Archive for May 2005

symbian os III

Monday, May 30, 2005 · Posted in

SYMBIAN OS III

Skrin jadi putih dengan huruf-huruf hieroglif muncul sekali-sekala. Firaun tak berputus asa untuk terus menghubungi aku. Firaun, aku cuma orang biasalah!

Tetapi, Nokia aku masih tetap cuba menterjemahkan mesej-mesej darinya sehingga aku tak dapat lagi untuk menulis mesej-mesej bermuka Roman.

Ya, hari ini aku mahu beri satu slogan baru untuk Nokia.


PHAROAH TECHNOLOGY

segelas teh ais

Sunday, May 29, 2005 · Posted in

SEGELAS TEH AIS


Teh ais tersedap di dunia - Restoren soto, Seksyen 8, Shah Alam.

Segelas teh ais
Ketika sore tenang
Rasanya paling lazat
Dinginnya membasahi kerongkong
Dan dinding-dinding perutku
Aduh, ramuan apakah ini!
Hanya daun-daun hitam yang dimerahi panas air
Dahagaku diusir bagai semilir
Manisnya menyelinap urat-urat lidah dan pipiku
Gila, teh ais ini buat aku senyum sendirian
Bagai pencinta yang mabuk kepayang
Lalu aisnya kukocak
Perlahan-lahan
Tertahan-tahan
Biar dingin itu menyelimuti rasa
Kulihat butiran air di kaca gelas
Bagaikan lelehan peluh si pembuat teh
Yang terkucur bagi setiap kedahagaan
Kuusap tapak tanganku
Basah dan sejuk
Resah diri kurasa merunduk
Terima kasih
Segelas teh ais
Ketika sore tenang
Sakitku menjadi kalis
Lelahku dibuang melayang

Wei, baca buku bukan minum teh ais!

exam i & exam ii

Friday, May 27, 2005 · Posted in

EXAM I

En. Mohamad,

Saya tahu saya kurang memberi perhatian di dalam kelas. Saya selalu main Internet. Jarul pun selalu juga. Ayie pun. Budak-budak lain pun sama. Al-maklumlah free access lab di U***** dah lama bungkus sebab masalah birokrasi. Jadi terpaksalah kami main Internet dalam kelas untuk menjimatkan wang. Kami bukan buat apa pun. Kami baca berita, download lagu, software dan up-date blog. Kami minta maaf. Kami berjanji akan mengulangkaji subjek Data Structure dan dapat keputusan yang bagus pada exam nanti.

En. Mohamad memang baikkan. Dia juga seorang yang kacak!


Hi, Miss Kim.

If you visit here i juz wanna say thanks. Thanks for your teaching. Thanks for your lesson and thanks for everything. Miss, you are so beauty. I'm very sure that i didn't have the best lecturer before I meet you. Err.., I thinks it's not too late if you give me extra mark for final exam. Hee..

Kelambu: Chewah, bodek nampak.. :)



EXAM II

Selamat mengambil peperiksaan akhir semester untuk para mahasiswa dan mahasiswi U*****. Jangan lupa bawa kad matriks dan slip peperiksaan.

Lagi satu jangan lupa pula bawa sweater. Kalau tak kau akan rasa macam ambil ujian dalam peti ais. Pankreas beku, serebrum beku, bronkiol beku, salur arteri beku, pundi kencing cair. Pendek kata semua boleh beku di dewan peperiksaan. Bila dah habis jawab, badan dah boleh dimesin dan buat ABC super special! Nyam nyam!

Kelambu: Kena potong rambut



LIVERPOOL MENANG

Liverpool menang.

Sebelum Liverpool dapat menyamakan kedudukan Ayie dah masuk bilik tidur. Dia kecewa sangat-sangat. Dia letak tangan ke dahi. Mungkin dia menahan sebak.

Tidak lama selepas tu Adie kejutkan dia. Wei, bangun. Kau bukannya boleh tidur pun. Liverpool dah seri!

Pagi esok aku cakap kat Ayie. Ayie, Liverpool seri sebab kau tak tengok. Kalau kau tengok Liverpool kalah.

Ayie tetap sengih-sengih sambil membaca akhbar Kosmo yang dibeli Jarul.

kekuatan dan symbian os II

Wednesday, May 25, 2005 · Posted in

KEKUATAN

"Suami saya mempunyai banyak persamaan dengan superman... kedua-duanya begitu cepat!"

"Malah, ia selalunya berlaku sebelum pun sempat saya memasuki bilik tidur."

"Pernah tengok arnab berlari? Mula dan tamat! Macam tulah."

- Tajuk akhbar Mingguan Malaysia, bahagian Kesihatan -

Aku baca bersama-sama dengan Ayie sambil bertukar-tukar pendapat. Adie sedang ralit bermain Football Manager. Game bulat-bulat.

-Joe masuk-

Ayie: Joe, kau baca ni. Ejakulasi Pramatang. Silap-silap kau ada masalah!
Joe: Sorry aa.. Aku tahan lama wei..
Kelambu: Mana hang tau tahan lama. Hang bukannya penah kahwin pun.
Joe: Bagilah perempuan kat aku kalau nak tau.

Kelambu: [bisik kat Ayie] Betul tak aku cakap lelaki memang ego bab-bab ni.
Ayie: [angguk] Betul!!

-Salleh masuk-

Ayie: Ha Salleh.., baca ni. Silap-silap kau ni tengok je dah klimaks.
Salleh: Mana ada. Aku ni paling cepat pun setengah jam.
Kelambu: Mana hang tau hang tahan lama. Hang bukannya pernah kahwin pun.
Salleh: Err... Aku tau la..

Jangan tanya mengenai KEKUATAN lelaki! Tak kahwin pun dia dah tau. :)

SYMBIAN OS II

Telefon pintar sudah ok. Cuma bayar RM50 untuk tukar cip kabel pada Cina handphone. Dia kata kalau orang lain dia bagi RM100 lebih. Sebab Kelambu pelanggan pertama yang ada masalah telefon bertulisan Firaun ni, dia bagi murah. Ceh, Kelambu rasa dia bagi murah sebab dia takut kena sumpahan Tuttankhamun kot.

Kali ini tiada lagi tulisan Firaun. Yang ada cuma tulisan Roman. Firaun dah tak dapat menghubungi Kelambu lagi. Babai Firaun..

symbian os

Saturday, May 21, 2005 · Posted in

SYMBIAN OS


Sistem operasi Symbian (OS Symbian) merupakan sistem operasi untuk telefon bimbit jenis pintar. Antara versi sistem operasi Symbian ialah 6.0, 6.1, 7.0 dan yang terbaru 8.0.

Antara telefon bimbit yang menggunakan sistem operasi Symbian ini ialah Nokia Sabun, Nokia Batu Nisan, Nokia Batu Nisan Besar, Nokia Daun, N-Gage, Communicator dan yang seumpamanya.

Secara mudahnya, kalau Windows merupakan sistem operasi untuk pc maka Symbian merupakan sistem operasi untuk telefon bimbit jenis pintar ini.

Kelebihan sistem operasi Symbian ini ialah untuk menguruskan aliran data di dalam telefon bimbit pintar tersebut seperti e-mel, mms, picture gallery, camcorder, mp3 player, aplikasi-aplikasi java, gambar-gambar terlampau, melampau, penampau dan pengstoran data di dalam memori telefon dan kad memori (SD card, MMC card).

Hari ini berlaku satu keajaiban. Ketika Kelambu menghidupkan telefon bimbit pintarnya maka terteralah tulisan-tulisan hieroglif dan nombor-nombor matriks yang sukar ditafsirkan.

Wah, hebatnya sistem operasi Symbian ni. Ada tulisan FIRAUN!

Kelambu: Tak faham..

alizee

Thursday, May 19, 2005 · Posted in

ALIZEE

Sekarang budak rumah tengah kemaruk Alizee. Alah.. si penyanyi gelek dari Perancis yang menyanyikan lagu La Isla Bonita yang pernah dinyanyikan Madonna dulu. Kalau tak tau carilah dalam search engine. Ni bukan portal pendidikan atau pun My News Network. Faham!

Alizee tak pandai gelek ngebur macam Inul. Dia cuma gelek sikit-sikit. Kanan sikit.. Kiri sikit.. Kanan lagi.. Kiri lagi.. Angkat tangan.. Turun tangan.. Gelek pinggang.. Ewwaahhh...!!! Aduh, penuh eksotik! Penuh berahi!

Pakaian Alizee sungguh ketat sehingga membentuki susuk badannya yang mungil. Muka comel. Pinggang ramping. Kaki kecil. Semuanya secukup rasa.

Balik kelas je mesti ada yang dengar lagu Alizee. Kalau tak PC Kelambu mesti PC Sabahan. Kalau tak PC Sabahan mesti PC Aslam. Pendek kata semua kemaruk Alizee. Alizee tak kemaruk kami pun. Sikit pun tak.

Jarul suka Alizee yang sedang menggelek-gelek pinggulnya yang montok. Ayie suka objek yang berbenjolan. Sabahan suka aksinya yang seakan lintah. Adie suka muka dan bibirnya yang cute. Seperti mahu diramas-ramas. Aslam pun sama. Barangkali apabila melihat Alizee dia akan terbayang ratu gelek ketika dia belajar di Kuwait dulu.

Kelambu?

Err.., dia suka semua. (kata Kelambu sambil menari-nari ala Alizee)

Kelambu: Kalau Siti gelek macam tu..?

klip video

Tuesday, May 17, 2005 · Posted in

KLIP VIDEO

Ada mesyuarat bersama Dr. A sekali lagi. Kali ni bukan pasal Hot Pepper Spray tapi pasal projek terbaru. Projek VCD motivasi untuk pelajar-pelajar sekolah. Kelambu jadi editor. Kelambu buat klip video. Kelambu pakai lagu UNIC, Anak Soleh. Ye lah, takkan nak taruk lagu Anak Derhaka!

Dr. A tengok. Dia cakap ok. Tapi dia complaint sebab tiada kualiti. Bukan pada kualiti suntingan tapi pada kualiti gambar. Resolusi gambar jadi pecah bila dipindahkan ke dalam PC. Apatah lagi bila dibakar (baca:burn) menjadi CD. Macam gambar cetak rompak. Macam VCD Tak Bai dan Tsunami.

Kelambu bisik. Ye lah, shoot pun pakai handy cam. Lainlah kalau pakai kamera video untuk buat telefilem.

Semua diam. Bisu. Kelu. Kelambu haus. Hujan merontok dingin. Macam nak minum hujan.

You can hope for the best but you must be prepare for the worst! Dr. A berpujangga. You all usahawan bukannya peniaga!

Esoknya Aslam kelam kabut aturkan mesyuarat ahli. Masalah mesti diselesaikan. Mahu tak mahu klip video mesti diterbitkan. Kami tengah berfikir-fikir bagaimana mahu meningkatkan resolusi gambar agar tidak pecah hanya dengan menggunakan handy cam. Ada cara tak?

Kelambu: Nak tangkap gambar entiti..

kura-kura

Sunday, May 15, 2005 · Posted in ,

KURA-KURA

Aku, Jarul dan Salleh keluar minum-minum di Restoren mamak DE, Seksyen 8. Kami tengok Astro yang sedang tayang gambar Master of Commando dari channel Star Movies. Ada satu adegan menunjukkan kura-kura gergasi. Kura-kura tu besar, hodoh dan tua.

Jarul: Mak aii, besarnya.. Ada ke kura-kura macam tu?
Aku: Adalah.. Tapi dekat negara luar..
Jarul: Kat sini pun ada tapi kat zoo negaralah. Aku tengok muka dia hari tu buruk gila. Kedut-kedut.
Aku: Ye la, kan kura-kura boleh hidup sama hayat dengan manusia.
Salleh: A'ah, labi-labi pun besaq. Sama besaq dengan meja ni. (panjang 1 meter)
Jarul: Err.., kalau lalbi-lalbi!

Erkk.., Hahahahaha

Baca:
kiniku tahu
kepulauan galapagos
galapagos giant tortoise

Kelambu: Lalbi, maafkan aku. Kami tak berniat nak gelakkan kau.. :)

jerusalem

Wednesday, May 11, 2005 · Posted in

JERUSALEM

Selepas Nik baca puisi aku mengenai Jerusalem dia pun tanya, Kelambu.. Kelambu.. Jerusalem tu apa..?

Masa tengok filem Kingdom of Heaven lakonan Orlando Bloom, Ayie pula tanya, Kelambu, Jerusalem tu kat mana. Palestin ke?

Baiklah aku akan beri informasi kepada Nik dan Ayie serta orang-orang lain ya. Sememangnya dalam subjek Geografi pun tak disentuh tentang Jerusalem ni. Di dalam peta dunia Jerusalem sebenarnya hanyalah sebuah tanah tanpa sumber.

Tapi bagi aku sebagai seorang Muslim, tak kenal Jerusalem samalah seperti orang Malaysia tak kenal Tun Mahathir, orang India tak kenal Mahatma Gandhi, orang Jepun tak kenal Ultraman atau pun manusia yang tak kenal siapa Firaun.

Jerusalem merupakan ibu negara Israel yang diperintah oleh orang Yahudi. Jerusalem dianggap tanah suci kerana ia menjadi rebutan 3 agama. Islam, Kristian dan Yahudi.

Sebagai orang Islam kita sepatutnya tahu Jerusalem merupakan tempat ketiga yang dianggap suci selain Masjidil Haram di Mekah, Masjidil Nabawi di Madinah. Maka, di Jerusalem inilah berdirinya Masjidil Aqsa. Tempat Rasulullah s.a.w. menaiki Buraq ke langit dalam sebuah peristiwa yang dinama Israk Mikraj. Sebelum kiblat umat Islam ditukar ke Kaabah, kiblat umat Islam adalah pada Masjidil Aqsa di Jerusalem.

Bagi orang Kristian, Jerusalem adalah tempat matinya Jesus (Nabi Isa a.s.) kerana di salib mengikut kepercayaan mereka.

Bagi orang Yahudi pula, mereka mengatakan tapak masjidil Aqsa di tanah Jerusalem adalah merupakan tapak bekas runtuhan kuil mereka.

Di sinilah berlakunya pertembungan antara 3 agama ini. Antaranya ialah peperangan Salib yang berlarutan sehingga beratus-ratus tahun.

Cuma pada zaman Sallahuddin al-Ayubi sahaja ketiga-tiga penganut agama yang berbeza ini dapat beribadah dengan tenteram.

Semasa perang 6 hari (six day war) pada tahun 1967, Israel telah menakluk Jerusalem dan 13 tahun kemudiannya Israel pun mengistyharkan Jerusalem sebagai ibu negara kepada negara Israel.

6 bulan sebelum pengisytiharan negara Yahudi itu. PBB ketika itu telah mengadakan satu deklarasi bahawa Jerusalem merupakan tanah bebas yang tidak dikawal mana-mana negara atau kuasa kecuali oleh PBB. Jadi siapa yang melanggar perjanjian siapa?

Pada asalnya bangsa Yahudi semenjak zaman Nabi Musa dikatakan tidak mempunyai tanah dan mereka melata pada setiap negeri sama ada ada di negara-negara Eropah dan Arab. Ada pendapat kuat mengatakan bahawa Jerusalem merupakan tanah milik Palestin yang disediakan untuk bangsa Yahudi sebagai menebus kesalahan bangsa Kristian dalam pembunuhan kejam tentera Nazi semasa perang dunia pertama dahulu.

Kawan-kawan, zaman sekarang zaman globalisasi. Dunia sudah menjadi semakin kecil dan mahu tak mahu kita perlu memandang dunia luar sana yang lebih besar. Kadangkala kita juga perlu memikirkan impak dunia-dunia itu kepada kita. Tentang imperialisme ke atas ekonomi, penyelewengan sejarah yang dianggukkan kita dan pengkhianatan bangsa-bangsa lain yang dihalalkan. Buka mata, baca dan tengoklah rancangan bermaklumat dan bukan setakat menonton ESPN, AIM, majalah Kereta, Hype, Utopia atau pun mempraktikkan Tinju Harimau Kumbang di dalam komik Raja Rimba.

Kalau sudah faham. Bagus. Kita jumpa lagi ye dalam rancangan Mari Mengenal Bumi Kita. Bye. [bunyi suara ala-ala Shin Chan]

Mari baca:
jerusalemites.org
jerusalem.muni
Ancient Map of Jerusalem
What is so Important About Jerusalem?

Kelambu: Suka Masked Rider

water shop

Sunday, May 08, 2005 · Posted in

WATER SHOP

Tahu tak apa itu Water Shop? Apa tak tahu.

Ok, Kelambu akan beritahu. Water Shop ialah sebuah mesin air kosong. Samalah seperti mesin minuman bergas, air kotak, kad top-up dan cokelat. Anda perlu masukkan syiling dan air akan keluar dari muncung. Anda cuma perlu masukkan syiling sebanyak 20 sen untuk mendapatkan air sebanyak 1 liter. Fahamkan.

Kalau sudah faham Kelambu akan bercerita lagi.

Pada suatu hari ada sekumpulan pemuda yang sudah dewasa sedang berehat-rehat di hadapan sebuah kedai runcit.

Mereka sedang minum air berkarbonat dan menjilat-jilat aiskrim. Mungkin disebabkan keletihan bekerja pada siang harinya. Sambil itu mereka menghembuskan asap rokok dari corong hidung dan mulut masing-masing.

Di hadapan mereka ada mesin Water Shop. Mereka tak masukkan duit pun untuk dapatkan 1 liter air. Maklumlah air kosong. Lagi pun nak tadah air kena bawa bekas seperti termos, tong drum, plastik, tupperware atau pun akuarium. Ya, mereka tak ada semua tu.

Nak tahu mereka buat apa? Mereka menadah tangan masing-masing yang berlekitan akibat sisa makanan yang dimakan sebentar tadi pada muncung mesin itu. Lalu keluarlah titisan air untuk membasuh tangan mereka yang bersisa itu.

Kemudian datanglah seorang India memasukkan syiling dan menadah air dari mesin Water Shop itu. Air pun keluar bersama sisa-sisa lekitan yang jijik lagi menjijikkan.

Kelambu hanya memandang. Memandang tentang kebiadapan dan kebodohan. Juga tentang betapa tidak bertamadunnya sekelompok manusia.

Manusia jenis ini barangkali kencingnya tidak berbasuh. Gemar menyapu hingus pada kain baju orang lain atau pun mengharapkan tahinya dicurah atau dibilas orang walhal dia sendiri gemar menghidu tahi itu.

Kelambu: Aduh, sedihnya melihat warga-warga Malaysiaku

pengantin baru

Friday, May 06, 2005 · Posted in

PENGANTIN BARU

Petang yang damai. Fahmy mengutus mesej. Katanya selamat diijabkabul pada 28 hb lalu. Isterinya tua setahun. Kebetulan pula isterinya itu merupakan bekas kawan sekolah Lalbi ketika di sekolah menengah teknikal di yang terkenal di bandaraya Alor Star.

Fahmy pelajar terbaik PMR di sekolah Kelambu. Dia kemudiannya menyambung pengajiannya di sekolah menengah sains. Kemudian ke sebuah IPTA di Jalan Semarak tapi pengajian tergendala di situ. Mahu menjadi kontraktor berjaya seperti ibu dan ayah tirinya. Barangkali peluang itu merubah hidupnya hari ini.

Kanak-kanak berbasikal. Kenangan-kenangan ketika berbasikal ke sekolah dan melewati jirat-jirat cina pun datang mengusik jiwa. Sudah kahwin rupa kawan aku tu, bisik Kelambu sambil menatap tayar Suzuki rongaknya yang botak. Kelambu menjawab mesej.

Kelambu: Insya-Allah aku datang kenduri hang nanti. Selamat pengantin baru. Selamat menempuh malam pertama.

Fahmy: Terima kasih di atas kata-kata perangsangmu itu. Aku sekarang sudah terangsang. Aku berjaya dengan sekali lafaz saja. Hehehe

Ceh, tiba-tiba kenangan membaca kitab Kemahiran Rumahtangga bersama rakan sekelas dulu menerjang-nerjang minda. Kelambu senyum.

Apakah dia masih mengingati ilmu-ilmu di dalam kitab keramat itu? Ingatkah dia atau Kelambu yang terlalu mengingat?

Kelambu: Selamat Pengantin Baru

pesta buku

Wednesday, May 04, 2005 · Posted in

PESTA BUKU

Pergi PWTC dengan kawan baik. Alaa, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang ke 24 tu. Sungguh banyak orang membeli buku-buku. Buku-buku pun sungguh banyak dibeli orang-orang.

Kelambu beli buku One Hundred Years of Solitude, karya Gabriel Marcia Marquez, pemenang hadiah Nobel Kesusasteraan tahun 1981. Tapi dalam bahasa Indonesialah, tajuknya Seratus Tahun Kesunyian.

Kawan baik beli buku The Dancer, novel antologi karya Ahmad Tohari. Nak hadiahkan kepada Mum katanya. Maklumlah orangnya agak keInggerisan.

Tiba-tiba Kelambu agak berahi dengan sebuah gerai jualan yang melonggokkan sekian banyak buku-buku lama. Dia bisik pada kawan baik.

"Eh.., nak singgahlah situ. Banyak buku-buku lama."

"Bukan buku-buku lama tapi buku-buku BERHARGA!"

Seorang India tua menyampuk dari belakang Kelambu sambil menggeleng-geleng kepalanya.

Hehe.. Ya, buku-buku lama yang berharga.

Kelambu: suka balut buku

Ibu, Jerusalem Membawamu Pergi!

· Posted in

Ibu, Jerusalem Membawamu Pergi!

Ibu,ini tanah tempat lahir
dan wafat para nabi
para rasul suci
Jerusalem ini jugalah yang membawaku pergi
pada dini subuh dingin
kita dihangati air mata dan darah
sehingga embun pun menjadi merah

Ibu,
ketika suamimu dipanggil pergi
dan anakanda sulungmu hilang tak ketemui
kau selalu kudengar
menyembunyikan derita dan sengsaramu
pada getar suci kalam Quran dan takwa iman
kau sering kulihat
menyelimutkan air mata dan deritamu
pada lusuh sejadah dan telekung yang basah.

Ibu,
ketika rumah kita bergemuruh
kau memeluk aku dan Adik Fatimah
tudung loyang yang berlubang kau tadahkan
kita diluruhi bertih peluru dan serpih batu
bersama laung Allah Maha Besar
kulihat kau menjadi wanita kekar
cuba melindungi anak-anakmu daripada dicalar.

Ibu,
ketika itu
tiada siapa mahu mendengar
jerit Adik Fatimah yang lapar
dan anak-anak jiran menghingar
dalam panas dakapmu aku berasa ini mimpi paling aman
Adik Fatimah kau lenakan dalam kenyang sedu susumu
Penuh sayang kau usapkan ubunku dan berbisik
Anakku, Jerusalem ini adalah tanah tumpah agama kita
Biar kita sahaja yang mati kerananya.

Ibu,
pada subuh dini itu
Jerusalem membawamu pergi
ketika selerak mangkuk-mangkuk roti
percik-percik darah di lembar al-Baqarah
susumu tertumpah memutih ke wajah Adik Fatimah
darah memekat bersama carik perut dan pucat muka
Jerusalem pun membawa Fatimah pergi
Jerusalem juga membawamu pergi
meninggalkan aku seorang diri.

Tunas Cipta, April 2005

Satu polemik yang dihalalkan oleh umat manusia. Al-Fatihah untuk ibu-ibu dan keluarga para mujahid. Amin..

Powered by Blogger.