Archive for July 2008

dalam jiwa ada rempit

Wednesday, July 30, 2008 · Posted in

DALAM JIWA ADA REMPIT

Bila aku bawa motor laju-laju bukanlah bermakna aku ni seorang mat rempit. Itu fakta. [sebenarnya aku sendiri pun tak jelas apa klasifikasi mat rempit sebenarnya]

Buktinya, motor aku standard. Dan aku tak bawa awek tonggek. Dan aku ada lesen motor dan cukai jalan. Dan aku ikut peraturan [ikut situasi. Hehe].

Tapi sejak kenaikan harga minyak bahana krisis global, nafsu aku untuk memerah habis terotel sedikit sebanyak terbantut.

Kenapa?

Pertama. Aku mesti ubah gaya hidup. Jadi aku setuju dengan fakta yang mengatakan kelajuan di bawah 80km sejam itu boleh menjimatkan minyak. Hasilnya, minyak motor aku dapat ekstra sehari.

Kedua. Biarpun naluri 'kelajuan' dalam diri aku ni memang tak dapat dibuang. Tambahan lagi bila tangan ni memegang terotel. Kira nak pusing habis saja. Tapi aku sabar. Sabar itu separuh daripada iman. Ok. Aku terima. Dan aku tak kisah pun pakcik-pakcik Honda cub potong aku. Mamat-mamat Pizza dan McD potong sailang [baca: silang] pun aku rilek saja. Sabar. Sabar.

Tapi kalau dah bertubi-tubi aku dipotong tanpa belas kasihan sejak 2 bulan lalu, ini macam mana boleh jadi!

Jadi, aku ambil keputusan. Semalam. Di sepanjang hiway Bukit Jelutong. Aku pusing habis terotel sampai geli tapak kaki. Laju tetapppp lajuuuuu..
.
.
Laju ku laju dan tuju kan ku tuju..
Hujung garis ku tawan terhitam putihlah jajahku..
[bila bawa motor laju kau kena nyanyi lagu fast beat]

i am single

Monday, July 28, 2008 · Posted in

I AM SINGLE

Beberapa hari nan lalu. Aku lepak kat Soto Seksyen 8, Shah Alam. Restoran yang ada teh ais tersedap di dunia. Tapi sekarang dah kureng sikit umphh.. Aku rasa mesti sebab minyak naik. Jadi, pak menteri mana nak bawa kes ni masuk parlimen ni? Jawab sikit.

Ok. Ahli jemaah hari tu. Aku. Jarul. Pian [yang baru sebulan kawin]. Bini dia. Kami order makanan dan minuman. Of course aku order teh ais yang tersedap di dunia. Takkan air bateri kot.

Makan punya makan. Minum punya minum. Ada sorang neng datang mau kira. Neng tu tanya. "Sekali ke asing asing?"

Aku jawab, "Asing asing".

Tiba-tiba Pian menyampuk, "Kami dua kira sekali. Ni isteri saya ni. Hah, diorang ni kira sekali. Hahaha!"

"Kira sekali eh?" tanya neng dengan senyum mengulum.

Pekak ke apa? Masa tu aku dapat dengar dah berbakul-bakul Jarul maki dalam hati. Tapi aku kool saja. Aku jawab, "Tak tak. Asing asing."

Memang agak kurang ajar lawak Pian dan senyum lain macam neng tu. Tapi aku takde hal punyalah. Apalah sangat gurau kawan-kawan ni. Mana boleh ada heart feeling.

Tapi kalau dah 2-3 kali aku turun dengan Jarul neng tu asyik dok tanya, "Awak dua ni kira sekali eh?" sambil senyum-senyum memang aku rasa macam nak sumbat gelas teh ais ni dalam lubang hidung dia!

Cait!!

apa barang proton..

Thursday, July 24, 2008 · Posted in

APA BARANG PROTON..

Kata MB Terengganu kita tentang Proton Perdana.

-kenderaan yang tidak ekonomik, kos penyelenggaraannya tinggi, sering rosak, tidak lasak untuk kegunaan jarak jauh-

Lepas ni tak hairanlah kalau berbondong-bondong pak-pak menteri kita semua ikut keluar kenyataan yang sama. Semuanya pakat tunjuk resit maintenance kereta Proton masing-masing. Bezanya diorang mungkin bukan setakat ambil Mercedez. Tapi Lamborghini. Subaru. BMW.

Kenapakah ini terjadi?

Pertama. Perasaaan skeptikal dengan produk Malaysia sememangnya dah berakar umbi dalam sanubari. Itu fakta. Titik.

Kedua. Merujuk statistik terkini, perasaan bongkak dan sombong rakyat Malaysia tentang produk tempatan sudah jatuh nombor 344 [saja aku letak nombor ni bagi nampak sensasi numerikal]. Jangan kata nak lawan Korea atau Taiwan, nak lawan negara Asean pun dah tak boleh dah.

Ambillah apa produk pun. Filem. Buku. Kereta. Buah. Baju. Kain. Kalau ada pun yang jadi pilihan cuma kicap cap kipas udang saja.

Mungkin aku serkap jarang saja. Mungkin kereta Proton pak-pak menteri lain tak macam kereta Proton di Terengganu yang sikit-sikit rosak. Sikit-sikit rosak. Apa cerita? Tolong jawab sikit pusat servis Proton Terengganu?

Ketiga. Yang ni bagi Proton jawab sendirilah. Aku baru saja planning mau angkat V6 buat hantaran nanti. Kalau macam ni cancel-lah. Hehe.

dia buat kami rasa macam hero

Friday, July 18, 2008 · Posted in

DIA BUAT KAMI RASA MACAM HERO

[tune loghat utara]
Sebelum rakyat Malaysia mula tergila-gilakan Liga Inggeris dan Piala Euro. Liga Semi Pro era 80-an begitu nostalgik dan dekat dengan rakyat Malaysia.

Siapa tak kenal Radhi Mat Din, Nidzam Adha, Hashim Mustapha, Ervin Boban, Alistair Edwards, Adigun, Lim Teong Kim, Azman Adnan, Malek Awab, Dollah Salleh, Zainal Abidin, Che Zambil Ahmad, Subadron Aziz dan ramai lagi.

Dari zaman ikut abah aku duduk di seat batu dan scoreboard pusing sampailah ke zaman seat plastik dan scoreboard digital. Dari zaman trek hitam sampailah ke zaman trek merah. Yang tak berubah padang saja. Masih kaler hijau.

Ya, serius aku mengaku aku die hard fan Kedah. Walaupun tak daklah sampai tahap turun stadium setiap minggu dan cat muka kaler hijau kuning. Tapi zaman semi pro dulu punyalah fanatiknya aku sampai sanggup tunggu berita jam 10 kat radio Kedah semata-mata nak tau result malam tu.

Dan aku perasan siapa-siapa pun yang beranak kat bumi jelapang padi ni patriotisme dia lain macam.

Sampai orang cakap kau ni bukan orang Kedah la kalau tak minat bola negeri hatta kau sepak bola pun tak pernah. Orang UMNO dan orang PAS yang selama ni bertengkaq sambil dok acu tangan ke langit dan bertekak sampai terkeluaq anak tekak pun boleh pakat-pakat berpeluk bila kami menang bola. Bola sepak menyatukan kami. Sungguh.

Selain Dr. Mahathir, bolasepak Kedah buat kami rasa sangat bangga. Sangat girang. Sangat hensem.

Dan beberapa hari lepas. Aku betul-betul tergamam bila dapat tau tentang pemergian Datuk Ahmad Basri, arkitek bola sepak Kedah sejak 80-an dulu. Kata orang, kalau kita jujur dan ikhlas dengan apa yang kita buat. Orang pasti akan nampak. Orang akan salute macam hero.

Salam takziah buat keluarga Allahyarham. Al-Fatihah.

sesekali kita perlu lupakan tentang dunia yg kalut

Wednesday, July 16, 2008 · Posted in

SESEKALI KITA PERLU LUPAKAN TENTANG DUNIA YANG KALUT

Petang tu Lalbi telefon aku.
"Minyak naik malam ni. Confirm!"

Aku garu kepala dua tiga kali. Aku mundar mandir sambil memandang ke luar jendela. Gerimis. Angin sedikit sedikit.

Mungkin aku patut percaya cakap Lalbi. Al-maklumlah, dia kerja kat Karangkraf sana. Apa-apa berita dia dapat tahu dulu.

Tapi. Tak sampai sejam telefon aku menjerit. Dua tiga mesej masuk suruh aku isi minyak penuh. Minyak gerenti naik.

"Oi, kau tau apa berita terbaru?" ujar Jarul dengan penuh misteri di ruang tamu. Matanya terkesip-kesip menapis sisa nikotin.

"Apa?"

"Aku dapat tau Riz dan Toi AF tu gay!"

Cait!!

satu hari ketika saya berasa lapar ii

Sunday, July 13, 2008 · Posted in ,

SUATU HARI KETIKA SAYA BERASA LAPAR II

Ini bukan cerita 3-4 bulan lepas. Ini cerita lama dah. Tahun 2000. Masa tu aku belajar kat Johor. Rumah sewa kami kat Taman Kota Masai sana.

Satu hari tiba-tiba aku rasa lapar. Tapi duit tak ada. Jadi macam biasalah. Orang yang simple dan berjiwa marhaen macam aku ni mestilah 'do it yourself'. Pekena nasi dengan telur goreng pun orait.

Ok, kawan-kawan. Takkanlah aku nak terangkan lagi cara-cara nak goreng telur. Pertama, panaskan minyak. Kedua, pecahkan telur. Ketiga, goreng. Cukup masa. Siap.

"Hoi, apa barang pecah telur guna 2 tangan? Orang guna satu tangan saja. Baru pro!" Entah apa yang Bain tak puas hati kat aku masa tu pun aku tak tau.

"Tengok ni! Aku guna satu tangan saja!"

Bain pantas sambar telur dalam rak. Bain lambung telur. Dan telur berputar-putar penuh seni dan jatuh sempurna ke tapak tangannya. Bain acu telur depan muka aku penuh takabbur. Pantas Bain hentak kulit telur kat galang tong gas. Semuanya sebelah tangan saja.

Prekk.. Isi telur meleleh atas kepala tong gas.

"Aiseh, silap teknik la bro. Hehehe"

Masa tu aku bantai gelak tak ingat punya.

suatu hari ketika saya berasa lapar

Friday, July 11, 2008 · Posted in

SUATU HARI KETIKA SAYA BERASA LAPAR

Nak jimat punya pasal dah banyak kali jugalah aku tak ambil lunch kat ofis. Tambah-tambah bila kewangan aku jatuh ke paras kritikal di hujung bulan. Entah tiba-tiba satu hari lepas balik dari ofis aku terasa lapar gila.

Laju saja mata aku spot ke rice cooker kat sebelah dapur gas. Emm, Jarul masak nasi! Aku gesit buka peti ais. Aku nampak paket naget entah bila tarikh luputnya dan telur ayam atas peti ais.

Tanpa memikirkan nasib ekonomi negara, aku terus tuangkan minyak dan panaskan kuali. Aku campak naget dalam 3 ketul. Lepas tu aku goreng telur kasi goreng habis punya. 15 minit siap menu aku.

Aku geruk nasi mengikut kadar kuantiti nafsu. Aku campak naget ke tepi nasi. Telur goreng aku campak kat atas nasi. Ya, jangan dilupa tuangkan kicap kipas udang dan sos cili Kimball seenak rasa. Paten tuangan kicap dan sos mestilah dalam bentuk bulatan yang seragam dan cantik. Ini penting agar ghairah makan kau meronta-ronta disamping membantu merembes kelenjar liur untuk memudahkan proses penghadaman.

Sementara aku bancuh kopi Tongkat Ali, pinggan isi makanan tu aku letak bawah kipas agar nasi suam-suam sikit. Tak adalah lidah aku terjelir-jelir macam anjing hitam nanti. Hahaha!

Ok. Sekarang nasi sudah siap sedia. Air pun siap sedia. Aku pasang Astro. Barulah fiil makan nasi sambil tengok tivi. Perghh.. Layan gila..

"Kau masak merapu apa ni lahanat!?" Entah dari gua mana Jarul tetiba muncul dan komplen pasal menu istimewa aku tu. Masa tu aku dah tak berapa nak dengar apa yang Jarul tengah bebelkan.

Ini bukan menu di atas. Ini menu untuk hari lain.

dalil2 aku turun berdemo-demon

Tuesday, July 08, 2008 · Posted in ,

DALIL-DALIL AKU TURUN BERDEMO-DEMON

Aku tau ramai yang sinis dengan demonstrasi ni. Apa jadah cari penyakit? Adakah berbaloi? Berani masuk trek! Ujar Shahrul Yuzy, pelumba motor negara dulu.


DALIL I

Bila difikirkan. Purata umur rakyat Malaysia cuma dalam lingkungan 75 tahun. Itupun kalau sempat. Tapi berapa banyak sejarah kau boleh cipta untuk kau kenang-kenang. Sekurang-kurangnya aku cipta sejarah untuk diri sendiri. Dan aku menjadi sebahagian dari sejarah itu.

Kalau orang-orang tua dulu boleh bercerita mereka menyaksikan Malaya merdeka. Bertarung nyawa melawan Jepun. Masuk hutan lawan komunis. Sengsara makan ubi kayu.

Sudah tentu nanti aku akan cerita yang aku pernah turun protes harga minyak yang mencengkam hidup rakyat dengan lilit kain merah di dahi.

Sebabnya mudah. Gaji aku bukannya RM45,000 sebulan masa tu.


DALIL II

Kita bukan sokong individu. Kita sokong hak kita.

Masa aku kerja khidmat pelanggan Tabung Haji dulu. Beritahu bos, walau apa pun yang customer marah-marah dan bambu kita nanti tapi kita mesti mau layan diorang dengan relaks. Kool. Prihatin. Profesional.

Sebabnya mudah. Orang takkan marah saja-saja atau tiba-tiba. Orang marah sebab tak puas hati. Sebab masalah yang sama. Sebab masalah birokrasi. Kejap suruh jumpa orang tu. Kejap orang ni. Cakap lusa masalah selesai. Tapi haram sama juga. Jadi, masalah customer marah-marah ini kita kena letak prioriti lebih. 2 hari bekerja MESTI mau selesai!

Kata bos lagi, orang gila saja yang marah tiba-tiba.

Tapi susahlah kalau kerajaan dok ingat rakyat yang marah-marah pasal harga minyak ni sebagai orang gila. Sampai kiamat pun masalah tak selesai.


DALIL III

Abah. Dia memang hidup pada zaman gerakan mahasiswa dulu. Cuma sedihnya Anwar bukan pejuang yang konsisten. Dia penuh enigma. Teka teki. Penuh dan. Dari zaman ABIM yang sanggup membakar bendera UMNO. Dan tiba-tiba terjun ke dalam UMNO. Dan dilucut jawatan gara-gara masalah sosial peribadi. Dan kemudian keluar semula jadi manusia penuh berontak.

6 tahun menjadi karma buruk untuk Anwar. Mungkin ya. Mungkin tak.

Tapi bagi abah. Hati dia sudah tawar. Mahathir lebih konsisten berjuang. Dia mungkin diktator. Tapi isu sosial peribadi dan ideologi, Mahathir lebih kental. Samalah dengan Nik Aziz. Ini baru pejuang.

Itu abah aku. Dan aku respek.

Cuma aku lupa beritahu yang aku bukan sokong individu. Tapi sokong hak aku dan orang-orang yang macam aku.


DALIL IV

Aku. Berjiwa rebel.

kata orang, merah tanda marah

Monday, July 07, 2008 · Posted in ,

KATA ORANG, MERAH TANDA MARAH

Turun pakai baju merah! Man mesej aku.

Dup dup dup dada aku. Biasalah. Perasaan skeptikal tu mesti ada. First time beb. Mahunya kena water canon. Itu ok lagi. Kalau kena sumbat kat Kamunting sana. Apa cerita? Siapa nak jaga Soldadu Faqeer? Tahun bila pula aku nak kawin nanti? Kerja macamana?

Tapi aku tiba-tiba teringat kata-kata keramat yang aku pegang. Apa saja pun yang kita buat pastikan kita buat dengan perasaan hero!

Aku tarik baju Turki. Memang ironi. Pertama. Peristiwa DSAI bersembunyi di Kedutaan Turki. Kedua. Turki tumbang di Euro 2008. Ketiga. Esok. Aku masuk kerja baru. Bukannya di Turki tapi di Malaysia.

Aku gegas hidupkan Suzuki. Bukan sebab senang nak lari. Tapi sebab senang nak parking. Lawan tetap lawan!

filem sepi:melodrama ketika panggung menjadi sepi

Thursday, July 03, 2008 · Posted in

FILEM SEPI: MELODRAMA KETIKA PANGGUNG MENJADI SEPI

Termasuk aku tak sampai 10 orang pun yang ada dalam sinema. Ke sinema pada bukan hari minggu betul-betul buat aku ber-fiil sepi tatkala menonton Sepi.

Untuk tidak mahu menjadi spoiler aku malas nak tulis reviu panjang.

Secara ringkas. Sepi sebuah muvi melodrama cinta yang menarik. Kabir Bhatia seakan meminjam magis Cinta untuk filemnya yang baru ini. Cuma kali ini skopnya lebih kecil. Lebih fokus agar mud sepi itu menjadi lebih fiil.

Orang yang sepi saja yang akan rasa jiwa filem ini. Atau pun orang yang punya minda subconscious atau fine. Mamat-mamat kental action pack dan CGI Hollywood diharap jangan cuba menonton filem ini ok.

Tapi aku terasa semacam risau juga kalau Kabir masih mahu mengguna ramuan yang sama untuk filemnya yang akan datang. Takut audien kebanyakan akan mula rasa filem-filemnya begitu konstan. Terlalu melo. Dan kesedihan yang terlalu disogok-sogok kadangkala jadi jelik dan memualkan [macam cerita Hindustan dan Yusof Haslam]. Dan aku masih menanti filem cinta yang pelakonnya tanpa air mata. Arghh..

Tabik pada seni kamera yang sangat cantik tatkala Sufi berlari melintasi masjid. Metafora penyerahan dan doa yang selalu ditinggalkan.

Memang banyak subtle line yang boleh kau lihat dan cari dalam Sepi. Dan Kabir melakukan kerja filem yang betul dalam genre yang dipilihnya. Tentang takdir dan penyerahan. Ya, tanpa unsur didaktik terus pun pengarah dari India ini seperti bermuhasabah diri. Bercerita tentang takdir. Perlunya kembali kepada Tuhan. Oii, pengarah-pengarah Melayu kita. Bila lagi mau lepaskan adegan-adegan di dalam disko dan bilik tidur!

Dan tak salah aku tabik senget untuk Sepi!

Powered by Blogger.