku bariskan kronologi cinta yang paling menyentuh:

1. Rashidi dan Rita - Serius, aku teringat Cikgu Lara di hentian Pudu Raya dulu. Apabila cinta boleh saja memisahkan jiwa-jiwa yang tidak berdosa. Aku rasa babak Rashidi hantar anak ke rumah Rita paling ahhhhh...

2. Rahim dan Fatimah - Action speaks louder than words. Kau hanya perlu lihat mata. Bibir. Kerutan dahi. Senyuman. Ketawa. Sedu. Sebak.

3. Nanu dan Que - Alamak. Kenapa kau kena mati? Kau derma jantung ke? Boleh ke derma organ dan kau mati? Atau operation failed?

4. Eizlan dan Fasha - Aku rasa Fasha bagus kerana dalam 'Cinta' dia tak banyak cakap. Kalau banyak cakap aku rasa loya sikit sebab suara Fasha sama macam dalam iklan ubat gigi Darlie. Dalam 'Cinta' Mata Fasha seolah-olah bersuara. Eizlan sangat bagus. Natural. Adik aku cakap Eizlan gemuk. Eizlan, lepas ni kamu boleh pergi gym ok.

5. Pierre dan Amani - Sama seperti Fasha. Aku tak suka suara Pierre yang lembik. Senada. Tak bermain dengan vokal. Mungkin sebab aku terlalu menonton Dunia Baru. Tapi Pierre yang kewl sangat bagus pada gerak wataknya. Amani? Flirty. Cukup menjadi. Dia bagus cuma masih begitu-begitu juga. Tapi itulah Amani yang aku suka. Hah. Lagi satu aku tak suka bahagian ni sebab happy ending! Yang lain okey.

'Cinta'? Sebuah filem cinta urban yang elegan. Sangat realistik biarpun belum cukup sempurna. Ada setinggan. Komuter. Teksi. Sungai. Sampah. Kedai makan. Kutu. Kolar putih. Kolar biru. Hujan. Angin. Semuanya bersatu dan membentuk kronologi cinta yang menarik. Membuai-buai. Menyentuh rasa. Lagu dan latar seakan menyuntik 'Cinta' agar memberi dos-dos tentang cinta cinta cinta. Cuma aku tertunggu babak penyerahan diri kepada Tuhan sebagai konklusi sebuah cinta. Tapi sayang tiada.

Apa pun 'Cinta' adalah sebuah filem cinta yang terbaik pernah dikaryakan di Malaysia. Sungguh!

cuti-cuti

Tuesday, November 28, 2006 · Posted in

CUTI-CUTI

Sebelum pulang bercuti ke Alor Star aku ke Shah Alam. Lepak dengan Syem. Jarul. Ojai. Mahu lepaskan stress peperiksaan. Itu aku. Dan sudah tentu diorang mahu lepaskan stress pekerjaan. Agak-agaknyalah memandangkan perangai Jarul dan Syem yang agak childish. Aku tak. Aku matured. Hahaha.

Jalan-jalan di Shah Alam.

Kami lepak makan di Kafe Zul Yahya. Telok Bagan. Kedai Kopi. Khalifah 7. Kedai makan sebelah ofis Syem. Dan juga rumah mak ayah angkat aku. Iaitu mak ayah Syem. Hahaha.

Kami bersiar-siar seputar Bandaraya Anggerik. Seperti biasa bila bersiar-siar dengan Syem, dia akan asyik mengorat awek sana sini.

Ada awek macam Fasha Sanda. Kami jumpa masa kami jalan-jalan di SACC Mall. Yang lengang tapi dingin menyucuk-nyucuk tu.

Tutur Syem penuh licik. Muka awak macam Fasha Sanda lah. Cantik. :)

Kukikukikukikuki.. Fasha Sanda klon dan kawannya mengekek. Nasib baik comel.

Dan seperti biasa juga aku dan Jarul akan hilang ke depan. Menyorok di balik tiang. Malu. Segan. Getik. Hensem. Berjalan dengan Syem memang buat muka kami tebal berinci-inci. Kalau kena pelempang pun tak sakit.

Tapi itu kira ok lagi. Ada satu hari tu masa aku keluar dengan Syem, dia cakap kat sorang awek tu; Awak awak. Tak salahkan kalau kita berkasih sayang? :)

Masa tu aku betul-betul rasa nak gelak sambil guling-guling.

mamai

Monday, November 27, 2006

MAMAI
Pagi yang damai. Aku tidur.
.
.
Dan..
Pabila esok.. Datang kembali..
Seperti sediakala di mana kau bisa bercanda
Dannn...
.
.
Motorola aku berbunyi.

Aku kenal dia. Sangat. Tak patut dia telefon aku waktu macam ni. Sebelum-sebelum ini pun dia tak pernah telefon aku waktu macam ni.

Dan pantas juga aku berfikiran yang bukan-bukan. Takkanlah..

Aku raba pad kekunci. Aku tekan. Dan bunyi pun padam. Aku cakap hello.. Hello.. HeLLo.. HELLo.. HELLLOOO..

Tak ada siapa pun. Sunyi. Sepi. Mencengkam.

Aku jegil mata. Aku tengok skrin Motorola aku betul-betul. Kosong. Aku semak senarai pemanggil. Kosong.

Aku mamai. Tak patut dia datang dalam mimpi aku. Aku benci kemamaian pada waktu-waktu begini. Macam beri aku petanda yang macam-macam.
.
.
Dan..
Pabila esok.. Datang kembali..
Seperti sediakala di mana kau bisa bercanda
Dannn...
.
.
Oh. Jarul. Aku gosok mata dua tiga kali. Ya, aku tak mamai lagi kali ni.

Woi, jom breakfast!!

Aku gesit membalut tuala. Mamai tadi ku buang jauh. Jauh.
.
.
.
Dann..
perlahan kau pun..
Lupakan aku..
Mimpi burukmu di mana tlah kutancapkan duri tajammm..

kerja

Thursday, November 23, 2006 · Posted in

KERJA

Aku dan Nik bertekak. Aku kutuk Nik. Dan Nik kutuk aku. Aku perli Nik. Dan Nik perli aku. Berbalas-balas.

Nik cakap, kau bukannya pernah kerja.

Kau tahu mana? Aku pernah kerja apa. Aku pernah jadi pegawai exam di UUM lepas SPM dulu.

Alah, satu je tak guna. Tak banyak komunikasi pun. Sindir Nik.

Ada ada. Aku pernah meniaga ayam. Siapa cakap tak ada komunikasi?

?

? ?

Kau jual AYAM apa? Hehehehe. Apai menyampuk di sebelah.

Kurang asam!


Nota: Kelambu pernah berniaga ayam percik di pasar Ramadhan. Dulu.

kaki di kepala

Monday, November 20, 2006 · Posted in

KAKI DI KEPALA

Sabahan lepak kat bilik sambil melayani mp3 dari pc aku.
Hmm, masih sempurna bunyi Sonic Gear aku ni. Puji aku sendirian.

Tiba-tiba Peter Pan pun bernyanyi,
Kepala di kaki..
Kaki di kepala..

Wei, kau tahu apa tu kepala di kaki, kaki di kepala. -Sabahan.

Entah. Jawab aku. Malas.

Itu peribahasa Indonesia. Maksudnya, keadaan stress sangat. Sampaikan tak dapat membezakan kaki dan kepala. Nak gerakkan kepala tapi kaki yang digerakkan.

Ooh. Hmm. Kau tahu apa tu kaki di kepala. Kepala di kepala. Badan di kepala?
-Aku.

Entah. Jawab Sabahan. Malas.

KUTU! -Aku

DAMN!! -Sabahan

Tiba-tiba Peter Pan pun bernyanyi,
Kepala di kaki..
Kaki di kepala..

studi i, studi ii, studi iii, studi iv, studi v

Wednesday, November 15, 2006 · Posted in

STUDI I

Kelambu, Nik dan Pejal studi di perpustakaan.

Ya. Diulangi, Kelambu, Nik dan Pejal studi di perpustakaan.

Sekian terima kasih.


STUDI II

Nik cakap,
Wei, hari Khamis ada gangguan elektrik seluruh kampus!

Lalbi cakap,
Confirm exam panas!! PKP pun dah masak. Tambah lagi kat Main Hall.

Apai cakap,
Adusss, abis tu kat mana sejuk aaa??

Aku cakap,
Kat kutub!


STUDI III

Kelambu, Nik dan Pejal studi di perpustakaan.

Ya. Diulangi, Kelambu, Nik dan Pejal studi di perpustakaan.

Ya. Diorang studi sambil tangkap gambar sekitar perpustakaan.

Sekian terima kasih.


STUDI IV

Pak Guard cakap, tak boleh lompat pagar. Nanti kena denda RM220. 5 budak dah kena denda.

Hmm. Nanti saya tak lompat lagi. Saya nak potong pagar dan merangkak. Mesti tak kena denda. Kan. Kan. =)

[Apa kena mengena entri ni dengan tajuk?]


STUDI V

DUNIA BARU. Musim II. Setiap Isnin. TV3. 9 malam.

Lebih seksi. Lebih getik. Lebih nyam nyam. Maksud aku makanan kat Universiti Kerajaan Swasta dah ada banyak pilihan.

Aku suka makan kat kedai makan 'ATAP'. Betul-betul sebelah roundabout luar kampus. Aku dan kawan-kawan panggil 'ATAP' sebab kedai makan tu guna atap rumbia buat bumbung. Cantik.

Menu istimewa: NASI KOREK-KOREK

[Apa kena mengena entri ni dengan tajuk?]

banjir, peperiksaan, hari lahir jarul

Saturday, November 11, 2006 · Posted in

BANJIR

Hujan makin melebat. Sungai yang memagari sekitar Universiti Kerajaan Swasta sudah melimpah. Dek kerana banyak longkang yang tersumbat banjir pun mula mengasak. Di pesisir kaki lima. Di sepanjang asrama dan fakulti.

Desas desus. Jalan Batang Berjuntai dah dipasak kayu penanda. Warna merah di sepanjang jalan. Takut kenderaan terbabas ke ladang-ladang sawit. Ada air merentang jalan.

Di kampus. Ruang rotunda fakulti juga basah. Basah sana. Basah sini. Termasuklah lecture theatre yang dikongsi dengan Fakulti Pengurusan Industri. Aku nampak ada satu lampu pentas hampir nak terkeluar sebab siling sudah basah. Kalau lampu tu jatuh menghempap kepala si pensyarah. Atau si pelajar. Hah, siapa yang susah?

Lagi satu. Dalam lecture theatre tu ada satu lampu siling bulat yang terjuntai di sudut kanan. Dah lama dah. Dari semester lepas-lepas lagi. Entah bila diorang nak baiki. Mentang-mentanglah duduk di Batang Berjuntai. Hahaha.

Masa tengok pelancaran cd promo yang Lalbi buat untuk Project Management (PM), dia cakap, fasiliti universiti bertaraf antarabangsa.

Masa makan roti canai kat kampung, Adi cakap, ha'ah antarabangsa la sangat!


PEPERIKSAAN

Pensyarah aku ada cakap, kebanyakan syarikat selalunya tak mahu menggajikan graduan yang terlalu cemerlang dan bergred tinggi kerana mereka ini selalunya tak tahu buat kerja. Selalu bergelumang dengan teori. Lemah dalam kerja-kerja praktikal. Dan agak demanding.

Selasa depan. Bermula peperiksaan akhir.

Aku rasa aku tak boleh dapat keputusan cemerlang sangat. Takut nanti banyak syarikat tak nak ambil aku kerja. Takut diorang anggap aku ni tak boleh buat kerja. Selalu bergelumang dengan teori. Lemah dalam kerja-kerja praktikal. Dan agak demanding.

Jadi, aku tak studi lagi. Sebab kalau aku studi keputusan peperiksaan aku selalunya cemerlang. Aku kena banyak rileks saja.

Hmm. Aku dah ada alasan untuk tidak mengecam diri ni pemalas!


HARI LAHIR JARUL

Selamat Hari Lahir Untuk Jarul. 11 November.

Terima kasih sebab buat open house. Mak Jarul cakap, haa.. ni lah anak instant makcik.

Alahai. Banyaknya makcik yang nak buat aku anak angkat.

impian dalam kelambu

Tuesday, November 07, 2006 · Posted in

IMPIAN DALAM KELAMBU

Aku sembang-sembang dengan Nik. Pasal nak mencari rezeki di luar negara. Aku cerita pasal kawan Syem, Wan Sepang ada tawarkan kerja pemetik epal di Switzerland.

Dalam masa 6 bulan kita boleh dapat RM90,000!!

Wahhhhhhhhhhhhhh. Nik mengilai.

Kami berjeritan. Dan berangan-angan. Merapu-rapu.

Esok.
Ada iklan lawatan ke Jepun. Di penjuru sudut kafeteria. FITM. Aku ajak Nik join.

Aku cadangkan,
Bila sampai Jepun nanti kita kena lari. Lepas tu kita carilah kerja. Tak kisahlah kerja apa pun.

Nik cakap,
Gila kau!

Tak apa. Bila diorang cari kita nanti. Kita cakaplah kita kena culik. Masa kita balik Malaysia kita dah boleh speaking Jepun. Dapat pula awek Jepun nyam nyam! Hahahah.

Hmm. Nanti aku nak bawa balik half cut!!

Kami gelak-gelak. Nasi di pinggan sudah licin. Kami pun berangkat ke asrama. Universiti Kerajaan Swasta.

open house

Monday, November 06, 2006 · Posted in

OPEN HOUSE

Pergi rumah Aslam. Ada open house. Tapi Aslam sekarang Aslam yang lain. Aslam sekarang sudah beristeri. Baru 3 bulan. Dan ini kali pertama kami membuat onar di rumahnya. Di Seksyen, 19 Shah Alam.

Open house dah macam reunion kroni seksyen 8. Aku, Ayie, Saleh, Bahdin, Awie, Lalbi, Jarul, Ojai dan Syem. Juga awek Jarul.

Cuma Joe, Wan, Superman dan Khairi yang tak ada. Diorang dah kerja. Tinggal kami yang bergelar pelajar tua. Nasib baik Ojai, Jarul dan Syem bermastautin di Shah Alam. Masih ada jarak dan masa untuk bertemu.

Kami bantai makan-makan dan minum-minum (minum sarsi aislah). Sampai kenyang dan perut sendat.

Kami sembang macam-macam. Gelak-gelak. Suka-suka. Kenangan-kenangan mengimbau. Usia mematangkan.

Habis makan kami balik. Aslam dan Ija tolong tapaukan makanan-makanan lebih.

Awie cakap kami dah macam recycle bin sambil merayu aku agar memberikan dadih keladi kepadanya.

Balik asrama. Kami sempat sakat awek-awek baru balik tengok konsert nasyid kat Dewan Utama. UNIC datang.

Aku suka nasyid juga. Aku suka kumpulan El-Suraya dan Al-Jawaher. Juga Iwan Fals.

Kata Iwan Fals,

Ingin ku ludahi mukamu yang cantik
Agar kau mengerti bahawa kau memang cantik
Inginku cungkil keluar indah matamu
Agar engkau tahu memang indah matamu

Memang aku akui bahawa aku pengecut
untuk menciummu juga merabamu
Namun aku tak takut untuk ucapkan
Segudang kata cinta padamu


Ayie gelak-gelak masa pertama kali dengar lagu tu. Hmm.. Bombastik sungguh lirik tu kan.

cikgu

Saturday, November 04, 2006 · Posted in

CIKGU

Aku ada sesi pembentangan. Subjek Production Operational Management. Tentang kira-kira. Persamaaan linear. Matriks Gauss Seidel.

Nik cakap aku dah macam cikgu sebab aku present sambil kepitkan nota celah ketiak dan tulis da da da.

Tapi aku rasa tak. Sebab lepas aku cakap-cakap dan tulis-tulis di papan putih. Aku tengok semua muka kawan-kawan berkerut.

Diorang tak faham pun. Selepas En. Khairul ulang semula baru diorang mula anguk-angguk.

Lagi satu. Aku ni bila ajar orang memang nampak macam marah-marah. Tapi sebenarnya aku ni seorang yang happy dan budiman. Cess..

Tu yang adik-adik tak suka tanya aku pasal kerja sekolah dulu. Sebab kalau diorang susah nak faham aku selalu tarik-tarik rambut dan karate bahu diorang.

Diorang suka tanya Abang Kit. Abang Kit selalunya malas nak cakap banyak-banyak, jadi dia bagi jawapan terus.

Hmm. Kerja sekolah siap.

lelaki pendera

Saturday, October 28, 2006 · Posted in

LELAKI PENDERA

Adik Mahfuzah masuk bilik. Dia baring-baring atas katil aku. Masa tu aku bad mood sikit.

Woi, blah blah blah!

Rileks la. Best la katil hang.

Woi, cepatlah blah! Aku nak tidoq ni. Aku bilang sampai sepuloh. Kalau tak...

Ekekekekkekke. Wekkkk!!

Satu. Dua. Tiga. Sepuloh!!

Aku karate bahu dia. Aku tarik rambut dia yang macam pontianak tu. Kiri. Kanan. Kanan. Kiri. Belakang. Belakang. Belakang.

Sakittlah.. Eii.., jahatnya hang ni. Malangnya sapa jadi bini hang. LELAKI PENDERA!!

Hahahaha. Akulah LELAKI PENDERA. Hahaha!!
Gelak aku sesungguh hati.

Dia bengang. Dia keluar bilik. Mendengus.

Jahatkan aku ni. Malangnya siapa jadi bini aku nanti. Tapi tarik rambut perlahan-perlahan tak sakitkan. :P


KUIH RAYA

Aku bawa balik sedikit kuih raya sebagai bekalan pulang ke kampus. Aku suka tat nenas sebab boleh kemam lama-lama dalam mulut. Sedap.

mesej suara, duit raya, raya

Thursday, October 26, 2006 · Posted in , ,

MESEJ SUARA

Aku tak berkesempatan nak kirim kad raya. Malas pula mahu mengirim sms yang di-forward-kan. Balik-balik pantun. Pantun-pantun balik.

Jadi ucapan raya tahun ni aku duduk di depan cermin dan aku guna khidmat funtalk dari Celcom. Khidmat mesej suara.

*0191234567*
Dail..
..
.. Toing Toing!!

-Hai. Raya tahun aku bagi specialnye ucapan kat kau. Juz nak wish selamat hari raya. Maaf zahir batin.. bla.. bla..-

Ada yang berbalas. Ada yang tidak.
Lalbi happy sakan balas mesej suara. Tapi dengar suara Jarul. Tersekat-sekat. Tersangkut-sangkut. Aku rasa dia tengah baca skrip nak jawab mesej suara aku kot. Tak pun dia tersentuh dengan cara aku yang sentimental ni. Hahahaha. Auww..

Tapi mendengar suara rakan-rakan yang bercakap seorang diri untuk meninggalkan pesanan suara masing-masing agak melucukan.

Aku terhibur. Kadang-kadang sedikit suara yang kita luahkan akan buat seseorang itu rasa dihargai. Disayangi. Diingati.

Bawa-bawalah hubungi seseorang yang lama kita tinggalkan biar pun sekejap. Maaf-maafkanlah. :)


DUIT RAYA

Mama bagi 5 ringgit. Duit polimer. Hmm. Cantik. Al-maklumlah pelajar melayu terakhir.


RAYA

Beraya rumah kawan-kawan [jantan]. Dan menumpang kasih rumah kawan-kawan punya kawan [awek].

Ye lah. Dulu kat kelas aku ada 4 orang saja perempuan. Jenuh semua nak tunjuk macho. Ceh.

Jeles pula tengok diorang. Mesra dan sporting. Bila beraya boleh buat onar di rumah masing-masing.

Teringat aku kat geng-geng Institut Teknikal Johor masa ambil Industrial Design dulu. Jun, Zila, Yat, Izawati, Mas, Yong, Sha, Fiza, Kak Fad, Kak Wati.

Diorang memang kepala gila sampai soal dalam kain pun selamba saja diorang cerita. Sampai aku pula yang malu-malu dengan diorang [secara jujurnya aku pemalu].

Rasa-rasanya mana diorang eh. Dah kahwin kot.

langsir baru saya

Saturday, October 21, 2006 · Posted in ,

LANGSIR BARU SAYA

Balik kampung.

Mama mesej.
-bilik sudah make-up. 3 bintang punya!!-

Hmm.. Ada permaidani baru. Warna cokelat. Gebu-gebu. Cantik!
Cadar pun warna cokelat juga. Pun gebu-gebu. Cantik! :)

Ahaaa.. Langsir!!

Alahai, dah 3 tahun. Masih warna jingga gelap.

Aku buka beg. Aku ambil banner IT Career Week yang aku reka sendiri. Warna hijau pucuk pisang. Aku gantung bersama langsir warna jingga gelap. Begitu kontra.

Hmm.. Raya ni aku ada langsir baru. Warna hijau. Cantik! :)

kacau

Thursday, October 12, 2006 · Posted in

KACAU

Kacau sungguh. Minggu ini. Minggu yang begitu mendesak. Sabtu ni IT Career Week. Dan kami perintis. Kalau gagal. Akan timbul efek khas pada nombor di slip peperiksaan. Entah mengapa tiba-tiba aku rasa longlai pada tahun-tahun terakhir ini.

Kacau sungguh. Minggu ini. Minggu yang begitu mendesak. Aku marah dengan rakan sepasukan. Bukan marah tapi berbulu. Menyirap. Sebab dia banyak tanya. Banyak songeh. Konservatif. Jumud.

Kacau sungguh. Minggu ini. Minggu yang begitu mendesak. Jerebu menyesakkan pandangan. Panas membahang. Hujan sedikit-sedikit. Bunyi mercun selalu saja menyakit hati. Abah marah-marah sebab aku tak jawab surat pinjaman 5 tahun dulu. Apa 5 tahun??! Dia takut masuk jel. Dia takut juga kawan dia yang jadi penjamin aku masuk jel juga. Kalau nak masuk jel masuklah sorang-sorang. Aku rasa jengkel dengan alpa diri. Aku rasa tak berguna.

Ya. Kacau sungguh minggu ini. Minggu yang begitu mendesak. Aku tertekan dalam banyak perkara. Aku mahu menjerit. Tapi suara aku tersekat. Aku mahu meluahkan. Tapi aku kehilangan.

Ya. Aku kacau. Tolong aku.

buaya darat

Monday, October 09, 2006 · Posted in

BUAYA DARAT

Lewat malam. Aku tanya Nik dan Farhan.

Sebab apa lelaki 'playboy' disamakan dengan buaya darat? Kenapa tak udang darat. Belut darat. Kura-kura darat. Labi-labi darat [Aku teringat Lalbi lak. Hahaha]

Farhan bagitau. Dulu buaya selalu makan orang perempuan basuh baju tepi sungai.

Hmm.. Ok..

puasaku puasamu

Thursday, October 05, 2006 · Posted in

PUASAKU PUASAMU

Masa aku lepak buka puasa dengan Syem minggu lepas, dia cakap orang perempuan ni kejam. Penat-penat saja kaum lelaki macam dia ni puasa elok-elok dari pagi, tengah hari dan petang. Tapi masuk saja sejam lagi nak berbuka senang-senang saja kaum perempuan ni tipiskan puasa kaum lelaki. Ya lah, pergi pasar pakai seksi seksi. Tayang pusat. Tayang dada. Tayang bahu. Dah la tu tergesel sana tergesel sini. Rugi saja aku puasa. Ujar Syem sambil sempat meloroti seorang awek chinese look yang cun di meja hadapan.

Di sini. Seputar Universiti Kerajaan Swasta ada 3 pasar Ramadhan. Di kampung belakang, Kampung Berjuntai Tin. Di luar asrama siswi dan juga di taska, sebelah asrama siswa.

Lauk pauk di 3 pasar tersebut semuanya lebih kurang. Ada nasi ayam, soya jagung nyam nyam, ikan bakar, otak-otak, nasi lemak, air tembikai dan macam-macam lagi.

Cuma yang tak kurangnya di sini ialah awek-awek seksi. Kat mana-mana pasar Ramadhan pun ada.

Pernah masa balik dari kelas, aku dan Nik membuntuti 3 orang junior yang seksi-seksian. Lenggok lenggokan. Tonggek tonggekan. Tapi sebelum sampai rotunda aku dah belok ke tepi. Jalan ikut celahan kaki lima berkerikil dan landskap pokok palma yang entah apa-apa. Aku cakap kat Nik. Tak naklah lalu belakang diorang. Nanti puasa aku nipis. Asyik nak tengok bontot saja. Nik cakap aku poyo sambil gelak-gelak.

Tapi lepas tu kami jumpa lagi dengan junior tu kat pasar Ramadhan. Aku tengok Lalbi dan Ayie pun usya juga junior tu. Apatah lagi pelajar-pelajar lelaki yang lain.

Adoii.. Ramadhan betul-betul menguji..

sponsor

Sunday, October 01, 2006 · Posted in

SPONSOR

Subjek Project Management. Grup aku akan anjurkan IT Career Week pada 17 haribulan Oktober nanti. Tapi kami kekurangan bajet. Ya, kami perlukan sponsor.

Jadi untuk mencari sponsor di saat-saat yang mendesak ini kami turun ke pekan BB. Dua buah kereta.

Kami pecahkan kepada dua grup untuk mencari sponsor pada deret-deret kedai di pekan kecil itu.

Fendi, Jijot, Husna. Satu grup.
Aku, Awie, Sabahan. Satu grup.
Ya, kami dah macam pasukan apprentice.

Kami tunjuk proposal projek. Cakap berlebih kurang. Tapi diorang bukannya nak faham sangat pun. Samar-samar. Kabur-kabur. IT? Siti tahulah. Hahahaha.

Masa meeting malam tu. Kami isytiharkan jumlah sponsor selama 2 jam pencarian pada petang tu.

Fendi, Jijot, Husna. Satu grup. Diorang dapat RM50.
Aku, Awie, Sabahan. Satu grup.
Hmm.. Kami dapat RM10 saja. Ceh.

kenangan yang berbaki part 9 - KPDDIN

Tuesday, September 26, 2006 · Posted in

KENANGAN YANG BERBAKI [PART 9] -
KAMI PENYAMUN DI DALAM INI NEGERI

Man. Dia hitam manis. Masa kami kerja sambilan di UUM lepas SPM dulu ada akak-akak tempat kerja cakap dia macho macam Norman Hakim. Hahaha. Tapi aku benci Norman Hakim sejak dia masuk kumpulan Impression. Dengan Eizlan Yusof dan Sani apa entah.

Kalau Fahmy mukanya terkulat-kulat. Tak berperasaan. Kosong. Sebu.
Tapi Man..

Dia hitam manis. Masa tu aku tengok dia dah macam sesumpah. Dari hitam manis bertukar menjadi kuning kunyit. Pucat. Bibirnya kering. Gigil-gigil. Macam pesalah yang menunggu hukuman gantung mandatori. Macam budak yang dipaksa masuk jawi.

Ya, aku tau dia takut. Sangat-sangat. Macam aku juga. Tambahan lagi bapa dia seorang pegawai penjara.

Masa kami kena duduk bertinggung macam pendatang tanpa izin abang-abang Otet tu cakap kat Man; Ha, eloklah tu. Bapak jaga orang dalam penjara. Last-last anak dia masuk penjara..

Man lagi takut. Muka dia lagi kuning kunyit. Lagi pucat. Lagi bibir dia kering. Lagi gigil-gigil.

Lima belas minit..
Setengah jam..
Selepas Tuk Wan menjerkah Fahmy..

Abah Man datang. Mak Man pun datang. Masa tu Mak Man tengah mengandungkan adik dia.

Abah Man cakap, Hangpa ni tak pandai. Lain kali nak merompak kena rancang dulu. Usya line dulu. Ada plan. Ni nak merompak pakai baju sekolah!!

Abah Man datang. Mak Man pun datang. Masa tu Mak Man tengah mengandungkan adik dia.

Dan ada air mata mengalir di tubir mata Man. Aku tunduk. Tunduk. Tunduk.

Nota: Masa kena tangkap kami pakai t-shirt sukan sekolah. Aku rumah hijau.

24 september 1955

Sunday, September 24, 2006 · Posted in ,

24 SEPTEMBER 1955

Mama,
Tiada aku lupa
Kusyen yang engkau tadah
Ketika aku dirotan abah
Dulu

Mama,
Selamat hari lahir.


RAMADHAN

Kalaupun ada gerak dan kata
yang terlanjur dan melukakan
biarlah Ramadhan memberi ruang harap dan ampun
untuk aku dan kamu melihat diri
pada dosa-dosa yang masih berbaki


Ya, boleh copy dan forward puisi di atas ni secara sms ok. :)

kenangan yang berbaki part 8 - KPDDIN

Friday, September 22, 2006 · Posted in

KENANGAN YANG BERBAKI [PART 8] -
KAMI PENYAMUN DI DALAM INI NEGERI

Fahmy kaget. Terkulat-kulat. Kalau pun di hadapannya ada perempuan bogel menari ala Shakira sekali pun dia tetap akan terkulat-kulat begitu. Tak berperasaan. Kosong. Sebu.

Setengah jam..
Empat puluh lima minit..

Tuk Wan Fahmy pun datang.

Hoiii! Tuk Wan menjerkah.

Punggung-punggung terangkat. Aku. Soppy. Hanis. Man.
Wahhh. Macam Hikmat Guruh Gempa dalam Dendam Kesumat. Aku mengomel dalam hati.

Hang ni harap saja belajaq silat. Awat tak balun ja mamat-mamat ni.
Ya, Tuk Wan suruh Fahmy belasah abang-abang Otet yang menyerkup kami. Yang satu tu perutnya buncit.

Mata abang-abang Otet membuntang. Yang satu tu perutnya buncit.

Aku. Soppy. Hanis. Man. Kami senyum menyenget. Dalam hati takut sangat. Fahmy begitu juga. Terkulat-kulat. Tak berperasaan. Kosong. Sebu.



Nota: Al-Fatihah untuk arwah Tuk Wan Fahmy.

kenangan yang berbaki part 7 - KPDDIN

Wednesday, September 20, 2006 · Posted in

KENANGAN YANG BERBAKI [PART 7] -
KAMI PENYAMUN DI DALAM INI NEGERI

Di hujung lorong sebuah pasaraya. Air mata beruntai-untai. Soppy menangis bersungguh. Sesekali dia menarik leleh-leleh hingus kembali ke corong hidung. Dia meraung-raung. Sebek.

Dia Soppy. Kawan aku.

Wei. Rilekslah. Aku pun kena juga. Janganlah nangis. Nanti aku pun nangis.

Aku takuuutttttt..

Hang nak takut apa. Benda dah jadi. Terima je lah. Hang nak takut apa lagi. Takut masuk balai?

Tak. Bapak aku pakai tali pinggang Levi's kepala besi. Mampus aku kena rembat! Waaa....
.
.
.
Soppy. Kawan aku. Yang takutkan tali pinggang Levi's kepala besi bapaknya.

sulung

Monday, September 18, 2006 · Posted in

SULUNG

Dulu. Semasa Tun Dr. M menyuarakan hasrat melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri, dia cakap, "Dah lama dahhhhhhhhh." Dan air mata menteri Rafidah pun merontok.

Jadi sempena Konvokesyen Sulung Universiti Kerajaan Swasta, kami pakat-pakat jerit dalam hati, "Dah lama dahhhhhhh." Dan air mata kami pun merontok.

Tahniah. Terima kasih.

frustrated, konvokesyen, bila

Tuesday, September 12, 2006 · Posted in

FRUSTRATED

Apai frust. Dulu.
Dia break-up dengan awek dia. Dia nanar. Kecewa. Tak tentu hala. Sedikit sasau.

Jadi sebagai sahabat yang baik, kami cakap.
Apai. Bunga bukan sekuntum. Kan banyak junior. Kau ngorat sajalah.
Apai cakap.
Kalau muka macam Legolas tak apalah.

Info: Jejaka tampan yang mahir memanah di dalam filem trilogi Lord of The Rings.


KONVOKESYEN

Ahad depan ada majlis konvokesyen pertama Universiti Kerajaan Swasta.

Walaupun diploma aku sudah selesai 2 tahun lepas, sebagai pelajar yang sayangkan universitinya dan bakal penerima diploma nanti, sudah tentu aku berasa sangat bangga.

Err.. Ada siapa nak bagi aku bunga? :)


BILA PANAS MERENGGUT, ADA HUJAN AKAN MELURUH

Ada panas pasti ada hujan. Ada siang pasti ada malam.
Tuhan takkan beri kita sakit lama-lama. Percayalah.

bunga api, sketsa-merdeka, selamat berumrah

Saturday, September 02, 2006 · Posted in

BUNGA API

Selamat Hari Merdeka.

Seperti biasa sebagai seorang yang patriotik dan sayangkan universiti, aku meraikannya di sini. (ujar Kelambu yang tak tau nak lepak mana. Ceh.)

Kalau tahun lepas MPP ada bunga api tembak satu meletup satu. Tapi tahun ni MPP ada bunga api tembak satu meletup sepuluh. Macam-macam warna ada. Dum dum dushh.. Dum dum dushhhhh... Kau tak perlu lepak-lepak di KLCC atau dataran lagi. :)

Universiti Kerajaan Swasta sudah hebat. Aku rasa tahun depan diorang akan buat bunga api yang sekali tembak boleh nampak satu Batang Berjuntai. Rasa-rasalah.


SKETSA-MERDEKA

2 hari lagi nak merdeka. MPP kelam kabut nak buat festival merdeka. Diorang minta kami (PKKU) buat sketsa. Dulu masa mesyuarat diorang cakap, sebarang projek dalaman mesti dimaklumkan sebulan awal! Kalau projek luaran mesti 3 bulan awal! Hmm, kepimpinan melalui teladan.

Bincang punya bincang kami putuskan buat semula sketsa Talent Time 2 tahun lepas. Jaguh Jalanan. Cerita pasal mat rempit. Pelakon yang sama. Lalbi, Ayie dan As. Cuma Sabahan ganti Nik sebagai tayar belakang. Dan aku sudah tentu sebagai narator yang hebat. Hahaha.

Semua orang gelak mengekek. Semua orang suka.

Sketsa tanpa latihan. Cuma reviu semula rakaman dulu dan buat sedikit diskusi setengah jam sebelum persembahan.

Kalau dulu kami menang johan Talent Time tapi kali ni kami menang persembahan terbaik. Dapat hamper. Hahaha.

Habis menjerit 'merdeka' kat depan PKP. Kami lepak rumah sambil makan-makan.

Dulu-dulu: Talent Time


SELAMAT BERUMRAH

2 September. Selamat pergi umrah buat Wa, Mak Wa dan Lang. Selamat pergi dan balik. Hanya doa saya iringkan.

usahawan 1, 2, 3

Thursday, August 24, 2006 · Posted in

USAHAWAN 1

Siapa cakap orang Melayu tiada jiwa niaga? Aku pernah terbaca artikel bahawa orang Melayu dahulu memang seorang peniaga. Pedagang. Pelaut. Bukan petani. Diorang bertani hanya untuk sara diri saja.

Di Universiti Kerajaan Swasta banyak pelajar berniaga. Macam-macam diorang jual. Nasi lemak. Kad pra bayar. Kereta sewa. Kerepek. Air Tin. Burger. Servis cetak.

Semester lepas Lalbi kena denda sebab tampal iklan servis cetak miliknya.

Abang JanaNiaga cakap. Datang sini bukan nak cari duit. Tapi nak belajar!

Aduh, aku pun nanti akan berfikir seperti begitukah?


USAHAWAN 2

Tapi pelajar-pelajar kreatif. Tabah. Diorang bergerak dari satu bilik ke bilik. Tanpa promosi dan iklan bertampal. Pamflet bertukar menjadi kad bisnes. Lebih genit. Lebih comel.

Tapi jaga-jaga. Kalau kantoi kau kena bayar RM100. Cukup mahal. Cukup menderita.

Nasib baik ada PTPTN. :P


USAHAWAN 3

Papan notis. Blok aku. Hurufnya besar-besar. Macam nak menjerkah.

ROKOK ADA JUAL DI BLOK XX-XX-XX. 24 JAM. TEL 012-1234567

Hahahaha. Aku gelak.

Esoknya iklan tu dah tak ada. Ada kesan terbakar.

suzuki rongak 1, 2, 3, 4, 5, 6

Tuesday, August 22, 2006 · Posted in

SUZUKI RONGAK 1

Suzuki rongak aku kena gari [baca: dirantai+dimangga].

JanaNiaga tak bagi parkir dalam kawasan asrama. Walhal aku dah minta izin felo, En. I [nama dirahsiakan untuk keselamatan].

Tapi diorang gari juga. Diorang letak A4 ber-laminate di celahan SGV. Aku kena tuntut di ofis JanaNiaga di Pusat Pelajar.

Info: SGV ialah sejenis jenama topi keledar.


SUZUKI RONGAK 2

Ofis JanaNiaga. Pusat Pelajar.

Diorang minta surat kebenaran felo. Ok. Aku balik. Aku taip. Cetak. Pergi rumah felo. Minta tandatangan.

Aku balik asrama. Suruh Lalbi fotokopi dari pencetak Brothers 3 dalam 1 miliknya. Ya, aku pengguna bijak.

Aku ke ofis JanaNiaga. Aku bagi surat. Akak tu cakap, "Kami akan telefon semula ye. Tungguuuuuuu".

Aku balik asrama. Dan tungguuuuuuuu..


SUZUKI RONGAK 3

.
.
Seminggu.
.
.
Dua minggu.
.
.
Aku rasa nak mengamuk. Aku ke ofis JanaNiaga di PKP. Abang tu cakap, "Jumpa balik felo ye."

Huh. Nasib baik dia cakap elok-elok.

Aku taip mesej kat En. I bertanyakan status Suzuki rongak. Aku rasa sangat segan. Terasa menyusahkan hidup orang lain.

E. I balas mesej.

-Sabar-sabar juga diusahakan.
Langkah terakhir. Potong rantai-

Aku senyum.


SUZUKI RONGAK 4

Aku cadang nak ke ofis buat perhitungan. Aku nak marah-marah. Aku akan keluarkan Akta Pengguna. Peraturan asrama. Masalah birokrasi. Masalah kemanusiaan. Masalah di Timur Tengah. Eh, boleh ke?

Lalbi perli. Cakap belakang marah-marah. Bila kat depan, baiklah encik. Baiklah kak.

Aku cakap. Nak buat macamana. Kalau dia cakap baik-baik. Aku pun cakap baik-baiklah. Hahaha.

Malam tu aku tak boleh tidur. Aku susun-susunkan ayat.

Hari Jumaat.

En. I telefon. JanaNiaga sudah buka kunci. Dia cakap aku kena cepat sebelum diorang kunci semula.

Alahai. Dah macam Explorace.


SUZUKI RONGAK 5

Brrrrrrrr... Brrrrrrr...

Suzuki rongak tak mahu hidup..

Brrrrr.. Brrrrrrrrr.. Brrrrrrrrrr..

Masih tak mahu hidup.

Brrrrr.. Brrrrrrrrr.. Brrrrrrrrrr..

Aaaaaaaaaa.. Hiduplaaaaaaaaaa..

Aku buang sarang angkut-angkut di celah-celah enjin. Aku gerakkan wayar-wayar yang aku tak tahu fungsinya. Aku main-mainkan pencekik. Aku pulas-pulaskan pendikit.

Aku lelah. Aku minta Lalbi tolong henjut penghidup tendang.

Brrrrrrrrrrr... Brrrrrrrrrrr..

Brrrrrrrrrrr... Brrrrrrrrrrr..

Brrrrrrrrrrr... Brrrrrrrrrrr..

Brrruummm.. Brruuummmmmmmm.. Bruuummmmmmmmmmmmmmmm....

Bbrrrruuuuummmmmmmmmmmmmm...........

Hoorayyyyyyyyyyyyyyyyy......

Belalang Tempur sudah hidup!

Kami bersorak girang.


SUZUKI RONGAK 6

-via sms-

Baru saja cadang nak gegar JanaNiaga. Tapi kemarahan saya tertangguh. Betul Tuhan bersama orang yang sabar. Terima kasih banyak. Kesulitan amat dikesali. Nanti saya tak simpan motor lagi. Saya simpan kotak saja. Haha. - aku

Bila berserah. Serahkan rohnya sekali. (roh=kunci) - En. I
.
.
Otak aku berpusing-pusing menyusun makna.

seri pengantin 1, kenapa saya tidak update blog, 3 alasan kenapa saya menang ulasan akb, seri pengantin 2

Friday, August 18, 2006 · Posted in ,

SERI PENGANTIN 1

Kawan aku kahwin. Dia satu batch dengan aku. Bergelumang di Universiti Kerajaan Swasta sejak 2001.

Spesis kawan ni ada macam-macam. Ada kawan yang kita selesa studi bersama. Ada kawan untuk berhura hura. Ada kawan untuk kita luahkan masalah. Ada kawan untuk kita bersembang tentang perempuan. Tentang negara. Tentang hidup. Tentang apa yang kita suka. Tentang umpat-umpatan. Tentang AF. Tentang filem Razak Mohaideen. Tentang Siti Nurhaliza.

Aslam kawan aku yang berminda bisnes. Dia kahwin selepas 2 tahun menjadi lepasan graduan Universiti Kerajaan Swasta. Kata Tuan Haji, Aslam antara keluaran terbaik fakulti kami. [Dah macam produk pulak]

Dan dia contoh terbaik kawan aku yang punya matlamat jelas. Hidup yang spesifik. Oportunis. Dan berbakat.

Seri pengantin menggamit aku, Ayie, Syem, Salleh, Awie, Lalbi dan Adie ke Pulau Mutiara. Pulau Pinang

Selamat Pengantin Baru.
Mohamad Aslam dan Norliza.


KENAPA LAMA SAYA TIDAK UPDATE

1. Susah nak online. Kena pergi kafe siber. Wifi kena sekat lagi.

2. Suzuki rongak kena gari. Jadi susah nak pergi kafe siber. Saya malas nak jalan.

Nanti saya tulis pasal cerita Suzuki rongak ok.


3 ALASAN KENAPA SAYA MENANG ULASAN 'AYAH KITA BOS'

1. Tak banyak peserta yang turut serta. Peluang kemenangan cerah. Kurang saingan.

2. Gunakan bahasa bombastik. Pujian melangit. Tapi relevan.

3. Kacak.

[Abaikan alasan nombor 3 jika anda rasa tertekan.]

Baca: Ayah Kita Bos - Naskhah Yang Berputar


SERI PENGANTIN 2

SIAPA AKAN KAHWIN SELEPAS INI?

Wei, korang pergi kenduri ke pergi disko? - Ejam

surat buat tnc

Thursday, August 10, 2006 · Posted in

SURAT BUAT TNC

Datuk,
Kat Dewan PKP ada tampal poster Etika Pakaian Pelajar Universiti Kerajaan Swasta.

Siswa berkemeja kolar. Baju di-tuck-in-kan. Atau berjaket universiti. Siswi anggun berbaju kurung. Bertudung litup. Boleh juga berseluar panjang. Atau berjaket universiti.

Datuk,
Itu semua satu penipuan yang jijik. Di sini siswa dan siswi hanya ikut etika pakaian seperti di dalam poster tu hanya semasa nak ambil peperiksaan saja. Atau ada sesi pembentangan kerja kursus masing-masing.

Hakikatnya kami di sini gemar pakai t-shirt. Jeans lusuh. Kalau ada sedikit koyak-koyak dan rambu ramba itu sudah semestinya cukup kewl. Apatah lagi kalau dikenakan dengan rambut yang merah keperangan dan digayakan ala mohican.

Kami rasa kesal dengan poster tu. Poster tu tak ikut etika berpakaian kami. Tolong lucutkan poster tu seberapa segera.

Sekian, terima kasih.

hostel lagi, pengganas, rantai

Tuesday, August 08, 2006 · Posted in

HOSTEL LAGI

Emm.. Lupa aku nak bagitau. Aku dapat duduk asrama lagi. Lalbi yang tolong selesaikan semua urusan rayu merayu. Kali ni pindah kluster A5 pula. Tingkat 2. Kami dah tak duduk di penthouse tingkat 4 lagi yang boleh dengar bunyi-bunyi mistik dan misteri nusantara.

Aku masuk lap kaki saja dan menjerit girang. Yeayy!!


PENGGANAS

Baru aku tau sebab apa JanaNiaga marah sangat dengan siswa-siswa Universiti Kerajaan Swasta.

Vandalisme.

Apa tidaknya. Asrama yang aku menginap sekarang ni dah macam sarang pengganas. Semua pintu kopak. Cat di dinding lekang-lekang dek berbekas tampalan poster-posteran dan gambar-gambaran. Dinding berkulat. Sliding door tak boleh nak tutup. Aku dengar juga ada bilik yang ada lukisan mural dan grafiti.

Tapi tak eloklah kalau kita marahkan orang tu sebab dia jahat dan kemudian kita tuduh semua orang jahat. Kan kan.

Janganlah jadi macam Amerika. Diorang tak puas hati dengan Saddam tapi diorang bunuh rakyat Iraq. Diorang sekat bantuan ubat-ubatan.

Karam Singh Walia cakap, 'janganlah dek nyamuk seekor kelambu habis dibakar'.

Aduhai.. Kalaulah JanaNiaga tahu betapa berhemah tingginya kami membasuh bilik air semasa buat pengosongan asrama semester lepas...


RANTAI

JanaNiaga rantai Suzuki rongak aku. Ada notis ber-laminate di celahan topi keledar. Aku rasa sangat bangga. :)

lori

Friday, August 04, 2006 · Posted in

LORI

Baammmm!!!

Aku, Edi, Lalbi dan Salleh berlari-larian ke simpang tiga di luar pondok jaga. Tak sampai 5 minit kawasan tu dah jadi macam pesta.

Ada kemalangan. Teruk. Sebuah kereta Kelisa dipandu siswa berlanggar dengan lori. Pemandu ok. Cuma kawannya di sebelah kurang ok. Kaki tersepit. Aku rasa kaki dia patah. Nasib baik tak mati. Bomba datang. Kepingan-kepingan yang terkopak dipotong. Dicungkil.

Bau busuk menusuk-nusuk. Bukan bau darah atau petrol tersimbah. Tapi bau lori sampah. Ya, lori-lori sampah yang mudik melonggokkan sampah di Bukit Tagar di kawasan sini semuanya laju-laju. Diorang bawa sampah macam bawa perempuan yang nak mengandung pergi hospital.

Ini kemalangan ngeri pertama membabitkan lori dan kereta siswa di Universiti Kerajaan Swasta.

Aku rasa DBKL kena sediakan siren berlampu kat lori-lori sampah tu.

Atau pasang lagu macam penjual aiskrim Mat Kool.

Atau pun diorang kena jerit macam ni,

[sebut ikut versi surat khabar lama]

Looooooooooooori sampah lalu... Looooooori sampah lalu......

Senang kami nampak dan berjejer beri laluan.

daftar awal, hantu, drift, pesta buku, hantu atau manusia

Tuesday, August 01, 2006 · Posted in

DAFTAR AWAL

Hari Jumaat aku dah daftar. Lepas tu aku lepak di Shah Alam. Aku lepak rumah Syem di Pangsapuri Puteri, Padang Jawa.


HANTU

Tengok hantu di Muzium. Orang ramai tengah jenguk-jenguk balang kaca besar. Kalau nasib kau baik kau boleh nampak pocong. Lompat-lompat 'zero point'. Kau bisa saja kemamaian dan meracau-racau.

Syem berbisik, "Takkan kau tak nampak? Cuba kau tengok betul-betul."

Aku hairan, "Tak ada apa pun. Tipulah."

Ujar Syem lagi, " Tuuuuuuuu. Tengok betul-betul."

Lampu pun membias. Ada pantulan mengerdip. Aku nampak muka aku. Dan muka Syem.

Hahahhahahhahhhahha. Kami bantai gelak mengalahkah jenglot, ikan duyung dan toyol.


DRIFT

Kami tengok 'drift' kat Subang sampai lebam.

Masa balik, Syem pula buat 'drift'. Kereta dia tak terbalik. Tapi aku yang tunggang terbalik dalam kereta tu. Ceh.


PESTA BUKU

Ada pesta buku kat kompleks PKNS. Syem beli Quran tafsir. Kakak yang jual tu tengok Syem sambil tersipu-sipu dan nak gelak tertahan-tahan.

Tak. Syem tak terlupa tutup zip seluar. Seluar Syem tak terkoyak pun. Cuma Syem pakai seluar pendek. Alahai..


HANTU ATAU MANUSIA?

Aku balik semula ke Universiti Kerajaan Swasta. Masa dalam bas dari Shah Alam ke KL, ada seorang perempuan Cina tua duduk belakang aku tiba-tiba meratib. Kuat. Ada bunyi ayat-ayat berbahasa Siam.

Orang-orang di depan tertoleh-toleh. Musykil. Gusar.

Aku berdoa. Otak aku terbayang-bayang perempuan Cina tua tu akan mencekik leher aku.

Tapi 15 minit lepas tu dia diam. Aku rasa lega. Baru aku tau. Yang sepatutnya kita takut bukannya hantu. Tapi manusia sendiri. Mana ada dalam berita hantu merogol, membunuh, sumbang mahram. Bak kata pakcik Astro, "Macam-macam ada!"

cuti yang muram v - hostel baru

Tuesday, July 25, 2006 · Posted in

CUTI YANG MURAM V - HOSTEL BARU

Ya, Kelambu tak dapat asrama. Dia kena duduk luar. Berlaku salah faham yang mendukacitakan.

Universiti Kerajaan Swasta bagi tiga pilihan.
i. Banglo mewah di Kuala Selangor - percuma
ii. Kondominium mewah di Puncak Perdana - percuma
iii. Rumah kos rendah di Batang Berjuntai - sewa

Oleh kerana Kelambu berjiwa rakyat, dia pilih no 3. Sekian , terima kasih.

cuti yang muram iv - rindu bayangan

Saturday, July 22, 2006 · Posted in

CUTI YANG MURAM IV - RINDU BAYANGAN

Angin memukul pilu di batu-batu.
.
.
.
Kalau boleh saya nak pos semua rindu saya kat awak. Tapi. Posmen kata tak boleh. Sebab rindu saya besar sangat.

Lama mana pun rindu tu sampai. Saya akan tunggu. Dan saya akan simpan setemnya. Sebagai bukti.

Alahai.. Pos laju tak guna setemlah..

Kalau macam tu saya simpan sampul surat tu. Ada cop tertulis, "awak suka saya tak?" Cantik. :)

Uik. Adeh. Gatal betul posmen tu. Dia yang cop tu. Mesti dia gay. Astaghfirullah.
.
.
.
Dan angin memikul pilu di batu-batu..

cuti yang muram III - luluh

Thursday, July 20, 2006 · Posted in

CUTI YANG MURAM III - LULUH

Cuba Kubunuhmu Pada Malam

Apabila hari-hari siangku hilang
Lalu cuba kubunuhmu pada malam
Namun mimpi-mimpi sedih itulah yang kau pulangkan
Bayang-bayang wajahmu itulah yang kau jelmakan

Akukah yang selalu membilang?
Sekerdip bintang di langit cerlang
Dan engkau tidak pernah mahu memandang
Sekudup rumput di padang ragut

Lalu,
Biarlah terus kubunuhmu pada malam
Meskipun yang terbunuh itu
Hanyalah mimpimu padaku...

Seri Dewi dan Keluarga
Jun 2005

cuti yang muram II - hantu raya

Tuesday, July 18, 2006 · Posted in

CUTI YANG MURAM II - HANTU RAYA

Aku keluar minum dengan Johan Tomok. Aku panggil dia Tomok sebab dulu dia suka lagu New Boys, Sejarah Mungkin Berulang. Dan dia akan marah-marah pada setiap kali aku memanggil nama gelaran itu.

Kami minum kat Iman, pusat lepak-makan-minum-borak-malam-malam di Alor Star. Kami cerita macam-macam. Dari cerita luar seluar sampailah ke cerita dalam seluar [aku tak panggil cerita dalam kain sebab kami tak pakai kain masa tu]

Habis borak. Aku bayarkan untuk diri sendiri dan Johan. Johan cakap gaji dia tak dapat lagi. Jadi tak boleh nak belanja. Chait. Dia marah-marahkan pejabat tempat dia kerja sambil berlalu pergi.

Tiba-tiba baru aku teringat. Abang Kit ada suruh aku beli capati. Aku suruh Johan berhenti kat mana-mana kedai mamak. Dia berhenti kat mamak Nasmir di Simpang Kuala. Aku pun turun dan memesan capati pada seorang mamak di situ.

Tiba-tiba Johan cakap. Alamak!!

Dan aku pula cakap. Awattt?? [bagi yang tak mahir bahasa utara, 'awat' membawa maksud 'kenapa']

Tak apalah nanti lepas siap capati aku cerita kat hang.

Capati pun siap. Kami pun pulang. Aku tanya Johan tentang apa yang hendak diberitahunya tadi.

Hari tu, member aku cakap Haron Din datang makan kat kedai tu. Hang tau apa Haron Din nampak?

Apa dia??

Tu dia Hantu Qaya dok tengah kangkang atas bumbung!!

HahahHHahhAHHhahhaHAhhaahhAA. Aku gelak bersungguh.

Johan tak puas hati.

Aku gelak lagi.

cuti yang muram I

Thursday, July 13, 2006 · Posted in

CUTI YANG MURAM I

Selalu-selalunya beginilah. Kalau aku sendirian saja yang bercuti. Ramai kawan sudah mudik semula mendaftar ke universiti masing-masing. Yang tinggal pula sudah bekerja.

Aku rasa pihak pentadbiran Universiti Kerajaan Swasta cemburukan para pelajarnya yang riang bercuti. Diorang berikan cuti ketika pelajar universiti lain masuk mendaftar. Diorang berikan cuti ketika sekolah-sekolah di Malaysia tidak bercuti. Padan muka korang. Siapa suruh tangguhkan yuran asrama. Korang bercutilah sorang-sorang kat rumah tu! Wakakakakaka - menjerit girang pihak pentadbiran Universiti Kerajaan Swasta.
.
.
.
Aduh, bosannyaa..
.
.
.
Err, ada sesiapa mahu ajak aku berkencan? Cuma YM aku ok. Sekitar bandaraya Alor Star. Aku ini penyantun orangnya. Lagi berbudi bahasa. Ceh!

rumah

Sunday, July 09, 2006 · Posted in

RUMAH

Pandapotan MT Siallagan

sudah selapuk rindumu rumah itu
dingin dan lembab yang mengalir dari matamu
melukiskan sunyi pada dindingnya

ketika kau berkunjung membawa rindu
lantainya sudah berlubang-lubang digali luka
nafasmu tersentak. kau berlari ke halaman
tapi pekarangan juga sudah usang

tak ada lagi taman, juga bunga-bunga
untuk kau petik sebagai kenangan, sejarah kepergian

ah, sejauh apa sesungguhnya kita telah mengembara?

Kamarpilu, Pekanbaru, 2004

musim cuti 4, musim cuti 5

Friday, July 07, 2006 · Posted in

MUSIM CUTI 4

Orang sini semua makan guna tangan ya?

Err, ha ah.

Eh, tu ada yang pakai sudu. Kenapa ya?

Errr.... Diorang malas basuh tangan.

Ooo, sebenarnya ikut suka ya mahu pakai sudu atau tangan.
.
.

Sungai Perak. Aku dan Norsi. Menikmati makanan tengah hari. Aku makan nasi. Lauk ikan keli bersambal. Juga sepotong telur dadar. Norsi pun sama. Dia suruh makcik kedai masukkan lauk yang sama dengan lauk aku.



MUSIM CUTI 5

Saya baru daftar UiTM, Shah Alam. Kursus pra ijazah undang-undang. Tapi diorang suruh pergi UiTM, Sungai Petani. Abang MPP tadi yang hantar.

Lohhh... Mati-mati aku ingat mamat tadi 'balak' Norsi.

Sorang saja?

Norsi mengangguk.

Tak ada siapa-siapa pun?

Norsi mengangguk lagi.

Beraninya.

Norsi menyenyum. Woi.. Tersenyumlah. Kau ingat semua ayat boleh di-rhyme-kan?
.
.
. . .

Bagi aku. Norsi manusia tabah. Kerana dia seorang perempuan. Ditolak-tolak ke sana ke mari. Menyusur arus tanpa keluh. Melempar senyuman pada setiap kepahitan.

Tak seperti aku. Lelaki yang banyak mengeluh pada kesulitan yang kecil. Melihat ketabahan Norsi adalah tempelakan pada keburukan diri.

Ah, tiba-tiba aku jadi malas mahu menceritakan perihal Norsi lagi.

Norsi, aku harap kamu tamat pengajian ok. Banyak yang aku mahu ceritakan. Tapi sekarang aku sudah kehilangan nafsu untuk bercerita.

-TAMAT-

Aduh.. Aku terlupa minta nombor mobil bimbitnya.

kenangan yang berbaki part 6, musim cuti 3

Wednesday, July 05, 2006 · Posted in ,

KENANGAN YANG BERBAKI (PART 6) - SEPET

Dulu. Aku sendirian di Pudu Raya. Aku menunggu Wan datang menjemput ke rumahnya di Ampang. Kami akan gerak bersama-sama ke Institut Teknikal Johor esoknya.

Ada seorang apek tua menghampiri. Berjalan senget-senget.

"Cong ceng cong cong ceng." selancar mungkin apek tua berbahasa Hokkien.

"Err.. Saya Melayulah." Mentang-mentanglah aku bermata sepet. Bersawo matang. Mungkin dia ingat aku Cina di perbukitan. Orang Melayu tak boleh bermata sepetkah?

Selancar mungkin apek tua berbahasa Melayu. Oh, dia mahu minta tambang ke Taiping. Aku bagi seringgit cuma.

Dia suruh simpan kad pengenalan ber-laminate miliknya. Sebagai bukti untuk aku menuntut semula duit yang terhutang.

Ceh. Muka tak sama langsung!


MUSIM CUTI 3

Tutur Norsi, "Abang dari Sabah ya?"

Mentang-mentanglah aku bermata sepet. Bersawo matang. Mungkin dia ingat aku ini Sabahan. Orang Semenanjung tak boleh bermata sepetkah?

"Saya dari Kudat. Pertama kali ke Semenanjung. Mau daftar belajar."

Aku mahu sendiri-sendiri. Aku tak mahu diganggu. Pernah aku cuba ramah mulut dengan seorang tua di kerusi sebelah. Dan musibahnya aku terpaksa mendengar berita politik selama 4 jam. Tentang kebobrokan pemimpin. Tentang keluhuran perlembagaan. Tentang hipokrasi manusia.

Selalu-selalunya aku mahu sendirian apabila pulang. Aku lebih suka memerhati. Tambahan lagi kebelakangan ini banyak kekusutan yang membelenggu minda. Yang merusuh jiwa.

Dan Norsi yang aku perhatikan. Dia gadis cantik. Berkulit cerah. Tulang pipi menonjol. Berbaju kurung warna pudar. Berambut lurus paras bahu yang sesekali berkecamuk dihembus angin. Senyumnya sedikit-sedikit. Tidak habis. Dan dia selalu tertunduk-tunduk malu bila berbicara.

"Abang belajar lagi ya?"

Abang??
.
.
Mentang-mentanglah aku tak cukur jambang 2 minggu dia dah panggil aku abang. Kalau aku simpan jambang aku lagi sebulan. Aku rasa dia akan panggil aku pakcik.

"Nama abang apa? Saya Norsi."

Adoi. Aku rasa dia nak mengorat aku. Aku dah mula perasan.

[bersambung..]

musim cuti 1, baik 1, baik 2, piala dunia 2, musim cuti 2.

Sunday, July 02, 2006 · Posted in

MUSIM CUTI 1

Exam sudah habis. Ya, sudah tentu sekarang musim cuti. Tapi aku kena buat pengosongan hostel dulu.

Kena buat appointment dengan JanaNiaga. Kena tunggu diorang datang periksa bilik. Dan kena berambus dalam masa 24 jam pada hari pengosongan tersebut. Aku rasa dah macam setinggan walaupun aku tak pernah tak bayar duit hostel.



BAIK 1

Kenapa penting berbaik-baik dengan pensyarah?

Ya, salah satunya untuk dapat gred yang tinggi. Lagi?

Ya, dan satu lagi ialah untuk tumpang menyimpan barang ketika anda terpaksa menjadi pelarian di universiti sendiri.

Aku tumpang simpan barang di rumah En. Ijat, seorang pensyarah kejuruteraan. Juga merangkap sifu aku. 3 kotak besar dan 1 beg sederhana besar.

Lalbi yang merancang dan menelefon.

En. Ijat tanya, banyak ke barang-barang korang?

Lalbi jawab. Adalah lebih kurang 2 tan.

Hahaha. Orrrraaittttt.... En Ijat ketawa bersungguh.

INFO: Barang-barang dikira seberat 2 tan kerana termasuk Suzuki rongak



BAIK 2

Dulu masa Jarul bercinta. Suzuki rongak itulah yang menjadi saksi bisu percintaannya. Kalau pasangan lain bersaksikan bulan, bintang dan cakerawala. Tapi sudah tentu Jarul bersaksikan Suzuki rongakku.

Tapi hari berganti hari. Masa berubah. Banyak yang tersirat sudah tersurat.

Jarul sudah bekerja. Sudah ada kereta dan motor sendiri.

Jadi sekarang giliran aku menyusahkan Jarul. Aku minta Jarul simpankan komputer aku dan hantarkan aku ke seksyen 17, Shah Alam untuk pulang bercuti.



PIALA DUNIA 2

Perancis layak ke separuh akhir. Aku menonton beramai-ramai di Mamak Hakim di seksyen 7 yang baru. Turut semeja bersama aku ialah Jarul, Pian, Syem dan kawan Pian.

Tapi cuma aku yang gembira sebab Perancis menang. Diorang semua suka Brazil. Tapi Brazil kalah. Pian cakap Brazil main macam binat.

Apa tu? Aku sedikit keliru.

Macam binatang!! Hahaha. Pian masih kecewa berpanjangan. Juga yang lain-lain.



MUSIM CUTI 2

Namanya Norsi. Dari Negeri Di Bawah Bayu, Sabah.

Dia gadis 18 tahun. Dan di dalam bas itulah kami bertemu...

[bersambung..]

piala dunia, exam lagi, diktator

Saturday, June 24, 2006 · Posted in

PIALA DUNIA

Asia tiada wakil untuk ke pusingan kedua kali ini selepas tumbangnya Jepun dan Korea Selatan. Ghana pula menjadi satu-satunya wakil dari Afrika.

Opps. Aku terlupa. Masih ada Australia. Mereka masih mewakili zon Asia.

Republik Chezch dah terkeluar walaupun mempunyai rekod yang baik berjumpa Itali. Juga rangking kedua dunia. Aku mula berkira-kira mahu menyokong pasukan Ukraine. Juga pasukan-pasukan underdog yang lainnya. Mungkin voodo Ghana boleh meracun samba Brazil.

Beberapa hari lepas ada wartawan temubual seorang YB wanita tentang pasukan pilihannya di Piala Dunia.

Dia suka Argentina. Sebab pemain-pemainnya kacak. Mungkin dia suka Ayala yang tampan. Atau Messi yang jambu. Atau Cambiasso yang matang. Atau Riquelme yang sedikit kemelayuan.

Aku tak dapat bayang YB tu tengok bola macam tengok telenovela. Sambil berangan-angan, mengunyah pop corn dan Coca Cola.


EXAM LAGI!!

Minggu depan mula exam! 26 dan 29 haribulan.

Aku mula risau akan mengantuk di dewan peperiksaan gara-gara Piala Dunia.


DIKTATOR

Diktator JanaNiaga tampal pekeliling. Pelajar kena kosongkan asrama sebelum cuti.

Gila. Diorang buat pelajar macam kambing. Hari tu kami di kluster D kena pindah ke kluster A. Tingkat 4! Kami kena naik turun angkat barang sebanyak 8 kali!

Kali ini kami kena kosongkan bilik pula. Tak sampai pun satu semester.

Dia ingat pelajar semua duduk sebelah universiti kot. Dia ikut sedap dia saja halau pelajar.

Aku rasa sangat dizalimi. Sangat tidak adil. Ditindas. Kecewa. Marah. Tertekan. Murung. Dan kacak.

sibuk

Wednesday, June 21, 2006 · Posted in

SIBUK

Minggu lepas. Kesibukan agak membelenggu. Ada tugasan kelas. Ada tugasan persatuan. Ada tugasan Piala Dunia (tugasan untuk aku menontonnya) :P.

Tugasan Kelas

Grup aku kena buat survey. Pusing 3 taman di pekan Batang Berjuntai. Edarkan soal-selidik dan kutip soal selidik. Tentang penggunaan ICT di kalangan penduduk di sini.

Populasi penduduk agak seimbang.

Ada satu komen dari budak sekolah menengah.

-Banyakkan lagi info-infa-

Suka-suka hati dia buat kata ganda macam tu.


Tugasan Persatuan

Persatuan Mahasiswa Teknologi Maklumat (PEMATEK) jemput aku jadi juri Battle of the Band untuk pilih 12 band dari 23 untuk ke final. Ada sponsor majalah ROTTW. BMG. Sony Music. Red Bull. Artis jemputan, Flop Poppy. Gempak!

Banyak pensyarah tak puas hati sebab acara tu lari dari objektif persatuan. Dan bila dah dibuat pandai pula jemput ahli PKKU (Persatuan Kesenian dan Kebudayaan) untuk jadi juri. Lagilah orang pandang serong aktiviti-aktiviti kesenian ni.

Main gitar pun tau kod asas saja. Manalah aku tau nak nilai pasal muzik. Apatah lagi nak perhatikan pasal string, pitching, tempo dan vokal.

PEMATEK sepatutnya anjurkan acara yang lebih bercirikan kredibiliti mahasiswa IT. Yang dikatakan memonopoli masalah pengangguran di luar sana tu. Yang pelajarnya dikatakan tiada nilai pasaran.

Aku takut juga cerita lama berulang kembali seperti yang berlaku pada penganjuran Battle of the Band di Shah Alam dulu.

Aku, Awie, Puan Farah dan Cik Azliana jadi juri untuk dua malam saringan. Aku cuba nilai sejujur mungkin. Dari aspek identiti band. Pemilihan lagu. Keseimbangan vokal dan melodi. Serta sedikit kreativiti dan keintelektualan antara kolaborasi persembahan muzik, lagu dan lirik.

Kalau ada orang pertikai keputusan. Aku akan jawab, kamu dah baca novel Faisal Tehrani, Advencer Si Peniup Ney? :)

Hari final aku tengok separuh masa pertama saja. Sebelah petang. Sebelah malam aku boikot. Sebab?

Ada kru PEMATEK tak kenal aku. Dia minta tengok cop. Aku tunjuk. Dia minta tengok tiket. Aku jawab. Eh, juri pun kena tunjuk tiket?

Aku terguris. Dia cakap meninggi. Kasar dan biadap. Memang tak layak duduk bahagian publisiti. Dia buat semua orang macam penyeludup gula di sempadan.

Aku balik rumah buka tv. TV tak ada Piala Dunia. Diorang tayang Liga Perdana Malaysia. Kedah lawan Melaka. Kedah menang 1-0 dan jadi juara Liga Perdana. Aku suka.


Tugasan Piala Dunia.

Racist untuk perlawanan Ivory Cost dan Netherlands!

Kecewa Republik Chezch kalah! Dalam tv ada sorang penyokong Ghana letak belanga atas kepala sambil silang tangan di dada. Dia duduk tegak tak bergerak.

Aku rasa dia dukun. Dia guna voodo untuk Ghana menang.

Nama pemain menarik.
Babic - Crotia
Pimpong - Ghana
Kone - Ivory Cost
Zaccardo - Italy

orang gila, yang pertama, jojol

Tuesday, June 13, 2006 · Posted in

ORANG GILA

Pagi Sabtu lepas. Ada orang jerit-jerit. Kiri kanan kiri kanan. Kuat dan nyaring. Mengganggu tidur aku gara-gara lewat menonton Piala Dunia 2006.

Aku dah suspek ada orang gila terlepas masuk ke Universiti Kerajaan Swasta. Ye la, hari tu kerbau pun pak guard boleh bagi pas masuk. Inikan pula orang gila.

Aku berjalan kemamaian dan bertenggek di tepi jendela kamar Ayie.

Oh. Kadet Pertahanan Awam rupanya. Ya, Universiti Kerajaan Swasta sudah ada pasukan beruniform sendiri.


YANG PERTAMA

Masa mesyuarat persatuan minggu lepas. Presiden kadet tu cakap persatuan kadet diorang adalah yang pertama di IPTS.

Tapi aku rasa tak. Aku rasa apa-apa persatuan yang ditubuhkan di Universiti Kerajaan Swasta adalah yang pertama di antara IPT-IPT di Malaysia.

Sebabnya universiti ni ada dua gelaran. IPTA+IPTS. Mana taknya. Bila kau buka surat khabar mesti ada iklan "Mahu mengalami suasana IPTA di IPTS?"

Aku tak tau apa suasana IPTA di sini. Aku pun tak tau IPTA mana yang mahasiswa boleh pakai subang, rambut cacak dan warna warni. Mahasiswi pula boleh pakai skirt pendek, seluar pendek, rambut warna-warni dan baju tak ada lengan.

Mungkin kerbau masuk kampus tu suasana di IPTA kot. :P

INFO: Universiti Kerajaan Sawasta adalah IPTS mengikut penyata Kementerian Pelajaran.


JOJOL

Beberapa minggu lepas. Aku ada turun makan dengan Edi. Di 'Restoren Atap Nipah' seputar pondok guard utama.

Ada sekumpulan awek cun turut makan di situ. Semasa diorang mahu pulang, ada seorang awek tu cukup menarik perhatian aku dan Edi. Bukan mukanya tapi dadanya. Dia pakai singlet hijau berleher luas dan disarung blaus warna putih agar tangan tak berbintik disuntik nyamuk.

Bagi lelaki yang normal dan kurang imannya seperti Edi [Hahahaha] sudah tentu mata dia tak dapat mengelak dari menatap benda yang sepasang tu. Ya, betul. Besar dan terjojol sangat. Macam nak terkeluar.

Aku cakap kat Edi sambil minum kopi ais, "Kau nampak tak apa yang aku nampak?"

Edi jawab sambil meneguk air liur,"Wei, rileks dulu. Bagilah dia blah dulu kalau ye pun kau nak cakap."

Ya, betul. Besar dan terjojol. Macam nak terkeluar. Kami geleng-geleng kepala saja sambil sambung sesi makan kami yang tertunggak.

Aku taulah semua orang panggil tempat ni BB. Dia ingat Bukit Bintang kot. Tapi sebenarnya Batang Berjuntai. Alahai.

mas cotek, perdana menteri yg kami sayang

Saturday, June 10, 2006 · Posted in

MAS COTEK

Jarul datang bercuti di Universiti Kerajaan Swasta. Ya, Jarul yang dulu tu. Yang selalu muncul dalam entri aku seputar tahun 2004-2005.

Tapi dia hanya sempat sambung Ijazah untuk satu semester saja masa di Shah Alam dulu. Sejak kami berpindah ke Batang Berjuntai [aku benci istilah Berjuntai Bestari] kemesraan kami dijauhkan masa dan jarak. Dia ambil keputusan bekerja di Shah Alam.

Jarul ada juga buat kerja sambilan. Dia jadi pereka grafik untuk satu kompeni air kesihatan yang menggunakan ekstrak tumbuhan bernama MAS COTEK.

MAS COTEK? Sebut betul-betul, MAS CO-TEK.

Memandang nama tumbuhan tu mempunyai unsur erotik, aku rasa air minuman tu boleh laku.

Apa pun aku doakan design Jarul tak kena reject.


PERDANA MENTERI YANG KAMI SAYANG

Tunku Abdul Rahman, Bapa Kemerdekaan. Kalau Tun Abdul Razak? -Jarul

Bapa Pembangunan! -aku

Kalau Tun Hussein Onn? -Jarul

Err.. Apa eh..?? -aku

Err.. Aku pun tak ingat. Tapi ada gelaran dia. Semua bekas PM kita ada gelaran masing-masing. -Jarul

Hah, aku tau! -aku

Apa dia? -Jarul

Tun Hussein Onn, bapa Hishamuddin!! -aku
.
.
Wakakakakaka!!!

kenangan yang berbaki part 5-hero

Tuesday, June 06, 2006 · Posted in

KENANGAN YANG BERBAKI (PART 5) - HERO

Pekan Pendang yang damai. Dulu. Aku pemastautin di rumah penghulu. Hadapan lamannya ada bangsal menunggu bas yang menjadi pengkalan kambing-kambing berteduh dan berak. Tahinya bulat-bulat macam makjun.

Aku. Abang Kit. Abang Ah. Masih kanak-kanak kecil. Kami akan dikhatankan di klinik kerajaan. Mata kami pegun. Ada bias ketakutan. Geletar melihat rakan-rakan sebaya melolong dan mengilai kerana dipotong 'anu-anu' mereka.

Aaaaaaaaaaaaaaaa!!!
Aaaaaaaaaaaaaaaaaa!!!
Doktorrrrr jahattttttttttttttttttttttttttttt!!!

"Siapa masuk dulu dia hero!" mama muncul dengan mata bersinar.

Aku bangun mengosok-gosok punggung yang tersarung kain pelikat kecil. Melangkah gagah ke bangku paling hadapan. Hanya kerana mahu menjadi hero di hati mama.

Giliran pun tiba. Dan aku berjalan mengedek ke dalam.
.
.
.

Kecilnya. Darjah berapa ni? Darjah 1 eh? - doktor

-geleng-

Haa. Ni mesti darjah 2? - doktor

-geleng-

Tadika? - doktor

-geleng-

Habis tu? - doktor

Darjah kosong!

Darjah kosong? Macamana tu? -doktor

Dah habis tadika. Nak masuk darjah satu.

Ooooooo. Okey.- doktor
.
.
.
.

Cuti sekolah penghujung tahun. Aku menjadi hero paling muda. Tanpa sebutir air mata.

kenangan yang berbaki (part 4)

Wednesday, May 31, 2006 · Posted in

KENANGAN YANG BERBAKI (PART 4)

-Sempena Hari Tanpa Tembakau-

Dulu. Di Institusi Teknikal Johor.

Aku, Bain dan Apon. Remaja yang baik. Tega menunggu usia mereka genap 18 tahun untuk cuba-cuba merasa kertas silinder bernikotin. Rokoklah!

Restoren mamak ABC. Kota Masai. Ada jukebox. Kau boleh dengar woofer-nya yang kuat. Dum dum ceh. Dum dum ceh. Setengah batu jauhnya. Sekali lagu Tamil daa.

Ada tanah lapang kontang dan jalan perumahan yang luas terbentang. Selalunya abang-abang lori akan singgah berehat di tepi jalan itulah. Untuk tidur selepas lelah menghantar muatan ke Pasir Gudang. Selalu selalunya begitu.

Aku, Bain dan Apon. Malam ketika itu. Waktu premier. Berjejer dan bertinggung di bawah kontena lori. Fuh fuh fuh. Kami hembus sisa nikotin yang terbakar. Macho!

Fuh fuh fuh. Kami usha gadis-gadis Institusi Teknikal Johor yang baru mudik pulang dari pasaraya Tenang. Tak lepas juga meloroti lenggang kakak-kakak jurujual. Uihhh, tonggek-tonggek belaka.

"Wei, manis manis manis!" - Apon
"Mana? Mana? Awek yang mana satu!?" - Aku
"Ni ha. Manis siot!!" - Apon

Apon menjerit girang. Pertama kali merasa keretek Gudang Garam. Original!

Pelangkungggg!!

AMARAN KERAJAAN MALAYSIA: MEROKOK MENAMBAH PENDAPATAN NEGARA

pelik

Tuesday, May 30, 2006 · Posted in ,

PELIK

Menjawab soalan dari saudara book. Aku tak mahu dia rasa tersisih apatah lagi makan hati berulam jantung kiranya permintaannya itu tidak dilayan. :)

Ya, kepelikan tentang aku. Dan aku senaraikannya. Biarpun barangkali perkara-perkara tersebut tidaklah menjadi satu kepelikan sebab aku belum lagi tersenarai dalam mana-mana rekod dunia.

1. Aku tak suka lagu-lagu arus perdana. Aku sering ketinggalan pada irama-irama baru Kelly Clarkson, My Chemical Romance, Lifehouse. Tidaklah pula aku menggemari lagu-lagu bawah tanah. Cuma aku suka lagu-lagu lama. Dengan bunyi-bunyian yang mempunyai unsur kepelikan. Lagu-lagu hari ini barangkali aku akan gemarkannya pada 2 tahun akan datang.

2. Aku suka membeli buku. Dan setiap buku yang aku beli aku akan balutkannya. Dengan plastik jernih dari jenis yang liat.

3. Aku kebudak-budakan. Aku suka membeli komik. Pengumpul tegar Raja Rimba sejak 10 tahun dulu.

4. Aku ada masalah inferiority complex ketika melakukan pembentangan kuliah. Kritikal. Aku gugup. Aku malu. Suara aku tertahan-tahan. Sekarang aku cuba mencari puncanya aku jadi begini. Tapi kata pensyarah aku, masa berteater lakonan aku sangat bermutu di atas pentas.

5. Aku suka melukis di dalam nota kuliah melebihi menyalin nota-nota si pensyarah.

6. Aku boleh berenang menyeberang. Juga menelentang. Tapi aku tak boleh terapung.

7. Aku sukar menyebut huruf S. Lidah aku akan terkeluar di antara barisan gigi atas dan gigi bawah.

8. Aku mutan. Kuku aku berwarna merah. Tapak tangan aku berpeluh. Dan kadang-kadang sangat kering.

9. Aku bawa pepper spray di dalam poket aku. Jangan sesiapa berani mencabul aku.

10. Aku hensem ketika malam. Banyak orang cakap.

Sekian terima kasih.

selamat hari mama

Sunday, May 28, 2006 · Posted in

SELAMAT HARI MAMA

Mama datang ke Universiti Kerajaan Swasta. Buat pertama kali. Menjenguk aku. Barangkali sempena Hari Ibu yang aku tak pernah memberi ucap apa-apa pun kepadanya.

Aku bawanya menghirup dingin perpustakaan separa colloseum. Ye lah. Aku tiada alternatif lain untuk membawanya menikmati bekas lombong yang serba kontang ini. Sebelum itu aku bawanya bersarapan di kampung. Menaiki Suzuki rongak aku yang uzur. Yang catnya banyak tertanggal dan bahagian kiri enjin yang berlompong. Ceh.

Mama beri buah tangan. Buku motivasi. Vitamin C. Tuala Muka. Sabun mandi hotel. Juga pen. Dan lampu suluh.

Lampu suluh?

Buat apa lampu suluh? - aku

Manalah tau black-out - mama

Tak naklah. Bukannya masuk hutan pun. Kalau black-out pun cerah kat sini - aku

Bukan hutan ke sini? Hihihi - mama
.

.

.

.

Dan mama pun pulang. Menaiki trooper. Bersama kawan-kawannya. Meninggalkan aku. Bersama Suzuki rongakku. Dan hari pun menjauh.

tv realiti, nilai murni, kelambu yang baru

Wednesday, May 24, 2006 · Posted in

TV REALITI

Rancangan tv realiti yang digemari? Kali ini Cik Haslinda sensei coretkan soalan itu di dalam kertas kehadiran.

Aku tulis Pengacara Jemputan Nona sambil tersenyum girang. Aduh. Bila agaknya aku boleh serius.

Ayie lagi best. Dia tulis Akademi Quran. Entahlah bila masa dia duduk mengadap tengok rancangan tu. Selalunya dia hanya sanggup melongo tengok Smallville. Dan Naruto. Dan juga klip video yang adanya gadis-gadis mungil.

Aduh. Bila agaknya kami akan serius.


NILAI MURNI

Dalam kelas Politics. Cik Haslinda Sensei bagi soalan pada grup kami.

"Apakah teknologi sudah menghilangkan nilai murni masyarakat hari ini. Contohnya, masyarakat cuma menghantar sms untuk jemputan kahwin dan ucapan hari raya." Ujar Cik Haslinda sensei.

"Nilai murni tak hilang. Cuma cara komunikasi yang berubah. Sebabnya teknologi hari ini tidak ada pada masa dulu dulu. Jadi kita gunakan teknologi hari ini kerana ia menjimatkan masa dan wang." Ujar aku. Terkawal.

*Adik menyampuk, bagaimana dengan kes penceraian melalui sms. Tidakkah nilai murni itu sudah hilang? Macamana dengan hukum perceraian itu?

Aku jawab dengan penuh keyakinan, "Tanyalah pejabat agama."

Hahahah.

*bukan Adik aku. Cuma kami panggilnya dengan panggilan Adik. Nama sebenar Adik ialah Shahrul Bahrim.


KELAMBU YANG BARU

Kelambu sekarang kelambu yang baru.
Kelambu sekarang belum ada calon isteri.
Kelambu sekarang kelambu yang baru.
Kelambu sekarang masih solo.
Kelambu sekarang kelambu yang baru.
Kelambu sekarang sudah ada sijil kahwin dari JAIS.

dunia baru (part 3), misteri

Sunday, May 21, 2006 · Posted in

DUNIA BARU (PART 3)

Elyana seksi. Gemar berpakaian ala Avril Lavigne. Tadi tali bra sebelah kirinya terkeluar. Warna cokelat cair. Dup dup. Dup dup. Ya, dia seksi.

Dalam rumah pakai sleeveless. Pergi kuliah pun pakai sleeveless.
Dalam rumah pakai seluar 'banjir'. Pergi kuliah pun pakai seluar 'banjir'.
Dalam rumah pakai eye shadow. Pergi kuliah pun pakai eye shadow.

Untungnya siapa dapat Elyanakan. Dup dup. Dup dup. Ya, dia seksi.


MISTERI

Blok baru kami. A3-4F-01. Tingkat 4. Paling atas. Kalau bersimpuh dari jendela kamar Ayie dan Edi kau boleh lihat pelajar Universiti Kerajaan Swasta mudik ke kelas. Ada perempuan. Ada lelaki. Juga pondan.

Ada tangga besi kecil kalau kau mahu lepak seputar tangki-tangki asbestos. Lalbi panggil rumah kami 'penthouse'.

Ooooooooooooooouuuuuuuuuuuuuuuuu...
Ooooooooooouuuuuuuuuuuuuuuuuu...

Di celahan tangga. Dan tangki-tangki asbestos. 1.30 pagi. Tingkat 4. Aku, Lalbi, Ayie, Nik dan Daus. Pandang memandang.

Angin berpilin? Anjing melohong? Lori membrek?

Ooooooooouuuuuuuuuuuuu...

semester pendek, kereta, dunia baru (part 2)

Monday, May 15, 2006 · Posted in

SEMESTER PENDEK

Semester baru. Semester pendek. 7 minggu saja. Aku ambil 2 subjek, Management Science dan IT Politics and Economies. Jom studi!!


KERETA

Aku baru masuk kelas Politics Selasa lepas. Cik Haslinda sensei ajar. Tapi Cik Syufiza sensei ambil alih kejap sebab cik Haslinda sensei ada hal. Semester lepas aku ada ambil subjek Enterprise Architecture dengan dia. Pelajar ada 40 orang lebih . Ada banyak junior.

Cik Syufiza sensei cukup suka suruh pelajar dia tulis pelik-pelik dalam kertas kehadiran kelas. Selain nama, nombor matrik dan tandatangan dia akan suruh pelajar tulis warna kegemaranlah. Makanan kegemaranlah. Pensyarah dibencilah. Dan macam-macam lagi.

Dalam kertas kehadiran hari tu dia suruh pelajar tulis kereta idaman. Banyak pelajar suka kereta Honda. Mercedes. BMW. Tak ada pun kereta tempatan. Apa sudah jadi dengan industri automobil negara? Hehe.

"Jaga kamu dua. Saya akan perhatikan kamu." - Cik Syufiza sensei mengekek tertahan-tahan. Muka merah.

Kertas tadi juga. Ayie tulis kereta sorong. Aku tulis kereta kebal.


DUNIA BARU (PART 2)

Tadi balik dari pasar malam, aku dan Nik nampak satu kereta Kelisa tampal sticker DUNIA BARU besar-besar belakang cermin keretanya. Uihh.. Sampai macam tu sekali dia teruja.

Mungkin Grand Brilliance bayar kat dia untuk promosi drama alam ria dunia kampus tu. Khamis dua minggu lepas TV1 ada FORUM PERDANA dan TV3 ada drama DUNIA BARU. Kedua-dua rancangan berlokasi di Universiti Kerajaan Swasta.

Aku tak tahulah kalau nanti Universiti Kerajaan Swasta dah jadi macam Hollywood. Pelajar dah tak hairan dah dengan aksi-aksi shooting ni.

Tapi tengok DUNIA BARU bagi aku tak berapa best. Aku tak suka jalan cerita dia. Merepek dan entah apa-apa. Nasib baik ada Elyana. Dan Elyana. Dan Elyana. :)

roller coaster

Friday, May 05, 2006 · Posted in

Dulu masa aku sedih. Ada kawan aku cakap, "Kelambu, janganlah sedih. Kalau kau sedih aku pun sedih. Bagi aku kau simbol kegembiraan!"

Aku senyum saja. M. Nasir cakap hidup ini roller coaster. Ada yang cakap, hidup ini macam tayar. Kejap di bawah, kejap di atas.

Samalah dengan menulis blog. Mana boleh kita tulis yang gembiraaaaaaaa saja. Dan tak boleh juga kita tulis yang sedihhhhhhhh saja. Sebabnya hidup ini roller coaster.

Tuan Haji cakap, sedih yang paling sedih di dunia ini ialah perpisahan. Kalau berpisah mati tu tak apa lagi. Tapi kalau berpisah di tengah kehidupan. Itu yang paling sakit. Kita yang putus dengan awek pun dah frust menonggeng tergolek-golek. Inikan pula mereka yang dah berumah tangga dan beranak pinak.

Tapi kita kena percaya. Tuhan Maha Adil. Tuhan sayang hamba-Nya yang dizalimi. Bukan kira orang Islam saja tapi kepada semua umat manusia. Tapi kita selalu abaikan sayang Dia kat kita.

Nak jumpa awek kita kena berjanji. Kalau lambat dia marah kita. Dia boleh larikan diri bila kita perlukan dia. Dia boleh khianat cinta kita bila-bila masa saja. Tapi Tuhan bagi 5 waktu kita untuk mengadu merintih pada dia dalam jarak masa yang cukup panjang. Tapi kita tak mampu nak jumpa dia. Kita buat dosa banyak tapi Tuhan masih mahu mendengar keluh kesah kita. Masih mampu menerima air mata kita.

Kita selalu fikir Tuhan uji kita dalam bentuk kesusahan saja. Tapi kita tak tau. Kadang-kadang Tuhan uji kita dalam bentuk kemewahan, kebahagiaan dan kegembiraan. Apakah sudah beriman seseorang itu sedangkan dia belum pernah diuji? Begitulah firman Allah yang aku ingat.

Untuk kawan, aku nak cakap, Amerika ada Statue of Liberty, simbol keadilan. Tapi diorang tak adil pun. Diorang serang Iraq. Serang Afghanistan juga.

Samalah juga dengan aku. Walau pun aku tau aku ni Statue of Prosperity [ceh]. Aku pun manusia biasa. Ada masa sedih. Ada masa gembira. Apa pun hidup mesti terus kerana nilai nyawa yang Tuhan beri ini amat mahal!

Kawan, sesetia seseorang kekasih takkan sama dengan sejujur seseorang sahabat. Percayalah.

Hmm. Lepas ni aku gembira pula ok. Hooray!! :)

luka I

Wednesday, May 03, 2006 · Posted in

LUKA 1

Kalau pun aku betul-betul mati
Sekejap lagi atau bila-bila masa nanti
usahlah kau risau
kerana sebenarnya aku sudah lama mati
sejak kau pacakkan nesan perpisahan
lalu kau bacakan talkin selamat tinggal
selubung kapanku adalah janjimu
dan kerandaku ini adalah rinduku
yang aku bina sendiri dari papan kesakitan
dan engkaulah yang menimbusku ke liang sengsara
kelam tanpa sebintik cahaya pun.

tuhan, jangan kau paling cintamu dariku

Tuesday, May 02, 2006 · Posted in

TUHAN, JANGAN KAU PALING CINTAMU DARIKU

Aku mahu cinta yang dulu-dulu
malu dan bisu menyinggahi lelorong nafasku
sedar dan tegar menyeluruhi lelohong berahiku
memahami dan menuruti
bukan pada rongga percaya paling dalam
tapi pada kata-kata kebenaran di ruang fikir
akukah yang menyuntik candu cinta?
pada liang kejahilan sendiri
kalau benar ini satu keterlanjuran
aku rela dipasung derita paling seksa

Tuhan,
kalau inilah kemabukan
berikanlah aku seksa
biar sakit dan pahit itu
menghakis setiap pepenjuru dosaku

tiada aku lupa

Sunday, April 30, 2006 · Posted in

TIADA AKU LUPA

(dedikasi untuk teman IDE)

Silau kalimantang hijau berkelkatu itu
Senang sahaja mengingatkan aku
Pada hari-hari kita yang lalu
Dan masa-masa kita yang rindu
Teman,
Apa lagi yang mampu kuimbau?
Selain menyelak potret-potret lama
Yang menceritakan laman kenangan kita

Tiada aku lupa
Bingit jukebox Cromox dan gusti The Rock,
Sedih lagu raya Raihan dan bicara Melayu Shah Rukh Khan
Sabar memancing udang kolam
Dan menyanyi girang di atas buaian taman permainan
Teringat pada prebet sapu yang berbicara lucah
Lalu aku dipaksa pasrah
Sepanjang deret kedai dan jirat-jirat mati
Dan kalian mendesah resah
Menanti tiba ke pintu rumah

Di bangku ABC
Kita enak dengan teh tarik dan roti canai
Mencecap lazat nasi ayam dan asap rokok
Kita bebas membicarakan apa sahaja
Tentang cerita-cerita kemanusiaan dan kecintaan
Selalu kita terleka pada gadis-gadis cantik
Dan kita pun nakal mengusik
Dan tumpah panas teh dihujung kaki
Membuatkan aku kepanasan menari
Gelak tawa kita pun berseri

Kita kerap terlena
Di sofa jerami menyudahkan kertas kerja
Dipaksa menjadi wartawan, tukang kayu dan pengutip sampah
Kita dilalikan dengan pujian dan cacian pensyarah
Diserabut dengan idea tak tercurah
Memudiki stationery dan kilang besi
Risau pada wang ringgit
Dan terima kasih
Kerana kalian selalu menghulurkan
Apa yang tidak mampu aku bayarkan

Teman,
Ketika kalian berlabuh di hentian Masai
Dengan hati menahan derai
Apa lagi mampu ku tahan
Selain keterharuan
Dan benang air mata dan rasa
Dan kita pun hilang
Tanpa ketemukan...

21 Julai 2002

. . . .

Dunia ni kecil saja. Pusing-pusing kita jumpa orang yang tak disangka-sangka.

Aku jumpa junior aku. Semasa belajar di Institusi Teknikal Johor. 5 tahun dulu. Dia antara blogger yang aku kagum. Yang aku tak lepas singgah ke blognya. Dia Zuril.

Kami terserempak di YM beberapa hari lalu. Meski pun sudah lama namanya berbaki di senarai YM. Baru kini tergerak mahu menegur. Dan kami bercerita tentang pengalaman-pengalaman di sana meskipun dulu tidak pernah bersua muka. Tapi situasi dan pengalamannya sama.

Aku teringat pada kawan-kawan. Pada Pasir Gudang. Pekan Masai. Air Puteh. Pasaraya Senyum. Pasaraya Tenang. Prebet Sapu. Pasar Malam. Dan macam-macam.

Bercerita mengenai kenangan lalu memang terasa seperti memori lama terkuak kembali. Dan semua itulah yang akan mendewasakan. Mematangkan. Selagi kita mahu terus merenung. Menginsafi diri. Memahami sebetulnya apa itu erti cinta dan perpisahan itu sendiri.

Dan kenangan-kenangan itu buat aku tersenyum. Tersenyum sendiri pada potret diri.

Hari ini akan menjadi kelmarin. Kelmarin itulah yang menjadi kenangan yang takkan mampu kita ulang-ulang. Melainkan kita kenang-kenangkannya. Jadi janganlah kita sakiti segala yang ada hari ini kerana kita pasti sakit apabila mengenang segala yang dulu. Bukankah elok kau terima saja. Dan berserah.

Wei. Kelambu. Cukup. Aku rasa kau terlalu sentimental sangat.

Maaf.

Powered by Blogger.