Archive for 2009

Sedikit Tentang Aku, Kita, Kau dan Blog Sempena Hujung Tahun

Friday, December 25, 2009 · Posted in

Genap Julai tahun depan, sudah enam tahun aku berblog sejak 2004. Dan entri ini adalah entri ke-647 aku. Sepanjang enam tahun menulis, penulis-penulis blog datang dan pergi. Ya, menjadi penulis blog konsisten bukan kerja mudah.

Ada kawan aku masih tak faham kenapa aku begitu bersungguh menulis blog. Tambahan lagi aku menulis tanpa dapat apa-apa pun. Tapi sebenarnya yang dia tidak tahu, tidak semua perkara yang kita lakukan perlukan bayaran atau dibayar. Bayangkan seorang ibu tuntut harga bayaran membesarkan kita?

"Mamat, mak sekarang sudah berjaya besarkan kau selama 24 tahun. Sekarang mak nak kau bayar RM1 juta dan jangan lupa masukkan duit dalam tempoh 48 jam. Kalau tak kau masuk neraka!" ujar seorang ibu kepada anaknya, Mamat.

Aku anggap menulis blog ni macam kerja ibu. Macam kerja amal juga. Jadi, orang yang melakukan sesuatu tanpa minta dibayar ini adalah orang yang penuh kasih sayang. Penulis blog boleh buatkan pembacanya gembira dengan catatan entri yang lawak, mampu buatkan pembacanya sedih dan insaf tentang kesusahan hidup dan macam-macam perkara yang memberi kesedaran sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Bukan semua orang yang mempunyai jiwa menulis blog. Tanpa jiwa itu, aku berani jamin dalam masa setahun saja blognya akan bungkus.

Hmm.. Itulah serba sedikit tentang blog. Jadi, sempena tahun baru yang bakal menjelma, aku beri peluang kepada korang untuk tanya apa saja dan aku akan jawab. Harus diingatkan, soalan terbaik tidak akan dapat biasiswa ke United Kingdom.

Sedikit Tentang Umur Berdasarkan Prinsip Cakerawala

Saturday, December 19, 2009 · Posted in

Tak sampai dua minggu lagi bulan Disember nak habis. Bermula 1 Januari 2010, umur kita bertambah lagi kalau diikutkan kepada prinsip pengiraan umur orang Melayu (yang gemar menggenapkan semua perkara).

Tapi kalau diikutkan prinsip matematik dan undang-undang, usia kita cuma dikira genap bila tiba tepat tarikh lahir.

Contohnya, kalau kau bunuh orang sehari sebelum usia kau genap 18 tahun, maka terlepaslah kau daripada hukuman mati. Tapi itu bukanlah bermakna aku suruh kau bunuh orang (diulangi: CONTOH).

Tapi kalau diikutkan prinsip perubatan, umur kau perlu ditambah selama 9 bulan lagi (bagi mereka yang lahir cukup bulan), diambil kira saat kau bergulung di dalam rahim ibu. Jadi kau memang jauh lebih berumur daripada usia sebenar.

Tapi, itu pun cuma prinsip umur di bumi. Menurut saintis angkasa lepas, pusingan bumi sebenarnya mempengaruhi umur manusia. Di zuhrah atau kejora, planet jiran kita itu berputar mengelilingi orbit cuma 224.7 hari di bumi. Ini bermakna kalau kau ada adik yang tinggal di zuhrah, selepas beberapa tahun dia pulang ke bumi, mungkin kau perlu panggil dia abang kerana umurnya jauh lebih tua.

Tapi, bayangkan pula kau ada adik yang tinggal di pluto yang mengelilingi orbit selama 90,613.305 hari di bumi. Siapa nak jawab?

Lagi, bayangkan pula berlaku malapetaka di bumi dan manusia menjadi dungu hingga mengubah kalendar peradaban manusia daripada setahun 12 bulan kepada setahun enam bulan saja. Mungkin masa tu kau akan masuk universiti semasa umur 34 tahun dan pencen kerja pada usia 112 tahun.

Ok, cukuplah tu. Aku nak cuba sambung studi teori Einstein pula ni.




ps: Terima kasih semua atas ucapan lahir. I lap U!!

Ali yang Benci Sama itu Amerika

Wednesday, December 09, 2009 · Posted in

Ali, warga Pakistan dari Islamabad. Merantau jauh dari Asia Selatan ke Asia Tenggara semata-mata untuk kerja sekuriti di Malaysia. Aku tak tanya pula mana dia tau ada banyak kerja sekuriti dalam negara 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan' ni.

Satu hari. Aku buat-buat cemas.

"Ali, Lahore kena bom. 50 lebih mati!" - aku
"Bom lagi ka? Mana mana?" - Ali
"Laaaa.. Hooooorrrre.." -aku
"Bukan bukan.. Tempat tempat.. " -Ali
"Kat pasar mana entah.. Berani mati punya bom," -aku

.
.

Ali diam, kemudian sambung sembang bahasa urdu dengan kawan sekapal dalam konti sempit. Langsung aku tak faham. Yang aku faham diorang sebut nama Presiden Asif Ali Zardari dan Amerika banyak kali. Dulu Ali ada bagitau aku yang dia tak suka Zardari sebab Presiden tu syiah dan sekutu Amerika. Sunni tak suka sama itu Amerika jahat. Banyak kali juga aku tengok dia termenung. Mungkin dia sedih mengenangkan nasib tanah air tercinta yang selalu dibom. Mungkin juga dia teringat sama itu makwe di Islamabad sana.

Melayu di Kaca Mata Mendiang Swettenham

Tuesday, December 01, 2009 · Posted in

Orang Melayu berbadan pendek, gempal dan tegap. Rambutnya lurus dan hitam, warna kulitnya gelap, hidung dan bibirnya agak tebal dan matanya cerdas dan cerdik.

Biasanya dia bersifat baik hati, gerak gerinya sopan dan senang berbicara.

Orang Melayu tidak pernah menikus, tetapi dengan orang tidak dikenali dia agak pendiam dan agak curiga walaupun tidak ditunjukkan.

Dia seorang yang berani dan amanah dalam menjalankan tugas, tetapi da juga bersikap suka berbelanja, suka meminjam wang dan lambat pula membayar balik.

Dia petah bercakap, berkata-kata dengan kiasan dan ibarat, suka menggunakan peribahasa dan kata-kata pujangga, suka berkelakar dan suka benar dengan jenaka.

Dia mengambil tahu hal ehwal jiran tetangga dan sebab itu kadang-kadang dia juga bercerita tentang hal orang.

Dia pengikut Muhammad dan percaya kepada takdir, tetapi juga percaya kepada tahyul.

Dia tidak pernah minum sebarang minuman memabukkan, jarang-jarang sekali menghisap ganja. Tetapi gemar berjudi, menyabung ayam dan permainan lain seperti itu.

Dia semula jadi suka bersukan, pandai menangkap dan menjinakkan gajah, nelayan yang mahir dan sungguh cekap sekali dengan perahu.

Tetapi yang penting sekali dia seorang yang konservatif, bangga dan cintakan tanah air dan rakyatnya, memuliakan adat resam, takut kepada raja dan menghormati pihak berkuasa.

Tetapi dia mencurigai semua jenis pembaharuan dan akan menentang apa-apa pembaharuan yang dipaksa ke atasnya.

Residen Inggeris Negeri Melayu Bersekutu, Sir Frank Swettenham - 1850-1946



Inilah Sebenarnya Bahagia yang Selalu Kau dan Aku Cari

Thursday, November 19, 2009 · Posted in

Tadi aku jumpa orang gila main kayu. Ini bukan gila main-main. Betul-betul punya gila. Tanpa menghiraukan dan mencederakan orang sekeliling, orang gila tu beraksi seperti Harry Potter yang sedang menunggang penyapu terbang dengan wajah penuh bercahaya.


Kepadamu orang gila yang beraksi seperti Harry Potter sedang menunggang penyapu terbang dengan wajah penuh bercahaya; Hari ini aku isytiharkan kau sebagai orang paling bahagia di dunia! Muktamad!

Pengalaman Penuh Tipu Daya Ketika Kali Pertama ke KFC

Saturday, November 14, 2009 · Posted in

Sekitar 1992-95, restoran KFC baru dibuka di Alor Setar dekat Stadium Darulaman. Aku rasa itu satu-satunya KFC yang ada drive-thru di Malaysia sebab masa kawan aku dari Selangor datang Kedah sekitar pasca kejatuhan Suharto, dia terkejut sebab KFC sini ada drive thru, selalunya Mc'Donald.

Walaupun setiap kali balik sekolah aku dan kawan-kawan akan kayuh basikal melintas depan KFC tu, tapi kami tak pernahnya singgah. Tak berani dan segan. KFC tu dah macam restoran 5 bintang dan tempat makan orang kaya-kaya. Siapa yang makan KFC masa tu siap boleh buat topik bersembang dalam kelas. Makan ayam KFC dah macam santapan dari syurga.

"Jom aku belanja KFC," kata Anas satu hari ketika balik sekolah.

Anas anak orang kaya dalam kelas kami. Ayah dia bisnesman buka kedai printing. Kekayaan Anas dapat dilihat pada basikal Haro Master. Bapa aku beli RM700, kata Anas sambil tiup jambul sendiri di tengah matahari rembang. Masa tu aku pakai basikal mini modified saja. Tapi tak adalah sampai ikat kepala RXZ di handle macam budak kelas mana entah. Tak senonoh betul.

Anas buka pintu kaca KFC dan aku ikut belakang sambil pandang kiri kanan. Dada memang berdebar-debar macam masuk dewan peperiksaan nak jawab paper Kimia. Orang boleh dibilang dengan jari. Semua muka pelanggan macam individu berpangkat Datuk dan Tan Sri. Aku cemas tapi masih terkawal.

Anas hampiri kaunter, kakak KFC bertopi biru tersenyum memandang dua budak baru baligh di hadapannya. Anas pandang menu. Aku pun ikut pandang juga. Mata aku masa tu cuma nampak ayam saja.

"Err.. hang nak makan apa?" Anas tanya dan aku pun tunjuk set ayam dalam menu bergambar. Tanpa berfikir secara dua marhalah, Anas pun membuat pesanan dengan penuh yakin.

"Miss, give me two dinner plate. Large and original ya."

.
.
.

Perghh.. Memang tempat orang kaya. Nak order pun kena cakap Inggeris, getus aku dalam hati sambil menyanjung tinggi aksi 'kaya' Anas masa tu. Ya, masa tu.

Ulasan Terlambat Final Piala Malaysia 2009

Monday, November 09, 2009 · Posted in

Rasanya masih belum terlambat kot nak ulas pasal final Piala Malaysia 2009 antara dua pasukan daripada spesies haiwan sama, Rusa lawan Kijang.

Kelantan (1) Negeri Sembilan (3)

Bola keluar - 924
Lontaran ke dalam - 1563
Tackle - 1342
Terbaring di padang - 765
Letupan mercun - 314
Bakar - 3
Baling botol - 619
Penonton kena belasah - 465
Jumlah penonton:
- 1-60 minit (86,000)
- 61-90 minit (15,000)

Cerita Lagenda Pakcik Yong Tau Fu di Kota Masai

Friday, October 30, 2009 · Posted in ,

Dulu kat Johor aku belajar kursus reka bentuk industri atau industrial design dalam bahasa Inggeris, yakni kursus perabis duit tak ingat dan buatkan rumah sewa kami kotor dengan foam, pen marker, buku sketches, simen kereta, cakera liut, seluar dalam entah siapa punya bersepah-sepah dan pelbagai sisa kotoran lain.

Aku ni jenis susah juga nak minta duit kat mak ayah. Selalunya, banyak mana duit yang aku dapat, banyak tu juga yang aku cuba survive. Cuma dalam beberapa kes kritikal aku terpaksa minta. Itu pun sebab poket betul-betul kering.

Disebabkan kesempitan hidup yang sengaja dicari, suatu hari pakcik-yong-tau-fu-baik-punya tawar kerja kosong kat aku dan Bain. Pakcik ni kerja pasar malam di Taman Kota Masai. Ketagihan membeli yong tau fu hampir setiap minggu membuka peluang pekerjaan part time kepada kami.

Tanpa sebarang perjanjian hitam putih atau bertanya pasal duit kwsp, aku dan Bain terima saja tawaran pakcik tu dengan mata terbuntang macam tengok bidadari dari sorga.

Hari pertama, selepas zohor dan berpakaian ala brader-brader pasar malam, kami menuju ke lori pakcik. Kerja pun bermula dengan keringat mengalir di tubuh. Keadaan menjadi semakin sibuk ketika tiba waktu perdana. Mana nak basuh pinggan, nak celur segala macam yong tau fu, nak potong kangkung, nak ikat plastik laju-laju, nak buat kira-kira, nak usya awek lagi. Aku tengok Bain dah macam mamat Myanmar dengan baju belang hijau dan ketiak berpeluh. Bersungguh betul Bain tu. Rilek-rilek sudahlah. Getus aku.

Pukul 11 malam. Aktiviti membeli belah di pasar malam pun reda. Kami macam biasalah buat kerja lambat-lambat tunggu pakcik nak hulur duit gaji hari.

"Terima kasihlah. Ni duit hangpa. Nanti minggu depan datanglah lagi," kata pakcik sambil hulur duit RM5 kat aku dan Bain.
.
.
.
Aku tengok dalam mata Bain ada George W Bush.

Cerita Kedai Kopi Ditemani Teh O Ais

Monday, October 19, 2009 · Posted in

Turun Pelita. Sembang pung pang pung pang. Mukadimah, bincang pasal konvoi pergi kenduri kahwin melebihi dua marhalah. Lepas tu kutuk mamat Fairlady sebab drag tayar tak tentu hala depan orang ramai. Tetiba melompat bab nak beli rokok gulung sebab harga rokok naik. Sambil tu sempat kongsi pengalaman duduk rumah flat-lif-satu-saja-tapi makcik-makcik buat kenduri depan lif sampai kau kena panjat tangga tingkat 15. Lepas tu sembang pasal bini dan anak. Yang bujang tadah telinga sambil tengok Manchester United lawan Bolton dan gigit straw. Kemudian, masuk bab main game Mafia Wars dalam Facebook. Awek melintas semua berhenti berehat seketika sambil pesan ais kosong. Penutup, masuk topik dajal turun ke bumi dan mahu melakukan onar, hari kiamat dan cerita pasal tafsir Quran.


Minggu depan mesti keluar cerita pasal formula matematik baru mau lawan sama itu Adi Putra.

Berlatih Ilmu Batin Menjelang 8 Haribulan Oktober 2009

Thursday, October 08, 2009 · Posted in

Hari ni 8 haribulan. Memang cemas juga sikit. Tambah-tambah bila baca helikopter Malaysia kena baling batu. Mungkin budak-budak nakal tu tengah praktis melontar besi peringkat sukan sekolah.

Ya. Sejak patah tangan aku punya nunchaku dah terkulai kat kotak di ruang tamu. Rantai pun dah berkarat. Dulu ada juga sapu minyak sambil perasap kemenyan. Lepas tangan masuk besi aku dah lupa dengan cota berantai yang Dragon Long hadiah kat aku masa kalahkan Tuan Tulang tahun 1994 dulu.

Sambil sarung kepala dengan topi salji merah yang Why beli kat Medan, aku genggam kemas batang nunchaku. Satu di tangan dan satu lagi dikepit celah ketiak. Langkah pertama, buat gaya Patukan Ular Puaka, iaitu baling dan kembalikan semula kayu ke celah ketiak. Hmm.. mantap lagi prestasi aku. Langkah kedua, gaya Naga Mengamuk di Angkasa Raya, iaitu libas kayu ke belakang dan sambut dengan tangan di belakang juga.

Brappppp!!

Aku baling nunchaku. Aku buka pc. Aku dengar lagu Dewa, Dua Sejoli.
.
.
.
(Perasap kemenyan sekadar fiksi)

Hilang Hala Tuju Ketika Kubuka Jendela Pada Malam Hari dan Tajuk Entri Apakah Seperti Ini?

Tuesday, October 06, 2009 · Posted in

Hai, lama tak jumpa. Apa khabar saudara saudari semua. Biasalah kalut sikit. Dunia. Sebenarnya aku tak tau nak tulis apa. Otak makin lama makin tepu. Mungkin sebab aku dah kurang membaca. Atau mungkin juga sebab banyak minum air ada semut lemas kat dalam. Atau banyak makan benda masam. Atau kurang makan kismis dan badam. Atau terlalu banyak berfikir sampai semua perkara yang kau fikirkan tu bertembung dalam tektonik kepala otak dan bergegar lalu ranap. Hasilnya zero. Biasalah. Zaman 'new tab' atau 'pop up window' ni manusia memang selalu hilang hala tuju.


Sebenarnya aku nak cerita salah satu kedai minyak yang memberi layanan terbagus di dunia. Ya, tak perlu ke Jepun. Ada di Malaysia. Tapi, nantilah aku cerita.

Sedarlah, Ada Dua Pertubuhan di Indonesia Beraya Dua Hari Lebih Awal Daripada Malaysia

Monday, September 14, 2009 · Posted in

Lagu raya dah mula berkumandang-mesin duit tiba-tiba orang beratur panjang sambil jeling-jeling kiri kanan takut ada penjenayah-jalan jem bukan main macam kat Manhattan-kuih dah mula penuh atas meja ofis selepas harungi 3-4 kali pemindahan-kad raya belum tentu satu dapat-apa barang, sekarang zaman sms/mms-selamat tinggal kapitalis kad-pusat servis hari-hari penuh, kereta mau kasi tip top-drebar bas dah mula beli Radix dan Red Bull untuk siap sedia 3-4 trip satu hari-masing-masing senyum lain macam tunggu masa nak pakai baju raya harap-harap tak terbakar di tapak seterika pada pagi raya-yang tak berapa berduit pakai baju tahun lepas saja-bagi si kahwin, anak-anak dan isteri diutamakan-buat si bujang, poket diutamakan-ayam lembu dah risau dikorbankan-tauke Cina, Melayu, India syok sakan dapat duit lebih sebab bisnes laku ini bulan-ada lagi ke yang tulis blog-sebab hati dah terpelanting ke kampung.

*tajuk di atas sekadar hiasan dan tiada kena mengena dengan entri.

Jawapan Kepada Persoalan Nombor Satu (sebuah sesi perbincangan ilmiah sempena bulan merdeka)

Monday, September 07, 2009 · Posted in

Kenapa kita tidak bersatu?

1. Mukadimah, Malaysia adalah negara demokrasi di mana pilihan raya diperlukan sebagai syarat utama kalau kau nak perintah negara. Pilihan raya ni pula terbuka kepada semua individu yang mempunyai kerakyatan Malaysia di mana peluang memerintah negara adalah bergantung kepada mereka yang dapat majoriti rakyat.

Jadi, untuk capai matlamat tersebut, individu-individu ni biasanya menubuhkan parti yang mempunyai struktur organisasi tertentu bagi menunjukkan keupayaan mereka mentadbir negara.

2. Di sini sepatutnya penubuhan parti-parti politik di Malaysia diraikan dengan sihat kerana masing-masing mempunyai gagasan, cara kerja dan ideologi berbeza. Dan sepatutnya tidak timbul isu pengkhianatan kerana kita cuma berbeza ideologi politik tetapi dalam hal-hal kenegaraan, ia sepatutnya dikongsi dan didokong bersama. Masalahnya sekarang, parti-parti politik di Malaysia berpolitik seperti zaman menuntut kemerdekaan. Siapa mau rampas siapa? Siapa mau tindas siapa? Siapa mau khianat siapa?

Membandingkan kematangan politik Malaysia dengan Indonesia atau Thailand, kita sebenarnya jauh tidak matang kerana selepas lebih 50 tahun merdeka masih lagi memperdebatkan isu-isu perkauman untuk tarik undi.

3. Menyentuh soal perpaduan, pada pendapat aku, kita sebenarnya sudah lama bersatu. Kita tak bersatu cuma di segi politik saja. Tapi apabila kita meletakkan perpaduan kita dalam kepompong politik, kita selalu jadi manusia penuh emosi dan mula dipengaruhi sentimen.

4. Contohnya, bagi golongan pertengahan yang mewakili kelompok terbanyak di Malaysia, apabila harga barang naik, kita sudah pun berkongsi kesusahan yang sama. Dan kesusahan itu merentasi kaum. Tapi bila kita bercakap dalam kepompong politik, kita tiba-tiba dipengaruhi sentimen dan emosi perkauman sehingga kita lupa kesusahan hidup yang menyatukan kita.

Kenapa rakyat di Tanah Melayu dulu boleh berpakat menuntut kemerdekaan daripada British? Ya, sebab kesusahan hidup yang dilalui datuk nenek kita.

Tapi malangnya kesusahan yang kita lalui sekarang telah kita pisahkan kepada warna kulit, ruas dan agama. Dan kita terus jadi tak ketahuan sampai nak bermandi darah apa cerita?

5. Ada yang lantang memekik, British yang sebabkan kita tidak bersatu! Ini angkara kaum lain yang mahu lihat kita berpecah supaya tanah Merdeka ini dapat dirampas!

Padahal isu asalnya ialah desakan hidup (duit). Susah nak bayar bil. Susah nak buat loan. Miss soru. Dan bla bla bla.

6. Apakah kalau Malaysia tidak dijajah dan tiada kaum lain di sini akan menjamin kita bersatu. Belum tentu juga. Mungkin masa tu akan jadi pergaduhan etnik sesama rumpun (Austronesia). Dan kita akan mula pertikaikan status quo etnik masing-masing.

7. Aku ambil contoh terdekat, rumah puaka. Masa tu mungkin aku sekarang dah rasis dengan Why sebab dia orang Bugis (lanun dari Sulawesi), Binbin dan Ayi pula Jawa (pendatang dari Kepulauan Jawa). Jarul pula Aceh (pendatang juga. Kedah pernah berperang dengan Aceh).

Cuma aku saja Melayu tulen. Berasal dari kerajaan Kedah Tua yang sememangnya penduduk asal di Tanah Melayu yang mempunyai darah Patani bawah naungan kerajaan Siam Islam yang kental melawan kerajaan Thai Buddha sebelum tewas dan dipisahkan British dalam Perjanjian Anglo-Siam 1909.

Itu belum masuk lagi yang ada darah India. Cina. Eropah. Serani dan sentimen negeri (Kelantan, Borneo, Orang Utara, Pantai Timur)

8. Sudahnya sampai ke mana kita? Itulah padahnya kalau kita asyik fikirkan perbezaan dan kita masing-masing tidak mahu berubah kepada satu bentuk perpaduan baru dan terus biarkan diri dalam persepsi. Sampai bila? 50 tahun lagi? 100 tahun lagi?

9. Kita juga tidak bersatu sebab kerajaan tak sungguh-sungguh untuk laksana langkah drastik agar rakyat Malaysia bersatu. Ambillah apapun. Sukan, bahasa, pendidikan, ekonomi. Semuanya separuh masak. Setakat datang rumah terbuka dengan muka manis macam kurma, nyanyi lagu Faizal Tahir, tayang iklan pegang tangan dan orang tua kesal dengan anak muda sekarang yang rasis, apakah cukup untuk kita berbangga dengan perpaduan di Malaysia?

10. Sebagai generasi muda selepas merdeka, aku rasa sudah tiba masanya kita tidak mewarisi apa saja pemikiran ortodoks dan perangai buruk pemimpin yang meraban dan mengamuk tak tentu pasal.

Anggap sajalah apa yang berlaku macam perang psiko bola sepak. Wenger kutuk Ferguson. Ferguson kutuk balik. Nak tackle lawan mesti dalam official game. Tackle kasar kena kad merah. Geng sana ada beli player sini, geng sini pun ada beli player sana. Lawan mesti ada taktikal. Ikut suka nak guna pragmatik atau art of foolbal method. Tapi janganlah sampai beli referee.

Kita ni peminat. Terpulang nak sokong siapa. Kalau aku menang, kau yang kalah mesti kena kutuk. Tapi rilekslah. Nanti aku kalah, giliran kau pula kutuk aku.

Sekali sekala tu mesti ada aksi ekstrem macam kes bakar trak polis di Kelantan. Biasalah. Masing-masing pasukan ada hooligan. Tapi takkanlah sampai aku kena benci kawan aku, Bain atau Awi sebab diorang asal Kelantan.

Rileks-rileks sudah. Yang penting habis game lepak kedai kopi, mai secawennnn... :P

Soalan Pengajian Malaysia untuk Dijawab

Thursday, September 03, 2009 · Posted in

Ketika entri ini ditulis lagu 'Malaysia Satu' ciptaan Audi Mok, lirik Nur Fatimah, nyanyian Faizal Tahir diumumkan juara Pertandingan Lagu 1Malaysia.

Tetapi persoalannya, apakah dengan mencipta lagu dan menyiarkan iklan Melayu, Cina dan India berpimpin tangan menuju sebuah bangunan kerajaan di Putrajaya mampu menyatukan kita?

Bagi aku, sudah tentulah tidak. Tambah-tambah lagi dengan pelbagai krisis etnik, agama dan politik yang kelam kabut sekarang.

Ok. Sempena bulan merdeka ni, aku bagi dua soalan pengajian Malaysia iaitu:

1. Kenapa kita tidak bersatu?
2. Apakah yang menyatukan kita?

Boleh bagi apa saja alasan pun. Jawapan terbaik akan dapat tiket melancong ke sempadan Afghanistan berjumpa ketua baru Taliban, Hakimullah Mehsud.

*Untuk pembaca, dialu-alukan tulis komen guna nama, elakkan guna anony. Gunalah nama seperti Majid misalnya ataupun Harimau Kumbang Shinjuku. :)

Serius, Saya Pergi Lebih Jauh Dengan Sekali Isian

Monday, August 31, 2009 · Posted in

Minyak naik. Kali ni ada Ron95 untuk orang miskin. Dan Ron97 untuk orang tak miskin.

Mulanya memang semua orang bising dan skeptikal dengan minyak-orang-miskin ni. Pikap ke? Takpe ke enjin aku? Tapi bila marah sudah reda dan kereta pun tak adalah terjejas sangat pun, kita pun pakat terima kenaikan tersebut. Dan kehidupan pun kembali seperti biasa.

Itu ok lagi. Yang tak tahan iklan Petronas, seorang mamat tu cakap, saya dapat pergi lebih jauh hanya dengan sekali isi minyak.

Masalahnya sekali isi minyak tu pergi mana?

USA? Genting Gaza? Guatemala?

Jabatan komunikasi dan pengiklanan tolong ambil perhatian perkara menipu ni! Huh.

Ini Harta Bill Gates yang Punya

Tuesday, August 25, 2009 · Posted in

Aku dapat emel, Bill Gates nak kongsi dia punya harta. Aku rasa emel ni kali ke-8,000 kot. Banyak sangat dah.

Caranya mudah, kau cuma perlu forward-kan emel tu dan kemudian tunggu ratus ribu USD masuk dalam akaun kau. Aku tak taulah pula macamana Bill Gates nak masukkan duit tu dalam akaun aku. Setahu aku, masa daftar emel dulu, tak ada pula aku masukkan akaun Maybank2u. Apatah lagi akaun Tabung Haji.

Untuk menambahkan lagi keyakinan orang ramai dengan kesahihan emel tu, dikepilkan sama testimoni penerima harta Bill Gates ni. Antaranya ialah pegawai-pegawai kerajaan Malaysia. Siap nama penuh, jabatan, nombor telefon dan bagai lagi...

Tapi bukanlah semudah itu untuk menipu anak buah Leftenan Horatio. Gatal tangan aku emel sorang responden. Betul ke dapat duit rib-rib?

Tup tup. Dia jawab. Cuba sajalah. Mana tau ada rezeki. Hehe.

Loh, dapat pun tak pernah. Testimoni macam pakai BMW 5 Series. Cet.

Senang cerita macam ni lah. Apa kejadah Bill Gates (selaku taikun terkaya di dunia) nak buat kerja bodoh macam ni. Bagi duit tak tentu pasal. Bayangkan yang forward emel tu pengganas, tak ke pasal-pasal Bill Gates tu bagi duit free kat diorang dan dituduh menaja keganasan.

Aku taulah korang nak kaya. Tapi bab forward-emel-dan-anda-kaya ni memang aku tak boleh nak terima.

Ok, soalan.
Bayangkan korang kaya macam Bill Gates dan rasa nak derma duit korang yang banyak tu. Apa korang buat?

Falsafah Keamanan Ando dalam Mi Segera

Monday, August 10, 2009 · Posted in

1. Sambung lagi pasal Ando. Masa dia buka bisnes garam tu, Jepun berada dalam zaman kemelesetan ekonomi akibat kempen perang yang dilancarkan rejim Meiji. Masa ni berlaku kekurangan bekalan makanan yang kritikal di banyak negara dunia. Lihatlah betapa sadisnya perang. Bukan setakat Tanah Melayu terpaksa berdepan era ubi kayu, malahan Jepun yang gah dikenali sebagai gergasi tentera Asia melawan Barat pun tak mampu nak atasi krisis makanan semasa era perang walaupun beras-beras dari China dan rantau Nusantara habis dipunggah balik ke negara K-Car sana.

2. Jadi sebagai satu cara mengatasi krisis tersebut, Kementerian Kesihatan Jepun masa tu melancarkan kempen menggalakkan rakyat negara tu makan roti dari tepung gandum yang dibekalkan Amerika Syarikat. Mungkin kempen masa tu berbunyi '1Jepun 1Roti' atau 'Roti Didahulukan, Rakyat Diutamakan (contoh)'.

3. Ando pun apa lagi, terus berang seraya berkata, "polisi durjana apakah ini sehingga sampai hati kerajaan memaksa rakyat Jepun memakan roti dan bukannya mi?"

4. Apabila polisi kerajaan tu cuba dipertikaikan pengusaha-pengusaha mi di Jepun, kerajaan pun seperti biasalah, tampil membuat kenyataan menggunakan kepala lutut menteri-menterinya.

"Industri mi terlalu kecil dan tidak stabil untuk menampung keperluan makanan rakyat. Ini bukan masa nak berpatriotik pasal mi. Mana lagi penting. Mi atau perut? Ingatlah, 'Roti Didahulukan, Rakyat Diutamakan', kata menteri kesihatan Nippon waktu tu (contoh).

Ando pun pulanglah dengan rasa hiba dan wajah muram durja. Apatah lagi bila disindir sebagai lebih Jepun daripada Jepun kerana status diri sebagai migran Taiwan totok.

5. Tapi Ando tidaklah mudah berputus asa. Sebagai penggemar tegar mi dan tak sanggup bangsa serumpun (sekitar Asia Timur) dijajah roti Barat, dia pun bangkit mencipta mi segera dengan slogan yang jauh lebih murni dan bukan populis iaitu, 'Peace will come to the world when the people have enough to eat' (Dunia akan aman apabila manusia cukup makan).

6. Klimaksnya, tepat 25 Ogos 1958 ketika berusia 48 tahun dan selepas menjalani fasa 'cuba dan salah' untuk menghasilkan mi dengan kaedah cepat dimakan, Ando akhirnya berjaya memasarkan pakej mi segera dipanggil Chikin Ramen berperasa ayam dengan harya 35 yen saja, tiga kali lebih murah berbanding semangkuk mi yang biasa dijual di restoran Jepun masa tu.

7. Jadi di sini, falsafah sebenar mi segera yang digagaskan Ando bukanlah mi-untuk-segera-mati, tetapi untuk mengatasi masalah mati kebuluran di negaranya sendiri dengan mengekalkan kasih sayang dalam makanan tradisi.

8. Kawan-kawan. Lihatlah. Apabila kita melakukan sesuatu itu dengan penuh jujur, legasinya kekal zaman berzaman. Walaupun mi segera sering dikutuk sebagai antara makanan paling tak berkhasiat di planet bumi, tapi makanan itulah yang menjadi penyelamat golongan marhaen di hujung bulan yang kesesakan kerana kesempitan wang untuk makan.

9. Tanpa dapat dicabar mana-mana makanan di dunia, mi segera muncul sebagai makanan penyelamat umat manusia era moden. Ia dibawa oleh penganut Islam yang mahu ke luar negara kerana takut tak jumpa kedai makan halal, menjadi bekalan askar dan pemberontak, menjadi makanan golongan miskin dan papa, makanan rasmi pelajar Malaysia dan menu utama kedai mamak bagi menambah pendapatan bisnes. Mi segera sangat akrab dengan kemanusiaan biar sekaya mana pun negara tu.

10. Jadi apakah falsafah dalam nasi lemak tradisi kita? Kenapa nasi lemak sekarang semakin mahal dengan lauk yang kedekut serba serbi? (telur rebus dibelah lapan belas, ikan bilis gred-E-keras-macam-batu-cincin, sambal macam muntah hantu badang). Walhal falsafah asas nasi lemak adalah murah dan sedap. Kenapa pembikin nasi lemak se-Malaysia tak pernah nak hargai nasi lemak seperti mana Ando menghargai mi tradisi Asia Timur sehingga mampu mengamankan dunia?

Baru tadi aku jamah mi segera dengan air mata bergenang mengenangkan betapa berjasanya mendiang Ando dengan mi segeranya kepada dunia (sambil mencongak baki wang di bank). Bandingkanlah nasi lemak di negara kita yang kadang-kadang buatkan kita terbeliak biji mata masa nak bayar dan kemudian mencarut-carut ketika menjamahnya? Berapa abad lagi nasi lemak mampu mengamankan dunia?

Tabik untuk Ando!

Bapa Mi Segera Sedunia - Momofuko Ando

Thursday, August 06, 2009 · Posted in

momofuku ando1. Korang akan cakap, ada apa dengan nasi lemak? Apa yang kecoh-kecoh sangat dengan nasi lemak? Mari aku kaitkannya dengan mee segera ataupun di Malaysia lebih dikenali sebagai megi atau mi megi.

2. Pengenalan, mi segera (instant noodles) adalah mee yang dikeringkan atau separa masak dan biasanya dijual bersama paket perasa macam-macam. Ia dimasak dengan cara mencampurkannya ke dalam air panas selama 3 ke 5 minit, diletakkan perasa dan seterusnya dimakan.

3. Idea asal mi segera dikatakan bermula seawal Dinasti Qing (zaman Ji Fat jadi Emperor-untuk siapa yang baca Alam Perwira), di mana mi itu dikeringkan untuk disimpan dalam jangka masa lama. Sebab dulu tak ada peti ais. Samalah juga macam idea asal mana datangnya udang kering, ikan kering, keropok lekor yang ada di negara kita ni. Asas mi segera yang kita makan sekarang ni memang tak ubah macam zaman Qing. Ia perlu dipanaskan dalam air berperasa dan kebiasaannya lauk paling asas untuk dimasukkan bersama mee segera adalah telur. Ia boleh dikatakan makanan tradisi orang China dan Taiwan (info: Taiwan adalah sebahagian daripada China).

4. Tapi mi segera era moden (dengan pelbagai jenama, perasa) yang kita makan hari ini adalah hasil usaha gigih Momofoku Ando yang bertanggungjawab mempopularkannya. Dia adalah pengasas syarikat Nissin Food Products Co Ltd dari Jepun.

5. Tapi Ando ni bukanlah seorang Jepun tulen, sebaliknya berdarah Taiwan (orang Taiwan ni bolehlah diibaratkan macam orang Jawa di Tanah Melayu). Nama asalnya, Wu Pai-fu. Walaupun lahir dalam keluarga yang kaya, tapi mak ayah Ando meninggal ketika dia kecil dan dibesarkan oleh atuk dan neneknya.

6. Atuk nenek dia ni pun bukan calang-calang orang. Diorang ni buat bisnes kain berskala kecil. Jadi tak hairan Ando dah mula berniaga dengan buka syarikat kain ketika umurnya masih 22 tahun di bandar Taipei.

7. Setahun lepas tu (1933) dia ambil keputusan merantau ke Osaka, Jepun. Selepas Perang Dunia Kedua (1945), dia dapat pula kerakyatan Jepun dan terus menetap di negara itu apabila berjaya masuk Universiti Ritsumeikan. Pada masa sama juga dia teruskan bisnes warisan nenek moyang dia kat negara baru ni.

8. Masalah muncul bila dia kena penjara dua tahun sebab cuba elak cukai gomen. Dia buat macam tu sebab nak tanggung kos belajar di mana semua kos tersebut diperoleh dari bisnes kecil dia tu. Tapi income ciput, sewa tinggi apa cerita? Sudahnya syarikat dia diisytihar bankrap.

9. Tapi dia ni kira hati kental juga. Dia buka satu lagi syarikat yang dikenali sebagai Nissin di Ikeda, Osaka, Jepun dengan produk baru. Nak tahu produk apa? Jual garam.

10. Apa cerita entri ni dah jadi autobiografi Ando? Apa kaitan mi segera dengan nasi lemak? Kenapa nasi lemak menjadi mangsa pakar-pakar kesihatan sehingga tergamak mereka menuduhnya sebagai makanan sarapan paling tak berkhasiat di muka bumi?

Nanti-nanti aku sambung.

Pencipta Nasi Lemak Dibongkar PemburuMitos

Saturday, August 01, 2009 · Posted in

Siapa pencipta nasi lemak? Ya memang misteri. Tiada maklumat ditulis tentang siapa pencipta sebenar nasi lemak. Apakah Alfonso Albuquerque, Sultan Mansur Syah ataupun Hang Li Po.

Jika disandarkan kepada nama 'nasi lemak', maka Melayulah pemegang hak cipta makanan warisan ini.

Tapi berdasarkan teori aku, nasi lemak dicipta oleh orang Cina ataupun Cina peranakan iaitu Baba dan Nyonya. Sebabnya di Malaysia, kita mesti nak kena makan nasi lemak guna sudu atau camca. Kalau tak guna sudu/camca, rasa macam tak kena, macam dah melanggar tertib makan nasi lemak.

Pendapat aku, kalau masakan itu asal ciptaan Melayu, ia mesti dimakan guna tangan. Contohnya nasi campur, nasi dagang dan nasi kerabu.nasi udukSebabnya orang Melayu mula pandai makan pakai sudu selepas datangnya pedagang-pedagang Cina. Ini diambil berdasarkan perkataan camca yang berasal daripada bahasa Cina. Kenapa perkataan camca dan bukan sudu?

Dalam bahasa utara (Kedah, Perlis, Pulau Pinang), sudu dan camca merujuk kepada objek yang sama. Dan kerana Kerajaan Kedah Tua mempunyai latar sejarah paling tua di Semenanjung Malaysia, maka perkataan camca dijadikan rujukan dalam kes ini.

Ok. Teori kedua. Nasi lemak boleh jadi berasal dari Indonesia. Di sana, ia dikenali sebagai nasi uduk. Dan aku syak resepinya dimahsyurkan di Tanah Melayu oleh Baba Nyonya atau pedagang Cina yang berdagang ke semenanjung.

Resepi nasi goreng juga berasal dari Cina dan nasi goreng pertama di nusantara (aku rasa) adalah nasi goreng Cina. Sebabnya sama juga, kerana kita akan nasi goreng mesti guna camca. Dan kerana tidak mahu kalah dalam resepi nasi goreng ini, chef-chef nusantara bangkit mencipta nasi goreng ala nusantara yang kini diberi nama nasi goreng kampung. Kedua-dua nasi goreng itu kekal menjadi resepi warisan tanah air sebelum nasi goreng mamak ciptaan India Muslim masuk dalam senarai nasi goreng Tanah Melayu.

Tapi siapa pula pencipta nasi goreng USA?

Perghh.. Makin komplikated. Rasa-rasa Cef Wan boleh jawab tak?

Bantu PemburuMitos Mencari Pencipta Nasi Lemak

Tuesday, July 28, 2009 · Posted in

Ya, nasi lemak memang sedap dan layak diletakkan sebagai masakan warisan negara. Pada pendapat aku, rakyat Malaysia yang tak pernah makan nasi lemak patut dilucutkan kerakyatan. Mungkin dalam perlembagaan patut ditulis macam ni (contoh):

Warganegara Malaysia adalah:
1. .....
2. ....
3. Makan nasi lemak.

Tapi, siapakah pencipta nasi lemak? Apakah ia masakan ciptaan Alfonso Albuquerque? Atau Sultan Mansur Syah? Atau Hang Li Po?

Benarkah nasi lemak masakan ciptaan orang Melayu kerana namanya 'nasi lemak'?

Kenapa nasi lemak mesti dimakan guna sudu atau camca?

Mari bantu PemburuMitos selesaikan persoalan rumit ini.

Riang Ria Kampus Dulu Lain Sekarang Lain

Friday, July 24, 2009 · Posted in

senang je..
cite pasal zaman kampus dolu2..
besshhhh..
- adeqq

1. Zaman kampus aku bermula tahun 1999 di Johor ketika zaman gawat dan krisis politik Malaysia. Pada masa tu secara peribadi, kesan ekonomi tidak begitu terasa kerana mendapat duit daripada mak ayah dan ditambah dengan pinjaman kerajaan negeri dan persekutuan.

2. Masa tu baru datang revolusi henfon. Henfon pertama aku Nokia 3210, antara paling canggih seumpamanya ketika tu dengan rekabentuk tanpa antena.

3. Antara kemahiran yang aku pelajari ketika di Johor ialah belajar main nunchaku sehingga tahap semi pro daripada seorang kawan aku yang berdarah raja dan sangat meminati Bruce Lee. Dengar cerita dia jadi polis sekarang.

4. Habis belajar di Johor. Aku menganggur dan jadi tak ketahuan. Kecewa tak dapat IPTA aku saja isi borang masuk Universiti Kerajaan Swasta (Unisel). Dapat. Selepas dua semester aku kat Unisel, UiTM panggil aku. Tapi sebab dah kamcing dengan kroni sini. Aku tolak ke sana. Memang sekarang aku menyesal juga sebab bakal jadi macam Faizal Tahir sebab tak bayar duit pinjaman lagi. Mujur aku masih tak bercadang nak cari suaka politik di USA.

5. Aku antara kelompok awal Unisel. Batch ketiga. Masa tu bawah kerajaan negeri pimpinan Umno. Kampus Unisel dulu memang miskin gila. Serius, nak mengaku studen pun malu. Kalau orang tanya belajar mana, kami masa tu akan jawab, Shah Alam saja. Dan automatik orang akan cakap, Ooo.. UiTM...

Ada sekali tu masa kami berkelah kat Gabai, ada sorang brader tanya, belajar mana? Aku jawab perlahan, Unisel. Brader tu angguk.. Ooo Unitennn.. Dekat jelah ye.. Itu belum masuk berapa ramai orang yang kerut dahi masa dengar Unisel. Aku syak diorang ingat kami belajar kat Unicef.

6. Masa baru daftar, gambar bangunan Unisel dalam pamflet bukan main besar. Tapi rupa-rupanya tingkat bawah saja jadi ofis Unisel dalam bangunan Inpens (sekarang dah jadi kampus satelit Unisel, Seksyen 7, SA).

7. Bilik kuliah kami sebenarnya kat atas kedai makan Joran, sebelah mamak Khulafa Seksyen 7 lama. Asrama kami pula kat Seksyen 8 (bangunan Kopeda) dengan dekorasi ala setinggan. Apa yang istimewa di asrama kami ni ialah kemudahan tandas dengan dua jamban duduk dalam satu bilik. Kami panggil tandas tu 'jamban berjemaah'.

8. Sebelum Suzuki Rongak dikirim dari kampung, pengangkutan utama aku ke kuliah (dari Seksyen 8 ke 7) ialah bas universiti (sekolah). Kalau tertinggal kena naik teksi. Tapi kawan aku, Sabahan (memang kami panggil dia Sabahan) jalan kaki saja dari Seksyen 7 ke 8. Ada sekali tu dia cerita dia menapak dari Seksyen 8 ke Kompleks PKNS. Tiga malam aku tak tidur teringat cerita dia.

9. Sepanjang belajar di Shah Alam, aku tak pernah masuk Bukit Cerakah padahal tak sampai sepuluh minit pun pergi sana. Aku juga tak pernah masuk WetWorld kat Seksyen 2. Istana MB lagilah aku tak pernah masuk. Dulu aku ingat rumah dia tu muzium.

10. Antara pengalaman paling tidak dapat dilupakan di Shah Alam ialah tragedi kawan aku, Binbin kalah ber-racing dengan mat scoot. Tapi syukur, Suzuki Rongak aku merangkap Queen of Moped berjaya menebus kekalahan tersebut pada masa yang sama.

11. Banyak lagi cerita. Tapi nanti dah jadi beratus-ratus poin pula dalam entri ni. Sekian saja.

5 Fakta Manchester United Lawan Malaysia

Monday, July 20, 2009 · Posted in

Fakta rahsia perlawanan persahabatan Manchester United lawan Malaysia.

1. Ferguson cakap kualiti padang Bukit Jalil bertaraf Piala Dunia. Beliau sedang berkira-kira mendapatkan sampel rumput untuk dibawa balik ke Old Trafford.
2. 1,000 fanatik United parah selepas masing-masing berebut baju Nani.
3. Van der Sar baling baju ke muka Amri Yahyah semasa tamat perlawanan.
4. Ben Foster cirit birit makan nasi kandar mamak Mohsein.
5. United minta lepak sampai Rabu ni sebab tak puas nak shopping kat butik al-Ikhsan.

Malapetaka Bola Sepak Malaysia (Bekas Gergasi Asia) III - Kenapa Saya Taja Lisa Surihani

Thursday, July 16, 2009 · Posted in

1. Dalam asas pemasaran produk, tujuan pengiklanan ialah mencapai sasaran pengguna seramai mungkin dengan tidak mengetepikan bajet syarikat. Di sini, lebih ramai pengguna tahu pasal produk kita, lagi banyak produk kita dapat dijual. Sebab itu iklan ketika waktu perdana (berita, drama) lebih mahal berbanding iklan ketika rancangan Bicara Mufti (contoh).

2. Sama juga dengan papan iklan besar dan kecil di tepi jalan dan saiz iklan dalam majalah atau surat khabar. Nilainya berbeza kerana potensi iklannya berbeza.

3. Berbalik kepada masalah MyTeam. Kenapa aku pilih Lisa Surihani berbanding MyTeam untuk ditaja.

4. Berfikir secara satu saat pun kita sudah dapat tahu bahawa potensi iklan pada diri Lisa lebih besar berbanding MyTeam.

Pertama, Lisa ada kelompok peminat yang ramai.
Kedua, Lisa kerap muncul di kaca tivi dan sinema.

Dua poin di atas dinilai berdasarkan jumlah kutipan pecah panggung filem-filem lakonan Lisa dan kekerapan muncul di kaca tivi dalam drama-drama. Termasuk Facebook yang dikemaskini.

5. Ok. Kita lihat pula potensi iklan MyTeam dengan merujuk dua poin di atas.

Pertama, MyTeam tak ada kelompok peminat yang ramai (berapa ramai fanatik MyTeam? 1,000? 2,000? 20,000? 1 juta?)
Kedua, MyTeam jarang muncul di kaca tivi (cuma muncul dalam sedutan berita -1 minit- dan liputan liga -1 jam seminggu- di RTM).

6. Hek eleh, mana aci bandingkan MyTeam dengan Lisa sebab MyTeam bukan selebriti!? Ya, sudah tentu peluang muncul kat tivi tak ada. Ok, macamana dengan stadium? Ganti tivi untuk MyTeam ialah stadium. Sudah tentu stadium menjadi platform utama pengiklanan MyTeam yang bermain bola sepak. Perlu dinyatakan, fungsi stadium bukan saja setakat ada padang bola, tetapi sebagai tempat menghimpunkan peminat dan penyokong bola. Faham FAM?

Masalahnya, berapa kerat sangat penyokong MyTeam turun stadium?

7. Justeru tanpa berfikir selama dua saat pun aku sudah dapat tahu bahawa keputusan menaja MyTeam hanya akan mengundang MALAPETAKA!

8. Pandailah hang. Habis tu kalau dah tak ada siapa yang sudi sponsor, hang nak suruh MyTeam buat apa?

9. Pertama, MyTeam perlu tarik diri. Kedua, dibubarkan. Ketiga, tutup buku. Bukan saja MyTeam tetapi PDRM, ATM, Felda United, T-Team, Sinar Dimaja Maisara, KM Naza, PKNS dan semua kelab lain dalam liga anjuran FAM.

10. Akhir sekali adalah tugas FAM untuk gali kubur dan pacakkan nisan bertulis bola sepak Malaysia.

(Ah, malas pulak nak tulis lagi pasal bola sepak Malaysia. Namun sebarang permohonan dipertimbangkan. Haih.)

Aksi Hebat Gila Pasukan Bola Sepak Malaysia

Wednesday, July 15, 2009 · Posted in

Tengok Malaysia lawan Zimbabwe.

Sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung, kami habiskan dengan bersembang pasal pilihan raya Manik Urai, cerita pejabat, awek ESPN cun, bumbung stadium runtuh, padang bola chantek, kamera RTM, lagu rakyat Malaysia, kasut bola pink, burung pulang petang, esok kau cuti ke tak, reporter duduk kat mana, Robert Mugabe, Bendtner turun tengok Malaysia main, Adebayor main cun, Rita Rudaini datang tak, siapa couple dengan Zaquan, bla.. bla.. bla..

Amacam? Menarik tak aksi skuad kebangsaan kita? :)

Universiti Kerajaan Swasta yang Baru Kot

Sunday, July 12, 2009 · Posted in

Lama tak dengar cerita pasal Universiti Kerajaan Swasta. Kalau adapun dalam iklan radio yang buatkan kau rasa nak buka radio Tamil.

Dua tiga hari lepas sedar-sedar dah masuk web berita pasal pelajar kat sana berpakat nak singkir Canselor dengan disokong para pensyarah dan politikus kiri. Gila terkejut aku sambil refresh dua tiga kali komputer.

Tapi aku tak taulah sama ada batch baru ni dah gulingkan diktator Jananiaga yang halau kami macam kambing dulu. Daripada pung pang pung pang isu besar, baik selesaikan dulu isu kecil melibatkan rakyat (pelajar).

Dulu masa aku belajar, MPP tak berapa nak jalan. Lebih kepada event organizer yang buat tugas cop borang dan minta sponsor. Jadi tak hairan masa pilihan raya dulu, kalau kau hensem, cun dan terampil, peratus kau untuk menang tinggi.

Tapi aku salute juga. Sungguh.

(Dua tiga hari sebelum berita gempar tu juga ada pensyarah aku telefon tanya pasal nak buat laman web rahsia. Aku dah syak bukan-bukan sekarang)

Hari ini Kita Isytihar Hari Bahasa Melayu

Thursday, July 09, 2009

Dasar PPSMI dimansuhkah. Lega hati kita. Mungkin hari ini patut diraikan sebagai Hari Bahasa Melayu. Apabila tiba tarikh ini nanti, tiadalah salah rakyat Malaysia berutuskan kad ucapan atau sms dengan menulis puisi, pantun atau seloka kepada insan tersayang. Lagu-lagu klasik dan puisi diputarkan di radio dan tivi. Hari ini juga sasterawan dan penulis melancarkan buku baru masing-masing. Acara kebudayaan berbahasa Melayu dimahsyurkan seperti teater pusing, puisi keliling, bangsawan dan macam-macam ada diadakan di setiap negeri. Hari ini biarlah kita melihat diri kita di dalam tanah air sendiri.

Sedar tidak sedar, hidup dalam pohonnya Malaysia hari ini yang disiram tekanan dan ditabur baja material, kita sebenarnya sedikit-sedikit menghirup air langsung tanpa menggunakan akar. Apakah patut dinamakan pohon tanpa akarnya tuan-tuan? Jika benar, sungguhlah sedih hati kita.


Persamaan Aku, Kau dan Jacko serta SRK

Tuesday, July 07, 2009 · Posted in

Pasal Michael Jackson lagi.

1. Masing-masing keliru apabila abang Michael, Jermaine Jackson mengaku adiknya tu mati dalam Islam.

2. Islam apa buat plastic surgery? Islam pada nama saja tu. Sama saja macam Shah Rukh Khan. Huh.

3. Pernah dengarkan ayat di atas? Aku akui, bagi kebanyakan Melayu Islam, sememangnya ada banyak penanda aras bagi mengukur fasa keislaman seseorang.

4. Walaupun mengaku kononnya liberal, tetapi aku masih lagi berpegang kuat dengan kepercayaan seseorang muslim yang ideal itu adalah mereka yang 'murni di segi pemikiran, jiwa dan peribadi (akhlak)'.

5. Itulah yang diajar tok-tok guru kita dalam asas pendidikan Islam masa sekolah dulu. Tetapi apa yang menyedihkan, fahaman murni yang dipegang kuat itu kurang dicerna dengan tepat dan lembut sehingga ia mengubah hati kita jadi terlalu keras, pesimis, skeptikal dengan sesiapa saja yang tidak memenuhi kriteria 'murni' tersebut. Sehinggakan wujud satu blok besar dalam diri kita untuk berbaik sangka sesama manusia dalam mengajak ke arah kebaikan dan kebenaran.

6. Jadi tidak hairan seseorang Muslim yang berbeza dari norma Melayu Islam dilabelkan sebagai 'Islam pada nama saja tu. Sama saja macam Shah Rukh Khan'.

7. Tetapi bagi aku, perkataan 'Islam pada nama saja tu. Sama saja macam Shah Rukh Khan' itu seolah-olah ditujukan kepada diri sendiri juga. Islam kita di mana sebenarnya? Walaupun kebanyakan kita tak minum arak, melakukan seks bebas dan berjudi, tetapi setakat itu sajakah Islam kita? Mungkin kita pun sama juga dengan Shah Rukh Khan. Islam pada nama saja.

Cerita Hakim Lucu yang Buatkan Aku Tergelak Kah Kah Kah

Wednesday, July 01, 2009 · Posted in

Berita Harian Online 01/07/09

... Abdul Kudus yang memakai kot biru gelap dan bertali leher berjalur merah biru, kelihatan tenang dan kerap tunduk serta sesekali dilihat tersenyum sepanjang prosiding yang berlangsung hampir satu jam setengah itu.

Sementara itu, Manoharan ketika memohon meringankan hukuman ringan terhadap anak guamnya berkata, tertuduh menghadapi pelbagai dugaan dan kesusahan sepanjang hampir enam tahun kes itu dibicarakan.

"Dalam tempoh berkenaan, ibu tertuduh meninggal dunia, bapanya terpaksa melepaskan jawatan sebagai imam dan beliau sendiri sehingga kini tidak bekerja. Tertuduh juga kini baru mendapat anak ke-10 yang berusia tiga bulan.

"Mahkamah seharusnya menghukum 'ikan yu' yang terbabit rasuah dulu, bukannya menganiaya 'ikan bilis' saja," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan, berkata tidak adil untuk mengatakan hanya 'ikan bilis' dikenakan hukuman.

"Ikan yu atau ikan bilis tidak menjadi persoalan, sebaliknya setiap kesalahan rasuah dipandang berat sekalipun ia dilakukan sesiapa saja termasuk ikan kembung," katanya.

Malapetaka Bola Sepak Malaysia II - Cara Mengatasi Masalah MyTeam

Monday, June 29, 2009 · Posted in

Ya pasal bola lagi. Harap bersabar untuk entri sensasi lain. Tuan punya blog tengah kena sampuk jin Piala Konfederasi FIFA.

Kali ni pasal bagaimana mahu mengatasi masalah kewangan pasukan-pasukan bola sepak di Malaysia amnya ataupun UPB-MyTeam khususnya. Aku buat secara snippet supaya senang faham.

1. Sebenarnya untuk mengatasi masalah kewangan UPB-MyTeam ni cuma perlukan pengetahuan matematik mudah saja dan sedikit logik ekonomi. Aku tak tau sebab apa FAM masih tak nampak dan tak mampu nak selesaikan masalah tersebut. Mungkin ini salah satu punca kenapa Che Det perkenalkan PPSMI. Sebabnya, FAM lemah matematik dan ekonomi.

2. Kata pegawai kanan FAM, setiap pasukan bola Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya RM2.5 juta untuk mengharungi satu musim liga meliputi perbelanjaan kos pengangkutan, penginapan, gaji, elaun dan lain-lain.

3. Jadi di sini, sepatutnya semua persatuan bola sepak (FA atau FC) dalam Liga Malaysia sudah mempunyai dana pengurusan yang cukup (RM2.5 juta) untuk membiayai pasukan masing-masing sebelum liga bermula lagi.

Bukan itu saja, FA dan FC juga seharusnya sudah mempunyai draf jangka pendek dan panjang bagi menjana dan mendapatkan lagi RM2.5 juta (atau lebih) bagi mengekalkan status 'ada' pasukan mereka untuk saingan liga pada musim akan datang dan ia mesti sentiasa berterusan.

4. Ok, kita berbalik pula kepada MyTeam. Kalau dilihat laman web, senarai penaja pasukan kelab realiti tivi (dan bergabung dengan UPB Perak) ini memang bukan calang-calang. Ada Scomi, Berjaya, TV3, AirAsia, MayaTeam, Privasia dan Westport.

5. Tapi kenapa MyTeam masih bermasalah?

6. Aku cuba jelas secara mudah ikut pemahaman dan logik aku. Dalam sesuatu tajaan, akan wujud kontrak perjanjian antara pihak FA/FC dan penaja. Di sini, jumlah (RM1 juta? RM2 juta?) dan bentuk (jersi? bas? stadium? duit?) tajaan akan ditulis dengan jelas dalam kontrak. Ini termasuk jangka masa tajaan tersebut. Berapa lama ia berkuat kuasa (setahun? dua tahun?).

7. Sebelum mewujudkan MyTeam pada 2006, pihak pengurusan MyTeam pastinya sudah mempunyai dana awal hasil daripada sumber penaja dalam jangka masa tertentu (aku letakkan tiga tahun sebab 2009, kelab ni mula bermasalah). Jadi sepanjang tiga tahun tu, MyTeam FC sepatutnya sudah mempunyai dana sekurang-kurangnya RM7.5 juta bagi melangsai perkara asas pengurusan kelab tersebut (gaji, elaun, pengangkutan, lampu stadium dll).

8. Jadi sekiranya beban kewangan bertambah melebihi dana yang dimiliki, ia adalah menjadi tanggungjawab FC dan bukannya tanggungjawab penaja kerana penaja membayar seperti yang tertulis dalam kontrak. Persoalannya, bagaimanakah cara FC menambahkan dana pengurusan jika berdepan masalah kekurangan dana? Ya, cari lagi penaja baru. Tetapi masalah mula timbul apabila tidak ada penaja yang sudi menaja FC tersebut. Kalau FA negeri mungkin boleh dapatkan suntikan kewangan daripada kerajaan negeri. Tapi kalau kelab seperti MyTeam? Apakah kerajaan Selangor akan begitu murah hati memberi pelan rangsangan ekonomi untuk kelab ini? Sudah tentu tidak kerana ia akan melibatkan hal-hal politik yang akan jadi lebih rumit. Tidak mustahil kerajaan PR akan tumbang kepada BN disebabkan menaja MyTeam (sekadar contoh).

9. Pada peringkat ini, FAM akan cakap, kami kesal kerana sektor swasta tidak berminat (atau tidak patriotik) dalam usaha membangunkan bola sepak negara. Ini adalah sesuatu yang mendukacitakan.

[sila maki di sini]

10. Ok. Kenapa penaja susah menaja pasukan bola sepak di Malaysia?

11. Untuk pengetahuan anda, pelaburan dalam sesebuah syarikat besar adalah banyak dihabiskan pada bahagian pemasaran dan pengiklanan sehingga ia mampu mencecah suku ke separuh keuntungan yang diperoleh. Ini adalah kerana fungsinya yang bertanggungjawab menjana keuntungan dan menaikkan reputasi syarikat. Jadi, jangan hairan kenapa selebriti atau ahli sukan terkenal menjadi rebutan banyak syarikat untuk ditaja. Kerana mereka ini menjadi platform mudah dalam menjana pendapatan dan menaikkan reputasi produk syarikat tersebut.

12. Andaikan aku ni CEO sebuah syarikat minyak urut, KuatLagi Sdn Bhd. Tahun ni, pendapatan syarikat aku RM10 juta setahun. Sebagai CEO yang hensem dan penuh wawasan, aku bercadang menggandakan keuntungan syarikat kepada RM20 juta tahun depan. Bagi merealisasikan sasaran tersebut, aku sekarang bersedia melaburkan keuntungan syarikat sebanyak RM2.5 juta supaya orang ramai dapat kenal produk minyak urut aku dan teruja untuk membelinya sekali gus menambahkan keuntungan dan menaikkan reputasi syarikat, selain mengalahkan pesaing lain. Dalam kes studi ni pesaing ketat aku ialah minyak urut Haji Toyyib.

13. Satu hari datang dua wakil minta sponsor. Satu wakil MyTeam dan satu lagi wakil Lisa Surihani. Aku pun tanya, "kalau beta menaja kalian, apakah yang akan syarikat beta dapat?" Lalu kedua wakil tersebut pun usul proposal masing-masing. Selepas melihat kelebihan yang ditawarkan dua wakil tersebut, aku pun memilih Lisa Surihani.

Huh, dasar jantan!!, getus pengurusan MyTeam di dalam hati.

Nanti, jangan marah dulu. Aku akan terangkan sebab kenapa aku pilih Lisa untuk ditaja.

Malapetaka Bola Sepak Malaysia (Bekas Gergasi Asia)

Thursday, June 25, 2009 · Posted in

Bola sepak Malaysia memang teruk tahap celaka. Ok, minta maaf terlebih dulu dengan mukadimah hamun tadi.

Kenapa FAM celaka? Buktinya FAM buat idea gila lagi. Nak tukar format profesional ke semi pro. Lebih malapetaka FAM bercadang mahu hadkan penyertaan pasukan dalam liga sebagai satu cara mengatasi masalah kewangan. Dan bagi menguatkan lagi idea 'super' tersebut, FAM merujuk kepada liga Myanmar (atau Burma) yang hanya menampilkan lapan pasukan tetapi tetap mampu menghasilkan pasukan kebangsaan yang beraksi 'power' di peringkat antarabangsa walaupun baru dua bulan diperkenalkan.

FAM,
Liga bola sepak domestik yang bagus ialah liga yang kompetitif, yang bertanding banyak pasukan dan banyak perlawanan. Kalau kau seorang samurai, level jaguh kau diukur dengan berapa banyak kepala musuh sudah kau pancung dan berapa ramai lawan sudah kau jumpa. Hero samurai Jepun, Miyamoto Musashi tak akan jadi legenda kalau setakat lawan pedang dengan lapan orang musuh, dia perlu lawan seribu musuh satu musim (contoh).

Jadi, secara kasar dan di atas kertas, liga yang kompetitif (yang banyak pasukan dan perlawanan dalam liga) sepatutnya menghasilkan pasukan kebangsaan yang bagus juga. Kita tak perlu terbang ke Eropah untuk membuat rujukan, cukup sekadar teropong ke liga-liga gergasi Asia Tenggara seperti Singapura (12 pasukan-S-League), Thailand (16 pasukan-Thai Premier League) dan Indonesia (18 pasukan-Indonesia Super League).

Sepatutnya tiga negara tersebut yang dijadikan penanda aras bola sepak Malaysia, bukan Myanmar. Jadi, untuk menjawab persoalan kenapa pasukan bola sepak Myanmar semakin maju berbanding kita adalah kerana tahap liga bola sepak kita yang mundur dan primitif.

Aku bukan suka hati cakap bola sepak Malaysia mundur dan primitif. Ok, untuk mengukuhkan kecaman aku terhadap kemunduran dan keprimitifan bola sepak Malaysia adalah dengan membandingkan laman web liga Malaysia (laman web liga, bukan persatuan bola sepak) dengan tiga negara Asia Tenggara tersebut.

Singapura - S League
Thailand - Thai Premier League
Indonesia - Indonesia Super League
Malaysia - Liga Malaysia (tiada)

Inilah segala kubra punya masalah yang dihadapi FAM. Cemas tak tak tentu pasal. Tapi buat laman web liga pun tak lepas lagi. Aku rasa FAM baik pergi kursus buat laman web dulu. Nanti bila dah lulus hubungi aku dan aku akan terangkan pula cara mengatasi masalah kewangan UPB-MyTeam.

Mari Belajar Mengeja Bersama Pakcik Nil

Sunday, June 21, 2009 · Posted in

Aznil buka soalan, "siapa tahu eja 'PERONDA'?"

Tetttttt... Budak baju biru menekan bazer.

"P.E.R.O.N.D.E"

"Salahhhh!!" Aznil menjerit girang.
.
.
.
Budak tu tak faham maksud peronda sebenarnya. Jadi dia eja ikut fonologi yang disebut Aznil. Dalam hal ni Aznil yang salah sebab sebutan tak baku. Dia sepatutnya sebut 'peronda' bukan 'peronde'.

Keputusan Kelambu:
Budak Baju Biru (1) Aznil (0)

Hikmat Menyatupadukan Sel-Sel

Monday, June 15, 2009 · Posted in

Internet surfing. Cuba cari cara fisio terbaik untuk proses pemulihan pantas. Kalaulah aku boleh dapatkan mesin pengimejan ultrabunyi, mungkin proses pemulihan jadi lebih fokus dan cepat. Tapi rasanya tak berbaloi habiskan duit semata-mata nak beli mesin tu. Baik aku beli Newcastle United.

Hari ni sudah boleh bawa kereta. Sakit memang sakit. Tambahan lagi semasa aku gunakan kuasa menolak untuk gerakkan gear. Berlaku beberapa renjatan elektrik di sekitar pergelangan tangan. Aku tahan saja sambil mengaktifkan hikmat menahan sakit peringkat ketiga. Walaupun tangan menggigil selepas selesai sesi pemanduan, tetapi hasilnya memberangsangkan.

Hmm, berkesan juga teknik fisioterapi hasil 'internet surfing' ni:

Patah Tangan Kiri

Friday, June 12, 2009 · Posted in

Dalam hidup ni kita selalu hargai benda yang besar-besar saja. Yang penting-penting. Benda-benda kecil kita tak berapa peduli sangat. Sehinggalah kita merasai sendiri kehilangan 'benda-benda kecil' tu.

Dua minggu lalu hingga kini aku hilang tangan kiri. Maksud aku fungsi tangan kiri. Hilang langsung, tempang dan lumpuh. Angkat benda seringan gelas pun tak boleh. Mungkin ini yang dirasai pesakit yang hilang fungsi tangan mereka.

Kalau dalam filem, tangan kiri bolehlah diibaratkan sebagai pelakon pembantu. Penyedap cerita. Pembantu waktu utama (tangan kanan). Tapi filem yang tak ada pelakon pembantu memang tak sempurna malah kau mungkin boleh jadi benci dengan pelakon utama tu.

Selama ini aku hanya ingat fungsi penting tangan kiri sekadar basuhkan najis saja tetapi selepas apa yang berlaku, aku mula berfikir sebaliknya. Ok, untuk merasai pengalaman hilang tangan kiri, kita bolehlah sama-sama bereksperimen dengan melakukan semua perkara menggunakan sebelah tangan saja (yang dominan). Cukup untuk satu hari dan catatkan hasil eksperimen tu.

Serius susah.

Ok, aku akan terangkan kesusahan aku.

1. Untuk pakai seluar, mula-mula aku perlu duduk dan masukkan kaki sehingga menembusi dua lorong seluar supaya tidak terpijak kaki seluar bila bangun nanti. Semasa bangun dan menarik seluar ke atas pinggang, bahagian kiri seluar biasanya sedikit terlondeh dan aku perlu angkat kaki kiri dengan gaya side kick Bruce Lee. Kadang-kadang aku hilang keseimbangan. Dengan tangan kanan memegang pinggang seluar, aku tak ada pilihan lain melainkan gunakan kepala sebagai tongkat ke dinding. Aksi bertukar agak ekstrem ketika menyarung jeans berbutang penuh.

2. Sebenarnya hujung bulan lepas aku dah setuju jadi pengapit Syem (selamat pengantin baru). Tapi akhirnya tak jadi (sebab macamana aku nak pegang kipas sambil bawa payung?). Jadi dia rekrut adik dia. Sudahnya, aku cuma turun makan nasi saja. Semasa makan, semua benda aku masih boleh buat kecuali cuci tangan. Aku kena juga minta tolong orang. Ada lagi tak cara terbaik cuci tangan guna teko?

3. Pakai baju guna satu tangan. Badan kau perlu elastik dengan meliuk kiri dan kanan macam cacing kepanasan.

4. Tak boleh memandu.

5. Ikat tali kasut guna gigi.

6. Kau akan rasa macam nak menangis bila hanya boleh menaip satu tangan.

7. Susah sapukan deodoran ke ketiak kanan.Terpaksa gesel-geselkan ketiak untuk kesan sapuan lebih rata dan menyeluruh.

8. Tak boleh potong kuku jari kanan.

9. Memasak jadi susah. Tak ada tangan kiri untuk stabilkan kuali. Cukup susah nak alihkan telur yang melekat. Kena kecilkan api, kais telur, betulkan kuali (guna sudip), kais telur, betulkan kuali, kais telur, betulkan kuali, kais telur, betulkan kuali. Semuanya guna tangan kanan.

10. Basuh najis guna tangan kanan. Ya, bila tak ada tangan kiri, suka tak suka tangan kanan akan cuci najis di punggung.
.
.
Sesiapa pun orang-orang kecil di sekeliling kita, tolong hargai mereka. Oh, aku dalam proses fisio dan sebagai terapi aku mula belajar mencium tangan kiri sendiri dengan penuh rasa sayang.

Bertukar Menjadi Mutan

Friday, June 05, 2009 · Posted in

Kali kedua aku masuk bilik bedah. Paling akhir masa aku darjah enam, buangkan tonsil di anak tekak.

Dr Mahamud masuk, ambil pen dan lukis rajah tulang atas A4 putih. Bersungguh dia tunjukkan aku struktur tulang dan plat besi yang akan diskru di hujung tulang radius aku.

Aku sakit sangat masa tu dan aku tak berapa nak faham. Aku angguk-angguk saja. Aku teringat filem Wolverine yang aku tengok minggu lepas.

Tragedi Lewat Mei Ketika Matahari Rembang

Wednesday, June 03, 2009 · Posted in

26hb. 11.30 pagi. Suzuki aku terpelanting terlanggar sisa bonggol simen bergerigi di tepi jalan. Padah melengah-lengahkan masa untuk betulkan fork motor. Tapi hidup sebagai penunggang motor di Malaysia memang selalu teraniaya.

Aku kutip henfon, kamus, kad nama, sapu tangan, dompet, gula-gula hacks dan tanggalkan helmet. Tangan kiri aku kebas dan ibu jari macam panjang sebelah.

Lima minit aku mamai tepi jalan macam pemabuk wiski. Seorang Melayu pun tak ada yang berhenti. Aku tarik nafas dalam. Tak mau pitam. Tak lama lepas tu berhenti dua makhluk Tuhan. Seorang Cina tua dan kawan India di sebelahnya. Kadang-kadang kerana terlalu fikirkan bangsa, kita selalu terlupa mahu berfikir tentang rasa manusia.

Yang Sebenarnya Hasad Dengki

Saturday, May 23, 2009 · Posted in

insaf jap bace cite dato why, thanks...
kelambu, nak tau pandangan mengenai kenapa manusia suka dengki2 ngan org lain..dengki y positive takpe gak, ni dengki y menyusahkan hidup org lain...menyakitkan mata y memandang...
- 'ainrahimin

1. Secara mudah dengki bermaksud perasaan tidak senang, gelisah dan keluh kesah melihat kelebihan yang dimiliki orang lain dengan berharap agar nikmat tersebut hilang daripada orang tersebut.

2. Hasad dengki bermaksud dengki dengki. Sebabnya dalam bahasa Arab, perkataan hasad itu memang membawa maksud dengki. Gabungan yang molek sepatutnya hasad dendam (dengki dan dendam). Jadi gabungan kata hasad dengki itu sekadar penyedap sebutan - sama juga dengan beberapa sebutan yang biasa kita atau orang lain ucapkan seperti; try test, pintu gate, mesin atm, kotak box, ic card.

3. Justeru di sini dari segi bahasa, dengki merujuk kepada sifat-sifat keji yang patut dihindari dan tiada dengki positif sebenarnya. Mungkin apa yang dimaksud itu ialah cemburu. Sebab itulah ada ungkapan cemburu buta dan cemburu tanda sayang. Tidak ada ungkapan dengki buta atau dengki tanda sayang.

4. Tapi memang ada dengki yang positif sebenarnya. Rujuk hadis ni:

"Tidak boleh dengki dan iri hati kecuali dalam dua hal; iaitu iri hati terhadap orang yang dikurniakan harta dan dia selalu menginfakkan harta itu pada malam dan siang hari. (Juga iri) terhadap seseorang yang dianugerahkan ilmu, lalu ia amalkan ilmu tersebut serta diajarkannya kepada manusia lain" - Riwayat Bukhari dan Muslim

5. Sebaliknya ungkapan yang biasa didengar tentang dengki ialah PHD atau Perasaan Hasad Dengki atau Perasaan Dengki Dengki.

6. Tapi bunga dengki ini sebenarnya berputik daripada perasaan cemburu, yang tidak dikawal, dibiar melarat sehingga bernanah, pecah dan membusuk serta membahayakan diri sendiri. Faham tak ni?

7. Contoh mudah, jiran membeli Gen2 CPS. Kita cemburu kerana hanya mampu memiliki kereta haiwan bijak, Kancil. Kita cemburu gila tetapi kemudian menjadi insaf kerana itu adalah rezeki Tuhan yang diberikan kepada jiran tersebut dan kita redha dengannya (ini positif). Ia bertukar negatif apabila perasaan itu diterjemahkan dalam bentuk tindakan seperti mencalarkan kereta jiran, memancitkan tayar keretanya atau membunuh jiran tersebut kerana lebih bernasib baik berbanding kita.

8. Di antara cemburu dan dengki ini ada satu lagi perkataan ditengahnya, iri hati. Jadi ia membentuk struktur diagram sebab-akibat. Cemburu --> Iri hati --> Dengki.

9. Merujuk kepada diagram sebab-akibat di atas, manusia sememangnya tidak dapat lari daripada perasaan cemburu. Cuma takwa dan iman yang mampu mengekang level cemburu yang bersarang dalam hati kita.

10. Sebut pasal cemburu, aku ada satu cerita mengenai Rasulullah S.A.W yang mahu dikongsi. Satu hari isteri-isteri baginda datang berjumpa dan mendesak baginda memberitahu siapa isteri yang paling disayanginya. Baginda beri satu tarikh untuk buat keputusan. Dalam tempoh itu baginda pergi jumpa setiap isterinya dan masing-masing dihadiahkan sebentuk cincin. Masa yang dinanti pun tiba. Tapi sebelum diumumkan, baginda ingatkan isteri-isterinya supaya diam-diam saja dan tidak beritahu madu-madu lain apabila jawapan sebenar diketahui kerana takut menimbulkan cemburu. Mereka semua berjanji. Baginda cakap, isteri yang paling dia sayang ialah isteri yang dia hadiahkan cincin tempoh hari. Selepas itu semua isteri-isteri baginda pulang dengan hati yang girang. Wallahualam.

Soalan daripada Kawan-Kawan

Thursday, May 21, 2009 · Posted in

cuba hang tulis entry pasal kegembiraan aku mendapat tv LG yg hang hadiahkan tu..huhu - hazman

1. Minta maaf Man, tak ada siapa dapat tivi LG sebab tak ada tivi LG bersaiz 49 inci sebenarnya.

2. Tapi bagi siapa yang mahu beli tivi second hand boleh hubungi aku. Aku boleh bawa dia pergi satu kedai brader tivi kat Paya Jaras. Kau boleh dapat tivi Pensonic 29 inci dengan harga RM250 saja. Kalau sesiapa nak cari tivi khas untuk main PS2 pun ada. Brader tu boleh kasi adjust tivi untuk main game.

3. Menurut brader tivi, salah satu punca tivi rosak ialah main game. Sebabnya pemproses dalam papan induk (motherboard) terpaksa bekerja dengan cara luar biasa sehingga menyebabkan kapasitor menjadi panas dan terbakar.

4. Tapi bagi sesiapa saja yang mendapat hadiah hanya ada satu perasaan saja - gembira.

5. Tapi lumrah manusia, kita selalu tidak gembira bila dapat hadiah yang kecil. Dan kalau tersilap memberi hadiah, ia boleh bertukar menjadi rasuah.

.
.

ko cerita pasal aku. huh. - aie akaike

1. Aie seorang wartawan sebuah akhbar indie tapi mainstream.

2. Aku kenal Aie melalui Danielle Corleone dan dia kenal aku melalui Danielle Corleone juga.

3. Danielle Corleone tak ada kena mengena dengan godfather mafia Amerika ataupun bandar kecil dalam wilayah Palermo di Sicily, Itali apatah lagi kaum kerabat Diana Danielle.

4. Tak banyak yang aku kenal Aie, sebabnya kami lain jabatan walaupun satu bangunan, tapi kami berkongsi minat yang sama melalui blog dan acara-acara seni.

5. Aie mempunyai sebuah kereta Volkswagen berwarna ungu dan dari pemerhatian aku, dia seorang yang sentimental, soft spoken, energetik dan klasikal.

.
.

Poskrip:
Untuk Ainrahimin dan Adeqq, idea anda akan diulas kemudian. Harap bersabar. Untuk Anonymous, terima kasih kerana info panjang lebar yang diberi dalam komen. :)

Hari Selasa Saya yang Begitu Bersemangat

Tuesday, May 19, 2009 · Posted in

Semalam, lepas makan nasik dan update laman web bola (pasal Wenger kononnya nak ke Bernabeu tapi dinafikan adik Samir) dan sebuah lagi laman web anarki politik, aku terus tidur.

Bangun pagi terus semangat pergi kerja. Bawa motor pun tak lebih had laju kebangsaan. Sebelum sampai ofis singgah Mesra kejap, beli air oren Twister dan roti krim blueberi vanila. Memang hari ini seperti selalu. Damai abadi.

Lepas tabik kat jaga terus masuk ofis dan buka pc. Baru buat stori satu dua, brader Nod jumpa aku dengan muka separa bengis.

Kau switch dengan Dani?

Hah, mana ada. Kerja la hari ni bang.

Tengok balik schedule.

17, 18, 19.. eh cuti?

.
.

Aku pulang dengan penuh rasa terkilan.

Namanya Cerita Pendek Kerana Ia Tidak Panjang

Sunday, May 17, 2009 · Posted in

Haha. Aku pun no idea nak tulis entri, nak bagi idea, lagi la no idea.
Tapi bleh gak bagi idea.
Cerita pendek
- Amyz

1. Secara ringkas, cerita pendek ialah cerita yang tidak panjang.

2. Dalam bidang penulisan ia dipanggil cerpen, iaitu satu prosa naratif fiktif.

3. Ia terbina dari anekdot, satu situasi yang digambarkan singkat dan dengan cepat tiba pada tujuannya seiring paralel pada tradisi penceritaan lisan. Faham ke ni?

4. Skema penulisan cerpen perlu ditaip lebih kurang 12 halaman A4 dengan fon Times New Roman dan selang 2 paragraf.

5. Cerpen yang sudah disiapkan boleh dihantar ke media cetak, blog atau simpanan peribadi.

6. Kalau mahu buat duit, hantarlah ke media-media cetak dan pastikan anda tidak lupa sertakan butir peribadi dan setem mencukupi. 50 sen. RM1 lagi selamat.

7. Bayaran untuk satu cerpen yang disiarkan bergantung kepada syarikat penerbitan. Setakat ni yang aku tahu, DBP membayar paling tinggi untuk setiap cerpen yang disiarkan dalam produk keluaran syarikat itu. RM200++.

8. Secara matematiknya, untuk mendapat ekstra RM2000 sebulan atau berhasrat menceburi penulisan cerpen sepenuh masa, anda perlu menulis lebih 10 cerpen dalam sebulan. Berani?

9. Ada yang lagi pendek dari cerpen. Ia dipanggil certot. Cerita kontot.

10. Kalau anda boleh menulis cerita dalam tiga atau empat paragraf, ia sudah layak dikategorikan sebagai certot. Strukturnya boleh jadi cuma dialog, cerita atau kedua-duanya. Antara penulis certot cemerlang yang boleh dirujuk ialah Saharil Hasrin Sanin dan Sufian Abas.

Cerita Tentang Tivi dari Negara Asia

Thursday, May 14, 2009 · Posted in

tulis cerita tentang tivi berjenama LG bersaiz 49 inci - Eliana

1. LG bukanlah bermaksud Lu Gila, tetapi singkatan kepada Life's Good sebagai motto utama yang memacu syarikat ini untuk mencipta satu kehidupan yang lebih baik dan hepi.

2. Menurut laman web LG Group, ia bermula seawal tahun 1947 oleh jejaka Korea, Koo In Hwoi yang menubuhkan syarikat Lak Hui Chemical Industrial Corp (sekarang dikenali sebagai LG Chem) dengan memfokuskan operasinya dalam industri pembuatan kimia (plastik).

3. Selepas 11 tahun beroperasi, In Hwoi masih berasa tidak hensem dengan apa yang diusahakannya. Justeru dia mengambil keputusan untuk meluaskan lagi perniagaan pembuatan plastiknya pada 1958 dengan menubuhkan syarikat Goldstar Co Ltd. (sekarang dikenali sebagai LG Electronics Inc)

4. Setahun selepas itu, Goldstar mengeluarkan radio pertama Korea - menandakan bermulanya era industri elektronik di Korea, jauh lebih lama sebelum drama Korea menyerang Malaya.

5. Ketika era lewat 50-an dan pertengahan 60-an, berlaku revolusi budaya China di Korea akibat pengaruh Mao Tse-Tung. Lagu-lagu klasik Barat seperti Beethoven dan Brahms diharamkan dan lagu-lagu dari republik China dimainkan. Ya, tak ada kena mengena dengan jenama LG pun. Hahaha!

6. Tahukah anda siapakah Papa Rock Korea Selatan? Namanya Shin Jung-hyun. Pernah dipenjarakan selama empat bulan pada tahun 1972 kerana dituduh menyalahgunakan dadah berbahaya selepas enggan menulis lagu memuji pemimpin diktator Korea pada masa itu, Park Chung-hee.

7.
Chung-hee apa lagi, dia pun naik berang dan bengang serta bertindak mengharamkan lagu-lagu Jung-hyun sehingga beliau (Chung-hee) akhirnya mati dibunuh pada Oktober 1979.

8. Kata keramat Papa Rock Korea Selatan: "(Dictators) try to seal people's lips. Our dictator at that time imposed silence on influential popular stars, taking an oppressive measure on our culture".

9. Melihat kepada konsistensi perjuangan muzik Jung-hyun, ia sebenarnya jauh mengatasi perjuangan 'rambut' papa-papa rock Malaysia pada era lewat 80-an dulu.


10. Aiseh. Jauh terbabas dah. Oklah. Berbalik kepada tivi berjenama LG. Kawan-kawan, sebenarnya tiada tivi LG yang berukuran 49 inci. Cuma ada saiz 42", 47" dan 50". Jadi keputusan sekarang, Kelambu-1 Pembaca Blog-0.

Selesai juga permintaan:
apa kata ko cerita tentang bagaimana mahu sediakan hadiah utk pemenang idea terbaik itu. sebab ko kata ko xde laa kaya sangat kan. ekekekeke - fafarafa

Hari Ibu yang Kau dan Aku Raikan

Tuesday, May 12, 2009 · Posted in

cite pasal IBU
mggu nie kn HARI IBU
Selamat Hari IBU
- Dato Why

1. Hari Ibu yang disambut dunia moden hari ini adalah hasil usaha aktivis wanita, Anna Jarvis bagi menghargai jasa manusia-manusia bergelar ibu dalam konteks kekeluargaan.

2. Untuk pengetahuan, Anna memulakan kempen Hari Ibu selepas dua tahun kematian ibunya, iaitu pada 12 Mei 1907.

3. Untuk pengetahuan lagi, Anna Jarvis ni berasal dari Amerika Syarikat, tidak pernah berkahwin dan tidak pernah mempunyai anak, tetapi sudah tentu mempunyai seorang ibu bernama Ann Maria Reeves Jarvis.

4. Hari Ibu disambut hari Ahad minggu kedua pada setiap Mei, termasuk Malaysia.

5. Namun sejarah yang lebih panjang mengatakan asal usul Hari Ibu adalah sempena meraikan perayaan Dewi Cybele, Mahadewi Greek dan masih disambut di sekitar Asia Kecil dan Rom.

6. Hari Ibu di Malaysia biasanya diraikan dengan menghantar kad, kiriman sms atau mms atau menelefon ibu di samping menonton iklan dan drama tivi yang memaparkan kisah ibu-ibu yang malang dan berendam air mata.

7. Menurut Abu Hurairah r.a., seorang lelaki datang menemui Rasulullah s.a.w dan bertanya;

"Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?"

Baginda menjawab: "Ibumu."
Dia bertanya lagi: "Kemudian siapa?"
Baginda menjawab: "Ibumu."
Dia bertanya lagi: "Kemudian siapa?"
Baginda menjawab: "Ibumu."
Dia bertanya lagi: "Kemudian siapa?"
Baginda menjawab: "Ayahmu."

8. Dalam tradisi dan hukum Rom Kuno disebutkan bahawa wanita adalah makhluk yang selalu bergantung kepada lelaki. Jika seorang wanita itu berkahwin, maka dia dan seluruh hartanya secara automatik menjadi milik suami. Ia hampir sama dengan yang tertulis dalam English Common Law, ...all real property which a wife held at the time of a marriage became a possession of her husband.

9. Dalam konteks Bahasa Melayu, perkataan ibu itu sendiri merupakan simbolik kata yang penuh suci, keramat dan penuh fungsi. Misalnya ibu pertiwi, ibu negara, ibu jari, ibu duit.

10. Dan aku selalu berimaji, kalaulah dunia ini punya jantina, maka aku rasa jantinanya adalah perempuan. Perempuan tua yang penuh kasih sayang.

Idea Terbaik yang Belum Mau Datang Kerana Hidup Sehari-Hari yang Penuh Duka Nestapa

Thursday, May 07, 2009 · Posted in

Oleh kerana aku tak ada idea. Aku buka komen ni untuk korang berikan apa-apa idea untuk aku tuliskan sebagai entri akan datang. Panjang atau pendek entri adalah terpulang pada aku. Kalau tak ada halangan, mungkin aku akan tuliskan semua idea-idea korang. Idea terbaik akan menerima set tivi berjenama LG bersaiz 49 inci.

Kejuaraan yang Dilimpahi Bendera Parti Politik dan Imigran Serantau Tapi Apa Kita Peduli Kerana Bola Sepak Menyatukan Kita

Sunday, April 26, 2009 · Posted in

Selangor menang Piala FA. Kelantan boleh cuba lagi. Stadium penuh dah macam kat Emirates. Perlawanan agak membosankan dan ini diakui Haji Hasbullah Awang. Cuma ulasan Hasbullah kali ini kurang provokatif. Aku suka ulasan komentator yang ada idea sendiri dan bukan setakat terang apa yang sedia ada atas padang. Contohnya: Ah, sungguh mengecewakan. Pengadil yang mendapat lesen A FIFA tidak sepatutnya mengambil keputusan begitu. Ia seperti pengadilan tahap majlis daerah. Sungguh memalukan.

Aku syak Hasbullah ni ada kaitan dengan Kelantan dan Selangor. Hmm..

Berikut adalah fakta tentang Piala FA yang jarang orang tahu:

Sepanjang piala baru final Piala FA bersaiz gajah diperkenalkan, belum ada mana-mana pemain yang dapat mengangkat piala 'agung' tu dan berlari sekeliling padang secara solo.

Girang Gembira di Pagi Buta yang Dipenuhi Falsafah

Monday, April 20, 2009 · Posted in

Aku dan Badin melompat girang bila Jagielka sumbatkan gol kemenangan buat Everton tadi, walhal pasukan Moyes tu bukan di hati kami pun. Rasa puas hati gila bila Setan Merah kalah. Mungkin itu rasanya bila fanatik PR dapat menumbangkan BN dalam pilihan raya. Begitulah juga sebaliknya.

Tapi dalam satu laman web yang enggan dikenali, Arsene Wenger salahkan rumput di Wembley sebagai punca kekalahan The Gunners. Katanya, rumput di Wembley menghalang permainan bola sepak cantik.

Dua tiga hari juga aku cuba hadam pemikiran Wenger. Aku tau setiap kata-kata Wenger penuh dengan falsafah Perancis.

Cerita Satu Malam Sehari Sebelum Arsenal Bertemu Chelsea

Saturday, April 18, 2009 · Posted in

Ofis Syem lancar Exora kat Seksyen 7 sana. Bukan drama tivi baru. Tapi MPV Proton baru. Aku pergi memeriahkan majlis sambil makan bihun dan air oren. Sambil-sambil tu layan cerita peel kastemer.

Ada kastemer jenis skeptikal. Ada juga jenis teruja. Jelik. Dan jenis mengada-ngada pun ada.

Pian cerita ada kastemer sampai buka tangki petrol. Jarul cerita pasal tiga empat orang kastemer hempas pintu kereta kuat untuk menguji kekedapan pintu kononnya (dan sumpah diorang sendiri pun aku rasa tak pernah hempas pintu kereta diorang kuat-kuat macam tu). Aku pula nampak sorang brader tu sampai suluh enjin guna lampu henfon. Aku rasa mungkin dia tengah cari tempat letak bom bagi mencetuskan keganasan. Ataupun dia tengah cari permata yang hilang. Mungkin.

Syem pula hadap kastemer dari spesies-proton-bukan-di-hatiku. Eh, 1.6 ni mesti tak boleh blah ni. Boleh panjat bukit ke ni?

Tapi Syem dengan pengalaman lima tahun selaku jurujual Proton yang penuh ilmu di dada terus saja balas balik. Avanza 1.5 ja bang. Tak ada pun orang komplen.

Pian cakap slogan Exora, 'You'll be Amazed' patut ditukar kepada 'The Cheapest MPV'. Aku alih bahasa jadi 'MPV murahan'. Bukanlah, MPV termurah, bidas Pian. Ops, jangan tafsirkan dialog-dialog di atas secara harfiah. Cuma selingan lawak malam saja.

Hakikatnya, aku tak skeptikal langsung dengan Proton. Bagi aku Proton patut dilayan macam kereta lain juga. Sesiapa yang melabelkan Proton dengan imej tertentu aku akan anggap dia seorang rasis. Ataupun boleh digelar 'car racisme'. Mungkin ada akta perlu digubal kepada mereka ini.

Dan aku berani bersumpah, brader-brader yang buat pemerhatian melampau tu hanya berani-peluk-tubuh-sambil-angguk-angguk saja bila datang ke bilik pameran Toyota ataupun Honda dengan wajah penuh kagum.

Haha. Jangan marah ya.

Sesekali Bermimpi Pun OK

Tuesday, April 14, 2009 · Posted in

Status selaku gergasi bola sepak Inggeris masih belum cukup untuk Manchester United menewaskan kelab elit Malaysia, Kedah apabila terpaksa pulang hampa selepas dibelasah 4-0 di Stadium Darul Aman dalam saingan Liga Juara-Juara Dunia malam tadi.

Kedah membuka jaringan awal seawal minit ke-6 apabila bola hantaran jauh dari Shahrul Nizam Mustapa disudahkan Badrol Bakhtiar dengan cantik menerusi sepakan guntingnya menewaskan penjaga gol United, Edwin Van der Sar.

United bangun mengatur serangan namun jentera serangan yang dibarisi Wayne Rooney dan Dimitar Berbatov kelihatan sukar melepasi kawalan ketat pertahanan Kedah yang diketuai kapten, Victor Andrag.

Red Devils hampir menyamakan kedudukan pada minit-34, tetapi rembatan kaki kiri Rooney berjaya ditepis penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias.

Seminit sebelum babak pertama tamat, Ahmad Fauzi Shaari menggegarkan gawang United hasil rembatan jarak jauhnya dari luar kotak penalti, menjadikan kedudukan 2-0.

Bermula babak kedua, skuad Alex Ferguson sekali lagi dikejutkan dengan taktikal pantas Kenari apabila giliran Khyril Muhymeen meledakkan gawang United. Khyril yang menerima umpanan dari Ahmad Fauzi Shaari berjaya melepasi Patrice Evra dan kemudian memperdayakan Rio Ferdinand sebelum melepaskan rembatan kencang ke gawang United pada minit ke-54.

United akhirnya terpaksa melupakan hasrat untuk menjulang trofi kejohanan tahun ini apabila penyerang Kedah, Farizal Rozali memastikan skuad Inggeris itu berputih mata menerusi tandukan mengelirukan pada minit ke-76.

FergusonNasib Ferguson bersama United mula tidak menentu
berikutan kekalahan pasukannya kepada Kedah

"Segalanya serba tidak menjadi. Kedah bermain baik dan mereka layak menang. Pada peringkat ini, semua pasukan adalah terbaik dan anda memerlukan kekuatan mental dan sedikit tuah untuk berjaya," kata Ferguson.

Sementara itu jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah ternyata gembira dengan kemenangan besar pasukannya dan berpuas hati dengan komitmen yang diberi.

"United patut menerima hakikat Kedah bermain baik malam ini. Malah semasa di Old Trafford kami berjaya mengikat pasukan itu 2-2. Apapun alasan yang diberi, keputusan sudahpun diperoleh dan kami kini perlu melihat perlawanan akan datang," kata Azraai.

Kedah akan bertemu Barcelona di Nou Camp minggu depan dalam suku akhir pertama Liga Juara-Juara Dunia. Barcelona pastinya berdepan tugas sukar mengekang skuad Malaysia ini berikutan masalah kecederaan yang dihadapi beberapa pemain bintangnya.

Kabinet Rumah Puaka yang Warnanya Koko

Friday, April 10, 2009 · Posted in

Kat rumah puaka aku ni cuma ada satu kabinet saja. Kabinet dapur. Wakaf dan ihsan daripada tuan rumah. Tapi bahagian kabinet yang paling berfungsi adalah bahagian tengah yang menjadi tempat simpanan mee segera perasa macam-macam, stok gula dan minuman 2+1 atau 3+1.

Ruang atau laci-laci kabinet yang lain sumpah dalam sebulan (ataupun lebih lama lagi) belum tentu aku buka. Dan tak mustahil kalau di situ ada pintu rahsia ke segitiga Bermuda yang tidak pernah diteroka tapi aku tak pernah ambil tahu pun.

Dan aku mula faham, konsep kabinet itu dicipta bukannya untuk digunakan. Tapi untuk ruang simpanan barang-barang yang kau tak berapa nak gunakan sangat. Kalau barang itu kau kerap gunakan, kau sudah tidak letak dalam kabinet. Kau akan campak atas rak. Rak kasut atau rak pinggan misalnya.

Hidup Kita Segiempat

Friday, April 03, 2009 · Posted in

Aku rasa perjalanan hidup ini adalah dua garis panjang tak berpenghujung. Tanpa kongkongan. Bebas. Merdeka. Garis-garis itu ialah horizontal dan satu lagi vertikal. Macam yin dan yang juga. Tak kisahlah sama ada kau jenis horizontal atau vertikal. Jadi, apabila ada banyak horizontal dan vertikal, maka hidup kita akan jadi empatsegi. Rectangle. Quadrangle. Kotak. Dan dalam empat segi inilah kita hidup. Dan semakin lama kita hidup, semakin banyaklah empat segi dalam hidup kita. Akhirnya ia akan jadi kotak-kotak yang sangat kecil seakan titik. Noktah. Bintik.

Ada faham tak falsafah baru aku ni?

Teh O Ais Satu

Wednesday, April 01, 2009 · Posted in

Melewat-lewatkan makan memang antara tabiat aku yang tak sepatutnya dicontohi pun. Dulu perut aku agak manja juga. Makan kena ikut masa. Kalau tak, mulalah gastrik menyerang dan aku benci minum susu masam beraroma pudina tu. Tapi sekarang perut aku mulai kental. Kadang-kadang sengaja aku cuba tahan lapar sampai ke malam. Kononnya menginsafi derita-derita si miskin yang tak makan apa-apa [kononnya lah].

Dan kesan sampingan yang aku dapat, masuk pukul 11 malam perut aku dah mengamuk. Lutut dah longgar. Tangan dah menggigil. Kepala otak tak berapa nak berfungsi. Dahsyat sekali kesan tak makan ni.

Ada lagi kesannya. Semalam Badin cakap aku mengigau sebut teh o ais. Dan serius aku tak percaya.

Powered by Blogger.