Pasal sampah, pesan guru dan prinsip

Friday, November 11, 2011 · Posted in , , ,

Lepas kahwin aku menyewa di flat dekat Pantai Dalam. Dapatlah sewa murah sementara tunggu kewangan aku stabil sambil usha rumah lain yang ada swimming pool dan jakuzi.

Sebenarnya aku tak ada pengalaman duduk lama di flat. Dulu masa belajar, aku pernah duduk flat Seksyen 8, Shah Alam untuk satu semester saja sebelum pindah ke rumah teres di seksyen yang sama.

Satu tabiat buruk penduduk flat di sini ni ialah tabiat buang sampah dari tingkat atas. Kalau aku pergi kerja sebelah pagi dengan persekitaran bersih, tapi bila balik sebelah petang, keadaan berubah sepenuhnya. Sampah kecil seperti plastik, tisu, kertas, tin kelihatan bersepah di mana-mana. Begitulah rutin keadaan sampah-sampah di sini.

Kadang-kadang aku terfikir, orang-orang flat sini tak kesian ke tengok pakcik tua kutip sampah yang dia orang buang dari atas tiap-tiap pagi. Atau dia orang ada mentaliti, kalau aku tak buang sampah nanti pakcik tua tu tak ada kerja.

Aku kalau kat Kedah pun akan keluar cari tong sampah besar (rumah taman tak ada stor sampah) kalau nak buang sampah dalam kuantiti banyak atau barang bersaiz besar macam kipas rosak dan sofa buruk. Bukan apa, kesian aku tengok pakcik bandaran yang kutip sampah di rumah aku kena buat dua tiga kali trip untuk selesaikan kerja dia.

Lagipun dia kutip sampah guna kereta sorong besar yang ditolak sebelum ditunda dengan motor oleh seorang lagi kawan dia di luar taman. Takkanlah aku nak biarkan kereta sorong pakcik tu penuh dengan sampah rumah aku saja. Moral of the story: timbang rasa

Di sekolah, jenuh cikgu-cikgu kita dari darjah satu sampai tingkatan lima berbuih mulut bercakap pasal kebersihan. Buang sampah mesti dalam tong. Jumpa sampah kat jalan mesti tolong kutip. Masuk tandas mesti bersihkan najis sebelum keluar.

Aku ingat lagi, cikgu warden asrama aku dulu kalau kantoi mangkuk jamban ada taik atau tak flush, mampus satu asrama kena rembat. Cikgu-cikgu pun pernah kena sound setepek kalau masuk dewan makan asrama kami pakai kasut.

"Luaq asrama teritori pengetua, masuk sini teritori aku. Cikgu ka pengetua ka, kalau masuk sini kena ikut undang-undang aku!!" jerkah cikgu Mat Saleh kat cikgu-cikgu yang selamba dek masuk dewan makan tak tanggal kasut masa hari penyampaian hadiah.

Begitulah cikgu-cikgu kita mengajar pasal kebersihan. Di rumah, mak ayah pula pesan, kalau kencing berak mesti kena tarik. Makan jangan sepah. Buang sampah dalam tong. Sampah penuh tolong ikat dan buang. Aku tak taulah kalau ada mak ayah kau orang yang tak pernah bercakap langsung pasal kebersihan.

Tolonglah jaga kebersihan. Aku tak minta pun korang join JKKK kampung atau flat untuk buat gotong-royong hari minggu, ataupun kutip sampah tepi jalan. Cukup saja mulakan dulu dengan sampah sendiri.

Tak kira siapa kau. Gay. Lesbian. Perkasa. Reformasi. Gerombolan. Imam muda. Mat Rempit. Mat Kereta Piping. Budak Silat. GRO. Padayappa. Lu Langsi Lu Mati. Budak sekolah baru nak up. Makcik gosip. Pakcik gedebe. Satu saja aku minta. Tolong buang sampah di tempat sepatutnya. Kalau kau reti berak dalam mangkuk tandas, buang sampah mesti dalam tong sampah beb. Ini prinsip tak perlu IQ tinggi pun.

Sampai bila nak biarkan orang luar samakan kemiskinan dengan perangai pengotor kau orang?

.
.
.


"Taik kita tanggungjawab kita" - Cikgu Mat Saleh

Pasal PPSMI, PAGE dan Bahasa Melayu

Thursday, November 03, 2011 · Posted in ,

Aku geleng kepala saja baca berita pasal PAGE yang beri kata dua kepada kerajaan supaya pihak sekolah diberi pilihan untuk laksanakan PPSMI.

Dan kalau kerajaan tunduk kepada desakan itu, sekali lagi mala petaka dunia pendidikan akan menimpa, yang mana warga pendidik tiada lagi suara dalam menentukan dasar pendidikan negara. Selepas ini, tidak mustahillah muncul kumpulan yang mahu bahasa Jerman untuk subjek Teknologi, bahasa Perancis untuk subjek seni dan bahasa Mandarin untuk subjek Ekonomi dan Perdagangan.

Cukup-cukuplah dunia pendidikan kita tunggang langgang semasa Hishammuddin jadi menteri dulu. Aku tak tahu kajian ilmiah apa yang sudah dibuat PAGE berdasarkan laman webnya. Bentangkanlah kajian empirikal mengenai sebab kenapa PPSMI patut diteruskan. Cari statistik dan tulis buku. Cuba bandingkan pula dengan kajian yang dibuat kumpulan penentang PPSMI. Kalau bebal sangat baca habis dulu ebook ni.

Aku malas ulang balik alasan tipikal pasal Jepun dan Jerman yang boleh maju dengan guna bahasa sendiri. Nanti PAGE akan jawab BM pun meminjam daripada BI, walhal dia orang sendiri tak tahu berapa banyak bahasa yang dipinjam BI dalam kosa katanya.

PAGE juga akan kata BM tak mampu bersaing di segi istilah teknologi dalam BI, tapi dia orang tahu tak terbitan asal istilah teknologi itu asalnya daripada bahasa apa? Memang dungulah kalau PAGE masih lagi berdegil dengan menganggap semua istilah datangnya dalam BI.

Antara apa yang dibimbangkan ialah PPSMI, jika dilaksanakan, akan membunuh kosa kata BM dalam dua subjek tersebut. PAGE tahu tak berapa banyak tesis di UKM yang ditulis dalam BM dan dalam pelbagai bidang? Kalau sekolah diberikan pilihan memilih PPSMI, pelaksanaan berkenaan hanya akan membunuh sifat dinamika BM (yang sekarang pun sedang nazak). Semua istilah BM dalam Sains dan Teknologi yang puluhan tahun difikirkan pakar dan pejuang bahasa kita akan habis dipancung! Lebih menyakitkan ialah rata-rata mereka itu masih hidup.

Perasaannya macam kau tanam pokok durian, kau cari benih terbaik, kau letak baja, kau tengok ia tumbuh membesar setiap hari, bulan dan tahun, tetapi tiba-tiba ada orang kampung bebal mahu gantikan durian kau dengan epal sebab orang ramai suka epal. Lagipun, epal lebih moden, boleh dibawa naik kapal terbang dan semua orang boleh makan. Kalau nak maju kenalah makan epal.

Tetapi, bukankah sifat bahasa itu bergerak, menyerap, berkembang dan berdiri sendiri selagi ia diberikan ruang untuk itu. Sesebuah bahasa itu perlu ditutur, ditulis dan dimahsyurkan oleh komuniti penuturnya. Dalam konteks BM, ia bukan milik DBP dan bukan milik orang Melayu saja. Ia milik tanah sebelah sini dan itu hak yang perlu warganya pertahankan.

Hak durian itu sepatutnya di tanah mana?

Adalah suatu hairan lagi tercengang aku sebab melihat dan memikirkan hal orang Melayu ini belum sedar akan dirinya, dia tinggal dalam bodohnya itu oleh sebab ia tiada mahu belajar bahasanya sendiri dan tiada mahu menaruh tempat belajar bahasanya, maka mustahil pada akal adakah orang yang tiada belajar itu boleh menjadi pandai dengan sendirinya. Bukankah segala bangsa di dunia ini masing-masing ada belajar bahasanya?
~Abdullah Munsyi, 1822~

Piala Malaysia dan konsumerisme

Sunday, October 30, 2011 · Posted in , ,


Aku tengok Arsenal bantai Chelsea sambil usha Facebook dan Twitter pasal aksi final Piala Malaysia, Negeri Sembilan lawan Terengganu. Selesai pertarungan di Stamford Bridge dengan hati berbunga-bunga aku alih masuk saluran Astro Arena. Teruja baca mesej kawan-kawan pasal Richard Scully naik sheikh ulas final.

Buka saja Arena, aku dapat lihat satu pemandangan coklat mewarnai kotak tivi. Serentak itu juga aku terbayangkan suasana di gelanggang laga kerbau yang popular di utara semenanjung zaman tuk wan-tuk wan dulu. Mungkin masa tu harga tiket 5 sen saja dan ia tak ada kena mengena dengan hasrat mahu baik pulih padang. Sebabnya, padang rumput tebal tak sesuai untuk kerbau berlaga selain tak kena dengan mood sukan brutal tu. Samalah macam laga lembu di Sepanyol. Mana ada matador lawan lembu digelanggang padang rumput. Macamana nak feel kalau tak ada efek debu.

Suasana perlawanan Piala Malaysia masih tetap sama seperti yang dulu-dulu dari segi cara menyokong, cara main dan cara naik harga tiket final. Semua macam dah dapat jangka. Bising-bising nak protes, stadium penuh juga.

Cara menyokong seperti biasa mesti ada letup mercun dan baling botol air kalau pasukan negeri kalah. Cara main pun sama, jatuh tergolek untuk kasi lengahkan perlawanan, clear bola tanpa kiblat, hantar bola kat pemain lawan, kalau yang agresif mesti main macam kerbau, main tala saja dan beberapa aksi tipikal lain.

Harga tiket memang macam jahanam. Kenyataan FAM senang, apalah sangat RM50 untuk tengok final yang mungkin kau dapat lihat sekali seumur hidup. Kalau aku orang Ganu aku mesti beli juga tiket sebab paling akhir menang tahun 2001. Kalau aku tak tengok sekarang, nanti entah bila aku dapat tengok Ganu masuk final. Sebab tu FAM peduli apa korang godam dia punya laman web.

Ini semua taktik kapitalis atas konsumerisme bengap masyarakat kita. Misalnya:
"Ambillah khidmat kuruskan badan saya ni, bila lagi nak langsing. Sekali saja seumur hidup." Kita pun berebut ambil.
"Ambillah pakej kahwin saya ni. Kita ni kahwin bukan banyak kali, sekali saja seumur hidup." Kita pun berebut ambil.

Beza konsumerisme di Barat, setiap duit yang kau keluar mestilah berbaloi dengan servis atau barang yang kau beli. Pemetik api Zippo, walaupun harganya di Amerika sekitar AS$30 saja, tapi diorang sanggup beri waranti seumur hidup ke seluruh dunia bagi setiap bahagian mekanikal produk yang rosak.

Sebaliknya, bayar RM50 untuk tengok aksi final di padang laga kerbau tak ada kena mengena dengan sekali seumur hidup atau membantu membaiki padang. Ini soal kau bayar untuk nilai servis dan ini prinsip mudah dalam konsumerisme. Kau kena faham dan hormat. Dan kalau kau faham dan hormat, kau akan tahu sebab kenapa orang kita mengamuk pasal bil astro naik, saman polis, cukai sana sini dan macam-macam hal lagi.

Sekali lagi, tak ada kena mengena dengan sekali seumur hidup, ubah cara hidup, patuhi undang-undang dan patriotisme.

Inilah maknanya hampa

Wednesday, October 12, 2011 · Posted in

Masuk seminggu aku kahwin, aku singgah Rumah Puaka untuk angkat tivi, kutip kain baju dan barang yang mahu dipindah ke rumah kelamin. Muka Jarul aku lihat macam biasa berjambang. Cuma di sebalik jambang-jambang tu aku nampak wajah sugul macam pegawai kerajaan tak lepas pinjaman bank.

"Dulu even kau cuti dua minggu pun, tak ada langsung rasa bangsat macam ni sebab tau kau akan balik. Sekarang perasaan dia macam orang tua tunggu anak yang takkan balik punya. Hampa.. Hampa.. Macam haram dia punya rasa!!"

Di luar terdengar sayup deruman enjin motor Ust Din..

Powered by Blogger.