Archive for October 2012

Pasal Adam & Hawa

Thursday, October 25, 2012 · Posted in ,


Sebagai tipikal Melayu, rasanya tak sempurna kemelayuan aku kalau tak layan drama Melayu hit masa kini, Adam & Hawa.

Kadang-kadang menonton cerita Melayu ni dah boleh dijadikan terapi jiwa dan minda. Apa tidaknya, kau boleh tiba-tiba gelak pada babak yang kau sepatutnya sedih. Macam aku pernah kata, manusia kalau selalu sangat dihidangkan dengan cerita sengsara akan terkena penyakit gila.

Sekarang kau fahamkan kenapa politikus kita peduli apa dengan rakyat yang sengsara? Sebabnya, mereka ingat kita sedang berkomedi.

Apa yang bagus tentang Adam & Hawa adalah naratifnya yang berbeza daripada klise cerita cinta Melayu. Tentang bagaimana ibu kepada pasangan Ain dan Am cuba sedaya upaya menyelamatkan rumah tangga mereka yang hambar.

Kalau cerita Melayu lain, ibu bapa dan mentua biasanya digambarkan sebagai ejen pencurah petrol ke atas hubungan rumah tangga anak dan menantu mereka yang sedang berantakan.

Sebaliknya, dalam Adam & Hawa, ibu Ain dan Am pula yanng bersungguh benar mahu menyelamatkan hubungan mereka walaupun Ain benci nak mati dengan suami segeranya itu.

Ya, dunia ini indah dan selamat jika setiap kali ada orang datang menceritakan keburukan pasangan mereka kepada kita, tetapi dijawab kita dengan menyalahkan dirinya sendiri.

Sebab kita kadang-kadang tak kenal sangat pun pasangan orang tu. Dan kadang-kadang kita respons dari segi persepsi peribadi, misalnya kau tak suka isterinya sebab dia nampak eksyen dan poyo kerana bawa beg LV dan suka muat naik gambar syok sendiri dalam Facebook. Lalu kau bagi respons yang bukan-bukan, dan kawan kau kemudian bercerai dan kau cakap dalam hati memang patut pun sambil senyum penuh kejahatan.

Itu sajalah yang aku nampak pasal Adam & Hawa. Tapi kebanyakan adegan diserikan dengan monolog Ain yang keliru dan menyalahkan diri sebab tak dapat terima Am sebagai suami. Dek monolog yang berulang-ulang itu, kau tiba-tiba jadi geli dan cenderung mengajuk dialog Ain, secara komedi tentunya.

Sekarang sila baca balik perenggan sengsara menjadi gila.

Pasal kelajuan, teruja dan AES

Thursday, October 18, 2012 · Posted in , , , ,


Manusia sejak berabad lama dulu memang sukakan kelajuan atau apa saja yang boleh dikaitkan dengan kecepatan dan kepantasan. Seolah-olah hidup kita ini memang diciptakan untuk mencintai kelajuan.

Tidak cukup hanya berjalan kaki dan berlari, moyang kita jadikan lembu sebagai kenderaan. Tidak cukup laju, mereka jinakkan pula kuda. Selepas berlaku revolusi industri, ditambah pula penemuan emas hitam (petrol), manusia akhirnya tiba pada satu tahap kepantasan yang tidak pernah dibayangkan nenek moyang mereka dahulu. Samalah seperti fikiran puak Quraisy yang gelakkan Nabi ke Baitulmaqdis dalam tempoh semalam. Difikirkan mustahil pada zaman itu, tapi tidak sekarang.

Kini, hasil kebijakan manusia, besi-besi mula dihidupkan dan menggantikan haiwan sebagai medium kenderaan utama. Jika dulu manusia berbangga memiliki kuda yang cantik, laju dan lasak, tapi kini kebanggaan itu dibawa pula kepada kenderaan besi bernama kereta, pikap, motosikal, trak, treler dan kapal terbang.

Kelajuan mencetuskan keseronokan dan keterujaan. Buktinya, majoriti sukan dunia adalah berasaskan kelajuan. Macam aku kata tadi, hidup kita ini memang diciptakan untuk mencintai kelajuan.

Malangnya, kesan daripada penghasilan kenderaan pengganti haiwan (kerana tidak cukup laju dan kuasa terhad), kita tanpa dirancang  mewujudkan pula satu wabak baru dinamakan kemalangan akibat kenderaan biar betapa sofistikated teknologi keselamatan sesebuah kenderaan itu. Di Malaysia, misalnya, jumlah setahun kematian akibat kemalangan adalah bersamaan jumlah kematian setahun akibat perang selepas tumbangnya rejim Saddam.

Kemudian berlaku perdebatan mengenai bagaimana mengurangkan kematian akibat kemalangan dan akhirnya kelajuan dikenal pasti sebagai salah satu punca. Manakan sama impak kereta yang dipandu 40kmj dengan impak kereta yang dipecut 140kmj.

Ironinya, statistik maut disebabkan kemalangan menunggang kuda seperti jatuh kuda atau terlanggar kuda lain (ada ke?) tidak pernah seteruk kemalangan jalan raya walaupun tanpa beg udara, sistem brek anti-kunci (ABS) dan agihan brek elektronik (EBD).

Ah, ciptaan manusia bukankah tidak pernah sempurna? Cakaplah apa saja. Lalu kita cadangkan AES dengan harapan kematian akibat kesilapan kita sendiri dapat dikurangkan. Dan orang ramai mengamuk kerana keterujaan mereka disekat.

Matematiknya begini. Kelajuan adalah bahagian daripada kecintaan dan keterujaan manusia. Dek desakan semula jadi manusia (yang sukakan kelajuan), kita hasilkan sesuatu (kereta) untuk terus mengujakan kecintaan itu.  Tapi, keterujaan itu mendekatkan pula kita dengan kematian, dan kita cipta mesin untuk mengurangkan kematian akibat terujaan, AES namanya.

Mati kerana keterujaan adalah satu kebodohan dan mencipta mesin untuk menghalang keterujaan juga satu kebodohan. Itulah resam manusia, suka membodoh-bodohkan diri sendiri asalkan boleh berasa sedikit teruja.

Alam yang hilang

Friday, October 05, 2012 · Posted in , , , ,


Lambat sikit cerita pasal bajet. Aku sebenarnya tak naklah kritikal sangat sebab bukan pakar ekonomi pun.

Cuma aku tak suka bajet yang berbentuk one-off tanpa kau buat apa-apa. Apatah lagi mengambil kira status Malaysia sebagai negara kapitalis (separuh masak). Sebab dalam hukum mudah kapitalisme, apa saja habuan yang kau terima mesti ada sandaran. Ada jual beli atau servis atau kerja. Hukum inilah yang mengitar dan memakmurkan sistem ekonomi kapitalis sesebuah negara.

Asalkan kau menyanjung nilai moral dan selagi ada kudrat dan pemikiran, jika kau mahu duit, kau kena kerja atau buat sesuatu. Duit one-off atau free tu hanya untuk kanak-kanak, orang sakit terlantar, hilang akal, atau seumpamanya.

Jadi, apa saja cubaan one-off adalah tindakan populis berbaur politik tidak kiralah ia dilakukan juak kerajaan atau pembangkang.

Kalau kerajaan banyak sangat duit tapi tak tahu nak fikir apa melainkan buat satu skim one-off '1M', apa kata sandarkan skim itu kepada satu-satu kerja.

Misalnya, kerja mengutip sampah di Sungai Klang (atau mana-mana tempat) dengan kuantiti sampah sekian-sekian (contoh: 50kg) akan dibayar RM200. Kerja ini boleh dibuat secara separuh masa saja dan terbuka kepada semua warga Malaysia. Rakyat gembira dapat duit dan kerajaan dapat wujudkan suasana perbandaran bersih. Situasi menang-menang.

Bukan apa, bajet kali ini tak ada langsung yang menyentuh pasal alam sekitar yang sebenarnya ada sangkut paut dengan spiritual manusia. Dan kau tanyalah diri sendiri bila kali terakhir kau  lihat bintang di langit KL atau langit biru tanpa jerebu atau pohon hijau dan sungai mengalir segar.

Kerana alam inilah yang membuatkan kita menjadi akrab dengan Sang Pencipta, juga membawa kita mengenali diri. Bukan dengan menatap gunung konkrit, matahari neon dan sungai kereta yang memaksa kita memuja manusia dan material dunia.

Powered by Blogger.