kenangan yang berbaki part 6, musim cuti 3

Wednesday, July 05, 2006 · Posted in ,

KENANGAN YANG BERBAKI (PART 6) - SEPET

Dulu. Aku sendirian di Pudu Raya. Aku menunggu Wan datang menjemput ke rumahnya di Ampang. Kami akan gerak bersama-sama ke Institut Teknikal Johor esoknya.

Ada seorang apek tua menghampiri. Berjalan senget-senget.

"Cong ceng cong cong ceng." selancar mungkin apek tua berbahasa Hokkien.

"Err.. Saya Melayulah." Mentang-mentanglah aku bermata sepet. Bersawo matang. Mungkin dia ingat aku Cina di perbukitan. Orang Melayu tak boleh bermata sepetkah?

Selancar mungkin apek tua berbahasa Melayu. Oh, dia mahu minta tambang ke Taiping. Aku bagi seringgit cuma.

Dia suruh simpan kad pengenalan ber-laminate miliknya. Sebagai bukti untuk aku menuntut semula duit yang terhutang.

Ceh. Muka tak sama langsung!


MUSIM CUTI 3

Tutur Norsi, "Abang dari Sabah ya?"

Mentang-mentanglah aku bermata sepet. Bersawo matang. Mungkin dia ingat aku ini Sabahan. Orang Semenanjung tak boleh bermata sepetkah?

"Saya dari Kudat. Pertama kali ke Semenanjung. Mau daftar belajar."

Aku mahu sendiri-sendiri. Aku tak mahu diganggu. Pernah aku cuba ramah mulut dengan seorang tua di kerusi sebelah. Dan musibahnya aku terpaksa mendengar berita politik selama 4 jam. Tentang kebobrokan pemimpin. Tentang keluhuran perlembagaan. Tentang hipokrasi manusia.

Selalu-selalunya aku mahu sendirian apabila pulang. Aku lebih suka memerhati. Tambahan lagi kebelakangan ini banyak kekusutan yang membelenggu minda. Yang merusuh jiwa.

Dan Norsi yang aku perhatikan. Dia gadis cantik. Berkulit cerah. Tulang pipi menonjol. Berbaju kurung warna pudar. Berambut lurus paras bahu yang sesekali berkecamuk dihembus angin. Senyumnya sedikit-sedikit. Tidak habis. Dan dia selalu tertunduk-tunduk malu bila berbicara.

"Abang belajar lagi ya?"

Abang??
.
.
Mentang-mentanglah aku tak cukur jambang 2 minggu dia dah panggil aku abang. Kalau aku simpan jambang aku lagi sebulan. Aku rasa dia akan panggil aku pakcik.

"Nama abang apa? Saya Norsi."

Adoi. Aku rasa dia nak mengorat aku. Aku dah mula perasan.

[bersambung..]

Powered by Blogger.