Corat Coret Piala Dunia (I)

Thursday, July 01, 2010 · Posted in

1. Jepun tumbang kepada Paraguay dalam aksi penuh dramatik, penentuan penalti. Terpaksa aku batal niat mahu bergambar dengan jersi Jepun edisi Piala Dunia 2006. Bagus juga. Lagipun baju tu dah sendat pun, terutama bahagian perut. Tiba-tiba aku teringat iklan Dr Rozmey. Apa cerita filem juta-juta dia tu. Bila mau tayang?

2. Sepanyol layak selepas menumbangkan Portugal. Malangnya aku tertidur 10 minit sebelum Villa meledakkan jaringan kemenangan buat Sepanyol. Kalaulah Piala Dunia wujud semasa abad ke-15, kemenangan Sepanyol itu akan menaikkan semangat jutaan rakyat Melaka untuk bangkit menewaskan soldadu-soldadu Alfonso Albuquerque yang sudah moral down.

3. Aku rasa nak aktif menulis blog semula. Sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Aku banyak idea, tapi setiap satu idea aku bergentayangan macam roh hantu. Aku terfikir mahu menulis secara intelektual, ilmiah. Tapi tidak semua manusia punya kurnia dapat menulis apa yang dibaca, dirasa, dilihat. Sekarang aku sedar kenapa ramai profesor kita gagal menulis naskhah ilmiah untuk masyarakat kita selain mengutuk naskhah pop Ahadiat Akashah menggunakan dakwat air liur.

4. Aku ramalkan Malaysia ke Piala Dunia seribu tahun lagi. Malaysia ketika itu mungkin sudah bertukar menjadi republik. Mungkin republik sekular. Mungkin juga republik Islam. Apakah satu dosa meramalkan Malaysia menjadi republik?

5. Satu masa dulu, dek kerana bengang dengan prestasi buruk bola sepak Malaysia-gara-gara kalah kepada pasukan Vietnam-kawan aku, Saud (bukan nama sebenar) menyarankan dana dan peruntukan untuk bola sepak diharamkan. Ini membabitkan apa saja perkara yang ada kaitan dengan bola sepak sama ada promosi, liputan media atau pembangunan sukan di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan.

"Lebih baik laburkan kepada sukan yang membawa hasil. Badminton atau skuasy. Atau sukan-sukan tangan lain. Orang Malaysia ni ada kelebihan dengan sukan tangan!!" bentak Saud bersungguh dan garang.

6. Aku terbayang hand of god Maradona (1986). Masa tu semua mau jadi Maradona. Aku syak fenomena Maradona menjadi inspirasi kepada arwah Dato' Paduka Ahmad Basri Akil merevolusikan bola sepak Kedah. Empat tahun kemudian Kedah menjulang Piala Malaysia buat kali pertama selepas tiga kali mencuba sejak 1987. Tatkala melihat ketua pasukan, Lee Kin Hong menjulang piala di tengah pekan Alor Setar, air mata aku membutir sebiji macam awek Jepun dalam tivi semalam.

7. Dan aku bersyukur Saud tidak menjadi Menteri Belia dan Sukan, apatah lagi Perdana Menteri Malaysia.

Kenapa England Bukan di Hati

Monday, June 28, 2010 · Posted in

Berpuluh-puluh orang melonjak girang menyaksikan England dibantai Jerman tadi. Tak mungkin telinga aku yang tuli. Tapi, ketika Upson meledakkan gol pertama England, tidak ramai sangat pun penyokong negara Rooney itu menjerit. Rata-rata memilih untuk menikus.

Walaupun Liga Perdana Inggeris begitu intim di hati rakyat Malaysia, tetapi itu bukan bermakna England menjadi pasukan bertakhta di jiwa. Menurut tinjauan rambang aku, ramai lebih cenderung memilih negara-negara Eropah lain, Latin dan Asia walaupun langsung tak pernah ambil tahu pasal liga di Argentina atau di Korea Selatan sana. Aku sendiri memilih Jerman dan serius aku tak ambil peduli sangat pasal Bundesliga.

Pasukan England dilabelkan sebagai skuad pondan. Dengan rata-rata pemain berambut potong kedai mamak kasi cukur sideburn paras telinga, penampilan England kelihatan menjelikkan dan tidak macho. Bandingkan dengan pemain Argentina yang lagak bagai rockstar beraksi di atas padang. Pemain Jerman sendiri, walaupun tidak memiliki penampilan seperti rockstar, tetapi bertuah kerana mempunyai raut wajah garang dan hensem.

Kecuali Rooney, berwajah gasar, dan Heskey, berwajah kaki pukul, tiada pemain England lain yang mampu menandingi kegarangan skuad Jerman. Ini meninggalkan kesan psikologi kepada mereka, sekali gus menambahkan tekanan dan timbul perasaan rendah diri.

Wajah penuh suci lelaki-lelaki Inggeris mungkin senjata paling ampuh untuk meletakkan mereka sebagai penjajah Eropah nombor satu dunia. Malangnya, wajah sama tersebut langsung tidak membantu mereka dalam Piala Dunia.


Kacak dan garang

Kacak dan mat belia

Rebiu Lagenda Budak Setan (Habis) dan Aku Harap Ada Pengarah Adaptasi Novel Selangor vs Kedah (Joe Lerry) Sempena Semangat Piala Dunia

Wednesday, June 23, 2010 · Posted in

1. Sebenarnya, aku malas nak rebiu Lagenda Budak Setan (LBS). Pertama, sebab aku tak ingat apa-apa pun pasal novel tu. Kedua, secara peribadi, cerita tu tak best bagi aku. Dalam erti kata lain, ia produk gagal dan langsung tidak dapat diletakkan seiring dengan fenomena dicetuskan Ahadiat menerusi novel berhantunya itu.

2. Untuk mengangkat sesebuah karya bertulis kepada bentuk wayang gambar, penting bagi seseorang pengarah menghadam isi naskhah tersebut. Tanggungjawab ini sama berat terbeban kepada penulis lakon layar.

3. Ini penting supaya pengarah dapat menentukan sama ada adaptasi naskhah itu akan diterjemahkan berlandaskan 'terilham daripada..' ataupun sekadar salinan seratus peratus setiap plot dalam karya tersebut.

4. Penting juga bagi pengarah mengenal pasti momen-momen penting dalam novel dan semua ini patut diangkat dan divisualkan sebaik mungkin. Kegagalan melakukannya hanya akan mengecewakan pengikut dan peminat novel itu, tambahan lagi kalau ia naskhah besar dan memiliki kelompok pembaca ramai.

5. Momen-momen itu mungkin dalam bentuk lagu, suasana, perkataan atau apa saja yang digambarkan si penulis novel. Pengarah tidak perlu terperangkap dengan memaksa diri menyalin setiap perjalanan novel. Logiknya, mustahil novel beratus-ratus halaman dapat disumbatkan menjadi bentuk filem yang berdurasi sekitar dua jam.

6. Contohnya filem Laskar Pelangi (LP), situasi Ikal dan rakan sekelas dikenakan Mahar ketika beraksi Red Indian, aksi dramatik Lintang menjawab kuiz dan detik menyedihkan semasa Lintang gagal meneruskan pengajian adalah momen-momen penting yang begitu meninggalkan kesan mendalam kepada pembacanya. Naskhah LP menerusi kerja tangan Riri Riza berjaya diterjemahkan dengan begitu mengesankan.

7. Tapi LBS gagal melakukan semua itu. Menurut Jarul, yang menjadikan LBS sebagai novel terakhir pernah dibacanya, ada banyak momen penting dibiarkan begitu saja oleh Sharad Sharan.

8. Antaranya babak Kasyah jatuh cinta dengan Ayu menerusi namanya yang unik. Ke'setan'an Kasyah di kampus. Detik sedih Ayu pulih ingatan ketika sakit melahirkan anak dan rasa meluat melampau pembaca kepada Katerina.

9. Itu saja. Secara peribadi, LBS cuma cerita cinta biasa-biasa saja. Sebenarnya aku lebih suka novel komedi, Joget Cinta Pertama (Mat Romeo) difilemkan. Kalau mahu versi serius, aku pilih Cinta Hari-Hari Rusuhan (Faisal Tehrani).

10. Sempena Piala Dunia, aku harap ada pengarah sudi adaptasikan novel Selangor vs Kedah karya Joe Lerry. Satu-satunya novel pasal demam bola era semi pro pernah wujud di Malaysia.

"Walaupun Nor Radhi Mat Din lebih sukakan merah kuning, tetapi dia tidak kisah kalau disuruh memakai baju hijau kuning. Begitu juga dengan Siti Azman Adnan.."

Powered by Blogger.