bola, BBQ, orang dewasa

Sunday, January 30, 2005

BOLA

Lokasi=> Padang SUK Selangor, Shah Alam
Masa=> Ahad, 30/ 01/ 05, 8.00 a.m.

Ada lawan bola Piala Naib Canselor yang pertama kali diadakan! Sebelum ni ada juga tapi piala kecil. Kali ada piala besar dan pengadil import.

Tsubasa FC sudah berakhir. Adie @ Tsubasa selaku kapten dah berhijrah ke pasukan Ekonandeste. Kami sudah kehilangan seorang ketua pasukan yang berjiwa bola melebihi pemain-pemain bola Malaysia. Lagi pun banyak pemain Tsubasa tengah praktikal dan ada yang dah grad.

Yang tinggal cuma aku, Ayie, Awie dan Joe. Kitorang terpaksa menjemput pasukan Nasi Lemak Pak Ayob dan membentuk satu pasukan baru bernama Ding Dang Datang Lagi!

Tsubasa FC hanya tinggal nostalgia yang malang.

Harus diingat tengok bola tak seperti bermain bola. Padang sangat kecil dilihat di atas tetapi bermainnya di bawah terasa luas. Gol terasa sempit dan kudrat terasa perit. Bola tetap bulat. Malaysia boleh menumpaskan Thailand tapi Vietnam pun boleh menumpaskan Malaysia.

Menang sekali, kalah sekali dan seri sekali. Kami tak layak! Balik dan tidur. Muka semua dah macam pemain Nigeria!

Kelambu: Jangan pernah menyesal


BBQ

kredit untuk Atoi

Aku: Ana Geju call aku la... Ada party kat Subang! Jom aaa...
Ayie, Syem, Lalbi: Seganlah... Kitorang tak kenal pun....
Aku: Selamba je.. Ada makan-makan, minum-minum dan awek-awek..!!
Semua: NAKKKKKKKK...!!!!

Pergi ke Mutiara Subang Apartment, rumah Basri. Ada party apa entah. Aku hanya pasrah ikut Ana dan Mely. Diorang cakap pool party. Wah.., bestnye... :) Sebelum tu ambil Lara kat hostel yang bersiap mengalahkan jemaah haji nak ke Mekah...:P

Syem, Ayie dan Lalbi naik satu kereta dan Syem yang drive. Aku naik kereta sekali dengan Ana, Mely dan Lara dan aku drive. Sungguh seronok menunggang kereta Ana kerana kereta Ana ada air brush yang cantik (debu-debu jalanan). Air-cond kereta Ana juga begitu fleksibel kerana boleh ditanggal-tanggal di samping ruang dalamannya yang begitu BERSIH sekali... :) Terima kaseh Ana!

Rupa-rupanya agak besar-besaran juga party tu. Ada Op, ND, Petit, Uncle EP, Eisya, Lin, Atoi, Tok Rimau, Mat Jan, Purbe, Kak P-Nut, Abang Tokei, Zhouls, kroni-kroni blogger, anak-anak blogger dan seumpamanya. Sori ye kalau tertinggal...

Aku tak ingat apa pun. Semuanya makan...

Kelambu: Kereta Ana ada nyamuk tapi diorang marahkan Kelambu

ORANG DEWASA

Seorang perempuan memberitahu tentang kerenah orang-orang sekelilingnya yang dikatakan dewasa.

Ayahnya cikgu biasa. Menyertai sesi korban pada beberapa hari lalu di taman yang kecil jemaahnya.

Isterinya satu-satunya pegawai tadbir negeri kelas A yang semuanya dimonopoli kaum lelaki.

Jiran-jirannya adalah rakan isteri. Dia tinggal di taman pegawai-pegawai kerajaan...

Hidupnya dikelilingi pegawai-pegawai yang bercerita tentang Dato'-Dato' dan YB-YB.

"Kenapa sorang-sorang je tu...? Diorang tak nak terima ke?" gurau En. X. Kuat!

Kasarnya....

Diorang pun membentuk bulatan dan bersembang rancak. Diorang tak jemput langsung dia. Mentang-mentanglah dia cikgu biasa... Hanya tahu pasal budak-budak dan buku sekolah...

Tapi dia turut melapah bersama beberapa kerat manusia lainnya sedangkan manusia lainnya memilih untuk bersembang dan bercanda di taman ria.

Ini cerita orang-orang dewasa. Yang mengaku lebih mengetahui hati dan budi...

Cerita ini membuatkan aku percaya apa itu sekhufu dan sejiwa. Betapa manusia sebenarnya di sisi Allah adalah sama. Tetapi manusia jugalah yang selalu meletakkan saudaranya melampaui tuhan atau sehina haiwan!

Wallahualam...

Tapi dia hebat. Di taman itu dia seorang saja yang beristeri dua!

Kelambu: Aku dah dewasa...

awan biru

Wednesday, January 26, 2005

AWAN BIRU

Nak ikut mama nak ikut mama, mama nak tinggai adik....

Ndak akan dukung aku dan bawa lari jauh. Dia pujuk-pujuk. Katanya mama pergi tak lama. Abang lebih tabah. Dia tak menangis. Susah betul aku nak tengok dia menangis.

Kapal terbang jahat! Kapal terbang jahat!

Kapal terbang pun menembus awan dan langit. Dalam hati aku bermohon, mahu terbang bersama mama.

Hari ni.. 26/01/05

Hajat aku tercapai...

Aku dapat terbang ke awan biru bersama mama selepas 24 tahun... Ke Kuala Lumpur...

Aku suka tengok langit.. Tengok awan... Tengok mama...

Kelambu: Tengok.. err... eh.. eh.. lawanya pramugari... ;)

gangster

Sunday, January 23, 2005

GANGSTER

Ada pengkritik mengatakan ketidaklogikan sesebuah karya filem tidak sepatutnya disamakan dengan realiti yang berlaku dalam kehidupan. Contohnya mengenai jarak masa dan perjalanan dalam sesebuah filem. Sekiranya di dalam filem seseorang menaiki kereta dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru dalam masa 3 jam sahaja tentulah tak dapat disamakan dengan realiti sebenar iaitu selama 4 jam dan lebih. Kata mereka lagi, yang sepatutnya ditekankan ialah kekuatan skrip, seni fotografi dan olahan plot filem yang jarang diterjemahkan dengan seadilnya oleh para pengkritik.

Ya, memang benar kekuatan skrip, seni fotografi dan olahan plot filem menjadi nadi penting dalam sesebuah filem tetapi segalanya akan hambar sekiranya kelogikan diambil enteng oleh pengarahnya. Kelogikan dalam filem melambangkan kepekaan seseorang pengarah memerhati sekelilingnya, kejujurannya menyampaikan mesej dan ketelitian dalam menghasilkan sesebuah karya untuk masyarakat. Doktor yang bagus tahu apakah ubat yang baik untuk mengubati sakit selsema selama 2 minggu. Tetapi doktor yang tidak bagus sekadar memberi ubat selsema untuk sakit 2 hari sahaja. Sebabnya dia berharap pesakit itu akan datang membeli ubat kepadanya semula. Itu doktor kapitalis!

Kelogikan sebenarnya bergantung kepada aliran sesebuah filem itu sendiri. Sekiranya aliran filem itu bercirikan surrealisme sudah tentu khalayak dapat menerima kekuatan Hang Tuah yang dapat berlawan sambil terbang di dalam PGL biarpun naratif ceritanya masih berpijak dibumi yang nyata iaitu di zaman Melaka. Tenaga Hang Tuah yang luar biasa dapat diterima khalayak kerana khalayak telah menterjemahkan Hang Tuah sebagai pahlawan yang sakti, bombastik dan tak terkalah.

Tetapi tentu saja khalayak tidak dapat menerima sekiranya di dalam Gerak Khas, Inspektor Mazlan berupaya menembak mati tujuh penjahat dengan sekali tembakan sahaja. Sebabnya mudah, minda khalayak telah menterjemahkan filem Gerak Khas sebagai sebuah filem realisme iaitu berlatarkan kehidupan manusia biasa yang menjadi pegawai polis.

Begitu juga dengan KL Menjerit. Plotnya menarik. Tetapi ramai rakan-rakan mendengus tentang kelogikan di dalam KL Menjerit. Sebabnya ialah berapa banyak sangat mat rempit di KL berlumba menunggang TZM? Yang banyak ialah motosikal dari jenis RXZ dan kapcai. Tak ada mat rempit yang akan memasang side mirror pada motornya! Inilah yang dikatakan kelogikan sesebuah filem. Filem adalah salinan kehidupan sekeliling masyarakat itu.

Tipu kalau aku katakan Gangster tidak menarik. Dengan bajet 2 juta siapa menyangka Bade berupaya menjadikan cerita ini setaraf Hollywood dan Hong Kong. Aksi selit menyelit di ibu kota, memandu secara mengundur dan kemalangan yang realistik sungguh mengagumkan aku. Rosyam memegang 3 watak yang bergerak dengan naratif yang berlainan tetapi dipertembungkan pada akhir cerita untuk membentuk konklusi yang dramatik dan melegakan. Sebenarnya teknik begini pernah digunakan oleh pengarah-pengarah Hong Kong untuk filem seram mereka. Jadi apa kurangnya...?

Bagi aku tiada originality! Gangster sekadar salinan aksi Hong Kong dan Hollywood yang diberi nyawa Melayu. Kalau jenayah Hong Kong ialah dadah, penyeludupan senjata dan kongsi gelap tetapi Bade menukarkannya kepada skim cepat kaya, ectasy dan lumba haram. Babak aksinya pula ialah salinan kepada The Fast & The Furious, cuma pelumbanya adalah seorang Melayu (Legau? orang asli kot...). Nasib baik tiada gadis seksi yang mengusap buah dada sendiri untuk menggoda si pelumba.

Filem seperti ini sebenarnya juga mampu dihasilkan oleh Yusof Haslam, Aziz M. Osman dan juga beribu-ribu pengarah lain. Mengapa memilih untuk menyalin secara total teknik fotografi luar? Mengapa Bade tidak mahu menjelajah satu teknik fotografi yang baru? Misalnya mengambil shoot dari dalam ekzos atau memandu menggunakan kaki. Kelajuan bukan sekadar boleh digambarkan pada meter rpm tetapi boleh juga pada ketangkasan tangan menukar gear dan jelingan mata pada setiap sudut cermin belakang. Kekuatan kuasa NOS bukan sekadar digambarkan pada reaksi pelumba tersandar ke seat tetapi pada genggaman tangan yang erat dan bergetar pada stereng sambil peluh menitis di dahi sedangkan kereta berhawa dingin. Inilah yang dikatakan originality! Ketulenan dan keaslian!

Logik? Berapa banyak pelumba Malaysia memiliki kereta bertaraf mewah? Kebanyakannya memiliki kereta tempatan atau kereta import model lama yang telah dimodifikasi. Tak semuanya mampu membeli Evo, Subaru, Integra mahu pun Porsche. Tak tahulah anak Datuk mana yang gila sehingga sanggup berempit dan menanggung risiko kemalangan biarpun harga kereta itu mampu dibayar mereka. Kereta jenis mewah selalunya berlumba di litar-litar tertutup.

Filem mesti relevan dengan sekeliling. Filem Hindi dijadikan medium untuk masyarakatnya melupakan kesusahan dan kedukaan. Filem Hollywood dijadikan medium propaganda order barat dan kebijaksanaan intelektual mereka yang luar biasa. Filem Hong Kong banyak menekan soal persahabatan, seni kung fu, aksi nyata dan realistik. Filem Iran banyak menempelak diskriminasi jantina, masyarakat dan kebobrokan kepimpinannya. Tapi filem Malaysia di mana? Mahu menyalin semuanya?

Aku akan lebih menghormati Bade sekiranya Legau di dalam Gangster menumpaskan Rizal yang menaiki Evo hanya dengan memandu kereta Proton Satria. Kalau kalah biarlah secara terhormat seperti mana kalahnya enjin Amerika kepada enjin Jepun di dalam The Fast and The Furious. Patriotisme tanpa sedar! Aduh, sayang sekali, sajian filem Malaysia sangat kosong! Gangster sekadar sebuah filem nasihat iaitu jangan meminjam pada Along, jangan jadi gangster jual ectasy dan jangan berlumba haram! Nanti buruk padahnya tau...:)

Kelambu: Bukan gangster..!

kelambu dan haji

Friday, January 21, 2005

KELAMBU

Orang tak suka kelambu sebab kelambu panas...

Tapi kelambu ialah ubat yang paling berkesan kerana kelambu tidak membahayakan si tuan kelambu...

Sesuper-super nyamuk takkan dapat menembusi kelambu selagi tiada lubang yang bocor di kelambu tuan empunya diri.

Kelambu tidak membunuh tuan punya kelambu! Kelambu juga tak membunuh nyamuk yang mahu membunuh tuan punya kelambu! Kelambu sangat baik pada orang dan binatang... :)

Kelambu: Kelambu ni tak payah bayar tau.. Boleh bercakap pula tu... :)

HAJI

Abang Kit hantar mesej kat handphone abah. Dia tengah wukuf di Arafah.

Wah, jealousnya aku. Baru suku abad dah jadi haji muda. Dia ambil kesempatan. Dia dah habis belajar tapi saja tak nak balik. Mula-mula dia cakap ambil kursus Mandarin. Tup-tup tengah wukuf...

Kalau sebelum ni aku pernah panggil Tok Aji dan Pak Aji tapi kali ni aku kena panggil Abang Aji. Ya, Haji Mohd. Syakir Hj. Othman. Hehehe...

Kelambu: Salam Aidil Adha

hadiah kesukaan perempuan..?

Tuesday, January 18, 2005

HADIAH KESUKAAN PEREMPUAN..?

Nak tahu perempuan sekarang suka hadiah apa?

Berikut adalah peratusan yang dipilih oleh 100 orang pelawat blog ini

- Teddy bear/toys (45%)
- Hanya kata-kata/sms (14%)
- Buku (10%)
- Barang kemas (8%)
- Baju/ kasut (6%)
- Cokelat (5%)
- Kad dan jam (4%)
- CD dan cenderamata (2%)

Kesimpulan

- Bukti perempuan suka teddy bear/toys => kalau melihat kereta yang ada gantung teddy bear atau patung Pink Panther, monyet, orang utan atau apa saja sudah pasti pemiliknya perempuan!

- Anda boleh berikan kata-kata/ sms tapi adalah lebih bagus sekiranya disusuli dengan hadiah dari tangga 4 ke atas.

- Jangan malu-malu hadiahkan buku. Perempuan sekarang lebih suka membaca dan kenal penulis-penulis terkenal dan tak terkenal berbanding lelaki. Tahniah!

- Perempuan dan material tak dapat dipisahkan. Teddy bear/toys dan kata-kata/sms adalah simbolik kepada hati dan perasaan perempuan. Buku pula adalah simbolik kepada pemikiran mereka dan barang kemas menjadi simbolik kepada fizikal mereka.

- Jangan hadiahkan CD atau jam kerana anda boleh dikatakan membazir! CD dan jam boleh dibeli secara cetak rompak di Petaling Street atau pasar malam. No value for saving!

- Jam adalah simbolik kepada ketepatan masa. Kat rumah sewa aku Salleh adalah kawan yang paling lambat bersiap setiap kali mandi. Kawan-kawan banyak tension dan marah-marah.

Untuk menenangkan keadaan aku berikan satu peribahasa baru kat mereka "Selambat-lambat Salleh adalah secepat-cepat perempuan". Jadi kalau Salleh lambat pun tak dapat nak sabar macamana nak tahan dengan lambatnya seorang perempuan? Diorang diam tapi aku tahu dalam hati masing-masing akan berkata, "Perempuan lainlah..." :)

Kelambu: Pilihan di tangan anda.. Jeng jeng.....

Powered by Blogger.