Tahun baru. Buku baru.
Tahun baru ini bercahaya! Kali ini bebudak rumah puaka sudah ada anak. Sebenarnya, tak ada siapa yang beranak pun. Lagipun lelaki mana boleh beranak. Dan tak ada makhluk transgender seperti Thomas Beattie di sini. Yang ada cumalah anak kucing. Ya, anak kucing.
Sebelum ni, memang semua berkobar-kobar nak bela kucing. Masing-masing tak nak kalah tunjukkan jiwa penyayang yang terkepil di sanubari. Adalah dua tiga kucing dibawa masuk. Tapi semua ke laut. Kasih sayang menggunung. Tapi sayang, cuba kupeluk tangan tak tergapai. Kucingku lari laju. Ya lah aku faham. Hidup dikongkong siapa yang tahan? Kalau manusia lagikan berpiket. Inikan pula kucing gelandangan. [Boleh tahan juga bermadah pujangga.]
Tapi kali ni mungkin harapan sedikit bersinar. Sebab kucing ini kecil amat. Belum bercerai susu pun. Jadi, ada potensi bertahan lama sebagai warganegara baru rumah puaka.
Ok, kawan-kawan. Lepas ni aku akan cuba buat beberapa liputan khas sepanjang hidup anak kucing ini di sini - warga rumah puaka.
Berjayakah bebudak rumah puaka memberi kasih sayang kepadanya? Apakah nasibnya akan kekal bahagia berpanjangan? Siapakah yang paling disayangi? Siapakah bakal teman err? Opss, sorry.. Tak perasan pulak aku jantan betinanya. Kejap lagi aku tengok anunya.
Oleh sebab aku belum tahu jantan betinanya, jadi secara rasminya aku namakan anak kucing ini sebagai TUTUT.
Muktamad!
Hai, Apa Khabar Tahun Baru!
Ah, oksigen inimeski ia
diselimuti jerebu..
Manusia hidup
manusia mati
cuma cinta
milik semua
makhluk bernyawa..
Tahun baru.
terima kasih, Tuhan.
kerana matahari
aku dan kamu
masih bercahaya
seperti awal
kanak-kanak
dahulu..
Tahun baru
rindu biru
impian salju
cinta sendu
kenangan lalu
bagai kupu-kupu
teringat
kepompong layu
di daun waktu..
-Shah Alam-
Inspirasi Agung Kawan Saya
Bad memang perasan hensem. Tak habis-habis dia samakan mukanya dengan Tom Cruise. Padahal aku tengok persamaan Bad dengan Tom Cruise tu rambut saja. Lagi satu, apa cerita Tom Cruise gigi serpih sebab gigit karipap?
Hari tu kami ada projek 'container'. Kena desain sebarang botol. Tak kiralah botol apa. Minyak masak. Minyak wangi. Minyak 4t. Bla bla bla..
Jadi, macam biasalah, designer mestilah kena sketching dulu. Esok kena siapkan 20 desain sebelum En Zin pilih dan prosid. Oh ya, Bad desain botol susu untuk budak.
Esok hari. Masa Bad tunjukkan dia punya drawing, En Zin bantai gelak. Dia panggil En Zizi dan kawan dia sorang tu pun bantai gelak jugak. Memang penuh tanda tanya. Dengan seribu persoalan kami pun pakat usya lukisan agung Bad. Hahahaha. Kami pun bantai gelak juga.
Ada satu botol susu tu Bad lukis sebijik macam bentuk zakar. Dia bagitau kami 'subject matter' botol ialah buluh. Katanya, serius aku tak pernah terfikir pasal zakar. Tapi bila semua gelak barulah aku perasan.
Buluh? Zakar? Hahaha! Hello, seni memang subjektif ok.
Lukisan Agung Pertama Saya
Masa di Johor dulu cakap Kedah aku pekat. Asal ada presentation budak kelas gelak. Asal budak kelas gelak aku ada presentation. Macam tak pernah dengar orang cakap utara. Aku rasa dorang semua ni bengong juga. Aku kata macam ni sebab kawan aku, Zamri ingat aku ni orang Kelantan. Sebelum dia tau Kedah dan Kelantan ni jauh berbeza, selama ni dia ingat siapa saja yang cakap selain cakap KL (Riau Lingga), orang tu ialah budak Kelantan. Memang jahiliah punya pengetahuan. Cet.
Satu hari aku sketch satu produk. Masa tu kami ada projek bungkus telur dalam straw dan baling dari tingkat tiga. Kalau telur pecah, potong markah. Kalau potong markah, kuranglah carry mark.
Lukisan tu aku lukis dengan penuh kasih sayang. Penuh dedikasi. Komited. Profesional. Cekap. Betul. Amanah. [Boleh tambah lain-lain slogan di sini]. Pada pandangan mata aku memang dah cukup tabik dah.
Lepas siap aku tunjuk lukisan tu kat En. Zin dengan hati berbunga ria dan senyum menguntum mekar. Dia tengok dan belek lama lukisan agung aku tu. Dia tanya,
Kau tau lukisan kau macam ape?
Aku geleng kepala penuh teruja. Penuh saspen.
Macam sial!!
.
.
.
Di luar kelas. Aku baling lukisan agung 'sial' tu dengan penuh rasa hiba.
Histeria - Adrenalin Membuak-buak; Cicakman 2 - Sedap Tapi Separuh Masak
update!!
Sebelum ni aku selalu harap ada pembikin filem tempatan buat filem yang banyak darah. Ala-ala Chainsaw Massacre dan Saw. Tapi, perlu ditegaskan di sini bahawa melihat filem penuh aksi kelar, putus dan darah bersembur itu tidaklah bermakna aku seorang kriminal ok.
Malangnya, selepas Misteri Rumah Tua, tak ada lagi filem seram tempatan yang betul-betul memuaskan nafsu darah aku. Oh ya, ketika ini aku menaip sambil minum sirap dan jilat bibir.
Tapi, kali ni Histeria muncul. Dengan sempurna. Ini filem seram ganas. Dia punya hantu raya memang tarak ampun punya. Sikit-sikit bunuh. Memang pembunuh profesional. Perlu diingatkan, hantu raya ni membunuh bukanlah dengan penuh kasih sayang, tapi semua mangsa [kecuali Liyana Jasmay dan Ainul Aishah] dibunuh tanpa menghiraukan perasaan pihak PIBG dan juga sentimen masyarakat langsung.
Darah merecik. Tubuh dicakar-cakar. Serius sadis. Serius terkejut. Serius kasihan. Semuanya bersatu padu menyerbu sanubari ini tatkala melihat gadis-gadis cantik sering menjadi mangsa ketidakpuasan hantu-hantu seluruh dunia. Seolah kecantikan itu satu dosa.
Sudah. Aku Merepek.
Bagi aku. Histeria sangat bagus. Seribu kali bagus dari Jangan Pandang Belakang. Walaupun aku harap ada banyak twist dalam filem ni, tapi setiap plot dalam Histeria [yang sudah dapat diteka] ini tetap mampu buatkan kau melekat di kerusi panggung dan cuba tidak ke tandas biarpun kau rasa nak kencing.
Cerita yang bagus buatkan kau akan rasa durasi filem sangat sekejap. Tiba-tiba eh, dah habis? Kesimpulannya, aku menggesa kaki-kaki wayang ataupun apa saja kaki supaya turun menonton filem ni. Biarlah laris. Nanti James Lee kaya dia boleh buat filem yang lagi ganas dan lagi bagus. Mungkin lepas ni dia akan keluarkan pula hantu galah, pocong atau apa jadah hantu lagi yang lebih brutal dan semuanya boleh makan orang.
Ok. Bawa bertenang. Selamat menonton. Empat setengah bintang!
*Sampai hati hantu raya bunuh Scha.
.
.
.
.
.
CICAKMAN 2 - SEDAP TAPI SEPARUH MASAK [19 Dis. 2008]
Pertama. Bandar Metrofulus dalam Cicakman 2 nampak sungguh hidup. Macam Batman dengan Gotham City, begitulah Bandar Metrofulus dengan Cicakman. Original. Memang tak sama langsung. Ini yang buat aku suka. Kalau aku kanak-kanak, aku dah boleh mimpi tinggal di Metrofulus dengan memakai kostum Cicakman.
Kedua. Yusri kata, jangan bandingkan Cicakman dengan produk luar. Masalahnya, apa cerita Cicakman ada serupa sama itu Spiderman dan Batman?
Ketiga. Serius aku rasa kacau dengan CGI dan aksi stunt zaman Gaban dalam filem ni. Bagi aku, Cicakman 2 patut kurangkan efek CGI yang melibatkan aksi lawan-lawan. Sepatutnya lebihkan aksi real stunt saja. Cukuplah dengan Cicakman beraksi supersonik dan panjat bangunan, termasuk aura tuju-tuju api Ginger Boys. Tak payahlah susah-susah suruh Cicakman jadi Spiderman. Ataupun guna efek bullet time ala Matrix keterlaluan. Aku rasa, lagi bagus Yusry belajar aksi lawan-lawan Pendekar Kundur atau Pendekar Mata Satu. Ataupun aksi terjun berani mati macam Jackie Chan.
Keempat. Yusri nampak gigih untuk jadikan naratif Cicakman 2 kali ini sedikit kompleks. Ada beberapa unsur satira politik dan agama dalam filem ni. Bagus. Tapi aku rasa Yusri macam gopoh, longgokkan semuanya. Sudahnya, naratif dan plot dalam Cicakman 2 jadi separuh masak. Sampai aku cakap, gimme more, gimme more.
Kesimpulan.
Menonton Cicakman 2 tak adalah sampai tahap kau rasa nak baling kerusi macam dalam insiden mesyuarat bahagian Umno mana entah. Aku respek dengan Yusri sebab filemnya kali ni nampak dia macam rajin, walaupun gagal memenuhi piawaian superhero aku.
Sebagai seorang yang pernah berangan nak jadi Masked Rider Black masa kanak-kanak dulu, ini pesan aku kat Yusry, apa yang membuatkan superhero tu berbeza dengan orang lain ialah bukan sekadar kuasa magis yang dimiliki, tapi attitude dan nilai kental yang dipegangnya.
Elemen inilah yang akan buat penonton (kanak-kanak) akan rasa sayang gila dengan superhero tu. Dan rasa sangat tak puas hati kalau superhero tu mati. Dan juga rasa nak jadi penyelamat dunia menewaskan kejahatan. Mahu tak mahu, imaginatif sesebuah filem superhero sepatutnya macam tu.
Naratif filem superhero juga jelas. Ada protoganis dan antagonis. Hitam dan putih. Kebaikan melawan kejahatan. Namun, selagi filem tu tak buatkan aku rasa nak jadi superhero [dalam kotak imaginasi kanak-kanak] masa keluar panggung, ia sebuah filem superhero yang gagal bagi aku.
Aku bagi 3 suku bintang [kedekut]. :P
