Ya Ramadan (7) - Syawal Sikit Hari Lagi

Sunday, September 05, 2010 · Posted in

Angelina Jolie anggun memakai Shalwar, pakaian tradisional Pakistan

Tinggal beberapa hari saja lagi kita akan beraya. Semalam, sebaik saja aku keluar dari perut ofis, KL masih lagi sesak seperti suasana semasa makan tengah hari walaupun jam di tangan sudah menunjukkan jam 11 malam.

KL masih meriah dengan ribuan kenderaan berpusu-pusuan. Tidak ada tanda untuk senyap. Masing-masing tidak mahu melepaskan peluang membeli-belah di gerai-gerai raya yang melata sepanjang Jalan TAR dan Chow Kit. Hari raya adalah pesta membeli-belah.

Dulu, musim menjelang raya adalah saat paling dinantikan. Malam-malam akan dihabiskan di shopping complex atau merempit bersama kawan-kawan sekitar bandar Alor Setar. Penat merempit, kami akan melepak pula di Iman Kuayteow sambil bercerita tentang makwe dan teori konspirasi politik tanah air sampai pagi buta.

Malam menjelang raya bukan masa untuk pedulikan tugasan kuliah ataupun tercangak di depan TV. Lagipun, fiil menonton TV aku sudah lama merosot sejak aku menginjak remaja. Berlabon atau sembang kencang sambil pekena teh lebih mengasyikkan dan menjana minda.

Kadang-kadang aku hairan juga tengok manusia-manusia kota sanggup meredah jem dan berenang dalam lautan manusia semata-mata untuk memilih mahu pakai baju apa raya nanti. Aku syak suku umur rakyat Malaysia dihabiskan dengan meredah jem dan membeli-belah. Suku lagi mungkin dihabiskan untuk beramal ibadat dengan Akademik Fantasia dan Liga Perdana Inggeris.

Persiapan raya aku memang caca merba saja. Kad Touch n Go aku belum top-up lagi. Tapi rambut sudah kasi potong dulu ala-ala Marouane Chamakh. Bukan apa, skil potongan barber mapley dekat rumah aku ni tak berapa konsisten sangat. Harap skil kepak kepala dan karate bahu saja yang mapley lain susah nak lawan. Jadi keputusan memotong rambut lebih awal adalah untuk beri ruang rambut tumbuh sesedap mata memandang kalau gunting mapley tu tercampak ke New Delhi sebab asyik layan cerita Tamil.

Kereta pun aku belum cuci. Lagipun, ramalan kaji cuaca kata, wilayah utara akan beraya dalam hujan tahun ini. Pasal baju raya pula, aku tengah berkira-kira mahu sarung teluk belanga yang Why bagi free sebab jadi pengapit dia masa bersanding bulan 5 dulu. Kasut raya, aku tak ada pilihan lain melainkan selipar Croc made in China yang sudah tertanggal lambang buayanya.

Duit raya pun aku tak tukar lagi. Tapi, macamlah ramai budak datang rumah aku. Kahkahkah! (kalau hepi kena gelak macam Tukar Tiub).

6 Responses to “Ya Ramadan (7) - Syawal Sikit Hari Lagi”

fuzama said...

eh..adala 'budak2' kat rumah ni kena bagi duit!..tak mesti kena tunggu budak luar.. :P

Kap said...

sokonglah la liga.

Amyz! said...

best gak pakai baju mcm anjelina jolie tu waktu raya.. hehe

selamat hari raya. maaf zahir batin.

Anonymous said...

jimat sgguh tahun ni! salam lebaran kelambu =)

tasekM said...

sungguh lawa.

selamat hari raya, dek.
maaf zahir batin.


.

Unknown said...

fizama;
hahah

kap;
liga M boleh kot. haha..

amyz;
selamat hari raya pakai shalwar!

anony;
salam lebaran!

tasekm;
selamat hari raya maaf zahir batin.

Powered by Blogger.