Siri berdiet dengan steady III

Wednesday, April 27, 2011 · Posted in ,

"Saya tak payah ambil pek minuman hikmat pun. Buwekkk.." 
- Michelle Aguilar - Pemenang The Biggest Loser Season 6.. 

Kurus atau gemuk itu subjektif. Ada orang ukur kegemukan dengan BMI. Ada dengan lubang tali pinggang. Ada dengan mesin timbang. Ada dengan kawan ofis. Ada dengan model pinggang ramping. Ada dengan gambar lama 10-20 tahun dulu. Terpulanglah. Tapi ada saintis cakap kau akan cenderung gemuk kalau berkawan dengan orang gemuk. Kesian orang gemukkan?

Lanzo, apakah rahsianya kau turun 4kg dalam dua minggu?

Pertama, kau kena rajin baca dan kaji sebarang artikel atau maklumat pasal diet menguruskan badan. Bukannya dengar ceramah mana-mana pakar yang kemudian pada hujung sesi minta kau daftar nama jadi kader MLM.

Kau kena faham, masalah kegemukan bukan masalah baru. Ia sudah dikaji beribu-ribu tahun dan ramai saintis sudah memperkenalkan pelbagai kaedah diet. Namun, tak ada satu pun kalangan mereka yang berjaya cipta pek ajaib yang dapat menguruskan badan secara ekspres tanpa perlu mengawal cara pemakanan. Kalau kau pergi muzium kecantikan di Melaka, ada kaum asli melangsingkan badan mereka dengan meletakkan gelang di pinggang sejak usia kanak-kanak. Malah, program realiti TV, The Biggest Loser sendiri tak pernah berikan sebarang pil atau pek minuman ekstrak 1001 herba hutan untuk pesertanya menguruskan badan. Realistik sikit beb!

Lihatlah sekeliling, ada saja pakar nutrisi, ulama tersohor, cendekiawan, ahli sukan atau pemimpin politik yang mengalami masalah kegemukan walaupun kita sedia maklum mereka begitu akrab dengan perihal kesihatan seperti bersukan setiap minggu, berceramah pasal kunyah makanan 40 kali dan berkempen tentang kurangkan gula dalam minuman serta ubah gaya hidup. Jadi, apalah yang mahu diharapkan dengan pek hikmat dijamin kurus dalam satu minggu?

Hingga kini, kegemukan kekal menjadi misteri yang masih dikaji dalam sejarah peradaban manusia. Dalam dunia moden sekarang, masalah kegemukan sudah menjadi satu bentuk dagangan dan industri untuk meraih keuntungan. Kenapa? Kerana sejarah membuktikan tiada satupun tamadun manusia yang semua rakyatnya kurus langsing. Mengharapkan dunia tanpa orang gemuk sama seperti menunggu kucing bertanduk atau babi bersayap. Ini fakta.

Aku faham kau sesekali akan terpesona dengan kejayaan mereka yang berjaya menguruskan badan dengan mengambil pek kurus 'Lihat Pinggangku Ramping'. Tambahan lagi kalau yang ramping itu rakan terdekat dan ahli keluarga sendiri.

"Serius, Jahhh. Lepas aku ambil Lihat Pinggangku Ramping, seminggu aku turun 3 kilogram. Tiap-tiap hari aku berak keluar tahi hitam.."

Tetapi, kau tahu tak dia kurus bukan kerana pek kurus yang diambil, tetapi kerana jumlah kalori harian sudah dikurangkan. Kau pernah kira tak jumlah kalori yang dia ambil tiap-tiap hari selepas ambil pil tu?

Rahsia kedua nanti aku sambung lagi. Tengok bola dulu..

Siri berdiet dengan steady II

Monday, April 25, 2011 · Posted in

Ok, berat aku turun 4kg cuma dalam masa dua minggu tanpa ambil sebarang pek minuman kurus, apatah lagi terjebak dalam urus niaga MLM. Rahsia dan ceritanya nanti aku cerita.

Tapi itu bukanlah berat badan ideal yang aku mahukan kerana  ramai kawan, terutama yang jarang berjumpa, cakap badan aku sudah berisi sikit. Jadi, aku fikir penyusutan badan aku tidaklah ketara sangat, kecuali aku dapat turunkan berat hingga 10kg.

Apapun, serius aku tak rasa tertekan pun. Buktinya, selepas rejim diet dua minggu itu, aku kembali kepada aktiviti normal aku sebagai pencinta makanan sejati dengan menghirup teh tarik, roti canai dan menjamah nasi berlauk dalam keadaan berjaga-jaga.

Sekurang-kurangnya aku  berjaya buktikan bahawa secara normal sesiapa saja boleh kuruskan badan tanpa perlu bergantung kepada pek minuman kurus yang mengandungi 1001 herba dari gunung Kilimanjaro yang diekstrak menjadi pil hikmat.

Aku rasa, kalau aku dapat turunkan sampai 10kg lagi, aku nak jual pek minuman kurus sendiri. Dalam pek itu, aku cuma perlu taruk campuran belacan, biji cili dan asam keping yang dikisar. Tetapi, dalam pamflet promo, aku cakaplah pek minuman kurus aku adalah campuran akar kayu warisan Melayu turun temurun. Juga ada hadis-hadis nabi dan testimoni artis.

Berbeza dengan produk lain, kelebihan pek minuman aku ialah ia perlu diambil selepas makan dengan kenyang. Dua pek sekali ambil. Selepas ambil, pengguna akan sakit perut tak ingat dan perlu ke bilik air untuk berak. Kalau pengguna tanya, aku jawab itu tandanya lemak dan toksik sudah dibuang.

Sekarang aku tengah fikir nama apa pek minuman kurus super aku tu.. Hmm..

Fiksi pilihan raya I

Thursday, April 21, 2011 · Posted in

Sekarang kecoh pasal isu orang Cina khianat Melayu sebab undi DAP. Kata Perkasa, susu dibalas tuba. Tapi kalau orang Cina undi MCA atau SUPP, yes!!

Ok, untuk mengatasi masalah ini, menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, semua calon sama ada BN atau PR mesti bertanding di DUN yang bukan majoriti kaum mereka.

Secara mudahnya, calon Cina bertanding di kawasan DUN Melayu dan calon Melayu di DUN Cina. Misalnya, Guan Eng lawan Soi Lek di Marang dan Nik Aziz lawan Ibrahim Ali di Bukit Bintang.

Amacam, YB?

Rebiu: Menentang kapitalisme dalam Cun

Sunday, April 10, 2011 · Posted in ,

Semalam aku tonton filem Cun, karya pengarah Osman Ali. Kalau korang sebelum ini pernah menonton Anak Halal dan menyukai filem tersebut, Cun adalah karya yang harus ada dalam senarai filem Melayu patut tonton tahun ini. Mari tengok apa yang buatkan Cun menarik dalam kaca mata aku.

Sinopsis ringkas, Cun adalah filem genre komedi romantik antara Atan (Remy) dan Luna Latisya (Maya Karin). Luna yang berkerja sebagai hos program gosip, Meletops (macam Melodi) menyaksikan sendiri balaknya, Rayyan Hidayat (Jehan Miskin) kantoi berkhalwat dengan seorang awek (Marsha). Jadi untuk melepaskan kekecewaannya, dia lari bawa diri mencari tenang di kampung PA-nya, Tom (Faezah Elai) di Kedah. Di situlah dia berkenalan dengan Atan dan keluarganya, lalu detik komedi dan romantik pun bermula.

Plotnya mudah dan ringkas. Tapi, orang jenis aku ni kalau menonton filem cenderung melihat makna kedua yang cuba diselitkan pengarahnya. Mungkin juga pengarahnya tak ada niat mahu menyelit apa-apa makna pun, cuma aku yang suka faham sesuatu makna itu begitu adalah begitu.

Aku juga tak nak ulas pasal sinematografi, apatah lagi runut bunyi sebab aku tak pergi sekolah filem. Asalkan lagu itu sesuai dengan genre filem dan shoot kamera pula nampak cantik, rajin dan sukar, ia cukup baik.

Ok, kita ulas pula pasal plot dan makna filem. Sama seperti filem-filem dulu, Cun mengulangi plot lama dan paling laku dalam sejarah perfileman dunia, iaitu cerita cinta antara dua darjat. Kaya dan miskin. Artis dan orang biasa. Kampung dan bandar. Hodoh dan cantik (senaraikan antonim cinta yang ada).

Tapi, apa yang membuatkan Cun istimewa dan nampak berjiwa besar ialah nilai falsafah dan pertembungan ideologi antara kapitalisme dan sosialisme. Dua faham yang selalu bergaduh, menindas dan ditindas, tidak pernah sebulu serta sering salah faham, tetapi masih hidup bersama.

Dalam filem ini, Atan, keluarga dan kampungnya mewakili sosialisme, manakala Luna, Rayyan, krew Meletops dan dunia artis adalah kapitalisme, berpaksi kepada keuntungan semata-mata.

Dunia Atan adalah kampungnya yang mana dia dan keluarganya meneruskan kelangsungan hidup dengan membanting tulang di bendang. Sesekali kalau mahu berseronok, mereka akan keluar berkaraoke (sampai naik sheikh) di Restoran Bedah, ataupun jalan-jalan ke pekan (bandar Alor Setar). Aset istimewa dimiliki Atan ialah seekor kerbau bernama Kembang dan lori buruk buat mengangkut baja.

Ironinya, dunia Luna pula langsung tidak memerlukan tulang empat kerat untuk dia memiliki sebuah Fairlady. Cukup dengan bekerja menjual gosip artis atau cerita dalam spender orang. Jika dalam skop lebih besar, dunia artis ni boleh juga disamakan dengan dunia politik kita. Cerita ekonomi tak ada, buat kerja tak pandai, tapi banyak cerita pasal seks, sembang merapu pung pang pung pang dalam Parlimen, makan rasuah, jadi pengerusi pacak syarikat GLC atau mana-mana agensi kerajaan dan bila cukup bulan, gaji masyukkkkkkk...

Babak paling sinis adalah ketika Atan membaiki Fairlady Luna selepas disindir hanya mampu membaiki lori buruk. Sebaik saja menghidupkan kereta, lihatlah reaksi bangga Atan (buka dada dan betulkan baju) atas kejayaannya itu. Ia mesej sinikal kepada kaum buruh yang hanya mampu menumpang bangga dengan kekayaan milik si kapitalis. Aku terbayangkan dialog si buruh sedang tersenyum sambil berkata, "Dulu KLCC tu aku yang buat." "Lu tahu kereta YB tu siapa repair, gua beb!" "Baju Datuk Jib aku yang jahit kau tau.." Ironinya, apakah nikmat kemakmuran atas keringat buruh-buruh itu terbayar? Apakah cukup dengan sedikit puji-pujian, sehelai kain pelikat dan duit kopi seminggu dua?

Babak eksploitasi kelompok kapitalis ke atas kaum buruh jelas dipaparkan dalam banyak adegan yang menyebabkan cinta Atan-Luna dilanda konflik. Antaranya, produser Meletops (Ning Baizura) menggunakan kisah cinta Atan-Luna-Rayyan untuk menaikkan rating programnya, sekali gus memaksa Atan melepaskan cintanya terhadap Luna.

Namun, ada satu daya yang menjadi tenaga kepada Atan untuk mengejar semula kekasihnya, Luna. Daya yang berjaya meruntuhkan segala isme-isme di dunia. Ia tidak lain dan tidak bukan ialah cinta..

Cinta mendesak Atan mencari Luna di KL dan siapa sangka dengan bersenjatakan air mata Atan berjaya menyentap emosi kapitalis yang meraih untung atas sengsara orang lain. Babak Atan bawa famili pergi KL naik lori buruk dan sound setepek sambil mata bergenang air mata kepada semua krew program Meletops adalah adegan paling emosional dan penuh semangat penentangan kapitalisme dalam sejarah filem komedi romantik Melayu.

Cun memberitahu betapa materi kuasa material akhirnya ditundukkan daya cinta dan air mata yang akrab dengan kemanusiaan meski ia selalu dilupakan. Chewwah..

.
.

I become a waterwheel, turning and tasting you, as long as water moves - Maulana Rumi

Siri berdiet dengan steady I

Wednesday, April 06, 2011 · Posted in

Anda perlu menjadi karnivorus untuk mengamalkan diet Atkins.

Sekarang aku sedang berdiet atau dalam faham orang kita bermaksud mengurangkan berat badan. Ya, boleh saja cakap aku suka-suka dan boleh juga cakap aku serius.

Ada beberapa sebab yang memaksa aku berdiet. Pertama, seluar aku banyak sudah ketat dan aku malas mahu beli seluar baru. Kedua, aku berasa kurang selesa pada bahagian perut ketika mahu pakai stokin sambil duduk atas kerusi. Ketiga, aku mahu cuba metod diet ekspres diperkenalkan Robert Atkins, sekali gus menafikan segala macam kaedah melangsingkan badan dengan minum jus MLM atau ambil ubat pelangsing yang mampu merabakkan poket aku. Terpengaruh dengan Mythbuster mungkin.

Ya, tak salah rasanya aku mulakan semula kegilaan aku, sama seperti aku pernah tak makan selama sehari dulu semata-mata untuk menguji abiliti perut aku berlapar.

Dan bagi pencinta makanan macam aku, hari-hari tanpa nasi, teh tarik dan roti canai adalah antara perkara paling menyeksakan dalam hidup ini.

Nanti aku rebiu diet aku.. Steady!

Powered by Blogger.