Archive for April 2010

Analisis CSI Shah Alam

Thursday, April 29, 2010 · Posted in

1. Satu dunia kecoh gara-gara insiden remaja kita, Aminulrasyid yang baru berusia 15 tahun ditembak mati oleh polis kerana disyaki penjenayah.

Malásia: Quatro polícias investigados por morte de menor - lapor laman web berita dari Portugal, Diario Digital.

2. Selain cerita seks, berita seperti ini sangat dinanti-nantikan media. Ia termasuk dalam kategori 'human interest'. Tambahan lagi, yang ditembak adalah budak sekolah.

3. Biar apa alasan diberi, persepsi negatif lebih cenderung terbeban kepada polis. Ini kerana imej polis itu sendiri yang dianggap sebagai kumpulan terlatih, profesional dan kuat (kerana dilengkapi senjata). Jadi, sebarang tindakan melulu atau cuai yang mengheret kepada kematian orang awam atas alasan 'disyaki' sudah pasti akan mengundang kutukan.

4. Ini sama seperti tindakan polis menyuraikan demonstrasi di mana-mana negara dunia pun. Polis-bersenjatakan cota, peluru getah, berperisai-sering dilihat sebagai ganas kerana menyerang penunjuk perasaan yang hanya bersenjatakan batu dan botol air. Walaupun provokasi mungkin dicetuskan oleh kumpulan penunjuk perasaan.

5. Persepsi manusia lumrahnya begini, sebarang tindakan melampau dilakukan 'orang kuat' terhadap 'orang lemah' akan dianggap penindasan. Situasi ini boleh diibarat seperti lelaki memukul wanita. Walaupun cerita di sebalik ialah wanita itu seorang pembunuh, tetapi jika dia dibelasah si lelaki di khalayak ramai, persepsi negatif adalah kepada lelaki itu. Ini kerana minda separa sedar sendiri sudah menterjemahkan anatomi dan susuk lelaki itu sendiri.

6. Apakah situasi begitu mengancam sehingga memaksa polis melepaskan tembakan? Lagipun polis sudah memancitkan tayar kereta dan mangsa sendiri tidak bersenjata.

7. Apakah tindakan polis melepaskan tembakan susulan ke arah mangsa adalah keputusan tepat? Kenapa begitu sukar polis membezakan antara susuk remaja 15 tahun dan penjenayah berbahaya? Mungkinkah insiden berlaku di lokasi yang kurang pengcahayaan?

8. Dari segi lain, seorang remaja 15 tahun (tingkatan 3) memandu kereta boleh dianggap sesuatu yang luar biasa. Si kakak mendakwa mangsa tidak pernah memandu kereta, tetapi di mana dia belajar memandu? Bagaimana pemantauan keluarga terhadap mangsa.

9. Kematian Aminulrasyid perlu dibela. Kecuaian polis perlu dihukum. Kealpaan keluarga mangsa patut diadili.

10. Tak ada kena mengena dengan politik atau teori konspirasi lain. Ini profesionalisme mereka yang diberi amanah menjaga ketenteraman awam. Rakyat menilai. Serius pula hamba kali ini.

Sekadar gambar hiasan

Tetiba Nak Tulis Entri Pasal Tok Det

Friday, April 23, 2010 · Posted in

Saya harap Kerajaan akan nasihatkan nelayan kita supaya tidak menangkap Ikan Yu Paus ini.

Some people said that the price of cars in Malaysia is very high because the Government is protecting Proton. Actually the high price is due to the Government's attempt to discourage petrol guzzling big cars. Whether there is Proton or not Malaysians will pay a high price for their cars. Cheap cars will lead to even worse jams than now.
.
.

Serius, ada banyak benda yang aku tidak setuju dengan Tok Det. Tapi dua kenyataan di atas adalah antara sebab kenapa Tok Det berada dalam kelas tersendiri.

Kaitan Kerjaya dan Tabiat Peribadi

Thursday, April 15, 2010 · Posted in

Satu malam, aku jumpa kawan lama, Syam. Merangkap budak serumah masa aku belajar di Johor dulu. Dia datang bawa bini. Pengantin baru katakan.

Dengan budak Syam inilah aku buat rekod peribadi naik motor dari Johor ke Utara sampai aku mabuk highway. Dia juga satu-satunya kawan aku yang minat gila Hindustan sampai sanggup pause cerita Shah Rukh Khan, dengar dan tulis lirik lagu. Jadi, tak hairan aku boleh hafal lagu Kuch Kuch Hota Hai.

Lama aku tak jumpa Syam, paling akhir 2001, hampir 10 tahun. Aku tercampak di tengah Semenanjung, dia ke selatan. Habis belajar dan sudah bekerja baru berjumpa.

Kami lepak makan ABC malam-malam. Syam tanya, kerja apa? Aku cakap, sub-editor cabuk.

"Aku dah agak dah. Hang dulu memang taip komputer laju!" kata Syam.

Sedikit Sebanyak Tentang Benci

Monday, April 12, 2010 · Posted in

1. Kes studi kita hari ini ialah mengenai penubuhan grup Kami Benci Datuk Seri Abang Kassim dalam Facebook.

2. Tak payahlah saudara saudari cari grup Kami Benci Datuk Seri Abang Kassim di Facebook. Sumpah tak ada. Itu cuma contoh kes studi kita hari ini. Nama Datuk Seri Abang Kassim boleh saja digantikan dengan nama ahli politik dan artis yang anda benci.

3. Kepada sesiapa yang ajak aku join grup-grup di atas, minta maaflah. Tapi kalau grup pencinta armadillo atau kami-suka-nasi-lemak-makcik-simpang-depan-rumah, mungkin aku akan pertimbangkan.

4. Sampai sekarang aku masih mencari signifikan penubuhan grup-grup tersebut kepada aku. Apakah kalau aku menyertai grup membenci Datuk Seri Abang Kassim (contoh), maka Datuk Seri Abang Kassim akan muntah darah atau ditimpa celaka tujuh keturunan adanya?

5. Tapi kalau Datuk Seri Abang Kassim benar-benar ditimpa celaka dan berasa diri dizalimi lalu menyumpah ahli grup Kami Benci Datuk Seri Abang Kassim, apakah mereka juga akan ditimpa celaka tujuh keturunan adanya?

6. Memang dalam hidup kita wujud orang-orang yang kita benci dan meluat. Tapi apakah dengan meluahkan rasa benci dan meluat itu membuatkan hati kita lega?

7. Apakah kebencian kita itu, turut menjadi kebencian orang lain. Apakah kebencian orang lain, juga adalah kebencian kita? Justeru, benci ini relatif sifatnya.

8. Salah satu tanda anda mencintai seseorang itu ialah apabila anda membenci dia. Siapa entah bagi falsafah ni.

9. Cara untuk mengelak hidup dibelenggu benci ialah dengan menjauhkan diri daripada orang atau perkara yang anda benci. Tapi, kalau orang yang dibenci itu sudah pergi jauh, dan anda sendiri masih tidak tenang, itu tandanya anda sudah jatuh hati. Atau benci tapi sayang. Kot.

10. Internet macam siput, benci aku!!

Sedikit Tentang PC Tak Lekang Dek Panas Tak Lapuk Dek Hujan

Sunday, April 04, 2010 · Posted in

1. Internet rumah aku down dua tiga hari ni. Tapi sekarang sudah ok selepas tukar adapter modem.

2. PC aku sudah mula tunjuk tanda keuzuran. Zaman belajar dulu, komputer dengan kuasa Pentium 4 cukup menggiurkan dan menggerunkan.

3. Dulu, PC jadi medium untuk aku siapkan assignment, tengok VCD, mengarang, edit-simpan gambar, internet dan main games.

4. Sekarang, kegunaan PC lebih kepada berinternet, simpan gambar dan siapkan kerja ofis. Main games sudah tak ada langsung.

5. Bercakap pasal PC, semasa belajar dulu aku ada buat kerja separuh masa, repair PC atau digelar pomen PC. Pelanggan aku biasanya kawan sekuliah. Kemudian berjangkit kepada kawan sebilik kepada kawan sekuliah. Kemudian berjangkit lagi kepada kawan kepada kawan sebilik kepada kawan sekuliah dan bla bla.. Begitulah bagaimana perniagaan aku berkembang sebelum bungkus selepas habis belajar.

6. Pelanggan aku semua perempuan. Tapi ini bukan masalah diskriminasi gender, cuma budak lelaki ni kalau PC rosak, diorang akan repair sendiri saja atau minta tolong kawan-kawan yang pandai. Ini jelas menunjukkan pelajar lelaki sangat berkemahiran dan DIY (serta kedekut).

7. Walaupun bersaing sengit dengan pomen PC lain, kekuatan perkhidmatan aku terletak kepada caj cuma RM30 saja untuk format dan repair PC, termasuk install software-macam-bagus. Kalau di kedai komputer, RM30 hanya untuk upah servis.

8. Masalah komputer yang biasa aku hadap ialah serangan virus. Dan kaedah repair yang biasa aku guna ialah format, iaitu install baru Windows menggunakan CD pirate sudah tentu. Kerja yang cukup senang sehingga aku rasa harga RM30 itu sudah cukup tinggi. Biasalah, kawan aku cakap sosialis macam aku ni kalau meniaga betul-betul bisnes boleh bankrap.

9. Kembali kepada PC aku, jika dibandingkan dengan umur manusia, PC aku sekarang ni sudah berusia 55 tahun. Sudah boleh pencen. Cuma khidmatnya aku lanjutkan atas dasar pengalaman dan kasih sayang (termasuk ekonomi).

10. Walaupun bergelar bekas graduan Teknologi Maklumat, nafsu aku terhadap benda-benda komputer kini semakin hari semakin merosot. Di segi saintifik masalah ini dilabelkan sebagai Computeropous atau hilang nafsu kepada komputer (tak payah gatal nak Wikipedia).

11. Apa tidaknya, nafsu aku sekarang lebih kepada berbuat amal kebajikan dan menderma kepada anak yatim. Abaikan poin nombor 11.

Powered by Blogger.