Archive for November 2012

Pasal McDonald's dan boikot

Tuesday, November 20, 2012 · Posted in , , ,



Gaza diserang dan hati kau jadi kacau, sakit hati dan marah-marah. Kau buka Facebook dan Twitter, berpusu-pusu komen memenuhi timeline. Ada yang siar gambar budak mati, ada suruh berdoa, ada melaknat Yahudi, ada ulang siar teori konspirasi, ada jual selendang dan baju Palestin, ada tukar gambar profil dan ada mahu memboikot premis makanan segera paling berpengaruh di dunia, McDonald's atau McD atau Mekdi.

Kau faham, tindakan memboikot sesuatu produk atau premis adalah antara apresiasi protes paling mudah terhadap apa saja tindakan yang menentang kebinatangan manusia. Aku tak tahu sebab apa kau katakan menentang kebinatangan sedangkan binatang itu membunuh untuk survival. Ataupun kau patut guna kata 'menentang kesetanan atau keiblisan manusia'. Tapi tahukah kau, setan dan iblis itu kerjanya menghasut saja, bukan serial killer. Setan dan iblis tidak pernah menuntut mana-mana wilayah autonomi milik manusia.

Bercakap mengenai boikot, kau marah-marah orang yang masih lagi melahap McD ketika Gaza dibedil. Pada kau, semua umat Islam patut boikot McD supaya syarikat itu bungkus dan balik Amerika.

Tapi malangnya, setiap tahun McD buka premis baru dan tawarkan beribu-ribu peluang pekerjaan kepada golongan marhaen yang berpendidikan rendah dan mereka yang mahu kerja separuh masa untuk cari duit poket lebih macam pelajar dan gelandangan kota.

Kerana malas sebab penat atau memang malas, kau biasanya akan pandu kereta kau masuk 'Drive Thru' selepas balik kerja dan order satu set Big Mac dan makan sambil memandu.

Kerana malas juga kau akan ambil telefon dan buat pesanan jauh dan brader McD akan datang ketuk pintu rumah dengan sepaket set Quarter Pounder dan Apple Pie yang masih hangat.

Kadang-kadang kau bukan malas, cuma kau penat dan tak larat gila sebab kau sakit terlantar di rumah sedangkan semua orang dalam rumah kau pergi kerja. Kau lapar dan tak larat nak bangun. Kau bukan suka McD sangat, cuma kau tak ada pilihan. Tak pernah lagi ada mana-mana kedai Melayu buat delivery nasi goreng ayam halia dan ais kosong atau kedai mamak sediakan perkhidmatan mapley hantar roti boom dan milo ais kaw.

Lagipun kau pencinta alam sekitar dan McD tak guna plastik, apatah lagi polisterin yang ada kimia macam-macam.

Sedar tak sedar, baru kau teringat. Selain masakan mak, tak ada mana-mana masakan selain McD yang kau sudah melahap selama berpuluh-puluh tahun tanpa jemu. Dan dalam kepala otak kau terbit satu isme, 'McDonaldisme' bahawa dalam cakerawala ini, tak ada burger yang mampu menandingi kesedapan burger McD hatta burger dari sorga sekalipun. Entah Ifrit jenis apa dibela McD, getus kau.

Dan bila Gaza diserang, kau jadi marah dan sungguh-sungguh mahu boikot McD. Sebenarnya kau bukannya mahu boikot sangat, tapi sebab kau segan mahu masuk McD sebab kau Melayu Islam.

Jauh dalam sanubari, doa kau untuk kemerdekaan Gaza dan Palestin tidak seikhlas mana pun jika dibandingkan dengan doa (meskipun kau tidak menadah tangan) mohon Palestin cepat aman (dan Yahudi cepat mampus) supaya kau dapat makan McD lagi.

Kau tak pernah dan tak mahu faham pasal kitaran ekonomi yang menjajah, pasal pasaran bebas yang memaksa, pasal mengapa Yahudi menakluk dunia, pasal alam sekitar, pasal kebersihan, pasal customer demand dan pasal makanan bodoh yang kau suap selama berpuluh-puluh tahun itu. Tanpa jemu dan sedap belaka.

Kalau agama itu negara

Wednesday, November 14, 2012 · Posted in ,



Asasnya, kau automatik diisytiharkan warga Republik Gabon apabila ibu bapa kau yang sah taraf kerakyatan melahirkan kau dalam negara itu. Aku ambil contoh Gabon supaya tak ada siapa yang kecil hati.

Dalam bernegara kau sebenarnya tak ada hak memilih negara mana yang kau mahu dilahirkan. Semuanya terpulang di mana ibu bapa kau hidup.

Walaupun negara kau teruk gila, kau tak ada hak bercakap, aku bukan warga Gabon melainkan kau bersedia mendapatkan suaka negara lain atau akhiri hidup sebagai warga tanpa negara. Misalnya di Artik atau Antartika atau Pergunungan Himalaya.

Ini realiti hidup sekarang kerana kita bukan lagi manusia tanpa negara seperti moyang yang dulu, bebas menjelajah dan menjajah.

Jadi, apabila kau sah sebagai warga Gabon, adalah wajib kau menumpahkan taat setia dan mematuhi perlembagaan negara itu. Dan sebarang perbuatan treason atau traitor atau pengkhianat adalah termaktub sebagai jenayah yang boleh dikenakan hukuman sama ada buang negara atau hukum mati atau penjara. Semua negara ada hukuman ke atas penjenayah sebegini.

Kalau pun betul kau memang tiada hati dengan negara kau, tiada guna kau memekik mencari kebebasan berwarganegara yang sememangnya bukan saja tidak ada, malah tidak realistik pun.

Sekarang apa perlu kau buat adalah bungkuskan kain baju dan berangkat segera ke Amerika Syarikat dengan harapan kau diberikan taraf kerakyatan negara itu. Mungkin kau akan mendapat taraf penduduk tetap ataupun anak-anak kau nanti akan menjadi warga negara itu.

Kalau kau tidak mampu ke mana-mana, carilah cinta dan kasih dalam negara yang kau nampak buruk semata itu. Ataupun kau diamkan saja perakuan betapa kau tidak pernah mengaku sebagai warga Gabon. Kerana jiwa dan raga masakan dapat dipenjara. Menukar kewarganegaraan memang payah, tetapi tidak payah juga mencari makna dan erti tentang cintakan negara sendiri.

Kereta murah dan kitaran kebodohan

Wednesday, November 07, 2012 · Posted in , ,

Sekarang kau bayangkan aku memandu Golf GTI ke tempat kerja dan pada masa sama bersepah pelajar memarkir Polo GTI di kawasan kampus. Makcik dan pakcik meniaga pasar pula sibuk memunggah barang dari bonet Mercedes B Class, dan brader burger selamba masak burger terus dari bonet Land Rover Discovery 4.

Mamat-mamat kilang kalut bersembang kat kedai mapley pasal nak berlumba drag Ford Focus STI di Sepang sana. Tukwan kat kampung bawa nenek pergi masjid naik Bentley Continental GT, semuanya berkat duit simpanan ASB dan Tabung Haji.

Ya, memang ada bagus harga kereta murah, supaya kita, rakyat Malaysia sampai kepada satu tahap yang orang sudah tidak peduli kau beli kereta apa.

Kemudian kau jadi fed-up pasal apa saja tentang kereta dan mula keluar mencari erti hidup dan bangga diri dalam bentuk baru seperti mencipta hukum sains atau menghasilkan karya seni baru. Supaya manusia akhirnya sedar betapa intelektual itulah yang abadi dan tidak pernah menjemukan. Bukan materi.

Ataupun kebanggaan kau beralih kepada aksi luar biasa kau bermain gasing menggunakan lidah dan hidung, atau berakit merentas Rajang menaiki biawak komodo.

Begitulah kitaran kebodohan manusia yang berulang-ulang.

Powered by Blogger.