Serius, Saya Pergi Lebih Jauh Dengan Sekali Isian

Monday, August 31, 2009 · Posted in

Minyak naik. Kali ni ada Ron95 untuk orang miskin. Dan Ron97 untuk orang tak miskin.

Mulanya memang semua orang bising dan skeptikal dengan minyak-orang-miskin ni. Pikap ke? Takpe ke enjin aku? Tapi bila marah sudah reda dan kereta pun tak adalah terjejas sangat pun, kita pun pakat terima kenaikan tersebut. Dan kehidupan pun kembali seperti biasa.

Itu ok lagi. Yang tak tahan iklan Petronas, seorang mamat tu cakap, saya dapat pergi lebih jauh hanya dengan sekali isi minyak.

Masalahnya sekali isi minyak tu pergi mana?

USA? Genting Gaza? Guatemala?

Jabatan komunikasi dan pengiklanan tolong ambil perhatian perkara menipu ni! Huh.

Ini Harta Bill Gates yang Punya

Tuesday, August 25, 2009 · Posted in

Aku dapat emel, Bill Gates nak kongsi dia punya harta. Aku rasa emel ni kali ke-8,000 kot. Banyak sangat dah.

Caranya mudah, kau cuma perlu forward-kan emel tu dan kemudian tunggu ratus ribu USD masuk dalam akaun kau. Aku tak taulah pula macamana Bill Gates nak masukkan duit tu dalam akaun aku. Setahu aku, masa daftar emel dulu, tak ada pula aku masukkan akaun Maybank2u. Apatah lagi akaun Tabung Haji.

Untuk menambahkan lagi keyakinan orang ramai dengan kesahihan emel tu, dikepilkan sama testimoni penerima harta Bill Gates ni. Antaranya ialah pegawai-pegawai kerajaan Malaysia. Siap nama penuh, jabatan, nombor telefon dan bagai lagi...

Tapi bukanlah semudah itu untuk menipu anak buah Leftenan Horatio. Gatal tangan aku emel sorang responden. Betul ke dapat duit rib-rib?

Tup tup. Dia jawab. Cuba sajalah. Mana tau ada rezeki. Hehe.

Loh, dapat pun tak pernah. Testimoni macam pakai BMW 5 Series. Cet.

Senang cerita macam ni lah. Apa kejadah Bill Gates (selaku taikun terkaya di dunia) nak buat kerja bodoh macam ni. Bagi duit tak tentu pasal. Bayangkan yang forward emel tu pengganas, tak ke pasal-pasal Bill Gates tu bagi duit free kat diorang dan dituduh menaja keganasan.

Aku taulah korang nak kaya. Tapi bab forward-emel-dan-anda-kaya ni memang aku tak boleh nak terima.

Ok, soalan.
Bayangkan korang kaya macam Bill Gates dan rasa nak derma duit korang yang banyak tu. Apa korang buat?

Falsafah Keamanan Ando dalam Mi Segera

Monday, August 10, 2009 · Posted in

1. Sambung lagi pasal Ando. Masa dia buka bisnes garam tu, Jepun berada dalam zaman kemelesetan ekonomi akibat kempen perang yang dilancarkan rejim Meiji. Masa ni berlaku kekurangan bekalan makanan yang kritikal di banyak negara dunia. Lihatlah betapa sadisnya perang. Bukan setakat Tanah Melayu terpaksa berdepan era ubi kayu, malahan Jepun yang gah dikenali sebagai gergasi tentera Asia melawan Barat pun tak mampu nak atasi krisis makanan semasa era perang walaupun beras-beras dari China dan rantau Nusantara habis dipunggah balik ke negara K-Car sana.

2. Jadi sebagai satu cara mengatasi krisis tersebut, Kementerian Kesihatan Jepun masa tu melancarkan kempen menggalakkan rakyat negara tu makan roti dari tepung gandum yang dibekalkan Amerika Syarikat. Mungkin kempen masa tu berbunyi '1Jepun 1Roti' atau 'Roti Didahulukan, Rakyat Diutamakan (contoh)'.

3. Ando pun apa lagi, terus berang seraya berkata, "polisi durjana apakah ini sehingga sampai hati kerajaan memaksa rakyat Jepun memakan roti dan bukannya mi?"

4. Apabila polisi kerajaan tu cuba dipertikaikan pengusaha-pengusaha mi di Jepun, kerajaan pun seperti biasalah, tampil membuat kenyataan menggunakan kepala lutut menteri-menterinya.

"Industri mi terlalu kecil dan tidak stabil untuk menampung keperluan makanan rakyat. Ini bukan masa nak berpatriotik pasal mi. Mana lagi penting. Mi atau perut? Ingatlah, 'Roti Didahulukan, Rakyat Diutamakan', kata menteri kesihatan Nippon waktu tu (contoh).

Ando pun pulanglah dengan rasa hiba dan wajah muram durja. Apatah lagi bila disindir sebagai lebih Jepun daripada Jepun kerana status diri sebagai migran Taiwan totok.

5. Tapi Ando tidaklah mudah berputus asa. Sebagai penggemar tegar mi dan tak sanggup bangsa serumpun (sekitar Asia Timur) dijajah roti Barat, dia pun bangkit mencipta mi segera dengan slogan yang jauh lebih murni dan bukan populis iaitu, 'Peace will come to the world when the people have enough to eat' (Dunia akan aman apabila manusia cukup makan).

6. Klimaksnya, tepat 25 Ogos 1958 ketika berusia 48 tahun dan selepas menjalani fasa 'cuba dan salah' untuk menghasilkan mi dengan kaedah cepat dimakan, Ando akhirnya berjaya memasarkan pakej mi segera dipanggil Chikin Ramen berperasa ayam dengan harya 35 yen saja, tiga kali lebih murah berbanding semangkuk mi yang biasa dijual di restoran Jepun masa tu.

7. Jadi di sini, falsafah sebenar mi segera yang digagaskan Ando bukanlah mi-untuk-segera-mati, tetapi untuk mengatasi masalah mati kebuluran di negaranya sendiri dengan mengekalkan kasih sayang dalam makanan tradisi.

8. Kawan-kawan. Lihatlah. Apabila kita melakukan sesuatu itu dengan penuh jujur, legasinya kekal zaman berzaman. Walaupun mi segera sering dikutuk sebagai antara makanan paling tak berkhasiat di planet bumi, tapi makanan itulah yang menjadi penyelamat golongan marhaen di hujung bulan yang kesesakan kerana kesempitan wang untuk makan.

9. Tanpa dapat dicabar mana-mana makanan di dunia, mi segera muncul sebagai makanan penyelamat umat manusia era moden. Ia dibawa oleh penganut Islam yang mahu ke luar negara kerana takut tak jumpa kedai makan halal, menjadi bekalan askar dan pemberontak, menjadi makanan golongan miskin dan papa, makanan rasmi pelajar Malaysia dan menu utama kedai mamak bagi menambah pendapatan bisnes. Mi segera sangat akrab dengan kemanusiaan biar sekaya mana pun negara tu.

10. Jadi apakah falsafah dalam nasi lemak tradisi kita? Kenapa nasi lemak sekarang semakin mahal dengan lauk yang kedekut serba serbi? (telur rebus dibelah lapan belas, ikan bilis gred-E-keras-macam-batu-cincin, sambal macam muntah hantu badang). Walhal falsafah asas nasi lemak adalah murah dan sedap. Kenapa pembikin nasi lemak se-Malaysia tak pernah nak hargai nasi lemak seperti mana Ando menghargai mi tradisi Asia Timur sehingga mampu mengamankan dunia?

Baru tadi aku jamah mi segera dengan air mata bergenang mengenangkan betapa berjasanya mendiang Ando dengan mi segeranya kepada dunia (sambil mencongak baki wang di bank). Bandingkanlah nasi lemak di negara kita yang kadang-kadang buatkan kita terbeliak biji mata masa nak bayar dan kemudian mencarut-carut ketika menjamahnya? Berapa abad lagi nasi lemak mampu mengamankan dunia?

Tabik untuk Ando!

Powered by Blogger.