Archive for November 2010

Bukan rebiu 2 Alam

Monday, November 29, 2010 · Posted in , ,

Masa balik kampung 2-3 minggu lepas adik aku cerita, orang Jitra (mungkin geng-geng dia saja kot) tak suka dR Rozmey sebab overexposed. Ini kerana penduduk Jitra terpaksa mengadap muka dia sepanjang masa yang terpampang di mana-mana sudut bangunan miliknya, Herba Prima Marketing (rujuk gambar di atas). Adik aku hairan macamana pekerja dia boleh tahan kerja di situ yang mana diorang kena mengadap muka dR Rozmey setiap hari. "Silap-silap dalam jamban ofis pun ada muka dia. Uihh, tak boleh blah aku!"

Tapi secara peribadi, walaupun agak lucu, aku sebenarnya respek dengan jutawan kita seorang tu. Dia satu-satunya businessman yang jadikan sosok tubuh sendiri sebagai model jual produk kesihatan dan jual filem.

Ok, korang bising bila iklan di media banyak eksploit wanita. Asyik ambil model pan Asian saja yang tak ada langsung muka Melayu? Korang marah bila iklan tivi dan surat khabar penuh dengan paparan seksual. Tapi datang part dR Rozmey jempul ibu jari, korang panas bontot pulak. Apa cerita ni, brader?

Walaupun tak terasa nak tengok 2 Alam, tapi serius, setiap kali aku nampak muka dia dalam surat khabar, aku jadi hepi. Jadi, orang yang bagi aku hepi, aku kena respek. Simple.

"Kenapa orang tak hepi bila dR tunjuk best? dR bukan tunjuk isyarat lucah pun."

Makanan untuk dimakan, bukan untuk fikir terlalu jauh

Sunday, November 21, 2010 · Posted in , ,

Ini baru pure kekejaman, kawan. - Korban perang di Iraq

Ada blogger dan dua tiga orang rakan Facebook ajak join kelab antisayur. Respons awal aku gelak. Apa jadah nak kena ada kelab antisayur? Kenapa sayur begitu dibenci? Apakah sayur ini metafora kepada Barack Obama atau Benjamin Netanyahu?

Ok. Selepas dikaji dan diteliti, barulah aku sedar kewujudan blog tersebut adalah reaksi kepada komen dari kumpulan vegetarian dan pencinta haiwan yang mempertikaikan acara penyembelihan 'beramai-ramai' lembu sempena ibadah kurban umat Islam.

Sebenarnya, isu ini aku dah baca lebih kurang 4 tahun lepas. Cuma masa tu Facebook belum ada. Jadi, ideologi dan faham herbivor ini belum menular.

Argumen yang digunapakai oleh kumpulan vege ini ialah kasihan kepada binatang. Jadi, sebarang acara pembunuhan binatang untuk dijadikan makanan dianggap sebagai kekejaman dan penindasan. Tambahan lagi, lembu-lembu itu tak mampu melawan.

Lalu, gambar-gambar lembu disembelih dan dilapah dengan darah terpercik dan mata kuyu dipaparkan di laman-laman blog kumpulan vege ini. Tipulah kalau aku tak rasa apa-apa apabila tengok gambar lembu-lembu disembelih itu. Memang sadis dan mengerikan serta menimbulkan rasa kasihan dalam hati.

Tapi apabila aku berfikir berpandukan rasional, aku anggap semua kenyataan dan gambar dalam laman blog tersebut tidak ubah seperti ejen propaganda saja. Macam propaganda UMNO sebagai satu-satunya penyelamat Melayu. Atau propaganda brader Anwar Ibrahim nak ke Putrajaya. Rasionalnya satu saja, KUASA. Jadi, rasional laman vege itu adalah mengajak orang ramai mengikut fahaman mereka.

Kita berbalik kepada fahaman vege ini. Aku tak nak berhujah di segi agama. Nanti berlaku tuduh menuduh dan saling kondem kepercayaan agama masing-masing. Ramai pengikut mazhab vege ini terdiri daripada kalangan penganut Buddha dan Hindu. Tapi aku keliru juga sebab ada penganut dua agama itu yang dibenarkan makan daging. Mungkin ada sesiapa boleh tolong jelaskan kepada aku.

Ada juga Kristian menjadi vege. Dalam Islam aku tak tahu sama ada wujud atau tidak fahaman vege ini. Tapi aku ada ramai kawan aku yang anut fahaman tak makan ikan, sayur, pedas dan fast food. Hahaha!

Fahaman vegetarianism ini muncul pada zaman India dan Greek kuno sekitar abad ke-6 sebelum Masihi. Bagaimanapun, vegetarianism moden diasaskan oleh Vegetarian Society di Ramsgate, sebuah bandar tepi laut terbesar di England pada 1847.

Masing-masing punya hujah sendiri dan bagi aku ialah respect. Aku bukan fasis agama yang menidakkan agama atau fahaman anutan umat manusia lain. Apa yang dibuat penganut agama lain, walaupun mungkin bagi kau nampak sadis, bodoh dan kau anggap tak cocok dengan jiwa kau yang kononnya penuh humanis, kau diam sajalah. Tak perlu dicanang-canang dan timbulkan kebencian kerana dunia ini bukan milik kau seorang. Kita berkongsi bumi yang sama.

Hujah aku pula, kita kembali kepada fitrah sains manusia. Manusia itu termasuk dalam kategori omnivor, yakni mamalia pemakan daging dan tumbuh-tumbuhan. Jadi, bagi aku, sesiapa yang anti mana-mana kategori makanan itu bolehlah aku anggap sebagai melanggar fitrah sains manusia.

Dulu, di sekolah pun kita ada belajar. Apa yang ada di dunia ini adalah saling bergantung dan melengkapi. Ada kitaran yang perlu dipenuhi sama ada kitaran hidup (bayi-kanak-kanak-remaja-dewasa-tua-mati) atau kitaran makanan (pemangsa-mangsa). Ini semua tuntutan dan fitrah asas manusia.

Manusia akan tua, itu fitrah. Dia mungkin boleh nampak muda 10 atau 20 tahun, tapi hakikatnya dia tetap tua. Manusia juga perlukan makanan yang bukan saja daging, tetapi sayur. Baca semula sejarah peradaban manusia. Kalau kau biasa main games Age of Empires (apa barang Farmville!), kau perlu ternak lembu, biri-biri, ayam dan babi untuk besarkan tamadun kau. Sistem ekonomi awal manusia digerakkan oleh penternakan dan bercucuk tanam. Lihat, haiwan-haiwan itu sudah diternak manusia beribu-ribu tahun lama.

Hasil ternakan dan buruan bukan sekadar untuk makanan tetapi juga keperluan lain. Selain daging salai dan ikan kering atau sayur dan buah yang dijerukkan, telur misalnya boleh dijadikan stok makanan ketika bencana yang begitu akrab dengan sejarah ketamadunan manusia. Makanan diperlukan untuk survival manusia dan haiwanlah yang memenuhi keperluan itu.

Sebelum berlaku penternakan, manusia keluar berburu dan aktiviti itu memerlukan tenaga, kemahiran, strategi dan kesepakatan. Namun, diakui aktiviti berburu sangat meletihkan dan rasa tak berbaloi terpaksa berjam-jam lama hanya untuk dapat seekor kijang atau pelanduk yang kecil. Di sinilah penternakan diasaskan. Ini berlaku kerana manusia itu haiwan berfikir. Tidak seperti harimau yang sampai sekarang kena terus berburu, alternatif kepada kesukaran berburu itu, manusia mencari haiwan yang boleh diternak mereka, iaitu haiwan yang aku sebut di atas tadi.

Daging haiwan bukan saja memenuhi keperluan makanan, malah, kulit haiwan digunakan untuk buat pakaian dan kediaman. Itupun sebahagian kehidupan asas manusia. Manusia nomad dulu berpindah sambil membawa haiwan ternakan untuk mengelak terputus bekalan makanan. Susu sebagai minuman dan daging sebagai makanan. Haiwan-haiwan ternakan ini menjadi sumber makanan bergerak bagi manusia. Sayur celah mana nak tanam? Di sini, daging nyata lebih relevan dalam survival manusia dulu.

Apakah harimau membunuh lembu boleh dianggap sebagai kejam sedangkan itulah makanan dia? Kalau harimau bunuh harimau dan makan spesies sendiri itu barulah kejam. Itu sudah langgar fitrah harimau. Sama juga manusia. Membunuh manusia lain atas apa alasan sekalipun adalah melanggar fitrah kemanusiaan, tetapi menyembelih lembu untuk dimakan apakah boleh ditafsirkan sebagai kejam dan melanggar fitrah? Rasional sikitlah brader.

Tapi, yang pandai-pandai buat grup antisayur ini apasal pulak? Nak aku cerita pasal manusia dan sayur pulak ke? Prinsip aku senang, sebagai manusia beragama, aku makan segala apa yang dihalalkan. Tak ada istilah pantang dan anti mana-mana makanan dalam hidup aku.

Bah oh Bah (3)

Wednesday, November 10, 2010 · Posted in ,

Selepas difikir-fikir, aku rasa tak ada fiil pula nak tulis pasal banjir itu hari. Jadi aku rasa mahu tamatkan siri Bah oh Bah dalam entri kali ini supaya aku dapat berfikir tentang perkara lain. Tentang benda-benda hepi misalnya untuk memulihkan mood aku yang masih dalam keadaan trauma (lah sangat).

Sebenarnya, apalah sangat banjir empat hari yang aku alami jika nak dibandingkan dengan letusan gunung berapi di Indonesia sana. Kecil saja ujian Tuhan bagi. Tapi, ketika hujan sedang melebat pada hari Isnin minggu lepas, aku memang tengah menaip pengalaman bercuti aku saat bangun pagi menuju ke Sintok. Tapi Selasa esok hari, elektrik terputus tidak sampai sejam air di rumah aku dipotong. Mood aku disentap.

Tambahan pula bateri laptop aku cuma berbaki 50 peratus saja. Jadi, aku ambil keputusan tutup laptop dan berhibernasi dalam rumah serta menjadi manusia antisosial. Aku kembali ke daerah 60-an yang tanpa teknologi.

Dan bermula Rabu hingga Sabtu, aku isikan kesunyian aku dengan menatap air bah yang mengelilingi keliling rumah. Saat itu, aku sudah tidak dapat lagi menuding mana air dalam longkang dan mana rumput hijau di padang kerana setiap garis satahnya sama saja, semuanya digenangi air.

Di jalan besar sana, air menaik paras peha dan pinggang. Banyak jalan utama di pekan dan tempat lain sekitar daerah Kota Setar terputus hubungan. Sederet taman perumahan yang berjajar sepanjang jalan Anak Bukit-Pantai Johor-Kepala Batas ditenggelami air. Lot-lot kedai turut mengalami nasib sama. Tiada sebarang urusan bisnes beroperasi. Kereta dan motosikal kelihatan berderetan diparkir di atas bahu jalan.

Walaupun hujan tidak turun lagi sepanjang empat hari itu dan cuma cuaca yang mendung, aku dapat lihat gelombang dan gelembung air di dalam parit, longkang, sungai dan di mana saja saling bertembung serta berpusar.

Abah kata, air sedang naik. Kombinasi air pasang di laut dan hujan lebat adalah punca banjir terburuk di Kedah dalam sejarah hidup aku. Sains cakap La Nina. Ini kerana lebihan air akibat hujan tidak dapat disalurkan ke laut yang mengalami air pasang. Di sini, berlaku fenomena pertembungan air di muara-muara sungai dan air ditolak masuk semula ke daratan. Inilah puncanya.

Apabila bah, semua manusia, miskin dan kaya turut merasa. Jauh di sebelah rumah sana, aku perhatikan padang landai dan berbukit yang menjadi tempat orang kenamaan bersenam dan berlatih menebas telur rona putih turut ditenggelami air.

Selain bekalan elektrik, air dan makanan yang menjadi masalah utama ketika banjir, masalah melangsaikan sisa kumuhan dan pepejal juga termasuk dalam perkara yang merisaukan orang ramai. Ini kerana sistem kumbahan bawah tanah dipenuhi air dan tak dapat berfungsi dengan baik. Jadi apabila kau pam jamban, air najis akan ditolak keluar mangkuk, sekali gus menyebarkan bau kurang enak dan mengotor halaman tandas.

Mahu tak mahu kau kena cari alternatif lain, iaitu mencari tandas awam di kawasan daratan yang tidak dilanda banjir. Bayangkan kalau satu bandar kena banjir? Mana kau nak berak? Tapi, jangan bimbang kerana satu-satunya cara penyelesaian masalah itu ialah kau terpaksa buang najis kau terus ke dalam air bah. Sebab itulah banjir kerap dikaitkan dengan penyakit yang berpunca daripada bawaan najis, sisa kotoran dan bangkai haiwan. Lagi lama banjir lagi sengsara.

Empat hari bercandle light dengan mak dan abah. Empat hari kami bercerita macam-macam di ruang beranda rumah sambil melantak mi segera. Dan aku teringatkan Momofuko Ando, bapa mi segera dunia. Lihatlah betapa hari ini makanan murahnya itulah yang mengamankan dunia yang berperang dan dilanda musibah.

Dan tiba-tiba aku perasan, warna dan gelembungnya banjir di hadapan mata aku. Bukankah itu tidak ubah seperti teh tarik yang cukup sempurna tarik, bancuhan, dan buih-buihnya. Aku terfikir, apakah teh tarik itu hasil inovasi orang Melayu yang begitu akrab dengan dunia banjir? Yang begitu mesra dengan musibah alamnya. Ah, betapa sentimental dan nostalgia banjir itu dirakamkan penuh makna dalam segelas teh tarik bergelembung.

Hari ini, ketika aku sedang menghirup teh tarik, senang saja aku terbayangkan erti sengsara, rezeki, harapan, mati, cinta, derita dan segala falsafah kemanusiaan di dalamnya.

Bah oh Bah (2)

Monday, November 08, 2010 · Posted in

(Ini sebenarnya entri imbas semula)

Sabtu lalu, 30/10/10, aku balik Kedah, ada tugasan di Sintok. Aku diarah buat liputan majlis konvokesyen UUM untuk tiga hari, Ahad hingga Selasa. Selepas mengambil kira cuti ganti kerja hari minggu (Sabtu, Ahad) untuk Rabu dan Khamis serta ditambah cuti Deepavali (Jumaat), aku longgokkan cuti aku sampai hujung minggu.

Sengaja aku mahu berlama-lama di kampung. Dan cuti kali ini aku nekad tidak mahu hubungi sesiapa pun. Aku mahu sendirian. Aku bayangkan musim cuti dengan sosok tubuh aku sedang bangun pagi dan pekena teh tarik dan roti canai dengan mak dan abah. Aku bayangkan seorang aku sedang berpusing-pusing di tengah pekan Alor Setar, mengimbas ibu kota remaja yang kian ditinggalkan, berjalan di kompleks beli-belah atau menonton wayang di pawagam kecil. Tak perlu ada sesiapa. Cuma aku seorang.

Dua hari di Sintok, Ahad dan Isnin, hujan turun tak berhenti, dari pagi membawa ke malam. Malam Selasa, jalan utama UUM ke Changlun tenggelam. Highway ke Kepala Batas pun tenggelam. Aku patah balik ikut Arau. Masuk jalan Kodiang. Mudguard kereta aku terkepak gara-gara redah air hampir satu kaki. Orang kampung alih laluan ikut jalan kampung, aku lalu tepi sungai yang airnya mengalir deras. Jantung aku dup dap dup dap.

Akhirnya aku sampai rumah ketika air dalam longkang depan rumah sudah penuh. Masuk hari Selasa hujan berhenti. Tapi air naik seinci demi seinci dan majlis konvo hari ketiga batal. Aku siapkan kerja di rumah. Air terus menaik. Bateri henfon aku ada dua bar...

Powered by Blogger.