Archive for 2013

Sejarah aku, kau dan kita

Monday, December 09, 2013 · Posted in , , ,


Hari itu kecoh sebentar pasal isu tapak sejarah candi Lembah Bujang di Kedah. Mengamuk sekejap aku dalam Facebook. Haha.

Bagi pembaca awal blog aku dulu, kau tentu sedar betapa sensitifnya aku pasal benda-benda sejarah ini. Ada banyak entri aku tulis mengenai kebebalan kita menjaga benda sejarah seperti di Melaka, Langkawi, termasuk isu berhala jam sebelah Kaabah bagi umat Islam.

Dan aku selalu tegaskan betapa perihal memelihara, menyayangi dan menghormati monumen, tapak, tempat atau apa saja objek sejarah bukanlah bermakna kau seorang rasis Melayu yang mahu menegakkan kedaulatan ketuanan atau ada kena mengena dengan kesyirikan, apatah lagi kemurtadan.

Walaupun sejarah tidak dapat lari daripada menyentuh hal bangsa (race), tetapi pada masa sama juga menyimpan aspek lebih besar iaitu tentang nusa (nation), yakni tanah tumpah darah kita atau era ketamadunan hari ini disebut sebagai negara (country/state).

Sama seperti hal bahasa. Aku mempertahankan bahasa bukan sebab faktor Melayu seperti sesetengah pihak yang mengamuk tak tentu hala pasal isu Melayu. Tetapi, bahasa itu sendiri adalah hak nusa dan patut dipertahankan oleh bukan saja orang Melayu tetapi semua bangsa yang pernah lahir di negara ini. Aku ulangi, ia perihal nusa.

Sama seperti bahasa Inggeris di England, bahasa Arab di Timur Tengah dan bahasa-bahasa lain. Ia bukan bermakna isu menjaga bahasa itu cuma rigid kepada orang putih/Inggeris atau bahasa Arab untuk orang Arab saja. Tetapi ia sepatutnya menjadi kecintaan bagi sesiapa saja yang lahir di nusa itu.

Samalah isu sejarah.

Jangan fikir sejarah hanya pasal orang lain atau benda yang sudah mati dan sebahagian subjek lulus periksa yang kau perlu tinggal selepas ujian selesai. Aku pun tak minta kau ambil jurusan sejarah atau sertai mana-mana NGO sejarah untuk faham benda ini. Tapi cukup saja kau pandai menghormati.

Kita masuk dalam konteks lebih kecil. Analoginya begini.

Pernah tak kau rindukan zaman kecil? Ketika kau, ibu ayah dan adik beradik lain tidak dipisahkan jarak dan masa? Kau teringatkan garangnya ayah, sabarnya ibu. Kau teringatkan detik kau bergaduh, bermain, menangis dengan adik beradik. Dan sesekali apabila kau berjumpa beramai-ramai dengan mereka, kau akan sebut dan ulang cerita-cerita lama itu.

Kau juga rindukan zaman belajar yang simpan banyak cerita pasal kawan-kawan, asrama, cikgu, cinta monyet, konvokesyen dan macam-macam. Bila berhimpun beramai-ramai, sekali lagi kau sebut dan ulang cerita-cerita yang sama. Dan kau tak pernah bosan pun dengan semua cerita itu.

Kau juga teringatkan tentang saat kau berkenalan dan bercinta dengan isteri kau. Kau teringat pasal hadiah hari jadi, pasal tengok wayang, pasal cari hantaran kahwin, pasal tempat makan kegemaran dan macam-macam. Dan sesekali bila kau datang semula ke tempat itu atau merasai sesuatu (seakan dejavu) yang ada kena-mengena dengan situasi dulu, kau pun bercerita dengan dia. Sedikit pun tidak pernah jemu. Kau rasa rindu. Kau rasa mahu mengulanginya semula.

Mungkin juga sesuatu perkara itu bukan yang indah saja. Boleh jadi kenangan pahit. Misalnya, tempat kau berpisah dengan makwe lama, tempat kau kemalangan, tempat kawan atau saudara kau meninggal, tempat datuk nenek kau pernah berperang dengan Jepun dan syahid di situ. Tetapi apakah kepahitan hidup yang kau rasai itu buatkan kau lupa? Malah melihat 'ada'nya tempat-tempat itu mengembalikan semula nostalgia lama untuk kau muhasabah dan insafi diri dan belajar tentang hidup yang fana. Buat kau lebih ingat dan rindukan mereka. Buat kau cuba menjadi manusia.

Sekarang, apabila masa dan jarak semakin menjauh, kau mula mencari sesuatu untuk dipegang, dilihat dan disimpan. Apatah lagi apabila orang yang kau sayang itu sudah pergi buat selama-lamanya. Kau mula menyimpan gambar, baju, seluar, kain pelikat, kain batik, keris, barang kemas, diari, dan apa saja yang mampu mengingatkan kau tentang mereka.

Sesekali apabila balik ke kampung, kau akan masuk ke bilik-bilik mereka dan terasa semangat dan kenangan dulu mengapung. Ia sesuatu yang sukar kau ungkapkan dengan kata-kata. Sesuatu itu adalah sejarah!

Kau akan marah dan sedih apabila anak kau tiba-tiba conteng gambar lama kau dan ibu ayah. Kau juga marahkan isteri kalau tiba-tiba dia buangkan entah baju lama mana yang kau simpan dalam almari. Kau kelam kabut cari kawan-kawan yang pandai IT untuk dapatkan semula gambar yang terpadam, termasuk minta kongsi semula gambar lama dulu.

Kau juga akan marah dan sedih kalau tiba-tiba ada adik beradik kau tanpa bertanya pendapat tiba-tiba pecahkan bilik arwah mak ayah kau untuk buat bilik lebih luas. Kau juga marah kalau entah siapa-siapa kontraktor cuba bina kompleks beli-belah depan simpang rumah.

Soalan aku, kemarahan dan kesedihan itu semuanya sebab apa? Kalau sejarah itu tidak memberikan apa-apa, buang saja segala kenangan dengan mereka yang kau sayang. Biarlah kau melihat ke depan saja. Maklumlah, benda lama bagi kau tak perlu dikenang dan tak beri apa-apa.

Pasal lupus kenderaan

Wednesday, November 20, 2013 · Posted in , ,


Sebenarnya, cadangan lupus kenderaan lama sudah dibuat oleh Persekutuan Persatuan Syarikat Kereta dan Kredit Malaysia (FMCCAM) pada 2007 (rujuk SINI.) Tetapi ditentang hebat pelbagai pihak.

Selepas 6 tahun berlalu, cadangan yang sama kedengaran lagi. Kali ini yang memberi cadangan ialah Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) Prof Dr Wong Shaw Voon (rujuk SINI). Pun ditentang hebat juga.

Cuba bayangkan cadangan itu dilakukan 6 tahun lalu, sudah tentu kita sudah dapat tahu sama ada hasilnya positif atau negatif. Jika pun cadangan itu tidak dilaksanakan, setidak-tidaknya ada pihak berusaha merangka mekanisme menyeluruh ke arah mewujudkan dasar pelupusan kenderaan lama.

Malangnya, apa pun tidak ada. Dan kita sekali lagi mungkin akan menunggu 6 tahun lagi (2019) untuk mendengar cadangan yang sama dan kemudian sekali lagi bergaduh komen dalam Facebook.

Asasnya, aku memang menyokong usaha mewujudkan dasar pelupusan kereta lama. Aku pernah tulis entri pasal lambakan kereta di Malaysia yang mana populasinya hampir sama banyak dengan jumlah penduduk negara ini.

Tengoklah sekeliling. Di flat aku menyewa sekarang, dua tahun lepas kereta yang diparkir bukan dalam kotak parkir cuma selapis. Tetapi sekarang sudah jadi dua lapis dan kau perlu 2-3 kali pusing untuk cari ruang parkir kosong sebelum parkir kereta kau dan riliskan brek tangan supaya orang lain dapat tolak ke depan dan belakang pada esok pagi.

Ya, situasi itu berlaku dalam tempoh dua tahun saja. Dan jangan hairan dua tahun lagi akan jadi tiga lapis dan mungkin ada yang terpaksa parkir kereta mereka di tepi jalan-jalan utama. Mungkin juga padang bola sebelah flat itu akan dijadikan kawasan parkir. Segalanya mungkin.

Dan kalau kau berjalan-jalan di kawasan perumahan bukan apartment atau flat, kau pasti terperasan pemandangan yang sukar dilihat sekitar lebih 10 tahun lalu. Kalau dulu rumah yang banyak kereta adalah rumah bujang atau rumah orang kaya, tetapi kini sebuah rumah sudah ada lebih daripada dua kereta.

Jadi, mahu tidak mahu kita mesti berfikir, merancang dan melaksanakan mekanisme pelupusan kereta. Tak usahlah difikirkan pasal lupus kenderaan 12 tahun kerana depot khas untuk menempatkan kereta-kereta yang mahu dibuang pun kita tidak ada.

Sekarang satu-satunya alternatif buang kereta adalah di kedai-kedai kereta terpakai. Maklumlah, takkanlah nak buang saja. Sekurang-kurangnya dapatlah juga duit ye tak? Untunglah kalau kereta kau masih ada harga. Kalau kereta tak laku, kau pun ambil keputusan buang tepi sungai, dalam semak, tinggal belakang bangunan lama atau biar saja depan rumah. Tak percaya? Datang flat aku sekarang.

Kenapa pelupusan kereta lama ini diperlukan?
Pertama, bagi negara pengeluar kereta, mekanisme pelupusan kenderaan adalah satu cara jaminan survival industri automotif nasional. Bayangkan kau pakai Proton Saga sampai 20 tahun, macam mana industri automotif nak berkembang?

Apabila usia kereta dihadkan, pengeluar ada tempoh tertentu untuk mendapat untung dan suntikan modal yang kemudian dilaburkan untuk tujuan pembangunan dan penyelidikan (R&D) dan pembuatan kereta. Jangan dilihat aspek untung semata, tetapi lihat juga kepada kos pembiayaan pekerja automotif yang saban tahun sentiasa bertambah seiring populasi penduduk dan tuntutan permintaan pelanggan.

Kedua, pelupusan kereta lama adalah satu cara mengawal populasi kereta. Pernahkah kau bertanya, ke manakah kereta-kereta lama dalam negara ini ditongsampahkan? Apakah kau tak merasa senak perut melihat betapa banyak kereta bersidai di tepi-tepi jalan. Sudahlah pergi kerja mengadap banyak kereta, balik rumah pun banyak kereta juga. Sampai kena parkir tepi rumah jiran atau tak puas hati dengan jiran yang suka-suka hati letak kereta sebelah rumah. Apa dia ingat rumah ni abah dia punya? Marah kau dalam hati.

Jadi kenapa orang bantah lupus kereta?
Masyarakat kita masih mengganggap pemilikan kereta macam rumah. Kalau boleh mahu memilikinya untuk sepanjang hayat dan berhasrat pula mewarisinya kepada anak cucu.

Sedangkan di Barat, kereta itu sama saja macam barang elektrik atau perkakasan rumah yang perlu ditukar ganti apabila sampai tempoh tertentu. Bukan sekadar faktor keselamatan, tetapi sebagai cara meraikan teknologi dan pencapaian.

Di Barat, selain medium pengangkutan, membeli kereta adalah salah satu apresiasi teknologi. Sehinggakan ke tahap apabila sampai tempoh lupus kereta, diorang sendiri yang pandu kereta dan tinggalkan di depot pelupusan berserta kunci sekali.

Tetapi orang kita apabila sudah membeli kereta, masih berkira-kira berapa ringgit lagi aku boleh dapat kalau aku jual kereta walaupun keretanya sudah menjangkau belasan dan puluhan tahun.

Benarkah masyarakat kita tak ada kesedaran dan fikir duit semata?
Jawapannya, ya. Berapa kerat sangat orang mahu fikir pasal lambakan kereta yang melampau di Malaysia? Berapa ramai pula yang berfikir, peduli apa pasal 4-5 tahun akan datang, itu aku punya duit. Ikut suka akulah nak beli kereta. Ikut suka akulah nak lupus ke tidak. Aku beli penat-penat, tanggung hutang dekat 10 tahun, senang-senang hati kau suruh buang. Cilaka!

Tetapi, aku tak salah pun pemikiran sebegini. Inilah kita yang dilahirkan dalam satu sistem yang serba tempang.

Sistem apa yang tempang?
Jika ditanya semula, kenapa ramai orang bantah lupuskan kereta, jawapan aku adalah dari segi kepuasan pemilikan kereta dan tempoh pinjaman kenderaan.

Situasinya begini, kau peruntukkan sepertiga gaji dan sepertiga usia karier kau untuk memiliki sebuah kereta, dan tiba-tiba ada orang suruh kau lupuskan aset kau itu.

Contoh, t-shirt harga RM20 dan kot tempahan khas, RM1,000. Mana satu yang kau tak kisah untuk buang selepas dipakai setahun? Kenapa kau tak kisah sangat pun buang t-shirt RM20 tu? Kalau kawan atau sedara mintak pun kau ok saja bagi free.

Jawapannya, pemilikan kereta di negara ini tidak pernah mencapai tahap kepuasan. Rakyat kita mampu memiliki kereta bukanlah kerana mampu dalam erti kata sebenar, tetapi disebabkan terma pinjaman mudah yang membolehkan kita berhutang hingga 9 tahun.

Apakah selepas 9 tahun baru pemilik kereta rasa berbaloi? Tidak juga, kerana selepas hutang dilangsaikan, prestasi kereta turut merosot. Jadi, kerana geram dan mahu puaskan diri, biarlah aku pakai kereta tu sampai mampos.

Sekarang kau nampakkan kenapa banyak negara mengehadkan pinjaman kenderaan selama 5 tahun saja? Pada usia lima tahun, selepas kau melangsaikan hutang kereta, kereta kau masih pada tahap terbaik.

Jika mengambil kira baki 7 tahun lagi (jika syarat lupus 12 tahun) dan kepuasan memandu kereta tanpa hutang, ditambah pula prestasi kereta yang menurun berdasarkan usia, aku hampir pasti kau tidak kisah pun melupuskan kereta itu apabila genap usia 12 tahun.

Malah, dengan kewujudan beberapa insentif pembelian kereta baru, kau mungkin melupuskan kereta lebih awal kerana kau sudah pun mencapai tahap kepuasan memiliki kereta.

Peduli apa orang bantah? Kalau betul nak lupuskan kereta, buat sajalah.
Tidaklah semudah dicakap. Kita harus sedar di sebalik cadangan pelaksanaan itu, ada banyak kitaran ekonomi yang terbabit.

Antaranya, kedai-kedai potong dan alat ganti. Negara kita sudah lama menjadi tapak pelupusan kereta dari Jepun dan Eropah. Kedai-kedai ini tumbuh disebabkan permintaan daripada pemilik kereta lama yang ramai di Malaysia.

Ini termasuk kewujudan premis kereta terpakai dengan kelangsungan bisnes bergantung kepada jual beli kereta-kereta yang sudah berusia.

Begitu juga dengan kelompok pemilik kereta antik atau lama. Kewujudan kelompok seperti ini turut menjana ekonomi negara. Merekalah pelanggan setia kedai-kedai potong. Mereka jugalah yang dicari untuk memeriahkan sesuatu acara seperti pameran auto show, kenduri kahwin, atau majlis rasmi tertentu.

Jadi, jika dasar pelupusan kereta dilaksanakan, ia sedikit sebanyak  menjejaskan ekonomi sedia ada.

Kalau semua tak boleh, apa caranya?
Pertama, kurangkan harga kereta. Usaha Pakatan Rakyat (PR) melancarkan kempen kurangkan harga kereta adalah bagus. Kesannya, kerajaan Barisan Nasional (BN) pun turut meletakkan cadangan sama dalam manifesto mereka.

Mengurangkan harga kereta semata-mata tidak memadai, tetapi mesti serentak dengan terma pinjaman bank yang singkat, iaitu dari 3 hingga 6 tahun.

Walaupun harga kereta murah, jumlah bayaran ansuran mungkin masih sama seperti sekarang. Tetapi sekurang-kurangnya, tempoh pinjaman kita sudah pun langsai selepas 6 tahun. Dan kau harus fikir situasi kau memiliki aset tanpa hutang selama 6 tahun lagi sebelum ia perlu dilupuskan.

Bandingkan situasi 3 tahun bawa kereta tanpa hutang (selepas 9 tahun berhutang!) dan situasi kau pandu kereta 6 tahun selepas 6 tahun berhutang. Mana lebih berbaloi?

Kereta lebih 12 tahun masih boleh dimiliki, tetapi tambahan cukai dikenakan. Cukai lebih tinggi jika kereta itu kereta kedua atau ketiga di bawah satu nama. Ansuran sudah habis, takkanlah tak nak bayar cukai langsung. Kereta kau tu sudahlah menyesakkan muka bumi.

Boleh juga mewajibkan ujian berkala di Puspakom. Biar nampak macam leceh sedikit. Bagi yang betul-betul minat saja menyimpan kereta lama. Kalau suam-suam tu, diorang sudah tentu menganggap beli kereta baru lebih berbaloi.

Skim pinjaman kereta boleh saja diubah. Jika sekarang bank dan ah long menjadi satu-satunya medium orang berhutang, apa kata pihak pengeluar kereta pula tawarkan skim pinjaman sendiri.

Ok, pihak bank akan mengamuk. Jadi, untuk menjaga kepentingan industri perbankan, pinjaman dari pengeluar kereta cuma terhad untuk 3 hingga 4 tahun saja. Selepas kereta dilupuskan dan pembeli memutuskan membeli kereta jenama sama, mungkin rebat harga atau insentif tertentu boleh diberikan.

Jangan lupa bangunkan sistem pengangkutan awam yang cekap. Suruhlah Proton bangunkan satu kenderaan pikap ala Tuk Tuk seperti di Thailand dengan caj ke mana saja cuma di bawah RM5. Lagi murah lagi bagus.

Dulu, KL ada bas mini dengan saiz kompak yang memudahkan ia mencilok di tengah kesibukan ibu kota. Dan aku masih tak faham kenapa bas bersaiz gergasi yang dipilih. Bergerak dalam bandar saja kot. Kalau isunya keselamatan, buatlah penguatkuasaan.

Jadikan pengangkutan awam pada tahap kau keluar saja rumah, lambai tangan dan ada kereta datang. Macam yang selalu kau tengok dalam filem Hollywood.

Kedai potong dan kereta terpakai macam mana?
Buat permulaan memang kesan dasar pelupusan kereta cukup dirasai pihak di atas. Apabila ramai orang beli kereta baru, permintaan alat ganti kereta lama akan berkurangan. Orang juga lebih cenderung beli kereta baru.

Keuntungan akan merosot, tetapi kelompok pemilik kereta lama tetap ada. Mungkin kerajaan boleh fikir insentif tertentu buat pihak yang terbabit dalam industri ini. Misalnya, menawarkan geran eksport kereta terpakai ke negara dunia ketiga lain yang pemilikan kereta mereka masih di tahap rendah dan sederhana.

Tempoh siap sedia juga perlu diberikan supaya masing-masing bersedia dengan dasar yang bakal dilaksanakan. Bukannya hari ini cadang, bulan depan terus nak skrap kereta.

Kereta nasional macamana? Kalau kereta import sudah murah, siapa yang nak beli?
Apa susah. Kerajaan berilah insentif khas kepada pembeli kereta tempatan. Misalnya, diskaun 20 peratus di semua laluan tol dalam negara. Kalau di kompleks beli-belah, ada kotak parkir khas untuk kereta nasional yang dekat dengan pintu masuk atau sama aras dengan panggung wayang.

Parkir khas juga disediakan di bangunan kerajaan, sekolah atau premis-premis perniagaan lain. Tapi kena betul-betul buatlah. Kalau jadi, kau akan dapat lihat satu pemandangan unik dengan deretan kereta nasional dalam satu ruang letak kenderaan. Sekarang bolehlah gebang dan eksyen kat orang luar pasal patriotisme dan keistimewaan beli kereta nasional di Malaysia.

Boleh juga bagi pelepasan cukai kereta, insurans rendah atau apa saja manfaat asalkan rakyat nampak berbaloi beli kereta nasional dalam situasi sekarang dengan reputasi kereta tempatan tak berapa nak bagus. Mungkin skim pinjaman daripada pengeluar kereta boleh dikhaskan kepada Proton atau Perodua saja.

Banyak benda boleh dibuat. Mahu tak mahu saja.

Saya dan sistem pendidikan

Friday, October 18, 2013 · Posted in ,

Masa sekolah dulu, ada satu trend semua kawan sekelas simpan hajat nak masuk sekolah teknik atau kelas sains. Kau akan nampak intelek dan pintar dan berdarjat tinggi, tidak macam mereka yang terperuk di kelas sastera yang sinonim dengan golongan bawahan dan kacang hantu.

Sudahnya, selepas PMR hampir semua kawan sekelas aku berpindah ke sekolah teknik. Bagi yang kurang sukses PMR, mereka turut ke sekolah teknik secara istilah, tetapi sebenarnya sekolah vokasional (sebut voke') kerana zaman itu kementerian mahu standard-kan istilah teknik untuk sekolah vokasional juga.

Migrasi beramai-ramai rakan sekelas aku ke sekolah teknik nyata mendukacitakan sekolah aku yang memasang hajat mewujudkan kelas Sains pertama selepas tiga tahun menuai hasil sejak tiga tahun dulu dengan menubuhkan kelas akademik khas.

Malangnya, tinggal tiga orang saja yang tinggal untuk kelas Sains dan aku salah seorang daripadanya. Walaupun minat sastera, keputusan agak cemerlang yang aku peroleh gagal melayakkan aku memasuki aliran itu atas alasan tiada potensi pasaran kerja.

Aku minat sastera dan aku juga minat sains, tetapi sayang kedua-duanya spesies berbeza yang haram disatukan di sebuah institusi yang bernama pendidikan. Ye lah, kalau kau daripada aliran sastera, kau mahu kerja apa? Orang sibuk mahu jadi jurutera, doktor dan loyar, takkan kau nak memegang sekeping kertas dan bermadah di tubir pantai dengan rambut berjurai. Itulah dikhabarkan guru-guru saya dalam sesi propaganda khas untuk mengajak pelajar menyertai aliran Sains. Dan saya sepatutnya berterima kasih kepada sekularisasi Sains yang diserukan Mahathir!

Tapi, bukanlah dosa Mahathir mengajak umat Melayu mengambil aliran sains, cuma silapnya memisah Sains dengan aliran yang ada kaitan dengan kejiwaan. Akhirnya, kita melahirkan manusia beraliran sains yang kosong falsafah.

Tanyalah, kenapa mahu menjadi jurutera. Jawabnya, kerana pulangan gaji yang hebat. Kenapa mahu jadi doktor, boleh ubati ibu bapa yang tua.

Ya, hari ini kita melahirkan manusia yang berfikir untuk diri sendiri saja. Tak percaya? Buka Facebook sekarang!

Kaya dan miskin dan gaya hidup

Tuesday, September 10, 2013 · Posted in , ,

"I buy expensive suits. They just look cheap on me." - Warren Buffet

Mana satu kau suka?
Si kaya dan gaya hidup mewah.
Si kaya dan gaya hidup sederhana.
Si miskin dan gaya hidup mewah.
Si miskin dan gaya hidup sederhana.

Kenyataan di atas adalah subjektif. Kau mungkin suka salah satu daripadanya atau ke semuanya. Tetapi jika difikir pada paras akal dan emosi paling normal, kau dan aku mungkin bersetuju betapa kita sangat  menghormati mereka yang kaya, tetapi memilih gaya hidup sederhana.

Sebab apa? Kerana si kaya punya pilihan dan mereka kemudian memilih pilihan yang tidak popular, iaitu hidup biasa-biasa saja.

Sedangkan kita si miskin tidak ada banyak pilihan. Kau boleh berterusan hidup dengan apa yang ada, atau cuba bersaing dengan si kaya yang seronok dengan gaya hidup mewah mereka. Demi eskapisme.

Masalah terbesar kita bukanlah kemiskinan, tetapi gaya hidup. Dan masalah gaya hidup ini bukan hanya khas untuk si kaya saja, tetapi juga si miskin.

Anak muda dan blog

Thursday, August 29, 2013 · Posted in , , ,


Menulis blog sekarang tak ubah seperti awal aku menulis blog sekitar lebih 7 tahun dulu. Tak ada siapa pun peduli, kecuali rakan blogger rapat saja.

Isu-isu yang aku tulis dulu pun tidak seberat sekarang. Banyak berkisar tentang pengalaman aku sepanjang bergelar seorang siswa. Pasal ragam kawan-kawan, pasal cinta, pasal apa aku buat, pasal politik kampus dan sikit-sikit menyentuh pasal dunia luar, tapi masih lagi bersangkut paut perihal alam universiti.

Inspirasi awal aku dulu sudah tentu blogger Mat Jan (sekarang sudah tidak menulis). Cara beliau mengaitkan alam kampusnya dengan isu semasa (politik paling digemari) dalam lenggok satira, termasuk cerita kerenah kawan-kawannya sangat melucukan. Dan sungguh tak ada lagi blogger yang dapat menandingi lenggok bahasanya.

Bila baca balik entri dulu, memang malu dan rasa macam jahanam saja. Tapi itulah aku yang dulu. Menulis tanpa fikir apa-apa pun. Aku akan tulis apa yang aku rasa dalam hati dan berdasarkan pengalaman dilalui. Tidak kisah pun berkongsi hal peribadi dan emosi. Tidak seperti sekarang yang mana hal peribadi aku anggap sebagai peribadi dan tiada lagi keterujaan untuk berkongsi semua hal-hal tersebut.

Aku mencari juga blog-blog anak muda sekarang. Ah, semuanya bosan. Masing-masing mahu menjadi ahli akademi dan intelektual serba serius. Ramai juga seronok menayang kisah peribadi yang serba hedonisme dan keseronokan yang kosong. Aku tak jumpa lagi blog anak muda yang bercerita tentang alam kampus mereka. Apakah apa yang dirasai mereka sekarang sama seperti aku dulu? Gembirakah mereka dengan alam belajar mereka? Apakah mereka mampu menulis kritikan secara satira dan nakal?

Kasihan, anak-anak muda kita hari ini sudah kurang berlucu-lucu. Malah, entri mereka yang konon berbaur akademi itu pun tidaklah sebagus mana, cuma pinjaman dari mesej-mesej di dinding Facebook. Anak muda sekarang menulis secara partisan yang sekali gus melemahkan potensi fikir mereka.

Mahu menentang, tetapi tidak pandai dan cuma ikut-ikutan. Dan mereka menjadi manusia yang tahu membenci semata-mata.

Dunia bukan utopia

Tuesday, July 02, 2013 · Posted in , , , ,


Konflik Syria dan kemelut Sunni-Syiah yang kecoh kebelakangan ini membuatkan rating entri aku mengenai dua mazhab bersengketa itu (SINI) naik mendadak selaku entri paling popular. Padahal isu tersebut aku tulis dua tahun lalu (Januari 2011).

Apa yang aku ulas dalam entri tersebut adalah di luar pandangan konflik mazhab dan lebih kepada sejarah sengketa politik Arab-Parsi yang cuba mendominasi pengaruh geopolitik di Timur Tengah. Sengketa tersebut bukan hanya bermula ketika negara Arab dipecahkan atau ketika era Revolusi Islam Iran 1979, tetapi sudah tercetus sejak tertubuhnya kerajaan dinasti Islam pertama, Umayyah, termasuk ketika era kerajaan Islam moden seperti Uthmaniyyah yang mewakili Sunni dan Safawiyyah, mewakili Syiah.

Ini sama saja mengenai sengketa Malaysia-Indonesia-Singapura di Asia Tenggara yang masing-masing mewarisi kesan konflik sejarah lama. Indonesia mewarisi sejarah kerajaan Jawa, Majapahit, manakala Malaysia berbangga dengan era kerajaan Melayu, Srivijaya dan Kesultanan Melaka. Konflik Singapura pula tercetus sejak berpisahnya republik itu daripada Malaysia pada 1965. Perasaan wasangka dan sentimen aku brader kau loser sentiasa ada.

Ya, kalau kita rajin sedikit mengkaji, kita pasti menemui betapa konflik dunia hari ini adalah berpunca daripada kesan sejarah lama seperti sengketa Thailand-Myanmar, India-Pakistan, England-Argentina, Portugal-Perancis dan lain-lain.

Agama dan bangsa cuma alas yang digunakan sebagai punca sengketa, walhal rejim adalah rejim tanpa mengira bangsa dan agama anutannya. Sama saja isu sesetengah Melayu yang melihat Cina sebagai musuh talam dua muka yang perlu dihapuskan, dan begitu juga Cina yang melihat Melayu sebagai bangsa korup yang perlu digulingkan. Dan realitinya, pihak penindas sedang bersalam erat sesama mereka tanpa mengira bangsa dan agama atas nama kuasa.

Ramai juga tidak sedar betapa sejak manusia menghuni bumi, tiada satu zaman pun yang merekodkan mana-mana kerajaan atau negara yang dihuni oleh manusia yang cuma sebangsa dan seagama dan seideologi. Ya, Hitler pernah cuba melakukan perkara itu dulu, tetapi dia akhirnya mati di tangan sendiri.

Dunia bukan milik kita seorang dan kita berkongsi langit yang sama. Kita mungkin majoriti di negara sendiri, tetapi jangan lupa ada rakan sebangsa dan seagama kita menjadi minoriti di bumi asing. Perpecahan dan peperangan langsung tidak membantu mewujudkan dunia yang lebih aman.

Membaca konflik dan kebenaran

Wednesday, June 12, 2013 · Posted in , , ,


Pengalaman sebagai sub editor bahagian berita antarabangsa di sebuah akhbar nasional beberapa tahun dulu banyak mengajar aku mengenai bagaimana menganalisis sesuatu konflik antarabangsa.

Pertama, analisis perlu dibuat berdasarkan sumber primer, iaitu sumber tempatan yang terbahagi kepada dua, sumber Kerajaan dan sumber bebas.

Selepas mendapatkan berita daripada dua sumber tersebut, barulah sumber sekunder dicari, iaitu sumber pihak luar/antarabangsa bagi mendapatkan keseimbangan berita.

Dalam hal lain, sumber sekunder amat diperlukan apabila berlaku konflik dalaman sesebuah negara kerana dibimbangi berlaku bias antara sesama sumber tempatan.

Misalnya, isu demo Bersih. Anggap saja aku seorang wartawan asing dari Jamaica yang mahu membuat liputan mengenai isu tersebut. Jadi sumber primer yang perlu dirujuk adalah Utusan Malaysia dan News Straits Times yang mewakili sumber Kerajaan, manakala Malaysiakini dan Malaysian Insider sebagai sumber bebas tempatan.

Namun, ada kemungkinan bias boleh berlaku kerana kedua-dua sumber saling bertentangan. Sumber Kerajaan mendakwa Bersih sebagai demo huru-hara, sebaliknya sumber bebas mengatakan ia demo aman.

Jadi, di sini sumber sekunder digunakan, iaitu sumber luar yang diperoleh daripada wartawan asing yang turun membuat liputan mengenai demo tersebut yang secara asasnya menjadi pihak ketiga tidak berkepentingan.

Satu lagi cara memantapkan lagi analisis sesuatu konflik adalah membaca komen-komen terbuka di portal berita tempatan itu sendiri daripada kedua-dua pihak. Dari situ, kita akan mendapatkan gambaran kasar dan kadar nisbah pro dan kontra pendapat penduduk negara itu mengenai konflik yang berlaku dalam negara mereka.

Misalnya, apakah dasar Amerika Syarikat memberikan bantuan senjata kepada militan di Syria untuk berperang dengan rejim Assad mendapat sokongan rakyat negara Uncle Sam itu? Apakah yang berlaku di Syria adalah revolusi atau perang saudara?

Ramai kalangan kita percaya sesuatu berita mengikut apa yang dia mahu percaya. Dan kita seboleh-boleh cuba mengelak dan membuang sumber berita lain yang bertentangan kerana takut ia bertentangan dengan apa yang kita mahu percaya.

Tapi semua itu pun terpulanglah kerana ia hak masing-masing. Jiwa manusia itu bebas sifatnya. Kadang-kadang orang yang mengambil pendirian sentrik ini dipandang eksentrik.

Aku teringat kata-kata keramat guru aku, "Kalau aku sesat mencari, sekurang-kurangnya kesesatan aku itu kerana mencari. Betapa sia-sialah seorang manusia itu jika hidupnya tidak pernah mencari, malah menganggap dirinya tidak pernah tersesat biar sedikitpun."

Kita kerap membaca al-Asr. Kita anggap diri sudah berpesan dengan kebenaran, tetapi kesabaran kita terpelanting ke belakang.

Pasal motosikal dan jenayah

Tuesday, June 04, 2013 · Posted in , ,


Asasnya, ada dua faktor orang bawa motor.

Pertama, ekonomi. Ada orang memang tak mampu beli kereta dan ada juga mampu berkereta tapi tak tahan asyik duk bayar tol dan petrol. Alternatifnya, bawa motor.

Kedua, masa. Ada kereta tapi tak tahan mengadap jem. Naik bas pun sama juga mengadap jem. Mahu naik LRT, tapi tak ada pula akses ke tempat kerja, misalnya dari Sungai Buloh ke Shah Alam. Ada tu memang ada, tapi jenuh nak tukar stesen dari utara-selatan atau timur-barat dan masa operasi pula lambat. Kalau report card merah macamana mau naik gaji? Alternatifnya, bawa motor.

Walaupun jenayah bermotosikal dikatakan merangkumi 90 peratus statistik jenayah, tapi asas majoriti rakyat Malaysia menunggang motosikal bukanlah kerana mahu 'berjenayah', melainkan dua faktor di atas semata-mata.

Macam aku, kalaulah tak kerana trauma eksiden, rasanya sampai sekarang aku masih bermotosikal disebabkan kedua-dua faktor itu, ekonomi dan masa. Kalau ekonomi mantap pun aku masih memilih motosikal disebabkan faktor masa. Mungkin ramai kalangan kita tak sedar betapa suku hidup kita dibazirkan atas jalan raya disebabkan jem!

Ramai juga tidak sedar dalam dunia automotif, motosikal lebih mesra alam kerana kurang melepaskan karbon berbanding kenderaan lain. Penunggang motosikal turut menyumbang kepada penjimatan bahan bakar. Tapi siapa peduli sebab sumber petrol kitakan tak pernah habis? Enjoy sajalah.

Apa saja benda dalam dunia ini kalau baik gunanya, baik jugalah hasilnya. Kalau buruk, buruklah. Macam pisau, kau boleh guna untuk hiris daging dan boleh juga hiris leher kawan kau.

Kalau pisau diharamkan kau mungkin tidak boleh hiris leher kawan kau lagi, tetapi kau boleh guna gunting untuk tikam jantung dia.

Kalau gunting pun diharamkan, kau masih ada garfu, chopstick, pensil dan jangka lukis.

Cerita banjir dan abang plumber

Monday, May 27, 2013 · Posted in , ,

Rumah aku banjir teruk sebab ada air keluar dari celahan ekon rumah aku.

Sebenarnya dua hari sebelum itu rumah aku sudah banjir. Bukan satu rumah, cuma bilik depan dan sedikit di ruang tamu. Jenuh juga aku siasat apa puncanya sampai ke tahap aku fikir pasal ada benda mistik sedang menangis sebab terperangkap dalam simen bumbung.

Tapi malam itu tanda tanya aku selesai. Air sebenarnya keluar dari celahan ekon ruang tamu dan air itu datang dari paip besar di luar rumah.

Ceritanya macam ni. Sebenarnya, sistem perpaipan air buangan ekon rumah aku dibuat dengan menebuk paip besar di luar rumah. Maknanya, tak ada air menitis dan simen basah sebab air masuk terus dalam paip besar.

Tapi, menurut abang plumber, masalah berlaku apabila paip besar itu tersumbat dan air ditolak masuk ke dalam rumah aku. Sepatutnya, kata abang plumber, paip untuk air buangan ekon disalurkan secara terbuka sama ada ke longkang atau bilik air. Maknanya, apa-apa jadi luar rumah yang basah.

Tragedi berlaku jam 2 pagi dan nasib baik ada laman web Mudah untuk aku cari plumber 24 jam. Seorang tak angkat telefon, seorang lagi bagitau kulinya masuk hospital. Sudahnya aku dapat jawapan seorang tauke Cina yang kemudian hantar abang plumber bersama seorang rakannya, pakcik plumber.

Pung pang pung pang. RM300 hanya untuk potong paip kecil yang bersambung dengan paip besar di luar. Wow, kata Husin Lempoyang.

Pasca PRU13 dan kebangkitan Gen Y

Tuesday, May 14, 2013 · Posted in , , ,



Kadang-kadang kita tidak tahu betapa dunia berputar dan masa sudah meninggal kita jauh. Begitu juga BN.

Keputusan PRU13 baru-baru ini menyaksikan BN masih kekal berkuasa, tetapi berdepan kemerosotan sokongan undi dan kerusi.

Najib awal-awal lagi mendakwa BN tewas akibat faktor 'Tsunami Cina' yang merujuk kepada pukulan maut diberikan DAP kepada semua kerusi lawannya, MCA yang majoriti berpusat di bandar-bandar besar.

Walhal faktanya, semua kerusi ditandingi DAP adalah satu lawan satu dengan MCA (ada juga kerusinya diwakili Melayu) kecuali kerusi di Gelang Patah yang menyaksikan Ghani Othman sengaja diletakkan bertanding di bawah kawasan yang secara tradisi diwakili MCA. Sudahnya, Ghani tumbang dan Cina diuar-uar mahu menakluk Malaya.

Di pihak lain, beberapa penganalisis bebas berpendapat keputusan teruk diraih BN disebabkan penangan 'Tsunami Urban' yang merujuk kepada pertentangan golongan kelas bawah dan menengah di bandar yang bukan hanya dihuni Cina, tetapi juga Melayu dan India. Dan di celah-celah 'Tsunami Urban' ini kita dapat melihat kebangkitan anak muda, terutama Generasi Y.

Mengikut terma, Generasi Y adalah mereka yang lahir pada awal 80-an hingga awal 2000. Juga boleh digelar Generasi Milenia. Namun, bagi menggambarkan situasi politik tanah air, Generasi Y di Malaysia boleh saja dibahagikan kepada generasi yang pernah merasai hidup di bawah 'kemakmuran Mahathir' dan generasi pasca Reformasi 98.

Sikap anti-establishment di kalangan generasi awal Generasi Y memang sudah wujud, tetapi ia bukanlah secara total. Ada mengambil pendirian menyokong kerajaan BN kerana nostalgia 'kemakmuran Mahathir'. Seteruk-teruk Mahathir, kata mereka, kita tidak pernah berpolitik seteruk seperti hari ini. Jadi tidak hairanlah perubahan politik dicetuskan Anwar disambut dengan maki hamun. Dalam jiwa mereka, Anwar yang penuh flip flop sejak mengetuai Abim dekad 70-an lalu langsung tidak membawa apa-apa kebaikan melainkan mencetuskan huru-hara dan perpecahan Melayu selepas pasca Reformasi 98.

Sebaliknya, bagi pihak penentang, Mahathir adalah diktator yang kejam terhadap musuh politiknya. Dan kehadiran Anwar pula disambut kerana idea pembaharuan politik yang cenderung mengangkat aspirasi kelas bawah dan menengah, serta mendokong aspirasi anak muda.

Di sini pertentangan berlaku antara generasi awal Generasi Y, yakni penyokong 'kemakmuran Mahathir' dan penyokong idea politik baru Anwar. Bagaimanapun, di kalangan majoriti generasi pasca merdeka dan 13 Mei 1969 yang lahir dekad 50-an hingga awal 70-an, idea Anwar nyata ditolak, kecuali kelompok parti pembangkang.

Kerana terlalu asyik menghentam Anwar, BN terlupa mengenai reputasi dibina bekas ahli UMNO itu di kalangan anak-anak muda. Ia bukannya tentang janji populis semata-mata, tetapi tentang sikap buli yang didominasi kerajaan BN.

Kadang-kadang kita tidak tahu betapa dunia berputar dan masa sudah meninggal kita jauh, begitu juga BN. Adik aku lahir pada 1991. Ketika Reformasi 98 tercetus, usianya baru 7 tahun dan tahun ini sudah 22 tahun serta layak mengundi. Kiralah berapa ribu generasi sebayanya yang tidak pernah merasai 'kemakmuran Mahathir' kecuali di dalam buku.

Sebaliknya, realiti dihadapi mereka bukanlah 'kemakmuran Mahathir', tetapi krisis ekonomi, kehidupan penuh beban, gaya politik berat sebelah dan lambakan pemimpin bodoh, gila kuasa dan rasuah. Di sinilah Generasi Y bangkit menyatakan suara mereka, sekali gus mencetuskan fenomena kau cool kalau turun mengundi.

Dan ingat, menjelang PRU14 nanti, ada lagi lima lapis generasi Y layak mengundi dan semua mereka semakin jauh dari era emas 'kemakmuran Mahathir'. Dan BN boleh berterusan mengambil sikap politik buli jika mahu terus menyaksikan kemerosotan sokongan Generasi Y.

Menjelang pilihanraya iv

Thursday, May 02, 2013 · Posted in , ,


Idealisme dan realisme selalu menentang.

Idealis percaya apa yang dia yakin itu kebenaran dan cenderung kepada perubahan, ide-ide baru serta sanggup mengambil risiko. Sedangkan realis wujud daripada sikap dan pola fikir yang mengikut arus berdasarkan pengalaman hidup dan ideologi 'makan garam'.

Namun idealisme jugalah yang mengubah dunia sama ada menjadi lebih baik atau lebih buruk. Semua pemimpin dunia ternama lahir daripada seorang idealis. Ironinya pula, sesetengah mereka jugalah yang menjadi penentang hebat ke atas kemunculan idealis-idealis baru.

Begitulah dunia ini berputar-putar. Dan lebih malang lagi kita sebagai manusia kebanyakan ini lebih rela menjadi si realis yang hanya mahu mengikut dan takut kepada bayang-bayang.

Menjelang pilihanraya iii

Thursday, April 18, 2013 · Posted in , , ,


Kawan-kawan pro-Pas rata-ratanya mewarisi ideologi politik mereka daripada latar keluarga masing-masing. Kalau bapak dia Pas, maka Pas jugalah ikutan mereka. Ini terbukti menerusi kajian rambang aku, jika kawan-kawan aku itu pro-Umno, tak ada seorang pun kalangan mereka daripada latar keluarga Pas.

Peliknya, kalau situasi bapak dia Umno, tapi anak dia pro-Pas ramai pula. Aku ada ramai kawan yang bercerita perihal bapak masing-masing yang kuat Umno, tapi diorang pula memang anti-Umno.

Trend ini semakin menular selepas era Reformasi 98, sepanjang aku belajar di selatan dan kemudian wilayah tengah Semenanjung.

Matematiknya begini,
Bapak Pas = Anak Pas
Bapak Umno = Anak Umno/Pas

Jadi, kesimpulannya (daripada analisis seorang anak muda yang baru belasan tahun), jika trend sebegitu berterusan, aku meramalkan Umno dalam bahaya untuk sekurang-kurangnya 10 tahun akan datang atau lebih.

Buktinya, PRU12 pada 8 Mac 2008, BN kalah teruk dan PR meraih undi popular dengan beza undi hanya 285,947 walaupun cuma mampu menawan lima negeri (sebelum ditolak Perak akibat krisis Perlembagaan).

Menjelang pilihanraya ii

Tuesday, April 16, 2013 · Posted in , , ,



Semangat politik aku bermula ketika meletusnya fenomena Reformasi 98 selepas Anwar Ibrahim dipecat Mahathir Mohamad dalam krisis politik baru yang tak pernah wujud dalam sejarah Malaysia.

Ketika itu aku baru tingkatan 5 dan aku ingat ada member aku conteng ayat 'Reformasi' besar-besar atas papan hitam.

Aku pula lukis gambar bendera Pas dan jadikan key-chain kunci motor sebelum abah aku buang.

Memang anak muda dan pemberontakan tidak dapat dipisahkan. Bak kata pepatah, lagi ditekan lagi melawan.

Persoalannya, apakah semua itu berlaku disebabkan usia mentah (orang utara panggil kanyiaq) yang baru 17 tahun? Atau apakah disebabkan aku terlalu memuja Anwar Ibrahim? Atau dipengaruhi faktor sekeliling?

Diktatorisme, monarkisme dan damai abadi

Wednesday, March 20, 2013 · Posted in , , ,


Bila diimbas sejarah, gaya kepimpinan masyarakat Asia adalah cenderung ke arah diktatorisme dan monarkisme walaupun masing-masing hebat mengaku menyanjung demokrasi.

Lihat Mesir kuno, walaupun rakyatnya teruk dibantai kezaliman Firaun, tidak pernah pula berlaku kebangkitan rakyat secara total untuk menghapuskan dinasti Firaun. Mereka selesa menganut faham diktatorisme dan monarkisme.

Sudahnya, sebelum ditakluk Rom dan dibebaskan Islam, dinasti Firaun bertahan di Mesir ribuan tahun.

Betul, tidak semua Firaun itu jahat, tetapi pada era kejahatan satu-satu Firaun pun rakyat Mesir gagal menggulingkan raja mereka itu.

Malah, dakwah Nabi Musa sendiri menghadapi kesukaran hingga memaksa baginda melarikan diri bersama pengikutnya menyeberang laut kerana diburu Firaun. Mungkin majoriti rakyat Mesir ketika itu rasa ok dengan kejahatan Firaun dan mereka mampu bersabar.

Berbeza pula dengan orang Rom (Barat) yang tidak pernah bersabar. Bacalah kisah Mahajaraja ke-3 Rom, Caligula yang dibunuh hanya selepas 4 tahun memerintah disebabkan diktatorismenya. Malah, ketidaksabaran mereka melarat hingga sanggup membunuh wira berstatus 'The Great' (baca cerita Alexander/Iskandar).

Aku tertanya, apakah ketakutan itu membuatkan manusia rasa aman, selesa dan damai abadi.

Pasal sejarah

Tuesday, March 05, 2013 · Posted in , ,


Cerita pasal Sulu. Jenuh juga aku buka laman web macam-macam untuk baca apa sebenarnya sudah berlaku di Sabah sana. Ada yang bergebang pasal konspirasi politik dan ada pula pasal cerita sejarah lampau yang dilupakan.

Kita humbankan sekejap pasal politik sebab kau boleh saja pergi baca blog pro parti masing-masing supaya hati kau boleh tenang dan pada masa sama mendengus, padan muka kau parti XX!

Ok, bercerita pasal sejarah. Sebenarnya ia sesuatu yang payah untuk diselesaikan kerana setiap pihak akan mendakwa mereka benar. Lebih buruk, terjadilah pertumpahan darah atau krisis kemanusiaan.

Namun, sebagai penganut real politik dan penyaksi siasah era moden, usahlah diungkit sejarah yang lalu. Biarlah ia tinggal sejarah sebab kita bukanlah pelaku yang terlibat dalam situasi zaman itu.

Ini kerana, sebenarnya banyak situasi dan keputusan sejarah dibuat orang-orang terdahulu yang mahu kita ungkit dan pertikaikan.

Misalnya, kenapa nenek moyang Melayu dulu menolak kewarganegaraan jus soli oleh British untuk kaum Cina dan India, tetapi kemudian menerimanya dan pada masa sama cukup rasis. Terdesak mahu merdeka atau gilakan politik kuasa?

Misalnya, kenapa Malaya tidak berjuang menentang Perjanjian Anglo-Siam yang memisahkan kita dengan negeri-negeri Melayu di Selatan Thai dan kini mencetuskan krisis pemberontakan dalam negeri di negara jiran itu.

Misalnya, kenapa Sultan Kedah pajak Pulau Pinang dengan terma selagi ada bulan dan bintang?

Misalnya, kenapa orang Melayu dan Islam masih begitu sanjungkan monarki yang gagal memberikan mereka apa-apa?

Memang susah difahamkan kerana kita bukanlah pelaku siasah pada zaman itu. Rasa seperti kau mahu naik mesin masa dan luku kepala mereka yang buat dasar bukan-bukan yang kemudian menyusahkan kita zaman sekarang.

Dan tidak mustahil juga cucu-cucu kita nanti pun berperasaan sama atas keputusan bodoh yang kita lakukan.

Tapi itulah yang aku tulis tadi. Usahlah diungkit sejarah yang lalu. Biarlah ia tinggal sejarah sebab kita bukanlah pelaku yang terlibat dalam situasi zaman itu.

Dan aku selalu bayangkan dunia ini tanpa negara dan kau bebas ke mana-mana tanpa prasangka.

Sudah tidak fokus

Wednesday, February 20, 2013 · Posted in ,



Serius, aku tak tau apa nak tulis. Fikiran aku sekarang sudah tidak fokus. Aku sudah kurang sinikal, kurang marah macam dulu-dulu dan kurang serba serbi. Aku tak tau sama ada semua ini disebabkan kehidupan aku yang semakin statik atau monoton atau selesa atau kefamilian.

Entah kenapa kadang-kadang aku rasa menulis blog sudah tidak sekhayal dulu yang buat kau sentiasa berfikir dan tidak sabar mahu menulis pasal sesuatu. Kau juga sudah tidak rasa teruja setiap kali melihat rating blog naik dan baca komen pembaca seperti dulu.

Aku rasa dunia sekeliling serba membosankan, penuh dengan manusia dan cerita entah apa-apa yang aku rasa keliru apakah patut aku jadikan mereka sebagai entri blog.

Atau aku perlu bercerita pasal kenangan-kenangan dulu, tetapi macamlah aku ini seorang tua yang sudah berusia 70 tahun dan punya pengalaman macam-macam yang mahu digebangkan.

Atau blog aku patut bertukar menjadi blog abah-abah dan aku akan muat naikkan gambar anak aku setiap minggu sambil bercerita pasal peel-nya. Supaya setiap minggu tak adalah blog aku terbiar tanpa cerita.

Mungkin bukan aku seorang saja yang rasa macam ni. Mungkin.

Menjelang pilihan raya i

Thursday, January 31, 2013 · Posted in , , ,



Sedang aku memandu melewati sebuah kawalan elit di kota raya, aku terlihat sebuah bangunan  terbengkalai berhampiran sebuah stesen LRT yang dipenuhi bendera parti kerajaan. Beberapa hari sebelum itu, ketika aku berjalan-jalan di sebuah kawasan suburban di pinggir Selangor, kelihatan berbatu jauhnya bendera bulan bersaiz gergasi berkibaran.

Itulah tanda-tanda pilihan raya semakin hampir dan tak lama lagi kita akan dapat saksikan banyak pihak berkelahi pasal isu menjatuhkan bendera parti masing-masing.

Duit-duit mengalir laju untuk menyuntik belanja membuat bendera, menggantung bendera dan mengupah orang menjatuhkan bendera.

Bagi yang fanatik, kita akan merasa seronok yang entah apa-apa apabila melihat bendera parti cinta hati kita banyak berkibar di tebing-tebing jalan. Dan pada masa sama, kita juga jadi sakit hati yang entah apa-apa apabila melihat bendera parti lawan banyak berkibar di tebing-tebing jalan.

Begitulah cara orang kita berpesta menjelang pilihan raya.

Mengulangi rutin

Monday, January 21, 2013 · Posted in ,

Hidup masih lagi macam biasa.

Aku perlu bangun pagi, bersiap dan panaskan enjin kereta hingga mencapai tahap 40 peratus kepanasan sebelum memandu ke tempat kerja tanpa perlu menempuh sesak trafik teruk. Syukurlah kerja ofis aku mula jam 9.30 pagi.

Sepanjang perjalanan ke sana, ada dua tol perlu aku lepasi yang kos ulang-aliknya berjumlah RM5.80 sehari. Sampai di tempat kerja aku akan parkir kereta dalam kawasan masjid dengan kos RM50 sebulan, cukup murah jika dibandingkan dengan kos parkir dalam kawasan bangunan lot bisnes atau petak parkir Majlis Bandaraya yang mencecah RM5-7 sehari.

Purata makan pula berlegar sekitar RM5-6 untuk sarapan dan RM7-8 untuk sepinggan nasi dan air manis untuk makan tengah hari.

Begitulah rutin harian yang aku ulang-ulang. Dan apabila memikirkan aku bakal melakukan rutin yang sama untuk puluhan tahun akan datang, aku jadi sangat cemas dan berdebar-debar.

Kadang-kadang perasaan cemas dan berdebar-debar itu bikin aku sangat susah hati dan berkeluh kesah hingga buat aku tertidur dan masih termimpi melakukan rutin sama. Nampak, sekarang rutin aku bukan saja di alam nyata, tapi juga di alam mimpi.

Sedar-sedar, aku sudah terjaga dan perlu melakukan rutin yang sama itu semula. Arghhhh...

Monolog 2013

Tuesday, January 08, 2013 · Posted in , ,


Entri pertama tahun 2013. Apa khabar kawan-kawan?

Aku masih hidup dan banyak benda berlaku sepanjang 2012. Menjelang peralihan akhir tahun lalu, perca-perca masa yang ada aku curi untuk berfikir tentang pelbagai perkara.

Aku berfikir tentang kenangan lalu, tentang apa yang aku capai dan tentang apa yang tidak tercapai. Tentang yang ditinggalkan dan tentang yang tertinggal.

Dek serius berfikir aku rasa seperti seorang lelaki yang sudah menjangkau usia 70 tahun meskipun jasad baru saja berusia 30-an. Dan entah kenapa tiba-tiba aku terbayang wajah aku dengan rambut beruban, bersuara serak sambil minum secangkir kopi pekat berdengung dan ketawa kahkahkah.

Ah, betapa sudah jauh diri ini hidup dan betapa jauh juga perjalanan bakal ditempuh. Entahkan esok masih ada, entahkan tidak.

Dan aku bertekad dalam hati supaya masa setiap hujung tahun dapat aku isikan dengan bersendirian dan bertafakur dan cuba mengimbau kenangan lalu sepanjang diri ini menjadi manusia. Bukankah kau akan rasa begitu pantas masa beredar sedangkan kenangan lalu itu dirasakan bagai semalam ditempuh?

Sempat juga aku membilang kedut-kedut di muka, pigmen kulit yang semakin menggelap, uban yang menumbuh dan fizikal yang melebar serta melendut.

Begitulah hidup ini. Cuma pinjam pinjaman. Dan kita tidak punya hak biar sedikit pun.

Powered by Blogger.