Seni murtabak di pasar Ramadan

Tuesday, August 02, 2011 · Posted in , ,

Kedai murtabak sedikit kucar kacir diserbu pelanggan.
Untuk meraikan semangat Ramadan, hari pertama lagi aku sudah turun Pasar Ramadan (Param). Sekali turun dua Param, satu di lorong Persiaran Utarid dan satu lagi di Jalan Nova. Dua-dua di Seksyen U5, Shah Alam.

Peniaga tak berapa ramai. Jadi, aku tak ada banyak pilihan makanan. Sepatutnya aku turun Param Paya Jaras sebab sana mesti ada tepung pelita dan murtabak tersedap di dunia. Tapi, mengenangkan betapa tak berbaloi dan malasnya aku hidupkan enjin kereta ke sana, aku nekadkan pencarian aku di Param Jalan Nova saja.

Ada dua gerai murtabak di sini. Satu ramai orang dan satu lagi separuh ramai. Aku jenguk kepala tengok murtabak di dua gerai tu dan aku faham kenapa murtabak separuh ramai tu tak berapa nak ramai orang kerumun.

Sebabnya, murtabak dia bikin warna putih, walhal seni warna murtabak tu sepatutnya kuning dan digoreng garing dengan minyak pekat beraroma meleleh-leleh. Baru pelanggan ada rasa berahi dan teruja mahu beli. Dia tak belajar daripada orang Jepun bahawa manusia makan guna mata dulu. Dan dalam bab makan ni, aku tak berani nak 'don't judge a book by its cover'.

Tapi, aku tak beli murtabak pun sebab tiba-tiba aku rasa malas nak beratur. Orang ramai sangat dan aku tak sedap hati nak potong queue. Lagi-lagi aku perasan ada ramai orang sedang muka bengis, satu isyarat tanpa suara kepada sesiapa yang berani potong queue diorang. Itu belum tengok muka kasihan tengah telan air liur sambil tengok brader murtabak canai roti. Jadi, aku surrender.

Sudahnya, selepas dua tiga kali ulang alik Param, aku berbuka kat kedai Siam, pekena nasi putih, ikan kembung masak pedas bersaiz sedang dan jus oren. Harga RM10.80. Mahal! Silap aku juga tak tau harga pasaran ikan kembung dan limau Sunkist. Ceh.

Luka dan putus cinta

Sunday, July 24, 2011 · Posted in , ,


Dulu aku tertanya-tanya sebab apa putus cinta sering dimetaforakan dengan luka. Aku fikir, pedih putus cinta itu sepatutnya dikaitkan dengan sakit yang lebih parah. Kanser atapun HIV misalnya. Jadi, puisi putus cinta yang baik sepatutnya ditulis begini, "hatiku bagai dimamah HIV". Atau; "Sayang, kata-katamu bagaikan menanam barah di hatiku."

Ataupun samakan saja sakit putus cinta dengan sakit-sakit biasa lain yang tak kurang sakitnya macam demam, migrain, sakit gigi atau cirit-birit. Kenapa mesti luka?

Tapi, selepas merasa sendiri pengalaman putus cinta dan luka yang betul-betul luka, aku akhirnya akur betapa luka adalah kata paling tepat untuk menggambarkan saat kau putus cinta, yakni memahami makna luka itu secara harfiah atau dalam perubatan, kita merujuk kepada luka terbuka (open wound).

Dalam perbendaharaan Bahasa Melayu pula, luka adalah situasi yang berlaku akibat ditetak, dihiris, diseret, dikelar, ditikam, dipancung, ditusuk, dicalar, dicakar, dipotong (tambah lagi jika ada).

Walaupun semua kata kerja luka itu berbeza darjah kesakitannya, tetapi kesan sakitnya dirasai serta merta dan tempoh masa tertentu diperlukan untuk kau pulih. Tapi sebelum kau pulih, kau akan lalui beberapa fasa kesakitan yang amat sangat yang buat kau tak boleh tidur malam. Yang buat kau menggigil-gigil selepas mandi sebab luka kau kena air dan otot kau sakit sebab kulit kau tegang kerana ditutup kuping.

Dan selepas luka kau ok, akan ada kesan parut di tempat luka kau berdasarkan berapa teruk luka yang kau alami. Setiap parut di tubuh kau akan buatkan kau ingat semula momen-momen luka tersebut. Tapi aku jamin kau takkan ingat berapa banyak kau demam dan berapa banyak kau kena migrain. Kalau kau pulih dari kanser dan rambut kau sudah tumbuh elok selepas kemoterapi (itupun kalau kau masih hidup), kau pun tak ada bukti untuk tunjukkan kau pernah hidap kanser. Cuma luka saja yang berbekas dan mampu kau ingat.

Dan kau kena pantang banyak perkara bila kau luka. Kau kena elak makan telur supaya luka kau cepat ok. Kau tak boleh makan ayam dan seafood takut luka kau gatal. Kau tak boleh makan kicap takut parut kau hodoh.

Tapi aku fikir, bukankah luka itu dicipta untuk manusia merasai kesakitannya. Parut itu ada untuk kita mengingati sakitnya luka. Dan aku raikannya dengan makan telur, kicap, ayam dan seafood. Dan sesekali kalau aku bosan aku kopek kuping aku sampai berdarah dan pedih. Aku tak kisah sebab doktor cakap parut aku cantik.

Pasal luka dan i am ok

Tuesday, July 19, 2011 · Posted in , , ,

Aku tulis cerita ini selepas aku rasa segalanya dalam keadaan selamat dan ok. Semuanya bermula pada hari sama ketika Arsene Wenger menghantar anak buahnya untuk membelasah Harimau Malaya 4-0 di Bukit Jalil.

Sedar-sedar aku sudah meniarap atas tar selepas sebuah Wira membelok masuk tanpa signal dan kau boleh bayangkan bagaimana Max Biaggi tergolek jatuh bersama Yamahanya.

Sedar sekali lagi aku sudah berada di gigi jalan dan aku tak ingat berapa pantas refleks aku melompat sebaik saja terjatuh dan berlari capik ke tepian. Fly Emirates aku koyak di bahu dan jeans B-Bond aku koyak di lutut.

Aku rasa lengan aku pedih merayap-rayap macam diratah sebatalion semut api yang marah koloninya musnah. Aku tengok lapisan kulit aku terkoyak, memutih dan memerah. Aku klasifikasikan ia luka tahap abrasion darjah pertama kerana lelasannya belum mengoyakkan blok dermis aku. Potensi sembuh lebih kurang sebulan asalkan aku tak melakukan lagak ngeri yang sama.

Sedar-sedar lagi aku sudah di klinik bersama nurse cantik berkurung hijau yang sedang senyum sambil memegang sebotol Flavine dan N Saline selepas bahu aku disuntik vaksin tetanus.

Aku teringat falsafah sumo, 'never give up, always move forward, and keep your mind empty of negative thoughts', tentang bagaimana aku patut menukarkan kata luka dan sakit kepada luka dan sedap.

Dan perlahan-lahan aku sedar aku bukan Robocop.

Pasal baju kuning, kemeja T, cinta dan menonton TV

Friday, July 08, 2011 · Posted in , ,

Malam tadi Jarul pakai baju Diadora, kaler kuning pergi minum. Aku syak baju tu dia beli longgok sehelai RM10 di uptown. Mungkin juga ori aku tak tahu. Aku teka saja.

Aku ingatkan dia pasal bahaya pakai baju kuning sekarang ni. Dia buat tak peduli sambil minum teh o ais dan cucuh rokok sebatang dan tengok skrin henfon. Budak-budak meja belakang sedang asyik main game poker, sejenis game bodoh yang tak akan dapat buat kau beli BMW, apatah lagi Kia Forte yang diidamkan ibu bapa mereka. Menjadi spekulator mata wang jauh sekali. Aku hirup teh tarik.

Aku teringat baju bundle (gambar atas) yang aku beli di uptown dekat rumah aku, lama sebelum Bersih versi 1 dianjurkan. Cantik dan nampak rare. Kain kapas lembut. Ada gambar orang lidi yang memberi makna ibu, bapa, anak, datuk dan nenek saling berpegangan tangan dengan hati masing-masing berbentuk cinta. Sebenarnya itu baju promo stesen NTV di Jepun.

Aku agak, dalam dunia moden hari ini mungkin cinta itu datang jika seisi keluarga dapat saling menonton TV bersama. Tapi berapa ramai kita hari ini yang ada masa buat benda tu semua kerana kita tidak pernah mahu melayan rancangan yang bukan taste kita? Kita biarkan abah dan atuk dengan RTM, ibu dan nenek dengan telenovela dan drama, manakala kita rasa Leverage lebih layak mengajar kita tentang korupsi dan anarki. Cita rasa rancangan TV sudah menunjukkan betapa kita manusia sudah lama tidak sehaluan dan berbeza pandangan. Tapi bila Astro mahu naik bil, kita tak ada pilihan.

Baju bundle ni aku jarang pakai sebab aku sayang warnanya luntur atau lusuh, sama macam baju lambang bendera Turki (juga bundle) yang aku beli 11 tahun lepas. Masih elok.

Biasanya t-shirt yang aku sayang aku akan lenjan pakai 3 bulan saja dan lepas tu aku simpan. Cuma pakai hari-hari tertentu seperti balik kampung, pergi bercuti atau tiba-tiba rasa nak pakai. Aku rasa kalau aku mati hari tu, kawan-kawan aku mesti cakap, "Sebelum ni arwah jarang pakai baju macam tu. Mungkin itu petanda ajal dia." Terima kasih kepada Metro kerana berjaya mengajar bagaimana kami patut berfikir.

Aku suka baju bundle bukan sebab aspek rare saja, tapi kualiti tekstil. Contohnya baju atas, kolarnya tahan dan tak mudah layut. Tak macam kolar baju lokal dan baju branded lain.

Satu-satunya t-shirt mahal aku pernah beli berharga RM80 yang di dadanya ada cuma lambang 'Swoosh' dan nama dewi bersayap Greek, Nike. Tapi, tak sampai 6 bulan, warnanya luntur dan kolarnya berkedut dan lambangnya serpih. Sejak itu, aku bertobat tak akan beli baju mahal-mahal lagi.

Transformers, pengangguran dan meritokrasi

Monday, July 04, 2011 · Posted in ,


Ada satu pelajaran dalam Transformers 3.

Walaupun Sam Witwicky (Shia LaBeouf) pernah menyelamatkan dunia dalam Transformers 1 dan Transformers 2 serta dikurniakan sijil penghargaan daripada Presiden Barack Obama, tetapi itu semua bukanlah jaminan untuk dia senang mendapat kerja. Sebaliknya, Sam dalam Transformers 3: Dark of The Moon cuma bekerja sebagai ofis boy.

Sekian, terima kasih.

.
.

"You may lose your faith in us, but never in yourselves. From here, the fight will be your own."- Optimus Prime

Powered by Blogger.