Corat Coret Piala Dunia (IV)

· Posted in

Beberapa minit lagi aku akan bergerak ke mamak Salma di ceruk U5 sana. Lokasi sama ketika Pejal hampir histeria menyaksikan pasukannya, Sepanyol, yang bukan negara kelahirannya menumbangkan pasukan aku, Jerman, juga bukan negara kelahiran aku. Ya, lokasi itu juga menjadi medan terakhir untuk aku menutup edisi kejohanan sukan paling ultimate di planet bumi ini.

Banyak yang aku fikirkan tentang apa yang akan berlaku selepas berakhirnya pesta Piala Dunia nanti. Hidup pasti akan kembali normal dengan rutin yang merenggut masa dan menunggu uban memutih di kepala. Sekurang-kurangnya, pesta hedonisme yang penuh ritual puja memuja ini membawa aku lari daripada rusuh dalam diri.

Beberapa detik, sebelum stabil, hidup akan bertukar menjadi koro, lembap dan bodoh. Aku rasa aku layak mendaftar di pusat pemulihan Piala Dunia.

Eh, Belanda menang kot.
.
.

Kenapa patut sokong Belanda?


Tidak ada durian Sepanyol.

Tidak ada ayam Sepanyol.

Tidak ada tikus Sepanyol.

Ada barang letrik bunyi Sepanyol? Spender ada la. Hehe..

Corat Coret Piala Dunia (I)

Thursday, July 01, 2010 · Posted in

1. Jepun tumbang kepada Paraguay dalam aksi penuh dramatik, penentuan penalti. Terpaksa aku batal niat mahu bergambar dengan jersi Jepun edisi Piala Dunia 2006. Bagus juga. Lagipun baju tu dah sendat pun, terutama bahagian perut. Tiba-tiba aku teringat iklan Dr Rozmey. Apa cerita filem juta-juta dia tu. Bila mau tayang?

2. Sepanyol layak selepas menumbangkan Portugal. Malangnya aku tertidur 10 minit sebelum Villa meledakkan jaringan kemenangan buat Sepanyol. Kalaulah Piala Dunia wujud semasa abad ke-15, kemenangan Sepanyol itu akan menaikkan semangat jutaan rakyat Melaka untuk bangkit menewaskan soldadu-soldadu Alfonso Albuquerque yang sudah moral down.

3. Aku rasa nak aktif menulis blog semula. Sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Aku banyak idea, tapi setiap satu idea aku bergentayangan macam roh hantu. Aku terfikir mahu menulis secara intelektual, ilmiah. Tapi tidak semua manusia punya kurnia dapat menulis apa yang dibaca, dirasa, dilihat. Sekarang aku sedar kenapa ramai profesor kita gagal menulis naskhah ilmiah untuk masyarakat kita selain mengutuk naskhah pop Ahadiat Akashah menggunakan dakwat air liur.

4. Aku ramalkan Malaysia ke Piala Dunia seribu tahun lagi. Malaysia ketika itu mungkin sudah bertukar menjadi republik. Mungkin republik sekular. Mungkin juga republik Islam. Apakah satu dosa meramalkan Malaysia menjadi republik?

5. Satu masa dulu, dek kerana bengang dengan prestasi buruk bola sepak Malaysia-gara-gara kalah kepada pasukan Vietnam-kawan aku, Saud (bukan nama sebenar) menyarankan dana dan peruntukan untuk bola sepak diharamkan. Ini membabitkan apa saja perkara yang ada kaitan dengan bola sepak sama ada promosi, liputan media atau pembangunan sukan di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan.

"Lebih baik laburkan kepada sukan yang membawa hasil. Badminton atau skuasy. Atau sukan-sukan tangan lain. Orang Malaysia ni ada kelebihan dengan sukan tangan!!" bentak Saud bersungguh dan garang.

6. Aku terbayang hand of god Maradona (1986). Masa tu semua mau jadi Maradona. Aku syak fenomena Maradona menjadi inspirasi kepada arwah Dato' Paduka Ahmad Basri Akil merevolusikan bola sepak Kedah. Empat tahun kemudian Kedah menjulang Piala Malaysia buat kali pertama selepas tiga kali mencuba sejak 1987. Tatkala melihat ketua pasukan, Lee Kin Hong menjulang piala di tengah pekan Alor Setar, air mata aku membutir sebiji macam awek Jepun dalam tivi semalam.

7. Dan aku bersyukur Saud tidak menjadi Menteri Belia dan Sukan, apatah lagi Perdana Menteri Malaysia.

Powered by Blogger.