Archive for April 2006

tiada aku lupa

Sunday, April 30, 2006 · Posted in

TIADA AKU LUPA

(dedikasi untuk teman IDE)

Silau kalimantang hijau berkelkatu itu
Senang sahaja mengingatkan aku
Pada hari-hari kita yang lalu
Dan masa-masa kita yang rindu
Teman,
Apa lagi yang mampu kuimbau?
Selain menyelak potret-potret lama
Yang menceritakan laman kenangan kita

Tiada aku lupa
Bingit jukebox Cromox dan gusti The Rock,
Sedih lagu raya Raihan dan bicara Melayu Shah Rukh Khan
Sabar memancing udang kolam
Dan menyanyi girang di atas buaian taman permainan
Teringat pada prebet sapu yang berbicara lucah
Lalu aku dipaksa pasrah
Sepanjang deret kedai dan jirat-jirat mati
Dan kalian mendesah resah
Menanti tiba ke pintu rumah

Di bangku ABC
Kita enak dengan teh tarik dan roti canai
Mencecap lazat nasi ayam dan asap rokok
Kita bebas membicarakan apa sahaja
Tentang cerita-cerita kemanusiaan dan kecintaan
Selalu kita terleka pada gadis-gadis cantik
Dan kita pun nakal mengusik
Dan tumpah panas teh dihujung kaki
Membuatkan aku kepanasan menari
Gelak tawa kita pun berseri

Kita kerap terlena
Di sofa jerami menyudahkan kertas kerja
Dipaksa menjadi wartawan, tukang kayu dan pengutip sampah
Kita dilalikan dengan pujian dan cacian pensyarah
Diserabut dengan idea tak tercurah
Memudiki stationery dan kilang besi
Risau pada wang ringgit
Dan terima kasih
Kerana kalian selalu menghulurkan
Apa yang tidak mampu aku bayarkan

Teman,
Ketika kalian berlabuh di hentian Masai
Dengan hati menahan derai
Apa lagi mampu ku tahan
Selain keterharuan
Dan benang air mata dan rasa
Dan kita pun hilang
Tanpa ketemukan...

21 Julai 2002

. . . .

Dunia ni kecil saja. Pusing-pusing kita jumpa orang yang tak disangka-sangka.

Aku jumpa junior aku. Semasa belajar di Institusi Teknikal Johor. 5 tahun dulu. Dia antara blogger yang aku kagum. Yang aku tak lepas singgah ke blognya. Dia Zuril.

Kami terserempak di YM beberapa hari lalu. Meski pun sudah lama namanya berbaki di senarai YM. Baru kini tergerak mahu menegur. Dan kami bercerita tentang pengalaman-pengalaman di sana meskipun dulu tidak pernah bersua muka. Tapi situasi dan pengalamannya sama.

Aku teringat pada kawan-kawan. Pada Pasir Gudang. Pekan Masai. Air Puteh. Pasaraya Senyum. Pasaraya Tenang. Prebet Sapu. Pasar Malam. Dan macam-macam.

Bercerita mengenai kenangan lalu memang terasa seperti memori lama terkuak kembali. Dan semua itulah yang akan mendewasakan. Mematangkan. Selagi kita mahu terus merenung. Menginsafi diri. Memahami sebetulnya apa itu erti cinta dan perpisahan itu sendiri.

Dan kenangan-kenangan itu buat aku tersenyum. Tersenyum sendiri pada potret diri.

Hari ini akan menjadi kelmarin. Kelmarin itulah yang menjadi kenangan yang takkan mampu kita ulang-ulang. Melainkan kita kenang-kenangkannya. Jadi janganlah kita sakiti segala yang ada hari ini kerana kita pasti sakit apabila mengenang segala yang dulu. Bukankah elok kau terima saja. Dan berserah.

Wei. Kelambu. Cukup. Aku rasa kau terlalu sentimental sangat.

Maaf.

main futsal

Saturday, April 29, 2006 · Posted in ,

MAIN FUTSAL

Aku main futsal. Dengan kawan-kawan Abang Kit. Adik Najib ikut juga.

Tahun lepas. Paling akhir aku main bola. Di padang Universiti Kerajaan Swasta. Itu pun sekali. Lepas tu aku gantung but. Malas. Bosan. Aku bergiat main Pro Evolution Soccer. Farhan, member aku cakap main game pun boleh bakar kalori. Tau.

Masa main. Aku gelecek bola sikit sangkut. Tolak tepi sikit sangkut. Passing bola pun sangkut. 15 minit. 30 minit. 45 minit. 1 jam. Habis.

"Hmm.. ni adik Kit eh?" - Kawan Abang Aku
"Ha'ah" - Aku
"Ooo. Sekolah lagi eh?" - Kawan Abang Aku
"Ha'ah :)" - Aku

Kami balik. Aku cerita kat Adik Najib yang kawan Abang Kit ingat aku masih bersekolah lagi. Hmm. Awet muda. Aku rasa sangat kacak.

"Hensem apa. Dah main macam budak sekolah. Memang la dia ingat sekolah lagi." - Adik Najib

Oooooiiiiiiiiiiii!!!

Pelangkungggg!!!

kenangan yang berbaki (part III)

Wednesday, April 26, 2006

KENANGAN YANG BERBAKI (PART III)

Hmm. Lupa aku nak bagitau. Rumah aku dah ada pertambahan warga. Dulu, kami tinggal 6 orang anak beranak. Sekarang dah jadi 8 orang. Mereka Asmah dan Majidah. Dua-dua perempuan.

Bukan. Mama tak beranak lagi. Asmah itu Tok aku. 80++ tahun. Majidah itu pula sepupu aku. 10 tahun.

Tok adalah mak abah. Membawa hatinya yang rajuk ke sini dek terluka sikap menantunya di kampung.

Ok. Cukup aku cerita sikit-sikit.

Majidah pula anak sulung Mak Andak. Adik tiri mama aku. Suaminya mati beberapa tahun dulu. Mama ambil bela untuk ringankan beban.

Tutur mama bersungguh. "Masa Mak Andak bujang dulu. Dialah jadi pengasuh adik di rumah. Pagi-pagi ja mesti dia bawa lari adik keliling taman. Kira nak teriak ja nak ikut mama pi kerja. Ingat dak?"

Hmm. Aku ingat sikit-sikit. Dan yang aku lebih ingat. Mak Andak selalu sakat aku. Tentang hantu-hantu nusantara. Hantu Longkang (Bila aku main longkang). Hantu Hutan (Bila aku masuk hutan). Hantu Pokok (Bila aku panjat pokok). Hantu Raya (Bila aku pergi raya. Eh, tak lah. Aku pun tak ingat Hantu Raya digunakan untuk takutkan aku kerana apa).

Dan hantu yang aku paling takut. Hantu Jamban. Hantu tu akan keluar ikut lubang mangkuk jamban dan tarik kau masuk ke dalam lubang tu. Gertak Mak Andak. Supaya aku tak berlama-lama di situ.

Mak Andak jahat! Mak Andak jahat! Teriak aku lagi.

Dan suatu malam. Yang bungkam. Sunyi.

"Mama mama, bangunlah."
"Awatnya?"
"Temankan adik uk ukk.."

.
.
.
.

Dan ketul-ketul pun berguguran. Pada malam. Yang bungkam. Sunyi.


Info: teriak => menangis

cinta si gembala lembu (part II)

Monday, April 24, 2006

CINTA SI GEMBALA LEMBU (PART II)

Abang.
Itu bukan lagu tapi puisi untuk kamu. Cinta Si Gembala Lembu. Puisi tentang kamu yang kecewa. Yang aku cipta. Kerana cinta.

Susu lambang kesucian. Adalah titik pertemuan cinta kamu berdua. Dan Nani adalah rahmat Tuhan. Yang menemukan kamu dengannya.

Abang.
Cinta bukan kebetulan. Tapi ketetapan. Biarpun abang sakit. Tapi bayang-bayang abang padanya akan tetap wujud. Di buku teksnya. Di pena mata bulatnya. Di kerudung polosnya. Di cermin kamar mandinya. Di sofa asramanya. Intuisi saya barangkali begitulah.

Cerita cinta sebenarnya sama. Mana-mana ia wujud sekali pun. Kita akan berasa sakit, gembira, sengsara, suka dan kecewa. Dan tak pasti. Bezanya abang seorang gembala lembu. Bukannya penggali kubur. Saya pula pelajar. Masakan dapat saya faham lebih dari sengsara yang abang tanggung.

Abang.
Kamu jangan lemah diri. Kerana kamu punca aku berdiri. Cinta memang menghairankan. Dia datang sesuka hati. Dia pergi pun sesuka hati. Anehnya cinta Tuhan itu datangnya selalu. Tapi kita pun sering lupakannya. Selalu-selalu.

Jangan merendah diri. Saya kesal apabila abang mengatakan abang tak layak untuk cintanya. Saya rasa terpukul. Kamu jangan miskinkan diri lagi. Tolonglah.

Abang.
Setiap benda di dunia ada sempadan. Ada bayaran. Tapi cintalah yang merobohkan tembok-tembok sempadan itu. Melangsaikan bayaran-bayaran itu. Tetapi sayang. Manusialah yang meletakkan cinta itu ada bayarannya.

Abang.
Memaksa cinta untuk pergi atau hilang samalah seperti memaksa Nani berjalan zig-zag hanya kerana gusarkan dia tersadung batu dan terjun ke perigi buta . Dia takkan mampu. Biarlah dia berjalan semahu hatinya biarpun yang akan dia tempuh itu sakit-sakit belaka. Dan begitulah cinta yang cuba abang buang. Jauh-jauh.

Abang.
Selamat menempuh hari penuh ketabahan. Ada masa kita ketemu. Mencicip segar susu di padang gembalamu.


TAKZIAH

Al-Fatihah buat Tun Ghafar Baba.

masalah cinta

Friday, April 21, 2006 · Posted in

MASALAH CINTA

[Hujan merontok dingin. Tiris pada tubir-tubir jendela yang berlubang dimakan 'semut putih'.]

Aku ada masalah. Cinta! -Kawan Aku

Cinta? -Aku

Kami bercinta. Lama dan mesra. Tapi dia ada kawan baik lelaki. Kawan baik apa kalau sudah berpeluk mesra! Last-last dia kahwin dengan kawan baik dia tu. Sial!! -Kawan Aku

Err..
...
..
. -Aku

Wei, aku tanya kau!! -Kawan Aku

Err.. Aku tak faham.. -Aku

Lembablah kau ni. Bayangkan awek kau ada kawan lelaki lain. Dan diorang berpeluk mesra. Dan dia kahwin dengan mamat tu. Kau boleh terima? -Kawan Aku

Err..
.....
....
...
..
.
Hah.. Tak boleh! Tapi siapa awek kau? Kau tak pernah bagitau aku. Pun! -Aku

Syura! Dia kahwin dengan jantan lain. Sial!! -Kawan Aku

[Hujan masih merontok. Dingin.]

Info:
Syura, suami diarak 30 penunggang motosikal

cinta si gembala lembu

Thursday, April 13, 2006

CINTA SI GEMBALA LEMBU

Akulah si gembala lembu
Yang menajak rumput hijau
Buat santapan enak saujana lembu
Lelahku pada menghitung dan membilang
Pulangnya lembu-lembuku ke pintu kandang

Kata ibu, inilah dunia aku dan adik-adik
Kita patut akur dan pasrah
Pada hamis najis dan tengik peluh
Kita patut syukur dan menyerah
Pada kuak dan kenyang lembu menderuh

Engkau si gadis manis,
Yang sering kulihat menyidai dan mengutip baju
Pujaku, wajahmu bagai dingin angin yang berpilin
Suaramu bagai jernih sungai yang riak mengocak
Dan ketika aku gundah mencari Nani
Kita pun bertemu
Bersama tali Nani yang putus disisi
Engkau hulurkan aku dengan persahabatan

Kemudian, kau selalu menggamitku
Meminta kuhantarkan sebotol susu paling segar
Dan engkau selalu kudengar
Berbicara padaku tentang hidup dan cita-cita
Sedarlah aku,
Bahawa engkau masih punya pilihan
Sedangkan aku tidak pernah diberi jawapan

Suatu petang damai,
Ketika aku dan lembu-lembuku menyeberang titi
Engkau mengejarku, memberitahu akan ke universiti
Mahu belajar tentang apa yang tidak pernah aku belajar
Dan tanpa ingatan panjang engkau pun menghilang
Lama dan terus lama
Dalam mimpi seorang pengembala

Akulah si gembala lembu
Hanya mampu memandang bayangmu
Yang sedang menyidai dan mengutip baju
Dan engkau kulihat melambai
Meninggalkan aku
Tersenyum bersama lembu-lembuku

pindah

Wednesday, April 12, 2006 · Posted in

PINDAH

Semua pelajar di kluster D kena pindah ke kluster lain. Untuk penuhi permintaan kemasukan junior baru nanti. Arahan diktator JanaNiaga Sdn. Bhd.

Pelajar-pelajar tak puas hati. Ye lah barang-barang kami bukannya sekilo dua. Tapi bertan-tan.

Kami pakai baju batu. Seluar keluli. Dan spender besi bergalvani. Sebab tu berat. Mana kami nak cari kren dan lori nak angkat barang-barang kami? Hah!

KEPUTUSAN: Isi borang. Pindah kluster A. Naik lagi satu tingkat. Tingkat 4. Paling atas.

drama, exam lagi

Wednesday, April 05, 2006 · Posted in

DRAMA

Malam kelmarin. Ada drama 'Aku Cinta Padamu'. TV1. Shooting kat Universiti Kerajaan Swasta. Di kampus satelit, Shah Alam. Cantik.

Linda ada interframe. Erni dan Yus pun ada. Diorang budak-budak teater masa kitorang sama-sama berteater di Shah Alam. Sekarang diorang dah praktikal. Cantik.

Memori mengimbau-ngimbau. Manis. Sayu. Pada dinding-dinding batu. Biru dan kelabu.

Dan kami satu rumah sorak. Hooray hooray!!. Cayalah Universiti Kerajaan Swasta!!

Tapi kami tak tengok drama tu sampai habis. Kami tengok TV3. Ayie berlakon.

Police Story II.

Info: Muka Ayie ada iras-iras Jackie Chan. Ayie tak pandai stunt. Tapi dia pandai lipat gulung masa main takraw. :)


EXAM LAGI

Sekarang musim final exam. Sabtu ni aku ada kertas Artitifical Intelligence (A.I.) dan Statistic IT.

Untuk subjek A.I. sepanjang hari ni aku studi main game FEAR dan Pro Evolution Soccer 5.

timun

Saturday, April 01, 2006 · Posted in

TIMUN

Tuan Haji cakap, orang Cina cukup pandai berkomunikasi dan hormat pelanggan dalam berniaga. Sesuatu yang susah ditemui dalam skil berniaga orang Melayu.

Apa kabat. Tak pernah nampak youlah. You kelija U***** ka? - Cina
Ha'ah. Apa nama you? - Tuan Haji
Nama I Timun. - Cina
Ooo.. Nama I Durian. - Tuan Haji

Tuan Haji ingat Cina tu buat lawak. Tapi akhirnya baru Tuan Haji tau. Nama Cina tu, Tee Mun.

Powered by Blogger.