Archive for May 2010

Mei yang Sekejap Panas Sekejap Sejuk

Wednesday, May 19, 2010 · Posted in

Ada banyak perkara berlaku bulan ini. Sikit hari lagi aku cerita. Tak ada kena mengena dengan pergi ke Putrajaya atau kemuka undi tidak percaya. Jauh sekali merancang berjudi sempena Piala Dunia.

Entri yang agak serius menunjukkan perkembangan hidup aku yang agak statik. Dan aku banyak habiskan masa dengan menelaah, bersendirian dan menatap alam sambil berfalsafah (macam harem saja bunyinya).

Lagipun, tidak banyak perkara lucu dan sarkastik yang boleh dikongsi. Resam manusia, apabila dia sudah belajar mengenal ringgit, momen-momen lucu dan bahagia dalam hidup selalunya pudar. Dia akan cenderung memilih untuk memaki hamun semua perkara dan manusia.

Kau Cuma Betul-Betul Sesat Jalan Kalau Tidak Bertanya, Serius

Saturday, May 15, 2010 · Posted in

1. Pepatah menyebut, malu bertanya sesat jalan. Aku rasa pepatah ini tidak mempunyai maksud tersirat. Ia menjelaskan perkara harfiah atau straight to the point. Maknanya, kalau kau sesat jalan, kau mesti bertanya (kecuali kau ada Nuvi Garmin).

2. Ini kerana, kita jarang mendapat maklumat palsu jika bertanya kepada orang ketika kita sesat jalan. Cuba buat eksperimen, tahan mana-mana manusia dan tanya jalan. Kalau orang itu tahu jalan yang ditanya, aku berani jamin dia akan bersungguh benar tunjuk jalan sambil angkat tangan kanan-kiri. Kalau ada kertas, dia akan lukis peta. Kalau baik hati, dia akan bawa kita sampai ke tempat lokasi.

3. Tapi, kalau orang itu tak tahu jalan, dia akan terus cakap tak tahu saja. Namun, jika jalan yang ditunjuk itu silap, ia bukanlah bermakna dia menipu. Itu cuma salah faham atau boleh jadi salah tafsir soalan.

4. Bagi aku, pepatah ini cuma sahih apabila merujuk kepada soalan berbentuk jalan atau lokasi. Jadi, tidak perlulah terpengaruh dengan dakwaan kalau kau malu bertanya (selain jalan), kau akan sesat.

5. Sebaliknya, jika kau asyik bertanya saja, ia mungkin menunjukkan bahawa kau ini jenis yang malas membaca, mengkaji, menganalisis dan seumpamanya. Lebih malang, kalau kau terus percaya bulat-buat jawapan yang diberi oleh orang yang kau tanya tanpa membuat analisis dan perbandingan.

6. Sebab itulah dalam tertib meraih ilmu, perkara pertama diutamakan adalah membaca (Iqra). Kemudian barulah diikuti dengan bertanya kepada orang-orang yang faham dalam skop soalan ditanya.

7. Dan aku sangat tidak bersetuju dengan dakwaan yang mengatakan kalau kau banyak sangat membaca kau boleh gila. Antara mitos terkenal, jangan sebarangan baca tafsir Quran, nanti boleh sesat dan gila ism (sewel). Soalan di sini, apakah Quran diturunkan untuk menyesatkan manusia?

8. Orang yang rajin bertanya dan kurang membaca itulah yang akan sesat jalan. Ini kerana, dia akan cenderung percaya kepada jawapan diberi tanpa ada analisis dan perbandingan yang hanya dapat dijana menerusi pembacaan. Tambah-tambah kalau manusia itu bersongkok dan berlebai. Lagi-lagilah darjah kepercayaan membuta tuli kita melambung tinggi.

9. Dalam banyak-banyak pepatah Melayu, cuma pepatah ini saja yang aku iktiraf sebagai genius.

10. Pepatah ini mempermainkan minda kerana muncul dalam lambakan pepatah Melayu berkias. Sangat twist. Tetapi maksud sebenarnya sangat jelas, berfakta dan praktikal. Ia menempelak fahaman merumitkan perkara yang tidak rumit. Kerana kita manusia, hidup mesti saling memudahkan.

Pasal Pilihan Raya Britain

Sunday, May 09, 2010 · Posted in

Rakyat Britain meneruskan trend Eropah memilih pemimpin muda bertenaga dan kurang kontroversi. (dari kiri: Brown, Cameron, Clegg)

1. Selain mengetahui tentang Liga Perdana Inggeris, adalah perlu bagi rakyat Malaysia ambil tahu mengenai perkembangan Britain juga.

2. Bagi aku, dengan memahami perkembangan Britain, kita akan dapat memahami kesan pengaruh negara Eropah itu ke atas acuan politik, sosial dan budaya negara kita. Jadi tidak perlulah berasa hairan sangat kenapa peminat Manchester United paling ramai di Asia Pasifik.

3. Sebagai negara penjajah terakhir yang berjaya menjajah Malaysia secara total dalam tempoh lama, banyak perkara boleh dibincang dan dikaji mengenai Britain. Ini termasuk negara-negara penakluk lain seperti Jepun, Belanda dan Portugal (juga Thailand).

4. Ini kerana aku berpendapat mereka yang bijak dan kuat saja mampu menakluk orang lain.

5. Ketika entri ini ditulis, Ketua Pembangkang Britain, David Cameron (Parti Konservatif) sedang berbincang dengan Nick Clegg (Parti Liberal Demokrat), yang menguasai kerusi Parlimen ketiga terbesar dalam usaha membentuk kerajaan perikatan.

6. Perdana Menteri Britain sekarang adalah Gordon Brown (Parti Buruh) yang terpaksa tanggung najis ditinggalkan bekas PM Tony Blair akibat menyerang Iraq bersama sekutunya, Amerika Syarikat yang ketika itu dibawah pimpinan George W Bush selain kegagalan menangani krisis ekonomi.

7. Jadi, tidaklah mengejutkan kenapa Konservatif (Cameron) berjaya mengalahkan dominasi Buruh yang menguasai kerajaan Britain sejak tiga penggal lalu (1997) pada pilihan raya 6 Mei lepas.

8. Keputusan akhir menunjukkan Konservatif memperoleh 305 kerusi, Buruh (258) dan Liberal Demokrat (57).

9. Walaupun menang, Konservatif gagal mendapatkan majoriti 326 daripada 649 kerusi yang dipertandingkan untuk membentuk kerajaan. Situasi ini dipanggil 'Parlimen Tergantung' (hung parliament).

10. Dalam undang-udang Britain membabitkan kes Parlimen Tergantung, hak diberikan kepada PM sedia ada (walaupun kalah) untuk mengajak mana-mana parti bergabung dengan parti kerajaan dan mesti memenuhi syarat had minimum majoriti Parlimen (326).

11. Namun, dalam kes ini, Clegg awal-awal lagi sudah mengeluarkan kenyataan bahawa Konservatif lebih berhak membentuk kerajaan kerana menang lebih kerusi berbanding Buruh. Jadi, penganalisis meramalkan Liberal Demokrat kemungkinan besar bergabung dengan Konservatif untuk menguasai Parlimen.

12. Persoalannya, apa akan jadi pula kalau anak-anak buah Clegg lompat parti menyertai Buruh selepas berbulan-bulan Liberal Demokrat bergabung dengan Konservatif?

13. Malangnya, benda itu tidak pernah berlaku di Britain kerana kedua-dua pihak pasti akan memeterai perjanjian menyeluruh. Lagipun kes Parlimen tergantung ini sudah lima kali berlaku dalam sejarah pilihan raya Britain sejak 1900.

14. Walaupun melaksanakan sistem Parlimen cedokan British, Malaysia masih gagal menggubal satu sistem baru lebih baik atapun setidak-tidaknya menyamai demokrasi di negara penakluk itu.

15. Tahu tak kenapa entri aku di-snippet-kan? Ya, untuk korang dapat faham entri-entri berat macam ni. Jadi, fahamkan kenapa ayat Quran pun disusun secara snippet. Itupun malas kita nak baca. Ceh.

Analisis CSI Shah Alam II

Tuesday, May 04, 2010 · Posted in

1. Teruja pula aku baca kronologi kes polis tersilap tembak orang awam. Sebagai seorang yang berangan-angan mahu menjadi detektif dan menyanjung tinggi Horatio Caine selaku penegak undang-undang penuh humanis, aku berpendapat sebarang kes jenayah mesti dianalisis dengan tepat. Bukan hanya berdasarkan bukti-bukti di tempat kejadian dan keterangan saksi (yang bebas tekanan), tetapi sebab-akibat sesuatu jenayah itu berlaku di segi logik psikologi, tipologi dan antropologi.

2. Media biasanya mendedahkan sesuatu kes jenayah secara satu lapis sahaja dalam memenuhi prinsip asas kewartawanan, 5W 1H (Who, What, When, Where, Why & How).

3. Pembaca tidak berapa kisah sangat kalau berita itu bertajuk, 'Polis tembak mati perompak'. Tetapi jika tajuk berita itu, 'Polis tertembak mati perompak', ia adalah sesuatu yang menarik dibaca. Jadi, dalam kes adik Aminulrasyid, polis sudah tertembak mangsa (disyaki perompak) dan arwah pula adalah remaja 15 tahun. Justeru nilai berita ini meningkat tiga kali ganda. Pertama, polis tertembak. Dua, mangsa mati. Ketiga, budak bawah umur.

4. Jadi tidak hairan kenapa berita arwah Aminulrasyid menjadi perhatian umum. Sedangkan sebelum ini ada dua kes lain membabitkan insiden tersilap tembak. Satu, kes Norizan Salleh, 30, (hidup) di Segambut. Dua, kes Tawfiq Noorzan, 22, (mati) di Perlis.

5. Kes Aminulrasyid mencapai tahap kemuncak bagi kes-kes seumpama itu kerana mangsa adalah budak bawah umur. Sesiapa pun yang baca berita ini akan spontan menyelar polis sebagai barbarian, cuai, gila pistol dan segala macam kutukan lagi.

6. Isu Aminulrasyid tidak ada lesen dan melarikan diri dari polis bukan alasan untuk polis membuat justifikasi mangsa adalah penjenayah.

7. Di sini, kita perlu mengkaji psikologi mangsa. Aminulrasyid baru berusia 15 tahun. Dalam minda remaja sebaya mangsa, memandu tanpa lesen dan tiba-tiba dikejar polis dianggap sesuatu kesalahan besar yang menakutkan. Implikasi buruk jika ditangkap polis seperti masuk lokap, menyusahkan mak ayah, digantung sekolah mendesak mangsa mengambil risiko melarikan diri. Tindakan terdesak ini pasti tidak dilakukan golongan dewasa yang akan menggunakan kaedah diplomasi dengan polis. Ini kerana mereka tahu akibat melarikan diri dari polis mampu menyebabkan risiko berganda. Mudahnya, lebih baik disaman kerana tidak ada lesen daripada disaman sebab tidak ada lesen dan lari dari polis.

8. Aku ambil contoh situasi mat rempit lari dari sekatan polis. Pengalaman aku, tidak semua yang melarikan diri daripada sekatan polis adalah kerana tiada lesen. Ada yang lari diri sebab lampu brek atau cukai jalan mati, lupa bawa ic, nombor plat patah tapi malas nak ganti, tercicir barang dan macam-macam lagi. Tapi, mereka yang cenderung nekad melarikan diri adalah remaja. Kadang-kadang yang melarikan diri itu bukan ada kesalahan apa-apa pun, tetapi bergerak dalam satu kumpulan, apa jadah kawan lari aku lalu roadblock? Ini psikologi berangkai.

9. Polis mana tahu dia budak lagi? Kenyataan ini bagi aku sangat bahaya. Apakah kerana tidak tahu Aminulrasyid seorang remaja dan mengesyaki mangsa adalah perompak maka polis terus membuat kesimpulan dia adalah penjenayah? Berdasarkan laporan berita yang aku baca, tembakan pertama memecahkan tayar dan kereta terbabas. Kawan Aminulrasyid keluar dari kereta dan dibelasah tetapi berjaya melarikan diri.

10. Menurut dakwaan polis, mangsa ditembak kerana cuba merempuh polis. Oleh kerana mangsa ditembak dari arah belakang, aku bayangkan mangsa menggunakan gear undur untuk larikan diri. Ini bermakna yang berasa 'terancam' adalah polis di belakang. Kalau mangsa bergerak ke depan maka dia akan ditembak dari arah hadapan. Tetapi kalau mangsa menghala ke depan dan ditembak dari belakang, situasi itu tidak boleh ditakrifkan sebagai mengancam polis kerana mangsa sebenarnya melarikan diri. Faham ke tak ni?

11. Tiada laporan menjelaskan tentang jarak antara kereta mangsa dan polis yang melepaskan tembakan. Lebih meragukan, kawan kepada adik Aminulrasyid menafikan dakwaan bahawa mangsa cuba merempuh polis.

12. Persoalan di sini, apakah situasi benar-benar mengancam polis? Ini kita berbalik pula kepada psikologi polis. Aku percaya tindakan polis berbeza berdasarkan tipologi urban atau kedudukan geografi sesuatu kawasan yang berkadar arus dengan kadar jenayah. Respons polis di Lembah Klang pasti berbeza berbanding polis di Alor Setar dan Hulu Selangor. Oleh kerana kejadian berlaku di Seksyen 11, Shah Alam, apakah ibu negeri Selangor itu termasuk dalam kategori kawasan panas? Jika tidak, apakah polis yang menembak Aminulrasyid pernah bertugas di kawasan panas?

13. Ada yang menyalahkan ibu bapa Aminulrasyid kerana membiarkan remaja semudanya keluar jam 2 pagi! Ia dianggap sebagai satu kecuaian. Ini kita perlu lihat pula pada aspek antropologi. Di Pendang, kalau kau keluar pagi buta, sudah tentu kau dicap penyamun. Tapi situasi itu jauh berbeza di Shah Alam. Kalau tak percaya, datanglah ke Shah Alam jam 2 pagi, memang masih banyak budak bawah umur berkeliaran, terutama di kedai mamak. Walaupun aku mendokong fahaman remaja bawah umur patut dikurung di rumah, tetapi aku terpaksa mengalah kepada faktor antropologi yang membentuk Shah Alam sebagai bandar-raya-lepak-kedai-mamak-2-3-pagi. Ingat lagi ura-ura Khir Toyo nak hadkan kedai mamak setakat jam 12 malam?

14. Lagi satu, mana parang yang didakwa berada dalam kereta mangsa. Biasanya, kalau ada kes-kes jenayah, barang-barang milik suspek seperti senjata api, dadah, duit curi dan macam-macam akan disiarkan di tivi dan surat khabar. Tapi, mana parang Aminulrasyid?

15. Kesilapan polis adalah kegagalan mereka menepis prasangka orang ramai. Ini kerana imej polis itu sendiri (Lihat entri aku sebelum ini-poin 3).

16. Entri ini tertangguh sebenarnya. Baru sekarang aku publish.

Powered by Blogger.