Archive for November 2004

marah & makan

Sunday, November 28, 2004

MARAH

Lokasi=> Dewan Serba Berguna, U*****
Tarikh=> Sabtu, 27/11/2004, 10 pg

Bangun awal. Pukul 9 pg! Bersiap sedia dengan wangi-wangian untuk mendaftar diri di dewan serba berguna.

Aku: (senyum) Cik, saya nak tau tentang status ke degree!
Kerani: (marah+muka buruk) Awak ingat ni kaunter pertanyaan ke..? Kat sini untuk register subjek saja. Awak pergi tanya kaunter sana!

Aku terpaksa beratur panjang untuk menerima jawapan seperti itu.

Ya, dia letih! Tapi dia dibayar untuk kerjanya. Jadi buatlah kerja dengan dedikasi dan rela.

Perlukah aku bawa testimonial untuk memberitahu bahawa aku juga pernah bekerja sepertinya di bawah skim khidmat pelajar.

Perlukah aku memaki hamunnya sehingga menyebabkan dia menangis? Ya, tak perlu..

Aku hanya perlu menurut katanya untuk pergi ke kaunter yang paling hujung dan melalui kerenah beratur yang panjang sekali lagi.

Ya, aku terlalu baik dengan perempuan. Tapi aku akan pastikan suatu hari nanti aku tidak akan berlalu pergi begitu saja tanpa kata-kata seperti, " terima kasih kerana melayan saya sebegini"

Kelambu: Kata kawan aku, "period le tu..."



MAKAN

Lokasi=>rumah Ojai, Seksyen 8; rumah Syem, Bukit Raja; rumah kawan Wan, Seksyen 17; Shah Alam.
Masa=>27/11/2004-28/11/2004

Tiada apa yang patutku ceritakan melainkan makan makan makannn...!!!!!

Untuk aksi peserta bergambar di open house Ojai sila klik Galeri Kelambu

Kelambu: Terima kasih sumer... Jemputlah lagi ye...

suka

Thursday, November 25, 2004

SUKA

message received
- Betul cakap hang! 'Dia' dah ada orang lain... Sebab tu dia anggap aku adik ja... So, apa aku nak buat? Lupakan dia atau... :( -

Adik aku sudah frust! Ceh...

Aku balas mesejnya - Kumbang bukan sekor! Cari yang lain... Hahaha... -

Mana lebih bagus?

Kita suka kat orang ke atau orang suka kat kita...?

Tentulah kita suka kat orangkan. Tambah-tambah lagi kalau orang tu pun suka kat kita...

Kata pujangga Henrick, 'Mencintai seseorang yang tidak mencintai kamu adalah sia-sia; menyia-nyiakan orang yang mencintai kamu, itu berbahaya!' Benarkah?

Apa akan jadi kalau orang yang kita suka tu suka kat orang lain dan orang yang dia suka tu pula suka kat orang lain... Harukan..?

Biasanya...

Bila kita suka kat orang, orang tu tak suka kat kita..

Bila orang suka kat kita, kita pula tak suka kat orang tu...

Dunia memang tidak adilkan..?

Susahnya mahu membuat keputusan dan lagi susah kita mahu memberi keputusan...

Susahnya memberi jawapan dan lagi susah menerima jawapan...

Ya, kita patut tahu

Bahawa apa yang kita suka tak semestinya kita punya...!!

Muda-muda dah bercinta. Ceh..! Tapi aku takkan gelak sebab dia adik aku. Barangkali ini pelajaran yang dia takkan dapat dalam silibus subjek di matrikulasinya! Dia akan belajar sendiri. Subjek PERCINTAAN! Dia patut TABAH! TABAHLAHHHHH!!

Kelambu: Tak suka cokelat tapi suka milo... :)

pelajar melayu

PELAJAR MELAYU

Aku: Apa citer problem kita? Boleh further ke tak? Kalau tak aku dan Ayie nak gi oversea! Hahaha...! Tak pun kita bakar U*****!
Jarul: Sabahan bagitau, kita juz dtg je register Sabtu ni. Nanti baru diorang print form tawaran kt kita...
Aku: Abis tu yang aku bayar duit proses diorang buat apa?
Jarul: Dont worry.. Kalau tak dapat kita guna kekerasan! Kita bakar U*****!

Status pada hari Jumaat-26/11/2004 => bertolak ke Shah Alam sebagai pelajar Melayu bersemangat waja! [nyanyikan lagu Negaraku dengan mata bersinar!]

Kelambu: Jemput aku kat Seksyen 17. Kalau tak kau akan MENYESAL!

kritikus

Tuesday, November 23, 2004

KRITIKUS

-soalan-
Mengapa lebih banyak orang lelaki menjadi kritikus berbanding perempuan?

__________________________________

Kritikus bukanlah seekor tikus tapi manusia yang suka mengkritik...

Dalam Kamus Dewan kritik bermaksud huraian atau ulasan tentang kelemahan dan kekurangan sebagai menilai dan membuat kesimpulan tentang sesuatu.

Kritik juga memberi maksud teguran keras, kecaman dan bidasan.

Ada yang mengkritik kerana kebenaran dan ada yang mengkritik ikut sedap dia saja. Asal ada tak kena saja dia akan kritik. Itu pun termasuk dalam golongan kritikus!

Persoalannya, bagaimana mahu menjadi kritikus yang luar biasa?

Pertama-mencari kesilapan objek/subjek

Kalau kita awal-awal sudah meletakkan kebaikan pada sesuatu objek/subjek pasti kita tak dapat menjadi seorang kritikus yang luar biasa.

Contohnya, orang yang mabuk bercinta tak dapat menerima keburukan pasangannya walaupun benar. Tak caya try!

Seorang die hard fan sesebuah parti/kelab/persatuan pastinya tidak dapat menerima sebarang kritikan terhadap parti/kelab/persatuan sendiri. Tak caya try!

Sebabnya ialah dia sudah menetapkan kebaikan pada objek/subjek mereka dan bukannya kesilapan. Jadi untuk jadi kritikus yang baik ialah cari silap orang! Silap tak semestinya salah. Selepas mencari kesilapan barulah kita mencari kebaikan. Itu barulah dikatakan kritikus luar biasa!

Kedua-memerhati apa yang orang lain tidak/jarang memerhati

Semasa tengok tv/filem, kritikus biasa akan tengok baju pelakon tetapi kritikus luar biasa pula akan melihat butang baju dan jenama butang baju pelakon tersebut... Itu saja! Senangkan..?
_______________________________________

-jawapan-
Banyak orang perempuan melihat baju seseorang lelaki itu hanya pada jenama, gaya, jenis, warna dan apa yang dizahirkan retina matanya...

-tetapi-

Banyak orang lelaki melihat baju seseorang perempuan itu bukan sahaja pada bajunya tetapi di dalam baju dan di sebalik-sebaliknya. Percayalah..! :)

Kelambu: Selalu tengok orang tu guna tangan mana. Kiri atau kanan..:)

7 perhentian

Sunday, November 21, 2004

7 PERHENTIAN

lokasi=>City Plaza Cineplex, Alor Star. Seat no. 2 dari depan dan no. 2 dari kiri sekali.
tarikh=>Rabu, 17/11/2004, 5.00 ptg.

Aku tengok wayang dengan Man. 7 Perhentian. Sapa cakap aku tak sokong filem Melayu. Aku sokong apa...?

Ini filem lakonan schoolmate aku, Farid Kamil [tumpang glamour]. Ini juga merupakan filem pertama dia menjadi hero. Dengan Erra pula tu. Ya, dulu mungkin dia hanya mampu berangan mendekati Erra tapi sekarang angan-angannya menjadi kenyataan!

Aku rasa dia mungkin tak kenal aku melainkan apabila diungkitkan satu cerita yang menggemparkan seisi form 5! Hahaha...

Sebab apa aku suka tengok filem Melayu? Ya, sebab aku boleh kritik dengan rakusnya. Sebab banyak pengarah filem Melayu tak belajar biarpun sudah diajar atau belajar!

Filem 7 Perhentian ini ceritanya mudah. Anda hanya perlu menggunakan suku otak untuk memahaminya. Mengisahkan tentang Amirul (Farid) yang kecewa kerana mengalami masalah dengan isteri (tak ada anak) dan kerja (dibuang kerja).

Amirul berasa tension dan mengalami halusinasi lalu membawa diri dari KL ke Johor melalui lebuhraya utara-selatan dan berhenti di 7 Perhentian=>hentian rehat di sepanjang lebuhraya itu.

Dia bertemu Suraya (Erra) di salah satu hentian tersebut dan jatuh cinta dengannya walhal semua itu hanya ilusi semata. Orang lain hanya melihat dia bercakap seorang diri. Aksi yang sama di sepanjang 7 hentian. Tiada langsung kejutan! Ceh!

Rupa-rupanya Amirul membawa mayat yang telah dibunuh dan disembunyikan di dalam bonet keretanya (disembunyikan oleh Hattan=>tunang mayat tersebut).

Nak tahu bagaimana endingnya?

Semua penonton menyangkakan mayat tersebut ialah Suraya tetapi sebenarnya bukan. Mayat yang dibunuh itu ialah orang lain dan tak ada kena mengena dengan Suraya. Suraya cuma halusinasi Amirul. Ini termasuklah tajuk berita tentang kematian Suraya di akhbar yang dibacanya di hotel di Johor Bahru! Bukan Suraya tetapi orang lain!

Siapa Suraya? Suraya memang wujud! Dia muncul di akhir cerita bersama Maya Karin (doktor hospital bahagia) sebagai individu yang tiada kena mengena dengan mangsa yang dibunuh.

Jadi, mengapa perlu jelmaan Suraya yang muncul dalam halusinasi Farid dan bukannya jelmaan mayat tersebut! DAMN! Apa perlu Suraya memberikan kata-kata, 'Saya milik Tuhan' seolah-olah memberi hint kepada Amirul bahawa dia yang dibunuh tetapi rupa-rupanya orang lain.
SHIT!

Berikut adalah beberapa kesilapan yang mencacatkan 7 Perhentian. Ingat aku tengok pakai bulu mata ke?
DAMN!

- Kereta Amirul baru masuk ke petak parking di sebuah hentian (Pagoh kalau tak silap) dalam keadaan hujan pada masa tu. Ya, Amirul memandu keretanya tanpa memasang wiper dalam keadaan hujan...
HEBAT!

- Jerawat Amirul di pipi kanan begitu menonjol dan kemerahan tetapi tiba di suatu hentian jerawatnya hilang! Ya, dalam masa beberapa jam sahaja jerawatnya hilang. Aku nak UBAT JERAWAT tu! HEBAT dan
BERKESAN!

- Tetapi jerawatnya muncul semula di hentian selepas itu. APA....? TAK NAKLAH ubat jerawat tu...:)

- Mayat di dalam bonet kereta Amirul dibunuh di kawasan hutan tetapi disembunyikan di dalam kereta Amirul. Susah-susah Hattan bawa mayat tunangnya untuk disimpan ke dalam kereta Amirul yang mewah dan pastinya mempunyai sistem penggera yang baik! Kereta tu pula berada di dalam rumah. Tahniah untuk Hattan yang menjadi pembunuh yang bersusah payah tapi bodoh!

Ya, orang lain tak perasan tapi aku perasan! Ingat sesuka hati ke nak buat filem! Buat filem kena teliti, cerewet, peka dan sensitif dari perkara-perkara yang besar hinggalah ke perkara-perkara yang kecil. Kalau macam tu lebih baik tangkap gambar kahwin tengok dengan bini! Ni satu Malaysia nak tengok! Jadi, tolonglah
BELAJAR! BELAJAR! BELAJAR!

Kelambu: Jarang berhenti...


gathering raya utara

Thursday, November 18, 2004

GATHERING RAYA UTARA

lokasi=> Caveman BBQ Park, Sungai Petani yang tenang...
tarikh=> Selasa malam Rabu, 16/ 11/ 2004

lambang ketabahan para pemanggang!

Ini adalah kali pertama aku menyertai acara gathering dengan Geju. Aku dan Man selamat sampai pada jam 9.13 malam dan disambut Purbe. Turut serta bersama kami ialah geng Kedah Online=>Mat Net and da gang!

Acara BBQ kali ni memang kena dengan temanya=>Purbe...:) Ada pintu gerbang gua dan kenderaan diparking di tepi gua. Di dalam gua tak boleh parking sebab tak relevan dan realistik dengan suasana. Tahniah untuk Purbe...! Mungkin kak P-nut boleh buatkan 'tema kacang' dan abang TokeiPajak pula dengan tema 'mari bergadaian' jika mereka mahu menganjurkan BBQ di lain harinya.

Mulanya aku diperkenalkan pada uncle EP, abang TokeiPajak, kak P-Nut. Aku hanya sengih... Mereka memang baik, budiman lagi kacak dan anggun!

Berikut adalah para peserta yang menyertai BBQ Caveman.

Purbe, EP, TokeiPajak, P-Nut, Irja, Cempakabiru, Shahida, Mat Net, Mat Jan, Khairusy, Yadziz, Hazman, Sajen, 2 pembaca blogenita dan juga beberapa blogger yang barangkali tertinggal namanya di sini. Maaf...

aksi penuh kekenyangan

Oleh kerana terkenal dengan sifat lelaki Melayu pemalu terakhir, aku dan Man hanya mengambil kerusi bahagian tepi saja. Mujurlah ada cik Khairusy yang menemani kami bersembang. Mati-mati aku ingat cik Khairusy dari golongan pertengahan umur..! Rupa-rupanya masih muda dan kacak! Tapi sayang cik Khairusy dan keluarga terpaksa pulang awal kerana masa mencemburui. Dia perlu ke Kangar sebelum kembali pulang ke KL. Terima kasih kerana menyertai kami!

Mat Net dan kawannya pula turut menyusul selepas itu. Kata mereka, ada kerja yang perlu dibereskan... Kami pasrah...!

Ya.., Mat Jan mengenali aku. Aku bangga!

Tokei Pajak: belajar ke dah keje ni..?
Aku: belajar lagi...
Tokei Pajak: kat mana..?
Aku: UN****
Mat Jan: (menyampuk) Kelambu..? Laa.. baru kenai...
Aku: (sengih) haah... saja nak tgk Mat Jan dari jauh macamana orangnya... nak teguq segan... glamour sangat!
Mat Jan: (sengih)

Oleh kerana kami lelaki tulen maka hanya kami (blogewan) yang membakar makanan-makanan seperti ayam percik yang digolek di atas api, kepah yang dibakar sehingga ternganga isinya, sosej segar dari peti ais, puyuh golek yang menari-nari disirami kuah kacang, hirisan daging kambing segar dari bahagian dada yang bidang, sate ayam dan daging yang dibalik-balikkan bersama aroma menusuk sanubari dan juga ikan bakar yang mesti dibakar selama 10 minit bersama rempah rahsia yang sukar dipercayai kelazatannya! Ini menyebabkan para blogewan terpaksa mengamalkan pepatah sambil mengipas meminum air dan sambil menyepit mengunyah sate..

Kaum wanita (blogenita) sangat penyantun kerana hanya perlu mengunyah sambil bergebang-gebang mesra. Ketika makanan masih dibakar mereka masih mengunyah. Ketika blogewan habis mengunyah pun mereka belum juga mahu berhenti mengunyah. Tahniah!

TokeiPajak berbisik kepada kami, kita makan apa yang kita masak. Nanti baru tak ada orang komplen tak sedap...

Ya, betul tu. Pantang bagi seorang pemasak mengkritik masakannya sendiri. Mat Jan sudah membuktikan dengan menghabiskan sekotak sate, dua hirisan daging kambing, sosej segenggam, sepotong ikan berempah dan juga kepah-kepahan bersama ayam-ayaman... Nyam-nyam kata nafsunya.. Dia bukan saja menghabiskan masakannya malahan menghabiskan masakan orang lain... Tahniah Mat Jan....:)

Uncle EP bertindak sebagai QC Analyst (quality control) bagi mengawal mutu dan cara masakan para blogger. Purbe diiktiraf pemenang hanya kerana masakannya mempunyai asap yang sedikit. What?!

Kami memperoleh satu ilmu. Cara untuk mengenal pasti sama ada ayam itu sudah masak atau tidak di dalam kegelapan ialah dengan menyucuk garfu plastik yang dikembar dua ke dalam dagingnya. Percayalah!

Sesi akhir ialah sesi autograf beramai-ramai ke atas buku GT2 yang diedarkan dengan rakusnya oleh Mat Jan. Ya, Mat Jan sudah kaya pada malam tu.. Aku tidak kaya kerana GT2 aku masih dalam proses penghantaran... Sayangnyaaa....

Uncle EP meragui kejujuranku untuk menghantar pulang Irja ke rumahnya di Baling. Katanya, dia takut aku diapa-apakan oleh Irja... :P Akhirnya dia memutuskan agar Irja pulang bersamanya kerana dia akan balik ke Kulim. Irja marah-marahkan aku dan terus menarik muka 4.40 ptg.. Aku pasrah!

Apabila mengetahui aku datang dengan Man barulah uncle EP memberi pilihan kepada Irja sama ada mahu memilih cinta aku atau pun cintanya. Sudah tentu Irja memilih cintaku yang masih belum berpunya. Hahaha... :)

Ya, kami selamat menghantar Irja sehingga ke muka pintu rumahnya. Pukul 1.43 pagi..! Pagi terlalu buta untuk aku berjumpa dengan bakal bapa dan ibu mertuaku.. Hehehe... Lain kali saja angpa noo... :)

Ketika dalam perjalanan menghantar Irja, dia bercerita tentang kenderaan pakciknya pernah disamun dengan orang yang berpura kemalangan di sebuah jalan di situ. Kami pun mengambil cerita sadisnya itu sebagai iktibar di hari muka.

Jadi semasa balik, kami pun mengambil jalan lain. Tiba-tiba ada orang melambai kami. Bayangkanlah di dalam hutan getah kiri dan kanan dan suasana yang gelap lagi berkabus seorang manusia sedang melambai kenderaan anda dalam keadaan seluar senteng, tubuh tak bermaya dan secara tiba-tiba di tengah jalan raya! TIDAKKKKKKKK........

Man fikir orang tu accident sebab jalan memang berkabus gila. Jarak penglihatan cuma 15 meter saja! Dia sedikit kesal tapi dia suruh aku jalan saja. Katanya, kalau kami berhenti pun tak ada apa yang dapat kami lakukan di tengah-tengah hutan getah itu. Lagi pun kami bukan orang situ. Silap-silap cerita pendek boleh jadi cerita panjang...

Nak tahu apa pula yang aku fikirkan? Ya, masa tu aku hanya fikirkan tentang misteri nusantara saja. Jantung aku berdegup kencang. Pertamanya sebab 50 meter sebelum tu kami jumpa sebuah kereta rosak yang dibuka pintu dan hudnya. Kemudian lepas tu kami jumpa lelaki tu. TIDAKKKKKKK.........

Aku cuba fikir logiknya kata-kata Man tapi bayangan lelaki tu tetap menghantui. Memang seram GILA...!!

Sampai rumah selepas berbalas mesej satu dua aku terus tidur lena...

Ini adalah gathering yang cukup horror bagi aku! Percayalah!

kehilangan

Saturday, November 13, 2004

kehilangan

Sebelum ni aku ingat kes-kes perempuan mati bersalin hanya akan terjadi pada zaman dulu-dulu saja sebab tak ada teknologi perubatan yang secanggih hari ini. Tapi aku silap kerana kejahilanku...

Dalam sehari menyambut raya yang bakal menjelang aku terima panggilan Johan beberapa minit lagi sebelum waktu berbuka. Dalam keadaan telefon aku yang berbunyi seperti digigit tikus, Johan bagitau kakak dia, Kak Nani dah tak ada. Lepas berbuka aku gegas ke rumahnya dengan Man...

Katanya, darah tumpah sebab rahim tak kuat dan tidak mengecut. Kemudian doktor memutuskan untuk menjalankan satu pembedahan membuang rahim. Selepas pembedahan arwah dikejarkan ke ICU selepas tidak sedarkan diri. Arwah meninggal petang itu juga pada pukul 6.30 meninggalkan suami dan dua orang anaknya. Anaknya yang baru dilahirkan selamat di hospital. Kasihan dua beradik tersebut ditakdirkan menjadi yatim semuda usia begitu....

Kata Johan lagi, kakaknya pergi tanpa tanda. Ketika mereka masih lagi bersembang-sembang dan berbicara. Ketika mereka masih lagi sempat bergurau senda...

Aku baru jumpa kakak dia minggu lepas. Ya, dia terlalu baik dengan aku. Sekarang orang yang menggelarkan aku Ann Lasso sudah tidak ada lagi. Tidak ada lagi orang yang akan menjerit-jerit memanggil Johan setiap kali aku datang ke rumahnya...

Kematian arwah membuat aku memikirkan tentang perempuan bergelar ibu. Benarlah, melahirkan manusia itu bagaikan telur di hujung tanduk. Aku hanya dapat membayangkan tetapi manusia bergelar perempuan sahaja yang akan merasakan. Tiada apa yang lebih mengagumkan aku pada seorang perempuan itu selain ketabahan melahirkan anaknya. Sekalung penghargaan untuk mereka...

Takziah untuk Johan dan keluarga. Pasti berat kehilangan yang terpaksa diharungi tambahan lagi dengan persiapan sempena hari mulia yang bakal menjelma.

Kehilangan adalah sesuatu yang memeritkan dan kita dipaksa menerima kerana kita hanyalah hamba-Nya yang tidak terlepas dari diduga. Pasti ada hikmah terencana. Arwah syahid di bulan Ramadhan. Doakan balasan syurga ke atasnya... Amin...

Kelambu: Al-Fatihah....

salam aidilfitri

Friday, November 12, 2004

salam aidilfitri

Dengan penuh rasa takzim dan rendah diri, saya yang berlindung di balik Kel@mbu ini ingin mengucapkan Salam Aidilfitri buat semua pengunjung blog ini tidak kira di mana jua anda berada... Maaf Zahir & Batin... :)

Kelambu: Hah..., apa lagi... Mari beramai-ramai penuhkan ucap selamat di bawah dan di sebelah ni... :)

jangan sedih

jangan sedih

'bantulah miskin hina...' - petikan lagu 'Sesuci Nazam Lebaran' - Siti Nurhaliza

Ya, miskin itu pastinya HINA...

Kita sudah sekian lama menjatuhkan taraf hina ke atas orang miskin dan kita pun menyanyikannya dengan girang sekali! Bagus!

Mengapa mesti ada lagu-lagu sedih untuk Hari Raya?

Hari Raya ialah Hari Kebesaran. Hari Kemenangan. Hari Senyuman. Hari Kemaafan!

Pada hari itu kita akan cuba menggembirakan sesiapa sahaja tidak kira apa pun status mereka. Bukannya menyumbatkan mereka dengan kesedihan-kesedihan yang menyesakkan rongga hidung dan kepala otak.

Apakah ada lagu-lagu hari perayaan kaum lain yang meratap-ratap hiba kerana tidak dapat pulang ke kampung?

Apakah ada lagu-lagu hari perayaan kaum lain yang sedih dan pilu kerana tinggal sebatang kara dan tiada tempat mengadu?

Mana ada!

Apakah orang Melayu saja yang suka menghasilkan lagu yang bertemakan meratap-ratap dan meleleh-leleh hingus serta gelema (kahak) mengalahkan lagu Hindustan?

Ini Hari Raya bukannya Hari Putus Cinta! CILAKA!

Cuba dengar lagu M. Nasir- Suatu Hari Di Hari Raya=>ini barulah dikatakan betul-betul lagu raya biarpun masih bernada melankolik (mendayu-dayu, meratap). Tapi bila mendengarnya jiwa kita terasa berbunga, penuh kesyukuran, kemaafan, kegembiraan dan kerinduan.

Kepada komposer-komposer lagu Raya Melayu. Hentikan lagu sedih untuk Hari Raya kita. Dahlah menonton drama sedih, duit banyak berhabis di hari raya pun sedih, tak dapat balik beraya pun sedih, tak ada baju raya pun sedih, masa bersalam pun sedih, potong bawang pun sedih, bakar lemang pun sedih...

Jadi apa yang kita GEMBIRAnya...?

Jadi sempena Aidilfitri yang akan menjelang nanti tidak kira siapa pun anda tolonglah jangan dok sentimental-sentimental sangat. Tarik nafas, depa tangan, buka mata besaq-besaq, ghenyih (senyum) luas-luas dan cakap YEA..! YEA..! RAYA..! YEA..! YEA..! RAYA..!

Kelambu: bergembira seadanya...

mencari jaya

Thursday, November 11, 2004

mencari jaya



Raya lambat lagi daa... Jadi aku nak bercerita mengenai Deepavali dan Jaya.

Korang ada kawan India yang paling baik? Aku ada...!

Nama dia Jayaprakash a/l Subramanian. Dia adalah kawan sekolah aku yang paling ngam dalam banyak kawan India yang aku temui. Oleh sebab dia golongan minoriti dia selalu dibuli oleh kawan-kawan di sekolah. Tetapi dia pasrah. Aku pun selalu buli dia juga tapi aku baik dengan dia. Aku bangga!

Kami gemar menonton filem Jackie Chan. Kami akan mengayuh basikal bersama-sama ke panggung Cathay, Alor Star yang dipenuhi tikus-tikus longkang. Adli si jurnalis Majalah 3 pun ada bersama. Sebenarnya aku pernah mahu mengajaknya menonton filem Sembilu yang tengah top ketika itu tetapi aku terpaksa membatalkannya kerana takut dia akan mengajak aku menemannya menonton filem Tamil pula.

Jaya pernah menceritakan aku tentang kitab-kitab dewanya. Ada dewa berkepala gajah dan dewa berperut buncit. Asal dua dewa tersebut ialah adik beradik tetapi mereka bergaduh. Dalam pergaduhan tersebut dewa perut buncit (masa tu perutnya masih steady) telah memenggal kepala dewa kepala gajah (masa tu berkepala manusia lagi). Kepala dewa kepala gajah itu terjatuh di hadapan seekor gajah dan gajah itu berasa kasihan lalu memberi kepalanya sebagai ganti. Dewa perut buncit itu pula dimurkai tuhan dan dihukum berperut buncit. Jaya begitu bersungguh-sungguh bercerita kepada aku ketika itu. Aku pun tak tahu kenapa. Percayalah!

Jaya paling menyukai subjek Bahasa Inggeris. Mungkin sebab ayatnya yang sudah sedia terbalik. Subjek yang paling dibencinya pula ialah Bahasa Melayu kerana dia sering tersasul dan menterbalikkan ayat. Sebelum itu aku ingat orang India hanya menterbalik ayat seperti 'makan apa?' kepada 'apa makan?' tetapi Jaya telah menterbalikkan ayat Tamadun Islam kepada Tamudan Islam. Hahaha....

Ayah Jaya bekerja sebagai Pegawai Hal Ehwal Pengguna. Jadi banyaklah aku membeli kaset cetak rompak dan seluar jeans pada harga murah daripadanya... Terima kaseh, Jaya! :)

Selepas dapat result SPM dia berpindah mengikut bapanya. Entah ke mana. Lepas tu baru aku sedar betapa susahnya mahu berkawan dengan bangsa lain kerana faktor populasi kaum dan gaya sosial yang banyak menghalang.

Kita memang tidak pernah bergaduh sesama kaum tetapi sedar atau tidak sedar jurang kaum di Malaysia semakin jauh. Aku terpaksa akur sehingga kini aku tidak ada langsung kawan berbangsa lain serapat Jaya.

Tahukah anda bahawa kita hanya dipaksa berkomunikasi dengan kaum Cina atas urusan perniagaan dan kaum Cina pula dipaksa berurusniaga dengan kaum Melayu atas urusan kerajaan. Kalau India pula atas urusan apa? Mungkin atas urusan menggunting rambut atau pun memotong rumput di halaman rumah kot. Kalau tak kerana semua itu kita takkan berkomunikasi langsung. Kita bagaikan sekawan itik, ayam dan kambing. Masing-masing buat hal sendiri.

Ya, rakyat Malaysia semakin prejudis. Kawan aku, Syam tidak dapat mengelak dari berasa hangin semacam setiap kali dia melihat orang Cina. Aku tanya, kenapa? Dia cakap entah, tak tahu kenapa. Oh.., dia orang Penang rupanya. Patutlah...

Aku pun tidak dapat mengelak dari mempunyai perasaan tidak menyukai bangsa-bangsa lain. Mungkin atas sebab kewujudan mereka yang menumpang tanah tumpah nenek moyang kita. Tetapi itulah takdir. Siapa kita untuk menyalahkan takdir?

Jaya telah mengajar aku agar jangan terlebih dahulu menyarung rasa prejudis kepada kaum lain. Betapa perlunya kita menghargai dan saling bertoleransi.

Selamat hari Deewali untuk Jaya dan bangsanya. Masa barangkali menjauhkan kita tapi kenangan akan tetap hijau dan takkan layu. Deepavali selalu memaksa aku mengingatimu...

Kelambu: Suka capati!

gt2

gt2



Gangguan Teksual 2 @ GT2 sudah berada dipasaran. Lebih uh la la dengan hanya RM5 senaskhah. Kami menandingi sebarang harga dan nilai.. Jadi mengapa bayar lebih? Dapatkan segera... :)

Korang boleh dapatkan GT2 dari agen-agen berikut:

Tok Rimau, Basri, Amyz, Op, Ayares, Emma, Mahyudin, Attokz, Cheura, Mat Jan, Jigo, Kelambu , ND, Didiz dan Ayob Kelubi.

Kepada sesiapa yang ingin mendapatkan GT2 dari aku, ampun maaf dipinta sebab GT2 belum sampai ke tangan aku. Aku baru hantar sampul surat beralamat sendiri kat Tok Rimau. Sekarang tengah tunggu maklum balas dari beliau. Lepas raya baru sampai kot. Tambahan lagi dengan masalah birokrasi pos Malaysia dekat-dekat nak raya ni. Ceh...

Apa-apa hal pun aku akan war-warkan GT2 kalau naskhah tersebut berada di tangan aku. Tungguuu.....

Ok! Peace! :)

Kelambu: Beli jangan tak beli weiiii....

mari berperang

Monday, November 08, 2004

mari berperang



Wahai, tuan-tuan dan puan-puan! Sebenarnya di Malaysia pun kita sudah sedia berperang! PERANG kita ialah KEMALANGAN JALAN RAYA DI MUSIM HARI RAYA!

Medan perang rakyat Palestin dan Iraq ialah di bandar, desa, lereng-lereng bukit dan gunung.

Medan perang rakyat Malaysia ialah di sepanjang jalan raya dan lebuh raya.

Rakyat Palestin dan Iraq berperang membawa batu, AK 47, grenade dll.

Rakyat Malaysia berperang membawa atau dibawa kenderaan.

Setiap kali rakyat Palestin dan Iraq berada di medan perang mereka bagaikan telur di hujung tanduk. Bila-bila masa sahaja boleh MAUT!

Setiap kali rakyat Malaysia berada di jalan raya mereka juga bagaikan telur di hujung tanduk. Bila-bila masa sahaja boleh MAUT!

Ancaman rakyat Palestin dan Iraq ialah Israel, Amerika dan tentera bersekutu.

Ancaman rakyat Malaysia ialah tanah runtuh dan perlanggaran.

Berikut adalah kesan peperangan di Palestin dan Iraq= isteri menjadi janda, suami menjadi duda, anak menjadi yatim.

Berikut adalah kesan kemalangan di Malaysia= SAMA seperti di atas!

Keadaan mangsa peperangan di Palestin dan Iraq= putus anggota badan, perut terburai, badan hancur, koma, cacat.

Keadaan mangsa kemalangan di Malaysia= SAMA seperti di atas!

Berikut adalah petikan akhbar Mingguan Malaysia semalam,

"Statistik sejak tahun 1997 hingga tahun lepas mendapati lebih 5,000 kemalangan maut dicatat dan bagi tahun ini sahaja, sebanyak 4,263 kemalangan maut dilaporkan berlaku." KLIK untuk artikel penuh.

Tapi itu adalah kematian yang dicatat di kawasan kemalangan semata-mata. Belum lagi yang mati di hospital, kematian yang tak dilaporkan ataupun mati berapa bulan selepas kemalangan yang dialami mangsa.

Jumlah mangsa kemalangan kita sendiri menyamai malah melebihi mangsa peperangan di Palestin dan Iraq. Sila rujuk blog E-1 untuk melihat body count mangsa peperangan di Iraq dan Palestin.

Ya, kita tak perlu ke Palestin untuk berperang apatah lagi ke Iraq. Di Malaysia pun boleh berperang! Inilah dikatakan MALAYSIA BOLEH!

Kita mempunyai lebuh raya antara yang terbaik di dunia dan kita juga mempunyai jumlah kemalangan antara yang tertinggi di dunia. Top 3! Aku BANGGA!

Kata orang Barat, rakyat Malaysia adalah antara bangsa paling bersopan di dunia tetapi kesopanan mereka berubah sebaik sahaja mereka memegang stereng! Aku BANGGA!

Kita sudah sedia berkorban. Tapi apakah pengorbanan kita berbaloi? Apakah berbaloi untuk negara, agama, diri sendiri dan keluarga!

Jadi, ingatlah diri sendiri dan orang tersayang! Pandu dengan berhemah, bersabar dan sedar diri! Jadikan jalan raya bukan medan peperangan kita! TOLONGLAHHHH....!

Kelambu: -Entry ini tidak dibayar JPJ, PDRM apatah lagi kerajaan MALAYSIA-

adli dan majalah 3

Saturday, November 06, 2004

adli dan majalah 3



Aku tengok Majalah 3 malam tadi. Nampak Adli sedang control percakapan untuk segmen bertajuk 'Flat Pekeliling' hasil suntingannya. Haha..., macho!

Aku teringat masa kami lepak minum-minum bersama Hanis, A.Lan dan adiknya hari Rabu lepas di Restoren Nasmir, Simpang Kuala, Alor Star.

Adli mai ambil aku kat rumah dengan AD Resort nya.

Seingat aku dah dekat 2 tahun lebih aku tak jumpa Adli. Maklumlah masing-masing sibuk. Aku dengan kuliah aku dan dia dengan assignment Majalah 3 nya.

Dia memang tak banyak berubah. Still hensem cuma perutnya sedikit mengalami tumbesaran. Tapi masih tak dapat menandingi tumbesaran Hanis! Hehehe... Mungkin resam orang berkerjaya begitu.

Oleh kerana dia telah membelanja kami minum masa tu terpaksala aku mempromosikannya kepada korang. Mungkin aku boleh tumpang glamournya tak pun dirinya akan bertambah glamour lagi.

Adli sekarang bekerja sebagai jurnalis/wartawan Majalah 3. Nama penuhnya ialah MOHD ADLI EFFENDY MOHD ZAKI. Alaa.., yang selalu bercakap di lokasi tu. Tak caya tengok senarai ketiga nama wartawan!

Adli seorang Bugis dan memiliki black belt Taekwondo. 1st Dan. Masa sekolah dia amat suka menyanyi di atas pentas. Dia menggilai digilai gadis-gadis seusia, lebih muda dan berusia. Ya, dia memang berbakat!

Aku pernah meramalkan dia akan menjadi bintang filem atau pelakon drama tapi dia akhirnya menjadi wartawan Majalah 3. Tekaanku sedikit meleset tapi sekurang-kurangnya dia telah menjadi orang tv!

Semenjak dia menjadi jurnalis aku ingat dia akan menjadi sedikit serius, bercerita tentang kehidupan, alam kewartawanan dan dunia politik. Tapi bagus, dia masih tetap dengan lawak bodoh dan lucahnya ketika bersama-sama kami.

Apabila seorang kawan kita menjadi sedikit glamour, aku tidak dapat mengelak dari menumpang bangga dengannya. Percayalah!

Apabila kawan aku yang lain tengok Majalah 3 aku takkan segan-segan cakap, "Tu lah member aku yang naik basikal pegi tengok wayang masa sekolah dulu." Kewl kan...

Masa tengah asyik bersembang, Hanis buka cerita yang Adli pernah jatuh motor masuk longkang. Katanya, "Bayangkanlah motor tak bergerak tapi tiba-tiba Adli hilang dan jatuh ke dalam longkang?" [cakap ala-ala misteri]

Aku mula teringat, pernah satu masa tu ketika syok ke sekolah dengannya, tali begnya tersangkut ke dalam rim basikal dan dia pun tergolek secara akrobatik di khalayak ramai. Dan aku pula masa tu hanya mampu cuak dan mengawal gelak...

Aku juga teringat bahawa dia pernah accident jatuh motor sensorang kat roundabout masa kitorang ada taekwondo tournament. Motor teruk. Lukanya pun teruk...

Baru aku tahu. Rupa-rupanya Adli kurang bernasib baik dalam arena bertayar 2 ni.

Mungkin itu liku-liku yang perlu dilaluinya untuk menjadi seorang wartawan berjaya. Sekarang dia tak perlu malu lagi disebabkan basikal atau motor kerana dia kini sudah berkereta dan ditaja TV3! Malahan dia bakal mempunyai kereta sendiri tak lama lagi. Bukan itu saja dia juga pernah menaiki helikopter!

Ya, dia tak perlu takut untuk jatuh dari kenderaan bertayar 2 lagi kerana dia kini sudah bertayar 4 dan pernah menaiki kenderaan bertayar 3 dan berkipas!

Tahniah untuk Adli! Moga berjaya dalam kerjaya dan mengingati kawan-kawannya. Aku menunggu dia melakukan kejutan dalam karier jurnalisnya. Bulih gitu Adli..? :)

Kelambu: Belanjalah kami lagi... :)


kisah cinta dan desakan

Thursday, November 04, 2004

kisah cinta

Ini ialah kisah cinta kawan baik aku Johan (bukan nama sebenar).

Berbanding aku dia mungkin kurang pandai dalam akademi. Dia dapat gred 3! Di Malaysia apabila kurang pandai dalam akademi bermakna tipis peluang hidup/meminang anak orang.

Johan ambil sijil wiring dan keluar sebagai graduan wireman. Dia bekerja dengan sub-contractor Melayu. Kerja seperti itu sangat memerlukan persaingan dan bergantung pada bilangan projek. Ini menyebabkan gaji Johan selalu miss dan dia selalu kena latu sebab bos marah tak tentu pasal!

Masa tu Johan bercinta dengan seorang awek yang pandai sikit daripada dia. STPM! Dia bagitau aku bapak awek dia tak berapa suka dengan dia.

Aku tanya sebab apa? Johan cakap, "Ye lah, kita tengok kelaku (perangai) orang-orang tua sekarang pun kita dapat tau dia suka ke tak dengan kita. Kerja tak tetap macam aku ni mak bapak mana yang nak. Lainlah hang, universiti. Hensem pulak!"

Aku diam...

Lama lepas tu bapak awek dia meninggal. Lama lepas tu diorang clash. Aku malas nak ambil tau. Sebab kalau aku tanya, dia akan cakap awek dia salah dan begitulah sebaliknya. Aku rasa status diri memaksa cinta diorang berakhir begitu. Tak pun sebab cinta tak direstu dimakan sumpah bapak awek dia!

Mungkin banyak lagi kisah cinta seperti Johan...

desakan

Aku rasa kes-kes bunuh orang dan bunuh diri hari ini sedikit sebanyak berkait dengan cinta dan status diri di dalam negara aku yang terlalu mementingkan kecemerlangan kertas periksa dan status diri!

Dulu dalam SPM kalau kita dapat credit 4 (c4) untuk enam subjek kita masih dapat gred 1 dengan cukup-cukup makan. Orang akan puji kita sebab dapat gred 1. Sekarang kalau kita dapat 1A pun jangan haraplah orang nak pandang!

Sedar tak sedar nilai hidup kita kini ditentukan pada keputusan periksa! Sebab tu ramai pelajar non-muslim mati bunuh diri. Yang muslim pula lebih suka bunuh orang. Pantang kena hina, kena cabar terus kill kil die die! Sebab apa? Desakan hidup!

Dulu mak bapak tak kisah kalau seorang petani/kerja kolar biru datang meminang anaknya asalkan dia baik dan beriman. Tapi sekarang masih adakah mak bapak yang akan menerima pinangan seorang petani muda/kerja kolar biru yang baik dan beriman?

Aku tanya diri sendiri? Kalau aku jadi seorang bapak apakah aku akan menerima pinangan seorang petani muda berbanding seorang doktor muda?

Ya, sama seperti jawapan korang. Aku akan pilih doktor muda biar pun anak aku nanti lebih menyukai si petani muda!

Kalau semua orang mahu jadi doktor, engineer dan lawyer siapa pula mahu jadi petani, susun bata bangunan, operator kilang dan majlis bandaraya!

Ya, bagi saja kat pendatang halal atau haram!

Kerajaan cakap anak muda kita memilih kerja. Bukan memilih tapi desakan hidup yang memaksa anak muda kita memilih kerja! Peratus pinangan seorang pekebun sayur berjaya tentulah tidak dapat menandingi peratus pinangan seorang doktor yang kaya tapi menjual ubat batuk! Ini realiti dunia kapitalis kini! Bila engkau tak berada di atas jangan harap aku akan pandang kau walau dengan sebelah mata pun!

Dan siapa pula yang menentukan desakan hidup itu?

Patutkah kita menilai seseorang dengan kertas periksa? Bagi aku tak patut!

Benarkah Malaysia sama ada sedar atau tak sedar telah memaksa rakyatnya menilai seseorang manusia itu berdasarkan kecemerlangan akademi dan status diri semata? Bagi aku amat benar!

Masa aku balik kampung aku tengok yang tanam padi semuanya orang tua. 50-70 tahun. Apa akan jadi dengan Malaysia 20 tahun nanti? Siapa mau tanam padi untuk kita makan nasi?

Kelambu: Ya, pendatang pun akan tanam padi untuk kita! Tak pun kita eksport saja beras siam. Kita kerja hebat-hebat saja!

aku kaya

Tuesday, November 02, 2004

aku kaya


(sekadar gambar hiasan)

Tahu tak orang Jepun panggil Kelambu apa? Tak tahu...

KAYA! Ya.., diorang panggil KAYA!

Dalam bahasa Melayu kaya ada 2 maksud=>banyak harta dan sejenis jem yang disapu pada roti..

Ini bermakna blog aku sungguh KAYA dengan infotainmen dan juga berkhasiat lagi manis! Slurrp...!! :)

Sebenarnya aku pun tak sangka nama blog yang aku pilih akan jadi KAYA!

Apakah ini dikatakan kebetulan atau kebijaksanaan terpendam...! :)

Watashi Kaya Watashi Wa Kaya Desu=>Aku Kelambu! (tima kaseh samurice!!)

Ya, kelambu ialah KAYA dan KAYA ialah Kelambu! Korang patut berbangga kerana korang masuk blog KAYA! Hahahaha...

Penghargaan khas untuk Fendi dan juga blognya http://www.bahasajepun.com

Kelambu: Saya suka awek bahasa Jepun. Hait... :)

rokok lagi..!

Monday, November 01, 2004

rokok lagi...!

winston churchill dan sigarnya...

Akhbar Utusan sekali-sekala memang mengamalkan demokrasi media yang mana sesetengah akhbar arus songsang lain tak mampu lakukannya. Akhbar lain hanya mampu menjerit tentang ketidakbebasan media arus perdana walhal akhbar mereka sendiri agak condong ke arah ideologi sendiri. Jarang sekali bersifat kontra dan kritik kepada diri sendiri...

Ini yang aku suka Utusan. Artikelnya bercampur-campur macam rojak buah. Walaupun lebih banyak pronya tapi masih mengeluarkan kontranya.

Cuma kolum kontranya terlalu kecil. Terlalu kecil untuk rakyat Malaysia membacanya. Di sudut bawah! Oklah. Aspirasi kerajaan katakan...

Dalam giat menyahut seruan kempen TAK NAK, apa kata baca sebentar artikel tulisan Mazlan Nordin kat SINI. Kalau korang perasan ini adalah artikel yang ke-3 yang beliau tulis tentang rokok di dalam Utusan.

Mungkin dia menulis sebab dia juga seorang perokok atau pun mungkin juga dia berasa bahawa dia bertanggungjawab mewakili golongan rakyat yang menghisap rokok.

Berikut merupakan beberapa petikan artikel beliau:

"Ia juga boleh ditujukan kepada berbagai-bagai pihak jurusan lain yang mahu mewujudkan dunia serba sempurna." -per 10

"Tidak ada negara Islam lain, termasuk Arab Saudi, yang menghukumnya 'haram'.'' -per 13

"Di waktu berbagai-bagai pihak mahu mewujudkan alam sekitar yang serba bersih maka yang merokok menjadi pariah masyarakat dan dengan itu menjadi sasaran untuk dikecam, dibuli atau dihukum" -per 14

"Lagi naik harga, lagi diingini.'' -per 18

"Ertinya, lagi dilarang, lagi mereka merokok!" -per 20

Ini yang kita mahu. Dia bukan perokok semberono! Dia mempunyai fakta kenapa dia menghisap rokok. Dia bukan melihat pada harga dan 1001 kimia di dalam rokok tetapi dia melihat lebih jauh dari itu. Dia melihat tentang diskriminasi, harga diri, ketelusan dan hipokrasi!

Kelambu: Tanya balik diri sendiri kenapa korang hisap rokok? Kalau jawapannya hanya untuk macho atau release tension baik korang berhenti!

Powered by Blogger.