Archive for February 2012

Budaya ultras masuk air

Thursday, February 23, 2012 · Posted in , ,

Berdasarkan sejarah, gerakan ultras bermula di Itali seawal 1951. Ada yang mengatakan kewujudan ultras di republik itu ada kena mengena dengan tempias semangat nasionalisme fasis daripada Parti Fasis Kebangsaan pimpinan Benito Mussolini semasa era Perang Dunia dulu.

Tapi, mungkin juga gerakan ultras ini bertitik tolak daripada reputasi pasukan bola sepak mereka yang memegang status juara Piala Dunia (dikira sebelum tahun ultras diasaskan) sebanyak dua kali, iaitu pada 1934 dan 1938.

Budaya ultras ini kemudian merebak ke negara-negara jiran Itali dan berjangkit ke negara dunia lain hingga ke luar Eropah. Di negara Eropah lain, gerakan ultras ini muncul sebagai gerakan counterculture terhadap cara sokongan puak tradisional yang jenis rileks-rileks sambil makan kuaci (jika di Malaya). Trend ultras juga adalah counterculture kepada budaya puak hooligan yang sinonim dengan keganasan.

Peliknya, di England, yang memiliki liga kebangsaan dengan jumlah peminat terbesar di dunia, tidak pula terpengaruh dengan budaya kuning tersebut dan mereka kekal dengan budaya maki hamun dan protes berdasar tahap permainan dan prestasi pasukan yang disokong.

Lebih pelik lagi, tidaklah pula diketahui bagaimana budaya Itali ini boleh berjangkit hingga ke Malaya kerana jika mengikut ranking liga luar negara paling diminati, Serie A sah-sah duduk di bawah EPL dan La Liga. Ya, orang Malaya lebih kenal kelab kecil seperti Queen Park Rangers berbanding kelab Novara yang baru direkrut dari Serie B.

Mengenai ultras Malaya pula, sebenarnya, budaya ultras ni sudah ada sejak aku pandai turun stadium masa era semi-pro dulu. Namun, budaya ultras ini tidak datang secara berkumpulan, sebaliknya individu dan rata-rata mereka terdiri di kalangan orang 'masuk air'.

Sama seperti geng ultras yang baru nak 'up' sekarang, mamat ultras era semi pro ini cukup dikenali dengan aksi menari ala M Daud Kilau dengan pakaian yang agak menonjol. Sekali sekala mereka menyembur air ke udara sambil berjampi serapah. Apa yang pasti, setiap perlawanan, pasti ada muka mamat-mamat ultras ni di stadium.

Kira oklah sebab dia orang 'masuk air',  tapi apa jadah budaya 'masuk air' ini tetiba saja boleh menular begitu kronik sekarang?

Aku boleh terima kalau kau mahu tiru Itali. Tapi biarlah dengan reputasi masuk Piala Dunia 17 kali, juara Piala Dunia (4), Piala Eropah (1) dan Olimpik (1-emas, 2-gangsa). Memang berbaloi pun jadi ultras dengan rekod macam tu. Itu belum dikira reputasi kelab-kelab dalam liga kebangsaan.

Tetapi, Harimau Malaya ni reputasi apa yang hebat sangat sampai nak kena ada ultras? Kau boleh cakap apa saja, tapi dengan budaya rasuah, king jadi presiden bola dan main bola serupa jahanam, budaya dan trend macam ni memang tak layak ada di negara ini.

Makam Mahsuri atau Pasar Mahsuri?

Thursday, February 16, 2012 · Posted in , , ,



Cuti raya Cina lepas, aku pergi melancong ke Langkawi selepas lebih kurang lima tahun tidak ke sana.

Pelancong sudah semakin ramai dan suasana agak kalut, terutama di kawasan tumpuan pelancong seperti di makam Mahsuri dan kereta kabel hingga buatkan aku insaf dan bertekad untuk tidak lagi ke pulau lagenda ini melainkan cuti hari biasa.

Tipikal negara dunia ketiga, apabila tiba musim perayaan, maka harga barang dan sewa pun meroket berkali ganda. Aku hairan, apakah sudah menjadi budaya kita untuk naikkan harga barang pada hari-hari tertentu seperti musim cuti sekolah, hari raya dan cuti umum lain. Tidak bolehkah harga hari biasa dikekalkan untuk musim perayaan kerana bukankah volum pelancong bertambah? Kenapa nak 'kapur' orang ramai masa ni?

Tapi, bukan pasal harga yang mahu aku tuliskan. Aku sebenarnya mahu sentuh pasal makam Mahsuri dari segi apresiasi dan semiotik sejarah.

Aku pernah tulis pasal kebodohan kerajaan Melaka membangunkan kawasan sekitar A Famosa hingga membuatkan kota bersejarah itu dikepit hutan batu yang tak ada nilai sejarah langsung.

Bagi aku, Melaka harus kekal sebagai negeri yang 'menjual' nilai sejarahnya dan memang itulah tujuan orang datang ke Melaka pun. Orang pergi Mekah untuk melihat tinggalan Nabi dan para sahabat. Orang pergi Paris untuk Eiffel Tower dan kesan Revolusi Eropah. Orang pergi Rom untuk Colosseum. Orang pergi Phuket untuk bersantai di pantai indah dan orang ke Melaka untuk apa? Naik menara Taming Sari?

Berbalik pasal Langkawi dan Mahsuri, semua tahu pasal legenda Mahsuri yang difitnah dan ditikam mati hingga terpancut darah putih daripada tubuhnya. Cerita ini cukup mahsyur di kalangan rakyat Malaysia, terutama orang Kedah. Dan jangan terkejut kalau aku katakan Mahsuri akan tetap mahsyur untuk 1000 tahun lagi berbanding filem Ombak Rindu atau Neelofa.

Di Langkawi, makam Mahsuri, yang dipercayai menjadi tempat Mahsuri dikuburkan, menjadi antara destinasi pelancongan yang jarang sunyi dengan pengunjung. Ada saja pengunjung datang walaupun cuti hari biasa. Mahsuri sudah lama menjadi ikon Langkawi, semahsyur William Wallace di kalangan warga Scotland.

Malangnya, makam Mahsuri yang dibina semula dan dilengkapi muzium, teater tradisional dan rumah Kedah kini bertukar menjadi seakan tapak pasar yang langsung memusnahkan nilai semiotik tempat tersebut.

Gerai makan dan cenderamata dibina dalam kawasan tapak makam, malah air telaga Mahsuri diproses dan dijual sebagai air minuman kepada pengunjung? Jika dulu ada sebuah rumah Kedah yang dibina atas tapak rumah Mahsuri, tetapi kini ditambah pula rumah Panglima Hitam dan zoo mini.

Malah, kawasan makam dan ruang jalan kaki yang dulu luas, kini menjadi sangat sempit. Pengunjung perlu beratur dan terjenguk-jenguk melihat plak makam. Tiada langsung ruang pengunjung duduk tenang, bertafakur dalam diam sambil menyedekahkan al-Fatihah kepada arwah.

Makam Mahsuri yang sepatutnya menjadi dataran sunyi dan pilu, kini menjadi pasar yang bising. Kau boleh saja bayangkan kau pergi ziarah kubur orang tersayang yang di sebelahnya tapak pasar malam.


Cuba lihat Taj Mahal. Makam itu menjadi tanda cinta Shah Jahan buat isterinya, Mumtaz Mahal yang dibina pada 1632-1653. Cuba tunjukkan aku gambar gerai makan dan cenderamata di sepanjang laluan ke Taj Mahal.

Kenapa kerajaan India tak benarkan orang berniaga sepanjang laluan itu? Ini kerana Taj Mahal ialah tempat orang merasai fiil tentang betapa hebatnya cinta seorang lelaki kepada seorang wanita. Ia makam cinta. Dan fiil tersebut takkan dapat kau rasai jika Taj Mahal menjadi kawasan seakan pasar yang bising, sempit, kotor atau dikepit bangunan tinggi lain.

Semua simbol/monumen budaya adalah tanda kerana kita memang hidup di dunia yang penuh dengan tanda. Diri kitapun sebahagian daripada tanda itu sendiri dan semua tanda tersebut kemudian diberikan makna sebagai 'ada' supaya kita memahami kehidupan ini. Lalu, manusia melalui kemampuan akalnya berupaya berinteraksi dengan tanda itu sebagai alat untuk mencapai makna yang mahu disampaikan.

Jadi, apa semiotik makam Mahsuri? Ia adalah tanda kepada kita mengenai malapetaka dan kesucian. Ia kawasan kesedihan dan air mata. Mahsuri sudah lama mati, tapi makamnya menjadi tanda dan memberi makna supaya kita memahami kisah tragis tersebut. Jangan cuba hapuskan tanda ini.

Kalau mahu jual makan, beli cenderamata atau air minuman telaga Mahsuri, pergi Pekan Kuah. Atau buat satu kawasan yang jauh dari makam. Kawasan sekitar makam biarkan lapang, tanamkan bunga kemboja, sediakan bangku dan haramkan sebarang binaan tinggi untuk pengunjung berteleku.

Jangan jadi bodoh. Menghargai semiotik ini bukan syirik. Jangan jadi Arab Saudi yang punggah habis tinggalan Nabi dan bina jam besar sebelah Kaabah!

Pasaraya Jaya: Tujuh mati cuma RM5,000 saja

Thursday, February 02, 2012 · Posted in , , ,


Masih ingat lagi skandal susu tercemar di China yang menyebabkan enam kanak-kanak mati dan beratus-ratus ribu budak lagi maut?

Kes itu berlaku sekitar November 2008 dan hukuman dijatuhkan pada 24 November 2009, lebih kurang setahun kemudian membabitkan lapan individu didapati bersalah.

Daripada lapan individu berkenaan, cuma seorang menerima hukuman paling ringan. Itupun kena penjara lima tahun kerana membantu dan bersubahat dengan suaminya yang bertanggungjawab membuat dan membekalkan tepung protein dicampur melamin. Si suami pula menerima hukuman mati ditangguhkan dan masih dalam proses rayuan.

Hukuman pesalah lain ialah dua lelaki dihukum mati, tiga dipenjara seumur hidup dan seorang lagi dihukum penjara 15 tahun, manakala syarikat penjual utama susu tercemar itu, Sanlu Group diisytiharkan bangkrap sama sekali.

Mari kita lihat kes di Malaya.

Pasaraya Jaya runtuh di Petaling Jaya pada 28 Mei 2009 sebelum sempat bangunan berusia lebih 30 tahun itu dirobohkan. Mangsa yang terbunuh ialah tujuh buruh Indonesia, manakala tiga lagi cedera dan ada sumber mengatakan jumlah kecederaan tidak dikenal pasti.

Namun, kes ini hanya selesai pada 1 Februari lalu, yakni selepas hampir tiga tahun runtuhan berlaku dengan pengarah syarikat pembinaan yang bertanggungjawab dalam operasi merobohkan pasaraya itu dihukum bayar RM5,000. Ya, RM5,000 sahaja!

Syarikatnya pula masih dibenarkan beroperasi dengan hanya dikenakan penalti RM20,000 dan sebuah lagi rakan syarikat pembinaan pula didenda bayar RM12,000 sahaja!

Bagaimana pula dengan kes Stadium Sultan Mizan yang runtuh pada 2 Jun 2009? Mungkin sebab tiada kematian, maka tiada individu didapati bersalah hingga sekarang. Tapi jangan lupa, seminggu selepas kejadian, SPRM dalam satu kenyataan akhbar mendakwa memiliki nama individu yang dikaitkan dengan skandal rasuah.

Kes itu kemudian berakhir dengan laporan JKR pada 7 Oktober 2009, yang turut dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di bawah Parlimen, dengan punca runtuhan disebabkan bahan dan kualiti hasil kerja tidak memenuhi spesifikasi dan beberapa faktor lain.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said pada 11 Mac 2010 berkata, tiada pihak yang benar-benar bersalah kerana semua pihak yang dilantik membina stadium itu menyumbang kepada runtuhan bangunan berkenaan.

Begitulah serba sedikit beberapa kes aneh di tanah Malaya ini yang begitu membenci Yahudi dan komunis.

Powered by Blogger.