Archive for September 2011

Pasal kerja, kereta dan kecintaan

Tuesday, September 20, 2011 · Posted in , ,

Aku kerja baru lagi. Masih lagi jurnalis, cuma kali ni bukan surat khabar, tetapi majalah baru yang akan sibuk bercerita perihal kereta sana sini. Nanti bila sudah ada di pasaran, aku akan umum dalam blog ni.

Memang ironi, aku yang memang tak ada nafsu tentang kereta, akhirnya tercampak dalam dunia itu juga. Bayangkan, kau yang berjuang menentang riba, tetapi bekerja di firma perbankan dalam bahagian pinjaman kewangan yang sudah tentu mengajak orang berhutang untuk dikenakan faedah (atau caj perkhidmatan).

Bukan aku tidak minat langsung dengan kereta, cuma kecintaan itu tak ada. Kereta bagi aku cuma alat bergerak dari titik A ke B. Itu jugalah matlamat asal Benz dan Daimler ketika mamat Jerman dua orang ni mencipta jentera berkuasa petrol itu. Namun, selepas Ford berjaya memurahkan pengeluaran kereta, besi-besi bergerak itu mula menjadi antara senjata utama kapitalis Barat untuk mengeksploitasi sumber dan meraih keuntungan, negara dunia ketiga tentunya.

Sama ada Benz, Daimler ataupun Ford, ketiga-tiganya pasti tidak menyangka betapa usaha mereka berkurun dulu kini sudah jauh menyeleweng daripada sekadar alat untuk membawa umat manusia dari titik A ke B. Manusia melihat kereta hari ini bukan lagi sebagai medium pengangkutan ataupun seni kejuruteraan, tetapi ia sudah menjadi kasta baru yang akan menentukan status dan kelas kau.

Aku selalu hairan, kenapa kewujudan kereta hari ini mengubah cara kita berfikir, bergaya dan menilai seseorang. Kenapa ada orang sanggup berhabis beribu-ribu ringgit untuk beli aksesori dan upgrade kereta mereka? Kenapa orang kita kalau naik gaji atau naik pangkat atau dapat bonus atau ada duit lebih mesti nak beli kereta baru? Kenapa kalau kau bos kau mesti ada perasaan mahu pakai kereta besar? Kenapa kalau kau naik kereta besar, mesti orang pandang kau ada kelas?

Akhirnya aku faham, bukankah kecintaan kepada kereta itu memang sudah jadi sebahagian fitrah hidup sejak nenek moyang kita membina tamadun? Kuda, lembu, keldai, unta dan gajah, bukankah digunakan sebagai alat pengangkutan untuk mereka pergi berperang, berburu, mengembara, bercucuk tanam, bermain dan aset yang dibangga-banggakan, termasuk dijadikan sumber protein meneruskan hidup.

Aku terbayangkan, mungkin pada abad pertengahan dulu, kalau kau berduit, kau boleh beli kuda muda yang gagah dan mampu berlari deras. Tapi, kalau kau kurang berduit pula, cukuplah sekadar lembu atau keldai saja. Kalau teringin juga mahu berkuda deras, masuk saja hutan dan gunakan tulang empat kerat untuk jinakkan binatang buas itu.

Masalahnya, dalam dunia moden hari ini, tak ada mana-mana hutan yang boleh kau masuk untuk jinakkan kuda bernama Ferrari dengan tulang empat kerat kau.

Raya rumah bujang

Friday, September 16, 2011 · Posted in , ,

"Acikkk... Kami nak beraya," sergah seorang budak berbaju Melayu depan pagar besi aku.

"Hah, berjaya?"

"Takk... beRRayaaa.."

"Ooooo... Berapa orang?" tanya aku sambil raba poket belakang.

"Dua orang je."

"Ambik ni. Bagi kawan satu. Sorrylah ye rumah bujang tak ada makan-makan," jawab aku, ikhlas. Aku bagi dua sampul BSN yang setiap satu ada tiga ringgit.

"Terima kasih acikkk..." sorak budak sambil berlari terkedek-kedek.

Belum sempat aku buka baju...

"ABANG BUJANGGGGGGGG.. ASSALAMUALAIKUMMMMMMMM!!!" kedengaran segerombolan budak menjerkah. Dengar suara macam 10 orang lebih..

Aku cabut masuk bilik air buka pili..

Hikayat Diari Hikmat

Friday, September 09, 2011 · Posted in , ,

Raya kali ini aku cuti panjang. Saja aku belek buku-buku sekolah lama di sudut rak dan laci pengap. Dekat 10 tahun lebih tinggal sekolah.

Aku buka laci meja rahsia. Nampak diari, tahun 95, 96, 97.

Istimewa tiga diari hikmat ini ialah aku tulis setiap hari selama tiga tahun berturut-turut tanpa tertinggal walau sehari pun sehingga aku rasa bosan dan hentikan kegilaan tidak berbatas itu pada tahun 98 selepas dilanda virus cinta IT.

Segala-galanya ada dalam diari hikmat ni. Cerita sepanjang aku menginjak remaja dengan gaya bahasa ala Matt Romeo dalam Gila-Gila.

Cerita kerja part time, tulis surat kat makwe, buka puasa di taman bunga, tengok wayang cerita Sate arahan Z Lokman (lakonan Zamani Slam dan Nurul: siapa gelak aku lempang), jenayah kecil-kecilan, sedih kehilangan orang tersayang, masuk kadet trafik, menang pertandingan lalu lintas, keluar pekan beli kaset Michael Learns to Rock dan macam-macam cerita lagi.

Dan kalau Malaysia punah dilanda bencana dan datang manusia seperti Cristopher Columbus membuka tanah di Nusantara, tidak syak lagi diari hikmat ini diangkat setanding Hikayat Hang Tuah dan menjadi perdebatan para sarjana dan sejarawan.

Dan aku berdoa aku tak dianggap pengkhianat.

Powered by Blogger.