kehilangan

Saturday, November 13, 2004

kehilangan

Sebelum ni aku ingat kes-kes perempuan mati bersalin hanya akan terjadi pada zaman dulu-dulu saja sebab tak ada teknologi perubatan yang secanggih hari ini. Tapi aku silap kerana kejahilanku...

Dalam sehari menyambut raya yang bakal menjelang aku terima panggilan Johan beberapa minit lagi sebelum waktu berbuka. Dalam keadaan telefon aku yang berbunyi seperti digigit tikus, Johan bagitau kakak dia, Kak Nani dah tak ada. Lepas berbuka aku gegas ke rumahnya dengan Man...

Katanya, darah tumpah sebab rahim tak kuat dan tidak mengecut. Kemudian doktor memutuskan untuk menjalankan satu pembedahan membuang rahim. Selepas pembedahan arwah dikejarkan ke ICU selepas tidak sedarkan diri. Arwah meninggal petang itu juga pada pukul 6.30 meninggalkan suami dan dua orang anaknya. Anaknya yang baru dilahirkan selamat di hospital. Kasihan dua beradik tersebut ditakdirkan menjadi yatim semuda usia begitu....

Kata Johan lagi, kakaknya pergi tanpa tanda. Ketika mereka masih lagi bersembang-sembang dan berbicara. Ketika mereka masih lagi sempat bergurau senda...

Aku baru jumpa kakak dia minggu lepas. Ya, dia terlalu baik dengan aku. Sekarang orang yang menggelarkan aku Ann Lasso sudah tidak ada lagi. Tidak ada lagi orang yang akan menjerit-jerit memanggil Johan setiap kali aku datang ke rumahnya...

Kematian arwah membuat aku memikirkan tentang perempuan bergelar ibu. Benarlah, melahirkan manusia itu bagaikan telur di hujung tanduk. Aku hanya dapat membayangkan tetapi manusia bergelar perempuan sahaja yang akan merasakan. Tiada apa yang lebih mengagumkan aku pada seorang perempuan itu selain ketabahan melahirkan anaknya. Sekalung penghargaan untuk mereka...

Takziah untuk Johan dan keluarga. Pasti berat kehilangan yang terpaksa diharungi tambahan lagi dengan persiapan sempena hari mulia yang bakal menjelma.

Kehilangan adalah sesuatu yang memeritkan dan kita dipaksa menerima kerana kita hanyalah hamba-Nya yang tidak terlepas dari diduga. Pasti ada hikmah terencana. Arwah syahid di bulan Ramadhan. Doakan balasan syurga ke atasnya... Amin...

Kelambu: Al-Fatihah....

salam aidilfitri

Friday, November 12, 2004

salam aidilfitri

Dengan penuh rasa takzim dan rendah diri, saya yang berlindung di balik Kel@mbu ini ingin mengucapkan Salam Aidilfitri buat semua pengunjung blog ini tidak kira di mana jua anda berada... Maaf Zahir & Batin... :)

Kelambu: Hah..., apa lagi... Mari beramai-ramai penuhkan ucap selamat di bawah dan di sebelah ni... :)

jangan sedih

jangan sedih

'bantulah miskin hina...' - petikan lagu 'Sesuci Nazam Lebaran' - Siti Nurhaliza

Ya, miskin itu pastinya HINA...

Kita sudah sekian lama menjatuhkan taraf hina ke atas orang miskin dan kita pun menyanyikannya dengan girang sekali! Bagus!

Mengapa mesti ada lagu-lagu sedih untuk Hari Raya?

Hari Raya ialah Hari Kebesaran. Hari Kemenangan. Hari Senyuman. Hari Kemaafan!

Pada hari itu kita akan cuba menggembirakan sesiapa sahaja tidak kira apa pun status mereka. Bukannya menyumbatkan mereka dengan kesedihan-kesedihan yang menyesakkan rongga hidung dan kepala otak.

Apakah ada lagu-lagu hari perayaan kaum lain yang meratap-ratap hiba kerana tidak dapat pulang ke kampung?

Apakah ada lagu-lagu hari perayaan kaum lain yang sedih dan pilu kerana tinggal sebatang kara dan tiada tempat mengadu?

Mana ada!

Apakah orang Melayu saja yang suka menghasilkan lagu yang bertemakan meratap-ratap dan meleleh-leleh hingus serta gelema (kahak) mengalahkan lagu Hindustan?

Ini Hari Raya bukannya Hari Putus Cinta! CILAKA!

Cuba dengar lagu M. Nasir- Suatu Hari Di Hari Raya=>ini barulah dikatakan betul-betul lagu raya biarpun masih bernada melankolik (mendayu-dayu, meratap). Tapi bila mendengarnya jiwa kita terasa berbunga, penuh kesyukuran, kemaafan, kegembiraan dan kerinduan.

Kepada komposer-komposer lagu Raya Melayu. Hentikan lagu sedih untuk Hari Raya kita. Dahlah menonton drama sedih, duit banyak berhabis di hari raya pun sedih, tak dapat balik beraya pun sedih, tak ada baju raya pun sedih, masa bersalam pun sedih, potong bawang pun sedih, bakar lemang pun sedih...

Jadi apa yang kita GEMBIRAnya...?

Jadi sempena Aidilfitri yang akan menjelang nanti tidak kira siapa pun anda tolonglah jangan dok sentimental-sentimental sangat. Tarik nafas, depa tangan, buka mata besaq-besaq, ghenyih (senyum) luas-luas dan cakap YEA..! YEA..! RAYA..! YEA..! YEA..! RAYA..!

Kelambu: bergembira seadanya...

mencari jaya

Thursday, November 11, 2004

mencari jaya



Raya lambat lagi daa... Jadi aku nak bercerita mengenai Deepavali dan Jaya.

Korang ada kawan India yang paling baik? Aku ada...!

Nama dia Jayaprakash a/l Subramanian. Dia adalah kawan sekolah aku yang paling ngam dalam banyak kawan India yang aku temui. Oleh sebab dia golongan minoriti dia selalu dibuli oleh kawan-kawan di sekolah. Tetapi dia pasrah. Aku pun selalu buli dia juga tapi aku baik dengan dia. Aku bangga!

Kami gemar menonton filem Jackie Chan. Kami akan mengayuh basikal bersama-sama ke panggung Cathay, Alor Star yang dipenuhi tikus-tikus longkang. Adli si jurnalis Majalah 3 pun ada bersama. Sebenarnya aku pernah mahu mengajaknya menonton filem Sembilu yang tengah top ketika itu tetapi aku terpaksa membatalkannya kerana takut dia akan mengajak aku menemannya menonton filem Tamil pula.

Jaya pernah menceritakan aku tentang kitab-kitab dewanya. Ada dewa berkepala gajah dan dewa berperut buncit. Asal dua dewa tersebut ialah adik beradik tetapi mereka bergaduh. Dalam pergaduhan tersebut dewa perut buncit (masa tu perutnya masih steady) telah memenggal kepala dewa kepala gajah (masa tu berkepala manusia lagi). Kepala dewa kepala gajah itu terjatuh di hadapan seekor gajah dan gajah itu berasa kasihan lalu memberi kepalanya sebagai ganti. Dewa perut buncit itu pula dimurkai tuhan dan dihukum berperut buncit. Jaya begitu bersungguh-sungguh bercerita kepada aku ketika itu. Aku pun tak tahu kenapa. Percayalah!

Jaya paling menyukai subjek Bahasa Inggeris. Mungkin sebab ayatnya yang sudah sedia terbalik. Subjek yang paling dibencinya pula ialah Bahasa Melayu kerana dia sering tersasul dan menterbalikkan ayat. Sebelum itu aku ingat orang India hanya menterbalik ayat seperti 'makan apa?' kepada 'apa makan?' tetapi Jaya telah menterbalikkan ayat Tamadun Islam kepada Tamudan Islam. Hahaha....

Ayah Jaya bekerja sebagai Pegawai Hal Ehwal Pengguna. Jadi banyaklah aku membeli kaset cetak rompak dan seluar jeans pada harga murah daripadanya... Terima kaseh, Jaya! :)

Selepas dapat result SPM dia berpindah mengikut bapanya. Entah ke mana. Lepas tu baru aku sedar betapa susahnya mahu berkawan dengan bangsa lain kerana faktor populasi kaum dan gaya sosial yang banyak menghalang.

Kita memang tidak pernah bergaduh sesama kaum tetapi sedar atau tidak sedar jurang kaum di Malaysia semakin jauh. Aku terpaksa akur sehingga kini aku tidak ada langsung kawan berbangsa lain serapat Jaya.

Tahukah anda bahawa kita hanya dipaksa berkomunikasi dengan kaum Cina atas urusan perniagaan dan kaum Cina pula dipaksa berurusniaga dengan kaum Melayu atas urusan kerajaan. Kalau India pula atas urusan apa? Mungkin atas urusan menggunting rambut atau pun memotong rumput di halaman rumah kot. Kalau tak kerana semua itu kita takkan berkomunikasi langsung. Kita bagaikan sekawan itik, ayam dan kambing. Masing-masing buat hal sendiri.

Ya, rakyat Malaysia semakin prejudis. Kawan aku, Syam tidak dapat mengelak dari berasa hangin semacam setiap kali dia melihat orang Cina. Aku tanya, kenapa? Dia cakap entah, tak tahu kenapa. Oh.., dia orang Penang rupanya. Patutlah...

Aku pun tidak dapat mengelak dari mempunyai perasaan tidak menyukai bangsa-bangsa lain. Mungkin atas sebab kewujudan mereka yang menumpang tanah tumpah nenek moyang kita. Tetapi itulah takdir. Siapa kita untuk menyalahkan takdir?

Jaya telah mengajar aku agar jangan terlebih dahulu menyarung rasa prejudis kepada kaum lain. Betapa perlunya kita menghargai dan saling bertoleransi.

Selamat hari Deewali untuk Jaya dan bangsanya. Masa barangkali menjauhkan kita tapi kenangan akan tetap hijau dan takkan layu. Deepavali selalu memaksa aku mengingatimu...

Kelambu: Suka capati!

gt2

gt2



Gangguan Teksual 2 @ GT2 sudah berada dipasaran. Lebih uh la la dengan hanya RM5 senaskhah. Kami menandingi sebarang harga dan nilai.. Jadi mengapa bayar lebih? Dapatkan segera... :)

Korang boleh dapatkan GT2 dari agen-agen berikut:

Tok Rimau, Basri, Amyz, Op, Ayares, Emma, Mahyudin, Attokz, Cheura, Mat Jan, Jigo, Kelambu , ND, Didiz dan Ayob Kelubi.

Kepada sesiapa yang ingin mendapatkan GT2 dari aku, ampun maaf dipinta sebab GT2 belum sampai ke tangan aku. Aku baru hantar sampul surat beralamat sendiri kat Tok Rimau. Sekarang tengah tunggu maklum balas dari beliau. Lepas raya baru sampai kot. Tambahan lagi dengan masalah birokrasi pos Malaysia dekat-dekat nak raya ni. Ceh...

Apa-apa hal pun aku akan war-warkan GT2 kalau naskhah tersebut berada di tangan aku. Tungguuu.....

Ok! Peace! :)

Kelambu: Beli jangan tak beli weiiii....

Powered by Blogger.