Sedikit Tentang Piala Dunia 2010

Friday, June 18, 2010 · Posted in

Rasa tak kena pula rebiu filem ketika demam Piala Dunia. Aku tangguhlah lagi ikut sedap mood aku.

Satu-satunya jasa (itupun kalau kau setuju) ditinggalkan Inggeris di tanah Malaya adalah memperkenalkan bola sepak, permainan 20 orang (tolak penjaga gol) berebut sebiji bola.

Barat adalah pencetus kepada banyak sukan dunia. Sukan Olimpik sendiri adalah legasi ditinggalkan kerajaan Greek kuno, di mana beberapa negeri ketika itu menghantar wakil masing-masing untuk bertarung beberapa acara tanpa menumpahkan darah. Ia juga dikaitkan sebagai persembahan kepada dewa dewi Yunani. Malah, kebanyakan acara Olimpik sekarang adalah berasal dari zaman itu seperti merejam lembing, lumba lari, lompat jauh, bergusti dan lain-lain.

Ia kemudian diteruskan pula oleh kerajaan Rom yang mengimprovisasi beberapa acara sukan Yunani menjadi lebih ekstrem. Buktinya, Colosseum (di Rom, Itali) diwujudkan khas untuk orang ramai menyaksikan perlawanan gladiator (terdiri daripada tawanan perang, hamba, banduan) yang jelas menjurus kepada pertumpahan darah.

Dalam situasi hari ini, harus diakui Barat memang ada kaitan dengan pertumpahan darah. Cuma gladiator-gladiatornya adalah orang Asia seperti di Timur Tengah. Aksi-aksi berdarah seakan menjadi keterujaan di Barat.

Tetapi, Asia adalah sebaliknya. Orang Asia, walaupun lebih lama membina tamadun (seperti Babylon, Mesir, China dan India) bukanlah spesies bersaing dalam erti kata menentukan kalah menang dalam satu acara khas gilang gemilang. Kalau adapun, ia lebih menjurus kepada unsur pertaruhan seperti laga kerbau dan laga ayam (sila rujuk cerita rakyat Pak Kaduk).

Pasar Kerbau di Toraja, Sulawesi Selatan.

Sekitar 30-an di Kedah, laga kerbau adalah pesta popular di kalangan rakyat. Berduyun-duyun orang akan memenuhi gelanggang khas dipanggil 'Hang'. Ia sama seperti stadium dengan tempat duduk penonton dibina bertingkat-tingkat menggunakan kayu dan buluh. Ruang menonton Hang juga memiliki level tersendiri. Tempat duduk bertaraf grandstand adalah berbumbung, daripada atap nipah, dengan penonton dikenakan bayaran tertentu. Bagi golongan yang tak berapa berduit, mereka boleh saja duduk di tempat duduk biasa, berketinggian lebih kurang 4 kaki.

Di sini, kita dapat lihat perbezaan antara Barat dan Asia. Ketika Rom mahsyur dengan liga pertumpahan darah, tamadun Asia pula sudah lama tersohor dengan liga-liga pertaruhan.

Sukan-sukan di Asia lebih bercorak riadah atau suka-suka. Tidak ada struktur perlawanan teratur, disokong dan didanai kerajaan bagi mengiktiraf terhebat antara terhebat. Hang Tuah sendiri dipilih menjadi hulubalang kerana menewaskan seorang lelaki amuk di pekan Melaka yang kebetulan disaksikan Bendahara dan direkemenkan kepada Sultan.

Hanya ada dua bukti menunjukkan kehebatan Hang Tuah, iaitu kitab Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu. Tiada artifak atau medal membuktikan Hang Tuah pernah memenangi perlawanan juara silat nusantara atau seluruh Asia. Kalau adapun cuma keris yang dirampas daripada pendekar Majapahit bernama Taming Sari. Itupun kerisnya tidak ditemui (walaupun ada pendapat mengatakan ia dimiliki kerajaan Perak).

Kembali kepada Inggeris dan bola. Selepas Kerajaan Melayu di Semenanjung perlahan-lahan mengharamkan sukan laga melaga atas dasar kemanusiaan, sukan Inggeris itu dengan pantas mengisi kekosongan ditinggalkan sukan rakyat tersebut. Wira-wira bola diraikan dan rakyat boleh berkumpul melepaskan penat lelah bertani dan berniaga di pekan untuk menyaksikan 20 orang berebut sebiji bola tanpa perlu menumpahkan darah (kerbau dan ayam) dan berjudi.

Namun, bagi tahi judi, permainan baru itu menjadi alternatif baru untuk mereka menghilangkan ketagihan berjudi. Lebih malang, ia turut mendapat campur tangan pihak berkuasa selepas sukan rakyat itu mula popular dan menjadi lubuk emas kepada mereka yang terbabit.

Kini, unsur-unsur asal Asia (berjudi) kembali mempengaruhi sukan tersebut dan ia adalah sesuatu yang sungguh menyedihkan.

Ketika Barat berjaya mengelak pertumpahan darah dengan mengalihkannya menjadi perang menentang keganasan di Asia (bagi melindungi reputasi suci mereka sebagai penyelamat dunia), manusia-manusia di Asia pula kekal terperangkap dalam permainan lama ciptaan mereka.

Tapi, sebenarnya, ini bukan apa yang nak aku cerita. Apa yang aku fikir sudah tak sinkronais apa yang aku tulis. Haih..

Lagenda Budak Setan (Tak Sempat Siap Sebab Tengok Piala Dunia) Tunggu Nanti Aku Sambung

Wednesday, June 16, 2010 · Posted in

Lama tak rebiu filem. Agak kurang tengok wayang kebelakangan ni. Maklumlah, sibuk. Bila sibuk, lupa. Lupa tengok wayang. Nampak tak kaitan antara sibuk dan lupa. Jadi, tak hairan faktor kesibukan mampu menjejaskan sesuatu hubungan. Antara suami dan isteri. Anak dan ibu bapa. Pakwe dan makwe. Kerajaan dan rakyat. Semuanya kerana sibuk dan lupa. Eh, aku nak rebiu filem kan?

Beberapa hari lalu, aku tengok Lagenda Budak Setan (LBS). Filem adaptasi daripada novel pop agung karya Ahadiat Akashah.

Istimewa tentang novel ini ialah tercetus fenomena baca novel pop kalangan remaja Malaysia sekitar 90-an. LBS berjaya menyelinap menjadi bentuk budaya popular remaja tempatan ketika itu, seiring dengan trend kasut penguin dan seluar straight cut tempah kedai taruk buckle tepi pinggang (poket belakang kasi keluar, kaki seluar lipat, poket kecik tepi).

Memang sudah ada banyak novel pop sebelum LBS. Tetapi, belum ada satu pun novel yang mampu mencetuskan kegilaan seperti LBS. Ahadiat, menerusi LBS berjaya mencipta peraturan baru tentang apa itu novel pop dalam erti kata sebenar.

Malangnya, disebabkan sikap anti-establishment dan anti-popular yang kuat, aku hanya membaca episod pertama LBS (berjudul Budak Setan) walaupun bersungguh-sungguh direkemenkan oleh rakan sekelas.

Sebaliknya, aku memilih membaca novel pop lain keluaran syarikat Ahadiat (Melati Production kalau tak silap).

Selain Budak Setan, seingat aku hanya tiga saja novel pop syarikat Ahadiat yang aku baca.

Pertama, Yo, It's Me (Aznil Nawawi) - Pernah dibuat drama tivi di TV3, lakonan Nico. Mengisahkan seorang mamat skema berubah menjadi hensem selepas di-make over oleh rakan-rakan. Tapi, Nico dalam drama selepas di-make over tak adalah hensem sangat pun.

Kedua, Prince Cinderella (penulis tak ingat) - Langsung tak ingat jalan cerita. Tapi, uniknya tentang novel ini ialah pembaca perlu hantar surat kepada syarikat penerbit untuk dapatkan 'warkah si hero' (kalau tak silap). Warkah tersebut adalah kesimpulan bagi penamat cerita novel itu.

Ketiga, Di Bibirmu Ada Lagu (Shai) - Aku cuma ingat tajuk saja sebab aku anggap penulis tu berjaya mencipta ayat jiwang paling king sepanjang zaman.

Kembali semula mengenai LBS, sebenarnya, aku langsung tak ingat plot dalam novel pertama itu selain nama heronya, Kasyah. Justeru, aku gagal mengingati momen-momen penting yang patut diangkat dalam filem.

Eh, tadi tulis nak rebiu filem kan?

Sabar sabar. Nak tengok Korea Utara lawan Brazil dulu.

Empat Sebab Mesti Beli Ini Transisi

Saturday, June 05, 2010 · Posted in

Ini kawan aku, Am. Dulu dia jadi bos meja sukan (paling muda di Malaysia kalau tak silap) di tempat kerja lama aku. Sekarang kami bersekutu di tempat kerja baru, tengah ibu kota.

Tapi ini bukan entri hero remaja. Cuma kalau kau jumpa surat khabar ini di mana-mana (sekitar Lembah Klang), jangan lupa beli. Kalau sudah beli, minta kawan-kawan, saudara mara dan famili beli juga. Kalau tak beli dengar kata nasib malang akan menimpa anda dalam masa dua minggu.

Apa yang special sangat?

Pertama, ini surat khabar universiti pertama di Malaysia yang masuk pasaran arus perdana. Tambah-tambah kalau kau bekas pelajar dan sedang belajar di UUM. Universiti lain pun boleh beli juga. Benda-benda ilmu kita tak boleh rasis.

Kedua, tak ada cerita ala metro atau gadis sunti jadi santapan dukun dalam ini surat khabar. Tapi cerita-cerita hip masih ada. Nanti Lisa Surihani kecil hati pula.

Ketiga, tak ada pro atau anti mana-mana. Orang Umno, MCA, MIC, Pas, PKR dan DAP boleh beli. Abang-abang Perkasa dan triple line pun boleh beli. Selepas habis berdemo bantah itu ini, boleh baca ini surat khabar di kedai mapley sana. Ada analisis politik, akademi, sukan, bisnes, resepi, perubatan, agama dan banyak pula aku kena senarai ni.

Keempat, penulis dia hensem.

Jun yang Entahkan Panas Entahkan Sejuk

Tuesday, June 01, 2010 · Posted in ,

Masuk bulan Jun, tukar akaun bank lagi. Untuk sesiapa yang slow, tukar akaun bank bermaksud tukar kerja. Ya, aku tukar kerja. Lagi.

Entah sumpahan apa kerja aku kali ni tercampak ke tengah ibu kota. Lokasi kerja yang cuba aku hindarkan sejak berkelana ke wilayah tengah dosa pahala bercampur-campur ini. Tapi mungkin Tuhan mendengar doa-doa ketika kecil dulu yang diucap dengan niat penuh suci: aku mau kerja KL nanti.

Keluarga di kampung sana sudah risau. Tapi itu biasalah. Aku sendiri cemas dan risau dengan diri sendiri, apatah lagi dengan orang-orang terdekat. Tapi, memang begitulah kita. Saling merisaukan.

Manusia sejak menjengah dunia sudah dikurniakan tiga rasa risau. Rasa risau pertama adalah apabila mulut tidak dinenenkan setiap kali perut lapar. Rasa risau kedua ialah semasa kencing dan berak kerana timbul fill kurang enak setiap kali melakukan aktiviti mengeluarkan tahi dan kencing itu. Rasa risau ketiga pula ialah ketika berada dengan orang-orang tidak dikenali.

Peliknya, reaksi kita ketika itu cuma satu saja, menangis, bahasa paling difahami umat manusia. Tapi sekarang apabila sudah dewasa, menangis bukanlah dapat menyelesaikan apa-apa masalah pun. Menurut filem Ibu Mertuaku, kekerapan menangis mampu membuat seseorang itu menjadi buta. Bukan saja buta mata, tapi juga buta hati, buta akal dan buta nafsu.

Di KL, berhenti kerja itu biasa. Kalau kau tetap satu kerja saja, itu pun perkara biasa. Dan kalau kau tak ada kerja, itu pun biasa juga. Hidup di ibu kota, tiada apa yang boleh kau panggil luar biasa. Sungguh.

Jika kau renung, hidup di ibu kota sudah lama mengajar kita bahawa tiada apa pun yang menjamin hidup kita. Menjerit Ketuanan Melayu sekuat-kuatnya di tengah jalan sana belum tentu mengubah semenanjung emas ini menjadi negara demokrat cinta.

Dan perlahan-lahan kau sedar hidup ini, inna lillah wa inna 'ilayhi raji'un.

Powered by Blogger.