Archive for October 2009

Cerita Lagenda Pakcik Yong Tau Fu di Kota Masai

Friday, October 30, 2009 · Posted in ,

Dulu kat Johor aku belajar kursus reka bentuk industri atau industrial design dalam bahasa Inggeris, yakni kursus perabis duit tak ingat dan buatkan rumah sewa kami kotor dengan foam, pen marker, buku sketches, simen kereta, cakera liut, seluar dalam entah siapa punya bersepah-sepah dan pelbagai sisa kotoran lain.

Aku ni jenis susah juga nak minta duit kat mak ayah. Selalunya, banyak mana duit yang aku dapat, banyak tu juga yang aku cuba survive. Cuma dalam beberapa kes kritikal aku terpaksa minta. Itu pun sebab poket betul-betul kering.

Disebabkan kesempitan hidup yang sengaja dicari, suatu hari pakcik-yong-tau-fu-baik-punya tawar kerja kosong kat aku dan Bain. Pakcik ni kerja pasar malam di Taman Kota Masai. Ketagihan membeli yong tau fu hampir setiap minggu membuka peluang pekerjaan part time kepada kami.

Tanpa sebarang perjanjian hitam putih atau bertanya pasal duit kwsp, aku dan Bain terima saja tawaran pakcik tu dengan mata terbuntang macam tengok bidadari dari sorga.

Hari pertama, selepas zohor dan berpakaian ala brader-brader pasar malam, kami menuju ke lori pakcik. Kerja pun bermula dengan keringat mengalir di tubuh. Keadaan menjadi semakin sibuk ketika tiba waktu perdana. Mana nak basuh pinggan, nak celur segala macam yong tau fu, nak potong kangkung, nak ikat plastik laju-laju, nak buat kira-kira, nak usya awek lagi. Aku tengok Bain dah macam mamat Myanmar dengan baju belang hijau dan ketiak berpeluh. Bersungguh betul Bain tu. Rilek-rilek sudahlah. Getus aku.

Pukul 11 malam. Aktiviti membeli belah di pasar malam pun reda. Kami macam biasalah buat kerja lambat-lambat tunggu pakcik nak hulur duit gaji hari.

"Terima kasihlah. Ni duit hangpa. Nanti minggu depan datanglah lagi," kata pakcik sambil hulur duit RM5 kat aku dan Bain.
.
.
.
Aku tengok dalam mata Bain ada George W Bush.

Cerita Kedai Kopi Ditemani Teh O Ais

Monday, October 19, 2009 · Posted in

Turun Pelita. Sembang pung pang pung pang. Mukadimah, bincang pasal konvoi pergi kenduri kahwin melebihi dua marhalah. Lepas tu kutuk mamat Fairlady sebab drag tayar tak tentu hala depan orang ramai. Tetiba melompat bab nak beli rokok gulung sebab harga rokok naik. Sambil tu sempat kongsi pengalaman duduk rumah flat-lif-satu-saja-tapi makcik-makcik buat kenduri depan lif sampai kau kena panjat tangga tingkat 15. Lepas tu sembang pasal bini dan anak. Yang bujang tadah telinga sambil tengok Manchester United lawan Bolton dan gigit straw. Kemudian, masuk bab main game Mafia Wars dalam Facebook. Awek melintas semua berhenti berehat seketika sambil pesan ais kosong. Penutup, masuk topik dajal turun ke bumi dan mahu melakukan onar, hari kiamat dan cerita pasal tafsir Quran.


Minggu depan mesti keluar cerita pasal formula matematik baru mau lawan sama itu Adi Putra.

Berlatih Ilmu Batin Menjelang 8 Haribulan Oktober 2009

Thursday, October 08, 2009 · Posted in

Hari ni 8 haribulan. Memang cemas juga sikit. Tambah-tambah bila baca helikopter Malaysia kena baling batu. Mungkin budak-budak nakal tu tengah praktis melontar besi peringkat sukan sekolah.

Ya. Sejak patah tangan aku punya nunchaku dah terkulai kat kotak di ruang tamu. Rantai pun dah berkarat. Dulu ada juga sapu minyak sambil perasap kemenyan. Lepas tangan masuk besi aku dah lupa dengan cota berantai yang Dragon Long hadiah kat aku masa kalahkan Tuan Tulang tahun 1994 dulu.

Sambil sarung kepala dengan topi salji merah yang Why beli kat Medan, aku genggam kemas batang nunchaku. Satu di tangan dan satu lagi dikepit celah ketiak. Langkah pertama, buat gaya Patukan Ular Puaka, iaitu baling dan kembalikan semula kayu ke celah ketiak. Hmm.. mantap lagi prestasi aku. Langkah kedua, gaya Naga Mengamuk di Angkasa Raya, iaitu libas kayu ke belakang dan sambut dengan tangan di belakang juga.

Brappppp!!

Aku baling nunchaku. Aku buka pc. Aku dengar lagu Dewa, Dua Sejoli.
.
.
.
(Perasap kemenyan sekadar fiksi)

Hilang Hala Tuju Ketika Kubuka Jendela Pada Malam Hari dan Tajuk Entri Apakah Seperti Ini?

Tuesday, October 06, 2009 · Posted in

Hai, lama tak jumpa. Apa khabar saudara saudari semua. Biasalah kalut sikit. Dunia. Sebenarnya aku tak tau nak tulis apa. Otak makin lama makin tepu. Mungkin sebab aku dah kurang membaca. Atau mungkin juga sebab banyak minum air ada semut lemas kat dalam. Atau banyak makan benda masam. Atau kurang makan kismis dan badam. Atau terlalu banyak berfikir sampai semua perkara yang kau fikirkan tu bertembung dalam tektonik kepala otak dan bergegar lalu ranap. Hasilnya zero. Biasalah. Zaman 'new tab' atau 'pop up window' ni manusia memang selalu hilang hala tuju.


Sebenarnya aku nak cerita salah satu kedai minyak yang memberi layanan terbagus di dunia. Ya, tak perlu ke Jepun. Ada di Malaysia. Tapi, nantilah aku cerita.

Powered by Blogger.