Archive for August 2009

Serius, Saya Pergi Lebih Jauh Dengan Sekali Isian

Monday, August 31, 2009 · Posted in

Minyak naik. Kali ni ada Ron95 untuk orang miskin. Dan Ron97 untuk orang tak miskin.

Mulanya memang semua orang bising dan skeptikal dengan minyak-orang-miskin ni. Pikap ke? Takpe ke enjin aku? Tapi bila marah sudah reda dan kereta pun tak adalah terjejas sangat pun, kita pun pakat terima kenaikan tersebut. Dan kehidupan pun kembali seperti biasa.

Itu ok lagi. Yang tak tahan iklan Petronas, seorang mamat tu cakap, saya dapat pergi lebih jauh hanya dengan sekali isi minyak.

Masalahnya sekali isi minyak tu pergi mana?

USA? Genting Gaza? Guatemala?

Jabatan komunikasi dan pengiklanan tolong ambil perhatian perkara menipu ni! Huh.

Ini Harta Bill Gates yang Punya

Tuesday, August 25, 2009 · Posted in

Aku dapat emel, Bill Gates nak kongsi dia punya harta. Aku rasa emel ni kali ke-8,000 kot. Banyak sangat dah.

Caranya mudah, kau cuma perlu forward-kan emel tu dan kemudian tunggu ratus ribu USD masuk dalam akaun kau. Aku tak taulah pula macamana Bill Gates nak masukkan duit tu dalam akaun aku. Setahu aku, masa daftar emel dulu, tak ada pula aku masukkan akaun Maybank2u. Apatah lagi akaun Tabung Haji.

Untuk menambahkan lagi keyakinan orang ramai dengan kesahihan emel tu, dikepilkan sama testimoni penerima harta Bill Gates ni. Antaranya ialah pegawai-pegawai kerajaan Malaysia. Siap nama penuh, jabatan, nombor telefon dan bagai lagi...

Tapi bukanlah semudah itu untuk menipu anak buah Leftenan Horatio. Gatal tangan aku emel sorang responden. Betul ke dapat duit rib-rib?

Tup tup. Dia jawab. Cuba sajalah. Mana tau ada rezeki. Hehe.

Loh, dapat pun tak pernah. Testimoni macam pakai BMW 5 Series. Cet.

Senang cerita macam ni lah. Apa kejadah Bill Gates (selaku taikun terkaya di dunia) nak buat kerja bodoh macam ni. Bagi duit tak tentu pasal. Bayangkan yang forward emel tu pengganas, tak ke pasal-pasal Bill Gates tu bagi duit free kat diorang dan dituduh menaja keganasan.

Aku taulah korang nak kaya. Tapi bab forward-emel-dan-anda-kaya ni memang aku tak boleh nak terima.

Ok, soalan.
Bayangkan korang kaya macam Bill Gates dan rasa nak derma duit korang yang banyak tu. Apa korang buat?

Falsafah Keamanan Ando dalam Mi Segera

Monday, August 10, 2009 · Posted in

1. Sambung lagi pasal Ando. Masa dia buka bisnes garam tu, Jepun berada dalam zaman kemelesetan ekonomi akibat kempen perang yang dilancarkan rejim Meiji. Masa ni berlaku kekurangan bekalan makanan yang kritikal di banyak negara dunia. Lihatlah betapa sadisnya perang. Bukan setakat Tanah Melayu terpaksa berdepan era ubi kayu, malahan Jepun yang gah dikenali sebagai gergasi tentera Asia melawan Barat pun tak mampu nak atasi krisis makanan semasa era perang walaupun beras-beras dari China dan rantau Nusantara habis dipunggah balik ke negara K-Car sana.

2. Jadi sebagai satu cara mengatasi krisis tersebut, Kementerian Kesihatan Jepun masa tu melancarkan kempen menggalakkan rakyat negara tu makan roti dari tepung gandum yang dibekalkan Amerika Syarikat. Mungkin kempen masa tu berbunyi '1Jepun 1Roti' atau 'Roti Didahulukan, Rakyat Diutamakan (contoh)'.

3. Ando pun apa lagi, terus berang seraya berkata, "polisi durjana apakah ini sehingga sampai hati kerajaan memaksa rakyat Jepun memakan roti dan bukannya mi?"

4. Apabila polisi kerajaan tu cuba dipertikaikan pengusaha-pengusaha mi di Jepun, kerajaan pun seperti biasalah, tampil membuat kenyataan menggunakan kepala lutut menteri-menterinya.

"Industri mi terlalu kecil dan tidak stabil untuk menampung keperluan makanan rakyat. Ini bukan masa nak berpatriotik pasal mi. Mana lagi penting. Mi atau perut? Ingatlah, 'Roti Didahulukan, Rakyat Diutamakan', kata menteri kesihatan Nippon waktu tu (contoh).

Ando pun pulanglah dengan rasa hiba dan wajah muram durja. Apatah lagi bila disindir sebagai lebih Jepun daripada Jepun kerana status diri sebagai migran Taiwan totok.

5. Tapi Ando tidaklah mudah berputus asa. Sebagai penggemar tegar mi dan tak sanggup bangsa serumpun (sekitar Asia Timur) dijajah roti Barat, dia pun bangkit mencipta mi segera dengan slogan yang jauh lebih murni dan bukan populis iaitu, 'Peace will come to the world when the people have enough to eat' (Dunia akan aman apabila manusia cukup makan).

6. Klimaksnya, tepat 25 Ogos 1958 ketika berusia 48 tahun dan selepas menjalani fasa 'cuba dan salah' untuk menghasilkan mi dengan kaedah cepat dimakan, Ando akhirnya berjaya memasarkan pakej mi segera dipanggil Chikin Ramen berperasa ayam dengan harya 35 yen saja, tiga kali lebih murah berbanding semangkuk mi yang biasa dijual di restoran Jepun masa tu.

7. Jadi di sini, falsafah sebenar mi segera yang digagaskan Ando bukanlah mi-untuk-segera-mati, tetapi untuk mengatasi masalah mati kebuluran di negaranya sendiri dengan mengekalkan kasih sayang dalam makanan tradisi.

8. Kawan-kawan. Lihatlah. Apabila kita melakukan sesuatu itu dengan penuh jujur, legasinya kekal zaman berzaman. Walaupun mi segera sering dikutuk sebagai antara makanan paling tak berkhasiat di planet bumi, tapi makanan itulah yang menjadi penyelamat golongan marhaen di hujung bulan yang kesesakan kerana kesempitan wang untuk makan.

9. Tanpa dapat dicabar mana-mana makanan di dunia, mi segera muncul sebagai makanan penyelamat umat manusia era moden. Ia dibawa oleh penganut Islam yang mahu ke luar negara kerana takut tak jumpa kedai makan halal, menjadi bekalan askar dan pemberontak, menjadi makanan golongan miskin dan papa, makanan rasmi pelajar Malaysia dan menu utama kedai mamak bagi menambah pendapatan bisnes. Mi segera sangat akrab dengan kemanusiaan biar sekaya mana pun negara tu.

10. Jadi apakah falsafah dalam nasi lemak tradisi kita? Kenapa nasi lemak sekarang semakin mahal dengan lauk yang kedekut serba serbi? (telur rebus dibelah lapan belas, ikan bilis gred-E-keras-macam-batu-cincin, sambal macam muntah hantu badang). Walhal falsafah asas nasi lemak adalah murah dan sedap. Kenapa pembikin nasi lemak se-Malaysia tak pernah nak hargai nasi lemak seperti mana Ando menghargai mi tradisi Asia Timur sehingga mampu mengamankan dunia?

Baru tadi aku jamah mi segera dengan air mata bergenang mengenangkan betapa berjasanya mendiang Ando dengan mi segeranya kepada dunia (sambil mencongak baki wang di bank). Bandingkanlah nasi lemak di negara kita yang kadang-kadang buatkan kita terbeliak biji mata masa nak bayar dan kemudian mencarut-carut ketika menjamahnya? Berapa abad lagi nasi lemak mampu mengamankan dunia?

Tabik untuk Ando!

Bapa Mi Segera Sedunia - Momofuko Ando

Thursday, August 06, 2009 · Posted in

momofuku ando1. Korang akan cakap, ada apa dengan nasi lemak? Apa yang kecoh-kecoh sangat dengan nasi lemak? Mari aku kaitkannya dengan mee segera ataupun di Malaysia lebih dikenali sebagai megi atau mi megi.

2. Pengenalan, mi segera (instant noodles) adalah mee yang dikeringkan atau separa masak dan biasanya dijual bersama paket perasa macam-macam. Ia dimasak dengan cara mencampurkannya ke dalam air panas selama 3 ke 5 minit, diletakkan perasa dan seterusnya dimakan.

3. Idea asal mi segera dikatakan bermula seawal Dinasti Qing (zaman Ji Fat jadi Emperor-untuk siapa yang baca Alam Perwira), di mana mi itu dikeringkan untuk disimpan dalam jangka masa lama. Sebab dulu tak ada peti ais. Samalah juga macam idea asal mana datangnya udang kering, ikan kering, keropok lekor yang ada di negara kita ni. Asas mi segera yang kita makan sekarang ni memang tak ubah macam zaman Qing. Ia perlu dipanaskan dalam air berperasa dan kebiasaannya lauk paling asas untuk dimasukkan bersama mee segera adalah telur. Ia boleh dikatakan makanan tradisi orang China dan Taiwan (info: Taiwan adalah sebahagian daripada China).

4. Tapi mi segera era moden (dengan pelbagai jenama, perasa) yang kita makan hari ini adalah hasil usaha gigih Momofoku Ando yang bertanggungjawab mempopularkannya. Dia adalah pengasas syarikat Nissin Food Products Co Ltd dari Jepun.

5. Tapi Ando ni bukanlah seorang Jepun tulen, sebaliknya berdarah Taiwan (orang Taiwan ni bolehlah diibaratkan macam orang Jawa di Tanah Melayu). Nama asalnya, Wu Pai-fu. Walaupun lahir dalam keluarga yang kaya, tapi mak ayah Ando meninggal ketika dia kecil dan dibesarkan oleh atuk dan neneknya.

6. Atuk nenek dia ni pun bukan calang-calang orang. Diorang ni buat bisnes kain berskala kecil. Jadi tak hairan Ando dah mula berniaga dengan buka syarikat kain ketika umurnya masih 22 tahun di bandar Taipei.

7. Setahun lepas tu (1933) dia ambil keputusan merantau ke Osaka, Jepun. Selepas Perang Dunia Kedua (1945), dia dapat pula kerakyatan Jepun dan terus menetap di negara itu apabila berjaya masuk Universiti Ritsumeikan. Pada masa sama juga dia teruskan bisnes warisan nenek moyang dia kat negara baru ni.

8. Masalah muncul bila dia kena penjara dua tahun sebab cuba elak cukai gomen. Dia buat macam tu sebab nak tanggung kos belajar di mana semua kos tersebut diperoleh dari bisnes kecil dia tu. Tapi income ciput, sewa tinggi apa cerita? Sudahnya syarikat dia diisytihar bankrap.

9. Tapi dia ni kira hati kental juga. Dia buka satu lagi syarikat yang dikenali sebagai Nissin di Ikeda, Osaka, Jepun dengan produk baru. Nak tahu produk apa? Jual garam.

10. Apa cerita entri ni dah jadi autobiografi Ando? Apa kaitan mi segera dengan nasi lemak? Kenapa nasi lemak menjadi mangsa pakar-pakar kesihatan sehingga tergamak mereka menuduhnya sebagai makanan sarapan paling tak berkhasiat di muka bumi?

Nanti-nanti aku sambung.

Pencipta Nasi Lemak Dibongkar PemburuMitos

Saturday, August 01, 2009 · Posted in

Siapa pencipta nasi lemak? Ya memang misteri. Tiada maklumat ditulis tentang siapa pencipta sebenar nasi lemak. Apakah Alfonso Albuquerque, Sultan Mansur Syah ataupun Hang Li Po.

Jika disandarkan kepada nama 'nasi lemak', maka Melayulah pemegang hak cipta makanan warisan ini.

Tapi berdasarkan teori aku, nasi lemak dicipta oleh orang Cina ataupun Cina peranakan iaitu Baba dan Nyonya. Sebabnya di Malaysia, kita mesti nak kena makan nasi lemak guna sudu atau camca. Kalau tak guna sudu/camca, rasa macam tak kena, macam dah melanggar tertib makan nasi lemak.

Pendapat aku, kalau masakan itu asal ciptaan Melayu, ia mesti dimakan guna tangan. Contohnya nasi campur, nasi dagang dan nasi kerabu.nasi udukSebabnya orang Melayu mula pandai makan pakai sudu selepas datangnya pedagang-pedagang Cina. Ini diambil berdasarkan perkataan camca yang berasal daripada bahasa Cina. Kenapa perkataan camca dan bukan sudu?

Dalam bahasa utara (Kedah, Perlis, Pulau Pinang), sudu dan camca merujuk kepada objek yang sama. Dan kerana Kerajaan Kedah Tua mempunyai latar sejarah paling tua di Semenanjung Malaysia, maka perkataan camca dijadikan rujukan dalam kes ini.

Ok. Teori kedua. Nasi lemak boleh jadi berasal dari Indonesia. Di sana, ia dikenali sebagai nasi uduk. Dan aku syak resepinya dimahsyurkan di Tanah Melayu oleh Baba Nyonya atau pedagang Cina yang berdagang ke semenanjung.

Resepi nasi goreng juga berasal dari Cina dan nasi goreng pertama di nusantara (aku rasa) adalah nasi goreng Cina. Sebabnya sama juga, kerana kita akan nasi goreng mesti guna camca. Dan kerana tidak mahu kalah dalam resepi nasi goreng ini, chef-chef nusantara bangkit mencipta nasi goreng ala nusantara yang kini diberi nama nasi goreng kampung. Kedua-dua nasi goreng itu kekal menjadi resepi warisan tanah air sebelum nasi goreng mamak ciptaan India Muslim masuk dalam senarai nasi goreng Tanah Melayu.

Tapi siapa pula pencipta nasi goreng USA?

Perghh.. Makin komplikated. Rasa-rasa Cef Wan boleh jawab tak?

Powered by Blogger.