Archive for June 2011

Rumah murah untuk dijual

Wednesday, June 22, 2011 · Posted in , ,

Van milik seorang peniaga pasar malam mungkin..
Di Malaya, purata harga rumah kos rendah adalah sekitar RM25,000 hingga RM35,000 yang kebanyakannya adalah rumah flat sempit lagi menyempitkan dengan material murah dan kualiti kemasan setanding kereta tempatan.

Isu wang mungkin jadi satu masalah, tetapi kemudahan pinjaman ditawarkan pihak kerajaan, pemaju dan bank sedikit sebanyak membantu golongan miskin memiliki rumah sendiri. Namun, masalah nombor wahid mereka sebenarnya bukanlah wang, tetapi ruang rumah yang sempit dan tidak selesa.

Kita semua tahu, golongan miskin terdiri daripada golongan peniaga kecil, nelayan, petani dan buruh. Di sini, kita akan nampak betapa tuntutan kerja mereka memerlukan ruang rumah yang luas, bukan di flat dan teres sempit.

Peniaga pasar malam perlukan ruang untuk menyimpan barang meniaga dan generator, nelayan mahu membaiki jala dan motor bot. Petani pula mahu simpan tajak, galah dan baja. Buruh mungkin saja mahu ada ruang untuk simpan simen dan alat tukang. Kalau kerja drebar bas, dia mahu ada lot parking khas supaya senang ambil budak pergi sekolah pagi-pagi.

Jadi, itu adalah alasan mudah kenapa penduduk setinggan atau penghuni di kawasan perumahan tidak terancang enggan berpindah ke projek perumahan murah yang disediakan kerajaan untuk mereka. Sebabnya ialah ruang, di mana ia benar-benar ada kaitan langsung dengan mata pencarian mereka.

Ironinya, jumlah bilik rumah orang kaya jauh lebih banyak dan luas. Misalnya, kau laki bini duduk satu bilik. Tiga anak kau dapat seorang satu bilik. Orang gaji mungkin satu bilik lagi. Tapi kenapa nak kena ada lebih 10 bilik? Kau bela gundik macam maharaja China ke?

Secara tipikalnya, rata-rata projek perumahan di negara membangun menumpukan kepada mekanisma kewangan iaitu membina rumah mahal hingga tak tercapai akalmu.

Ini bermakna, cuma sedikit saja pemaju yang menumpukan hala tuju syarikat mereka kepada projek membangunkan rumah yang benar-benar murah untuk dibina. Sebaliknya, projek rumah murah lebih kepada cukup syarat bagaikan melukut di tepi gantang atau kalau kail panjang sejengkal lautan dalam jangan diduga. Kalau kocek kau kering sentiasa, rumah yang agam mimpikan saja (amacam, ada rhyme tak?).

Dalam erti kata lain, kalau kau berduit, dapatlah kau merasa rumah yang selesa dengan tab mandi dalam bilik, kamar tidur luas berhawa dingin dan laman luar berlanskap cantik hingga terasa bagai di syurga adanya.

Tapi, kalau kau tak berduit, bilik kau jadi sempitlah dan terpaksa duduk atas mangkuk tandas dengan lutut berlaga pintu jamban. Laman luar usahlah diharap membina lanskap seakan syurga kerana semuanya neraka belaka (jangan baca secara harfiah). Persoalannya, apakah membina projek rumah murah itu begitu sukar dilakukan hingga ia bagaikan menunggu babi tumbuh sayapnya?

Aku tertarik dengan inisiatif rumah buluh yang diperkenalkan pertubuhan Habitat untuk Humaniti Antarabangsa (HFHI) cawangan Nepal dalam usaha membantu golongan miskin di negara itu memiliki rumah sendiri. Dalam projek itu, HFHI mensasarkan membina 20,000 rumah buluh menjelang tahun depan.

Kerja menampal simen atas dinding buluh.

Rumah buluh yang siap disimen. Steady!
Rumah buluh diperkenalkan di Nepal pada 2005, di mana HFHI menyedari penggunaan buluh sebagai material utama dapat menyelesaikan masalah kos pembinaan rumah, termasuk kekangan kewangan dan ruang oleh sasaran pemilik rumah, yakni golongan miskin.

Jadi, rumah buluh ini memberi ilham kepada HFHI untuk membangunkan teknologi rumah berasaskan buluh dengan mendapat bantuan suka rela daripada Dana Warisan Arkitek Kanada (CALF).

Rumah itu dibina dengan menganyam enam batang buluh yang ditampal dengan simen atau tanah liat sebagai dinding rumah. Fungsi enam batang buluh itu ialah sebagai tiang yang akan menyokong struktur bumbung dan ketahanan dinding rumah.

Teknik membina rumah menggunakan buluh bukan saja kerana ia nampak cantik atau murah, tetapi dilihat dari aspek faedah teknikal. Ini kerana buluh boleh didapati dengan banyak di kawasan selatan Nepal. Oleh kerana ia mudah diperoleh, tidak banyak kos diperlukan untuk mengumpul bahan mentah itu dan menggunakannya sebagai material utama rumah. Tambahan lagi, buluh mempunyai daya tahan yang cukup kuat untuk menahan gegaran gempa bumi dan tiupan angin kuat serta ribut, termasuk mesra alam.

Secara mudah, antara kriteria utama yang menyebabkan buluh dipilih sebagai material utama ialah ia mampu milik, mudah dikumpul, mudah alih, tahan lasak dan sesuai dengan budaya tempatan, termasuk pengalaman positif yang dikongsi mereka yang mendapat faedah daripada projek perumahan buluh terdahulu.

Jadi, takkan Malaya yang kaya dengan sumber tropika ini tak ada material murah untuk bina rumah selain batu-bata dan simen? Kenapa tak ada projek rumah kampung? Kenapa aku tak dengar kampung-kampung baru muncul selain pamflet flat sempit diselit celah wiper kereta dan peti surat rumah.

Semua arkitek tahu pasal prinsip asas seni bina, iaitu functionalism, di mana sesebuah bangunan itu mesti direka berdasarkan tujuan bangunan tersebut. Tolong faham, functionalism untuk rumah kos rendah bukanlah kos semata-mata, tetapi ruang.

Siri berdiet dengan steady V (akhir)

Monday, June 20, 2011 · Posted in

Atkins yang steady bergambar bersama diet rendah karbohidrat.

Sebenarnya, dah lama aku nak tulis pasal entri diet siri akhir ni, tapi tertangguh. Ada banyak perkara perlu aku uruskan membabitkan urusan kerja dan peribadi, termasuk beberapa insiden di luar jangkaan yang berlaku dalam hidup aku seperti kereta dan ofis aku kena pecah. Ok, sekarang aku sudah ada pengalaman tentang betapa bahayanya KL.

Sebelum aku meneruskan entri akhir ini, aku ulang semula dua rahsia asas diet ini iaitu baca/kaji/faham pasal diet dan kenal metabolisme diri. Diet ini mungkin tidak sesuai bagi sesetengah orang kerana kadar metabolisme setiap manusia berbeza. Kalau berat badan dipengaruhi faktor genetik, memang ambil masa sikit. Kalau kau ada penyakit atau jenis spesies badan lembik kalau tak makan nasi, pun boleh fikir dua kali juga.

Diet yang aku cadangkan ni namanya Diet Atkins, yang diambil sempena nama pengasasnya, Robert Atkins (1930-2003). Arwah ni bukan peniaga MLM yang jual ubat mahal untuk kasi kau berak banyak atau telan pil tahan lapar. Sebaliknya, beliau adalah pakar nutrisi dan kardiologi dari Amerika yang jadikan diri sendiri sebagai testimoni dan eksperimen.

Atkins adalah pakar diet yang bertanggungjawab mencipta revolusi baru diet yang lari daripada cara konvensional seperti diet rendah lemak dan rendah kalori. Diet Atkins membawa isme 'carbohydrate is the bad guy'.

Kata Atkins, karbohidrat adalah punca badan kita terlebih menghasilkan hormon insulin (atau hyperinsulinism) yang merancakkan paras glukosa dalam darah, sekali gus buatkan kau cepat rasa lapar. Kenapa Atkins cakap karbohidrat budak jahat? Ok, mari kita belajar pasal macamana sistem penghadaman kita bekerja.

Macam mesin, perut kita ni sebenarnya ada tiga tugas mekanikal. Pertama ialah simpan, iaitu menyimpan makanan yang ditelan dan juga cecair. Untuk tugasan ini, otot bahagian atas perut menjadi rileks (secara automatik) untuk menerima jumlah besar makanan yang ditelan (boleh bayangkan ular sawa).

Tugasan kedua ialah campur, iaitu mencampur makanan bersama cecair dan kimia penghadaman yang dihasilkan perut. Proses ini berlaku pada bahagian bawah perut membabitkan tindak balas otot perut itu sendiri (boleh bayangkan mesin basuh berpusing-pusing).

Tugas ketiga dan terakhir pula ialah kosong, iaitu proses perut mengosongkan ruangnya dengan menghantar secara slow and steady kepada jabatan usus kecil (boleh bayangkan proses masak rendang daripada kuah banyak sampai jadi kering). Di jabatan usus kecil inilah jabatan pengangkutan darah bertugas menghantar nutrisi ke seluruh tubuh manusia.

Berbalik kepada perihal karbohidrat. Secara normal, kalau ditanya pakar nutrisi, badan manusia memerlukan 45 hingga 65 peratus karbohidrat, yang terdiri daripada kanji dan fiber.

.
.

Ok, bagaimana perut menghadam karbohidrat?
Pertama, kanji dan gula (dalam karbohidrat) akan dipecahkan kepada molekul ringkas oleh enzim dalam air liur, di dalam jus yang dihasilkan pankreas. Kanji dihadam dalam dua langkah, iaitu enzim dalam air liur dan jus pankreas, lalu menghasilkan molekul dipanggil maltosa. Kemudian, enzim itu ketika masuk pemeriksaan jabatan usus kecil, dipecahkan pula kepada molekul glukosa supaya ia dapat menyerap ke dalam darah. Ini draf supaya korang senang faham.

karbohidrat (kanji) <-hadam-> enzim liur+jus pankreas <-pecah-> maltosa = glukosa

Glukosa ini kemudian akan dibawa oleh darah ke hati untuk disimpan atau digunakan sebagai energi untuk tubuh. Amacam, faham?

Sebaliknya, gula dalam karbohidrat dihadam dalam satu langkah saja, iaitu enzim dalam usus kecil bertindak menghadam sukrosa, juga dikenali sebagai gula meja (table sugar) atau gula yang kita cekik hari-hari tu, kepada glukosa dan fruktosa sebelum diserap ke dalam darah.

gula (sukrosa) <-hadam-> = glukosa+fruktosa

Fiber dalam karbohidrat pula lebih otai sebab enzim tak berani nak pecahkan dia kerana mamat fiber ni rileks saja lalu dan duduk dalam usus.

Jadi, Atkin melalui revolusi diet yang diperkenalkannya pada 1972 menyarankan kau supaya meminimumkan pengambilan karbohidrat dalam badan. Kata Atkins, kebanyakan orang yang mahu turunkan berat badan biasanya cenderung amalkan diet rendah lemak dan rendah kalori.

Tapi masalahnya, menurut Atkin, berapa ramai orang yang ikut diet konvensional di atas tapi masih tak kurus-kurus. Jadi, Atkins mencadangkan diet rendah karbohidrat (low-carb) kepada sesiapa yang mahu menguruskan badan secara ekspres seperti pernah aku cuba dan hasilnya dua minggu untuk 4 kilogram.

Dietnya begini. Dalam sistem penghadaman, tempoh menginap karbohidrat dalam perut adalah paling singkat berbanding protein dan lemak. Logiknya, makan karbohidrat banyak akan menyebabkan kau cepat rasa lapar. Jadi, apabila pengambilan karbohidrat dihadkan, sistem metabolisme akan ditukar secara automatik daripada menggunakan glukosa (yang dipecahkan daripada karbohidrat) kepada lemak sebagai energi.

Proses ini dipanggil ketosis yang berlaku apabila paras insulin rendah (info: dalam badan manusia, paras insulin turun apabila glukosa rendah).

.
.

Macamana?
Supaya korang senang faham diet Atkins ni. Aku akan bezakan dengan diet rendah kalori dan rendah lemak.

Dalam diet rendah kalori, objektif kau ialah kurangkan jumlah kalori harian kau. Kalau jumlah kalori harian kau 2000 kalori sehari (boleh kira di sini), kau kenalah cuba kurang jumlah tersebut, misalnya 1,500 kalori sehari saja. Caranya, sudah tentu kurangkan makanan yang ada tinggi kalori seperi nasi lemak (389 kcal), ayam goreng (232 kcal), roti canai (301 kcal), teh tarik (97 kcal).

Kalau kau kekalkan jumlah 2000 kalori sehari, bermakna berat badan kau tak berubahlah. Tapi, kalau lebih, kalori berlebihan itulah yang akan disimpan sebagai lemak. Kalau lebih lagi kalori, ia disimpan lagi dan lagi dan lama-lama badan pun membesar sebagai johan. Jadi, cara untuk mengurangkan kalori yang terlebih ialah bersukan la woii.. Tapi ada masa ke korang bersukan (macam aku)?

Kelebihan: Paling selamat, sihat dan tak ada pantang larang. Boleh makan apa saja asalkan tak lebih kalori yang mahu dikurangkan.
Kelemahan: Perlu bersukan kalau terlebih kalori. Ambil masa lama dan perlu sabar untuk kurus. Kena tahan lapar sebab jumlah kalori sudah dikurangkan daripada jumlah yang diperlukan badan.

Diet rendah lemak pula, objektif utama kau ialah mengurangkan lemak. Caranya, kena minum susu rendah lemak, kurangkan makan makanan bergoreng/minyak dan daging dengan amalkan makan banyak buah, bijirin dan sayur.

Kelebihan: Badan kaya dengan vitamin. Kurangkan risiko penyakit koronari.
Kelemahan: Cepat rasa lapar, letih dan tak bermaya. Kurang berkesan untuk turunkan badan secara drastik. Ada kajian mendakwa diet ini tak terbukti pun dapat kuruskan badan.

.
.

Apa yang hebat diet Atkins?
Banyak pakar mengkelaskan diet Atkins ni sebagai fad diet, yakni diet yang menjuruskan kepada pengambilan paten makanan tertentu dalam usaha mengurangkan berat badan secara drastik. Ada yang cakap diet Atkins ni diet orang kena kencing manis dan ada yang cakap diet ni khas untuk orang nak dapat badan ketul-ketul macam Sazali Samad. Semuanya betul dan tak ada salah pun.

Apapun, Atkins sejak menerbitkan buku pertamanya, Dr Atkin's Diet Revolution (1972), beliau membuktikan, selain diri sendiri, lebih 50,000 manusia berjaya menurunkan berat badan mereka dengan mengamalkan diet rendah karbohidrat yang diasaskannya, manakala bukunya, Dr Atkin's New Diet Revolution muncul sebagai buku terlaris pada 1992.

Kebenarannya, tiada satupun pakej kuruskan badan di Malaya yang mampu menghimpunkan testimoni seramai pesakit Atkins. Jauh sekali menulis revolusi diet yang mampu menjadi terhangat di pasaran sama ada di Malaya apatah lagi antarabangsa.

Cerita banyak pun tak guna. Aku tau korang sekarang teruja mahu tahu cara Atkins dan juga Lanzo berdiet. Mau terus cuba saja, ye dak?

Tak susah pun, dalam dua minggu ni, cuba minimumkan pengambilan karbohidrat. Kalau boleh ambil 20 gram karbohidrat saja. Kalau susah, 40 gram pun ok. Diet ni tak ada had jumlah kalori sehari. Korang boleh makan berapa banyak korang suka, asalkan tidak lebih jumlah karbohidrat yang ditetapkan.

Periksa sini untuk tahu berapa jumlah karbohidrat dalam makanan yang akan korang makan nanti. Jangan terkejut dalam nasi lemak ada 58.2 gram karbohidrat, mi goreng (40.6g), roti canai (45.5g), nasi putih (38.5g), teh tarik (19.1g), ayam goreng (0g)

Amacam, berani tak berani makan kurang 40 gram karbohidart sehari? Aiman tak kisahhh...

Lampu isyarat dan kajian kesauran

Friday, June 10, 2011 · Posted in ,

Beza lampu isyarat bodoh dan pandai
Dulu, masa aku belajar, sebelum buat apa-apa projek aku diajar pasal pentingnya feasibility study atau dalam bahasa Melayunya, kajian kesauran.

Kajian kesauran ni penting untuk menilai apa saja pro dan kontra yang ada kaitan dengan projek supaya kau dapat meminimumkan kesan buruk selepas sesuatu projek itu siap. Umumnya, feasibiliy study ni adalah kajian yang menjurus kepada perkembangan teknikal dan pelaksanaan projek.

Misalnya, kalau buat projek lebarkan jalan untuk menyuraikan kesesakan lalu lintas, kau mesti kaji sama ada projek kau tu betul-betul dapat atasi masalah tersebut. Lagi teruk kalau projek kau bukan saja gagal selesai masalah, tapi menambahkan lagi masalah.

Satu lagi contoh mengenai kajian kesauran ialah kes lampu isyarat di simpang empat Jalan Kampung Melayu Subang, dekat stesen minyak Esso atau selepas Petronas kalau kau datang dari Shah Alam.

Untuk maklumat, jalan raya sepanjang lampu isyarat itu adalah dua lorong dan dua hala. Oleh kerana ia dibina untuk menyuraikan aliran trafik di simpang empat yang membabitkan kenderaan keluar masuk simpang, sistem lampu isyarat sepatutnya membenarkan kenderaan di kedua-dua lorong bergerak satu hala secara serentak, iaitu jalan terus dan masuk simpang (macam polis trafik selalu buat).

Kalau hanya satu laluan saja dibenarkan bergerak dan satu lagi berhenti, kesesakan akan berlaku, terutama di lorong terus. Ini kerana laluan cuma dua lorong, lainlah kalau laluan terus ada dua atau tiga lorong.

Berdasarkan pemerhatian aku, sistem trafik satu lorong terus dan satu lorong berhenti untuk jalan dua lorong tak pernah berjaya meleraikan masalah kesesakan. Ini kerana kenderaan yang mahu bergerak terus biasanya lebih banyak berbanding kenderaan masuk simpang.

Masalah timbul apabila ada pemandu yang mahu bergerak terus secara tidak sengaja (atau sengaja) masuk ke lorong yang cuma dikhaskan untuk mereka yang mahu masuk simpang. Dan apabila sedar tidak boleh belok, mereka pun beri signal mahu pangkah masuk ke lorong terus. Jadi, inilah punca kesesakan berlaku di simpang lampu isyarat dua lorong.

Contoh lain ialah satu lampu isyarat di Jalan Ipoh menghala ke Sentul dan Jalan Sungai Buloh (dekat kuarters tentera). Setiap hari aku lalu dua jalan tu, mesti ada pemandu silap masuk lorong dan bagi signal mahu jalan terus.

Berbalik kepada lampu isyarat Kampung Melayu Subang, sebelum ini lampu isyarat di simpang tu bergerak dua lorong serentak. Tapi, beberapa hari lepas aku perasan sistem lampu isyarat di situ sudah berubah kepada sistem baru yang aku sebut di atas. Sudahnya, laluan yang memang sudah sesak teruk menjadi semakin teruk hampir sepanjang masa.

Situasi tersebut seolah-olah kau yang boleh saja makan ikut hidung untuk atasi masalah makan guna mulut, tapi diarah doktor supaya makan ikut telinga. Aku tak faham kajian binatang apa yang perancang bandar kita buat.

Bir Halalan Toyyiban

Thursday, June 02, 2011 · Posted in

Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) baru-baru ini mengejutkan umat Islam Malaya apabila mengumumkan bir halal dari Timur Tengah sebagai haram selepas ujian makmal mendapati kandungan alkohol dalam minuman itu melebihi kadar dibenarkan syarak.

Apa yang lebih mengejutkan, penemuan kandungan alkohol 0.5 peratus itu dibongkar Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) sebagai susulan daripada aduan pengguna yang ragu tentang status halal minuman tersebut. (Info: Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan cuma 0.01 peratus kandungan alkohol yang dibenarkan dalam makanan atau minuman).

Ok, kita prasangka baik. Mungkin tak ada pengguna yang buat aduan kepada Jakim mengenai status halal bir halal itu.  Maklumlah, Jakim sekarang sibuk pantau markas ajaran sesat.

Aku bukan mahu mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa walaupun al-Qaradawi pernah mencetuskan kontroversi berikutan fatwa beliau yang menghalalkan kandungan 0.05 peratus alkohol (baca). Isunya, kenapa selepas setahun bir halal itu popular baru ia diisytiharkan haram?

Dan soalan yang masih belum dijawab Jakim ialah bir halal yang haram itu jenama apa? Siapa pengedarnya?Syarikatnya di mana? Siapa CEO? Bukan apa, setakat entri ini ditulis, ada dua syarikat bir halal tampil membuat kenyataan media mendakwa bir mereka halalan toyyiban.

Pertama, wakil syarikat pengedar utama minuman berasaskan bijirin barli jenama Istak yang tampil menegaskan produk mereka tiada kaitan dengan produk 'bir halal' yang haram. Malah, bir halal Istak bebas alkohol 100 peratus! (baca)

Tidak cukup dengan itu, wakil syarikat itu mendakwa Istak melepasi piawaian halal untuk Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2009 di Kuala Lumpur dan Islamic Chamber Research and Information Center (ICRIC) yang diiktiraf negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Mereka juga kini sedang dalam proses mendapatkan logo Halal Malaysia keluaran Jakim.

Selain Istak, pengedar kedua yang turut membuat kenyataan media mengenai status halal minuman mereka ialah  syarikat minuman malta jenama Barbican dan bagi menguatkan bukti halalan toyyiban, ditunjukkan mereka sijil Kementerian Kesihatan Dubai, sijil eksport dan sijil halal daripada Islamic Food Research Centre Malaysia Asia Region (IFRC Asia). Kata pengarahnya, Barbican juga dijual di Masjidil Haram, Mekah (baca).

Jadi, aku ulangi sekali lagi soalan kepada Jakim.Bir halal yang haram itu jenama apa? Siapa pengedarnya?Syarikatnya di mana? Siapa CEO?

Kalau pendedahan resipi rahsia ni macamana pulak? Bila mau buat analisis?
Kalau Root Beer?

Powered by Blogger.