Archive for December 2006

raya lagi

Saturday, December 30, 2006 · Posted in

RAYA LAGI

Raya Haji punya pasal aku balik Kedah lagi. Dan seperti biasa aku ambil bas di Shah Alam.

Aku dapat bas tambahan. Free seat. Jadi aku pilih untuk duduk di tepi tingkap. Yang kosong. Yang tidak ada orang. Tempat lain sudah diteroka. Lagi pun aku suka duduk tepi tingkap. Boleh tengok orang dalam kereta bawah. Cait!!

Kemudian ada sepasang suami isteri masuk. Si suami terus meluru kat aku dan cakap, boleh saya duduk di sini dengan wife saya?

Sebab apa mesti aku? Aku rasa macam kat dahi aku ada tulis ANDA BOLEH HALAU MANUSIA NI KALAU MAHU TEMPAT DUDUK.

Tapi sebab aku ni orang baik-baik aku gesit berdiri. Betul kata orang, orang baik-baik selalunya teraniaya.

Bang, kat belakang sekali ada lagi kosong. Tiba-tiba. Ada awek cun menjadi superhero menyelamat tempat aku dari dijajah.

Woooo. Si suami mengewoo.
Abang, sakit la bontot duduk belakang. Si isteri protes.
.
.
Wah. Terima kasih. Aku senyum saja. Mengulum. Nasib baik aku tak ada Hacks. Kalau tak serius aku bagi kat awek cun tu.

sumpah, raja, sms, tahyul

Wednesday, December 20, 2006 · Posted in ,

SUMPAH

Aku kena daftar Ahad ni. Tapi Man racun-racunkan aku ke stadium. Tonton Liga Super. Kedah lawan Brunei.

Apa barang senior daftar awal!! Ujar Man penuh provokasi.

Hmm. Ok. Aku tunggakkan sesi pendaftaran. Jadi, aku suruh Lalbi daftarkan untuk aku. Aku bank-in ke akaun Maybank dia. Selesai!

Di Stadium, Kedah kalah 1-2.

Sumpah, aku tak tengok dah. Ujar Man penuh emosi.


RAJA

Aku bawa balik cadar baru. Bukan cadar biasa yang diimprin lukisan bunga-bunga. Tapi cadar yang punya sulaman dan tenunan. Semestinya gebu dan cantik. Warna biru gelap dan putih . Diselang-selang penuh seni.

Uiihhhhh.. Gila gila. Ni raja-raja saja yang pakai cadar ni.. Cakap Edi.

Hehehe.


SMS

Bahasa sms mencemar bahasa Melayu.

Bayangkan kau tulis -Kau apa khabar? Sihatkah? Buat apa sekarang? Aku nak ajak kau keluar petang ni di Restoren Abuyu.- Dalam sms kau.

Rasa-rasanya kenapa wujudnya trengkas? Atau stenografi?

Jadi. Aku tak sokong. :)


TAHYUL

Minggu pertama aku malas pergi kelas! Aku senior! Otai!

Jadi aku habiskan masa menonton cerita tahyul. Bawang Putih Bawang Merah.

Ah, peduli apa orang cakap.

tajam

Thursday, December 14, 2006 · Posted in

TAJAM

Betul. Aku tengok anu rimau tajam. Ada macam duri duri. - Soni

Ah, tipulah. Habislah berdarah si rimau betina. - Rumi

Mana ada tajamlah. Tu selepas diawet. Jadi benda tu jadi keras dan nampak tajam. Tapi lembut sebenarnya. - Juli

Ooooooo. Patutlah kondom rimau yang extra sensual ada macam bonjol-bonjol kat sekeliling tepi tu... - Rumi

pendirian

Wednesday, December 13, 2006

PENDIRIAN

Dulu. SMKDSO. Ketika usia masih hijau di celah-celah kematangan.

Hanis selalu ponteng. Bila dia ponteng dia akan suruh aku tulis surat. Taip guna komputer. Lepas tu tandatangan sendiri dan hantar.

Bukan sekali dua. Tapi berbelas-belas kali. Hanis ponteng. Dan aku tulis surat. Taip guna komputer.

Tiba-tiba aku rasa macam jadi balaci Hanis. Huh. Kali ni. Aku mesti tunjuk pendirian.
.
.
.

Satu hari. Ustazah Jariah dapat surat dari Hanis. Dia buka. Dia baca.

KALAU NAK TIPU.. TIPU ADIK HANG BOLEHLAH WOII!!

Ya. Aku yang tulis surat tu. Taip guna komputer. Lepas tu tandatangan sendiri dan hantar. Hanis tak baca surat tu seperti selalu. Dia terus bagi kepada Bob si ketua kelas dan Bob hantar terus kepada ustazah.
.
.
.

Lepas tu perut kami kena kutil sampai lebam-lebam. Hmm. Masa tu aku rasa sangat berpendirian.

Dulu. SMKDSO. Ketika usia masih hijau di celah-celah kematangan.

jaminan

Sunday, December 10, 2006 · Posted in

JAMINAN

Malam yang permai. Embun masih terlalu awal untuk menitis.

Aku dan Ayie bertekak. Aku pun tak tau kenapa aku asyik bertekak saja dua tiga menjak ni?

Ayie cakap industri perkilangan kita mengamalkan laissez faire. Memeras keringat dan intelektual para graduan. Kebajikan tak dijaga. Kerja di kilang selalunya secara kontrak dan berkala. Bila tenaga dan prestasi kau luntur maka bermulalah fasa kau akan dibeban dengan tekanan kerja. Sehingga kau bisa stres. Depresi. Rasa macam barua. Macam pencacai. Ayie bagi contoh. Satu. Dua.

Jadi baik kau kerja kerajaan. Kerja kau tetap dan stabil. Nak buat pinjaman senang. Naik pangkat senang. Ada masa dengan family.

Aku cakap tak. Apa yang graduan muda perlu ialah pengalaman. Pengalaman menerima tekanan itu yang lebih penting. Juga pengalaman berhadapan dengan manusia-manusia. Tekanan ini yang akan meletakkan kau pada tahap hati kau jadi tepu. Keyakinan kau jadi tinggi. Daya intelek dan putar belit kau diuji-uji. Lagi pun kau muda dan kuat. Cari duit banyak-banyak. Sekarang semua duit. Nak bercinta pun kena duit. Pergi mati dengan cinta suci!! [ayat last ni aku saja tambah bagi bunyi dramatik sikit.]

Tak. Kerja kerajaan lagi bagus. Dapat jamin hidup kita.

Yang jamin hidup kita bukan kerajaan. Tapi Tuhan!
.
.
.
Diam.
.
.
Diam
.
.
Entah macamana aku boleh terkeluar ayat tazkirah tu. Aku ni cakap saja berapi-api. Entah nanti aku pun kerja kerajaan juga. Saja nak menghangatkan suasana.

nama saya ialah..

Thursday, December 07, 2006 · Posted in

NAMA SAYA IALAH..

Majidah. Dia sepupu aku. 12 tahun. Dia anak Mak Andak dan Pak Andak. Dia anak yatim selepas Pak Andak meninggal 3 tahun dulu. Tinggal bersama kami. Sudah setahun.

Suatu petang. Ngah datang. Dengan Mak Ngah yang baru.

Duduk mana ni? - Mak Ngah.

Duduk sini - Majidah.

Memang la duduk sini. Asal mana? Hah, bagitau sikit. - Abah

Asal Kampung Gelam - Majidah

Laa. Tu saja? Hah, lagi? Bagitau la saya ni siapa. Cepat bagitau, nama saya ialah sapa.. Anak sapa.. - Abah.

Nama saya ialah Majidah. Anak Tipah. - Majidah

Hahahaha.

cinta - dosnya agak cukup

Wednesday, December 06, 2006 · Posted in

CINTA - DOSNYA AGAK CUKUP

memang gambar hiasan

Filem cinta yang baik walaupun mungkin naratifnya agak klise [ada ke filem cinta yang tak klise?] atau pun plotnya berterabur tetapi kalau ada babak yang mampu buatkan aku bercakap "apasal kau tak cakapppp!!" pada babak [contoh] mamat mahu mengorat tapi masih memendam rasa di angin lalu maka itu adalah filem cinta yang bagus.

Ya. Filem cinta tak perlu CGI. Tak perlu aksi lagak ngeri. Atau set filem yang berjuta-juta.

Sebuah filem cinta cuma memerlukan fiil dan soul yang akan disampaikan kepada khalayak penonton umum. Dan fill dan soul ini adalah berbeza mengikut tahap pemikiran, emosi, pengalaman dan pemahaman seseorang individu penonton tersebut.

Aku bariskan kronologi cinta yang paling menyentuh:

1. Rashidi dan Rita - Serius, aku teringat Cikgu Lara di hentian Pudu Raya dulu. Apabila cinta boleh saja memisahkan jiwa-jiwa yang tidak berdosa. Aku rasa babak Rashidi hantar anak ke rumah Rita paling ahhhhh...

2. Rahim dan Fatimah - Action speaks louder than words. Kau hanya perlu lihat mata. Bibir. Kerutan dahi. Senyuman. Ketawa. Sedu. Sebak.

3. Nanu dan Que - Alamak. Kenapa kau kena mati? Kau derma jantung ke? Boleh ke derma organ dan kau mati? Atau operation failed?

4. Eizlan dan Fasha - Aku rasa Fasha bagus kerana dalam 'Cinta' dia tak banyak cakap. Kalau banyak cakap aku rasa loya sikit sebab suara Fasha sama macam dalam iklan ubat gigi Darlie. Dalam 'Cinta' Mata Fasha seolah-olah bersuara. Eizlan sangat bagus. Natural. Adik aku cakap Eizlan gemuk. Eizlan, lepas ni kamu boleh pergi gym ok.

5. Pierre dan Amani - Sama seperti Fasha. Aku tak suka suara Pierre yang lembik. Senada. Tak bermain dengan vokal. Mungkin sebab aku terlalu menonton Dunia Baru. Tapi Pierre yang kewl sangat bagus pada gerak wataknya. Amani? Flirty. Cukup menjadi. Dia bagus cuma masih begitu-begitu juga. Tapi itulah Amani yang aku suka. Hah. Lagi satu aku tak suka bahagian ni sebab happy ending! Yang lain okey.

'Cinta'? Sebuah filem cinta urban yang elegan. Sangat realistik biarpun belum cukup sempurna. Ada setinggan. Komuter. Teksi. Sungai. Sampah. Kedai makan. Kutu. Kolar putih. Kolar biru. Hujan. Angin. Semuanya bersatu dan membentuk kronologi cinta yang menarik. Membuai-buai. Menyentuh rasa. Lagu dan latar seakan menyuntik 'Cinta' agar memberi dos-dos tentang cinta cinta cinta. Cuma aku tertunggu babak penyerahan diri kepada Tuhan sebagai konklusi sebuah cinta. Tapi sayang tiada.

Apa pun 'Cinta' adalah sebuah filem cinta yang terbaik pernah dikaryakan di Malaysia. Sungguh!

Powered by Blogger.