PTPTN II
PTPTN masuk.. Hooray!!!
Tolak yuran pengajian. Err, ada hutang lagi! Huhuhu..
Ada along nak bagi aku pinjaman tak? Aku nak along yang baik.. :)
KECIL HATI
Ada yang kecil hati berulam jantung sebab aku sudah tak masuk blog dia orang sejak kebelakangan ni.
Bukan aku tak masuk. Aku masuklah. Cuma aku tak tinggalkan komen. Aku buka blog korang dan terus save dalam thumb drive aku. Balik rumah baru aku baca. Kalau baca kat sini ambil masa 5 minit lebih. Kalau 20 blog sudah berapa? Nak semak dan balas emel lagi. Nak melayari apa yang patut lagi.
Jadi, di kafe siber ini aku terpaksa meminimumkan masa penggunaan Internet. Mahal. Aku terpaksa meredah 6 kilometer untuk mengemas kini sebuah blog yang kerdil ni. Berbaloi? Heh..
MERDEKA-48 II
Lupa pula aku nak cerita pasal malam merdeka. Aku merdeka dalam kampus saja. Universiti buat malam kemuncak di dewan PKP. Aku berduet dengan Awie baca monolog 'Apabila Encik Merdeka Memberitahuku Tentang Merdeka.'
Tapi biasalah banyak pelajar yang tak beri perhatian dan kabur dengan kata-kata yang bombastik. Lainlah kalau aku nyanyi lagu Peter Pan. Mesti semua tangkap nangis. Bukan sebab sedap tapi sebab tak sedap. Hahaha...
Lepas habis acara nanyi-nyanyian dan tari-tarian kami pun berkumpul di luar dewan PKP. Pak Tam @ TNC HEP mula mengira jarum jam. Konvoi motor dan kereta berdentum-dentum tiba.
Tepat pukul 12. Mercun dan bunga api dibakar. Tapi yang murahlah. Cap ayam kot. Tembak satu meletup. Tembak dua meletup satu. Bukan macam KLCC punya. Cap ayam saja. Tergelak aku tengok satu grup pelajar perempuan menjerit sebab mercun salah mendarat. Nasib baik grup bakar mercun duduk atas bumbung. Kalau kat bawah aku dah boleh tengok sketsa perang.
MENANG
Cluster kami menang blok tercantik sempena merdeka. Pelajar-pelajar India yang tolong buat pintu gerbang. Pelajar-pelajar Melayu suka gantung bendera sambil menyanyi saja.
Sekali tengok dah macam sambutan Deepavali. Ada pokok pisang dan daun kelapa. Aduhh...
PUISI - Apabila En. Merdeka Memberitahuku Tentang Merdeka
-Tak ada apa nak tulis lagi. Aku tulis semula puisi malam merdeka tu. Cetak dan tampal di dinding bilik tau..-
Pada suatu masa dahulu-dahulu
Ketika itu aku berjalan-jalan dengan sekotak Pop Corn dan Coca Colaku
Di sepanjang Pudu Raya dan Dataran Merdeka
Aku pun berjumpa dengan En. Merdeka
En. Merdeka itu kulihat wajahnya gagah tapi gundah
Warna bajunya biru dan putih, seluarnya kuning dan merah
Lengannya kulihat penuh dengan parut luka-luka berdarah
Beritahunya, itu bekas seksa-seksa penjajah
Itu juga tanda adanya sejarah
Dan En. Merdeka pun memberitahuku tentang merdeka
Katanya, merdeka lalunya dibakar api
Tapi merdeka kininya berbunga api
Katanya lagi, merdeka lalunya diburu mati
Tapi merdeka kininya memburu mati
Katanya lagi, merdeka lalunya disambut hiba
Tapi merdeka kini disambut tawa
Katanya lagi, merdeka lalunya dihambat pistol
Tapi merdeka kininya disumbat botol
Katanya lagi, merdeka lalunya wanita-wanitanya penuh kental
Tapi merdeka kininya wanita-wanitanya dilenakan bantal
Katanya lagi, merdeka lalunya laki-lakinya penuh jiwa
Tapi merdeka kininya laki-lakinya dibunuh jiwa mereka
Katanya lagi, merdeka lalunya sahabat-sahabat adalah nyawa
Tapi merdeka kininya sahabat-sahabat menjadi ular sawa
Katanya lagi, merdeka lalunya banyak manusianya pandai
Tapi merdeka kininya banyak manusianya bangkai
Dan tiba-tiba lalulah gadis-gadis manja sambil melenggang
Aku dan En. Merdeka pun dialihkan pandang
Terpana seketika pada baju gadis-gadis manja
Yang coraknya bintang-bintang pecah lima
Terjambak di tengah celah lurah gunung
Seluar mereka ada selerak bintang di bonggol punggung
Dan En. Merdeka pun termenung bingung
Aku pula sedikit canggung
Sambil mengunyah Pop Corn dan Coca Colaku
Lalu En. Merdeka pun memberitahuku tentang merdeka
Katanya, anak gadisnya dahulu srikandi pejuang
Tapi anak gadisnya kini srikandi telanjang
Katanya, anak lelakinya dahulu pahlawan terbilang
Tapi anak lelakinya kini pahlawan jalang
Katanya, isterinya dahulu perempuan setia
Tapi isterinya kini perempuan gila
Tiba-tiba En. Merdeka menangis, menangis dan menangis
Aku pun terus terkedu bersama Pop Corn dan Coca Colaku
En. Merdeka pun berkata, Pakcik adalah merdeka yang tidak merdeka
Ketika merdeka lainnya menangis penuh keharuan
Tetapi merdeka pakcik menangis penuh kekesalan
Pakcik adalah merdeka yang tidak merdeka
Dalam buruk dan hodoh En. Merdeka menangis hiba
En. Merdeka masih sempat berpujangga
Sayangilah merdeka kita, cintailah merdeka kita
Usap dan belailah merdeka kita
Cium dan dakaplah merdeka kita
Kerana merdeka kita takkan dapat dicari ganti
Seperti mana matinya seorang isteri
Aku pula hanya mampu mengangguk dan mendengar
Sambil mulutku menelan Pop Corn dan Coca Colaku
En. Merdeka terus menangis, menangis dan menangis
Ketika itu sempat pula En. Merdeka mengambil Pop Corn dan Coca Colaku
Manis Pop Corn dikunyahnya, busa Coca Cola diteguknya
Dalam tangis En. Merdeka bersendawa lega
Erkkkk...., Alhamdulillahhh.......
Masa pun bagaikan terhenti agak lama
Sehingga habislah butir Pop Cornku yang terakhir
Dan usailah sudah tin Coca Colaku sehingga licin
En. Merdeka pun menghulurkan salam
Kata En. Merdeka, Pakcik mahu mencari merdeka
Dan orang-orang seperti anak yang mahu mendengar tentang merdeka
Selepas bersalam, aku sempat melihat
En. Merdeka mengaru-garu tapak tangan kanannya
Aku lihat tapak tangannya penuh kurap, kudis dan kayap
Ada sedikit kusta dihujung jari-jarinya
Dan tahulah aku
Bahawa aku telah menelan
Pop Corn dan Coca Colaku
Yang dipenuhi penyakit-penyakit En. Merdeka itu.
Post a Comment