Archive for July 2005

pindah 1, tak ada air, special branch, taichi master

Thursday, July 21, 2005 · Posted in

PINDAH I

Semalam ada sesi penerangan oleh pihak HEP. Juga sesi perkenalan dengan para felo di asrama nanti. Opss, bukan asrama. Kitorang panggil kluster. Baru ada ciri-ciri swasta.

Sesi malam tu disudahi dengan sesi soal jawab dengan pihak HEP. Aku sokong dengan semua pertanyaan para fasilitator yang mewakili banyak permasalahan pelajar.

Pelajar tak puas hati dengan bayaran sebanyak RM600 yang diwajibkan pada setiap pendaftaran semester. Tapi aku berpuas hati. Nak tahu sebab apa?

Sebabnya yang pertama ialah fasiliti di dalam asrama. Ada ampaian, bilik tv, meja belajar, almari, meja makan, bilik air dan kemudahan hot-spot di setiap bilik. Kau boleh bawa barang elektrik dengan caj sebanyak RM1 sahaja untuk satu semester. Itu pun ada pelajar merungut. Aduh, subsidi betul pelajar kita ni.

Yang keduanya ialah kerana pihak universiti hanya mengenakan yuran pendaftaran setahun sekali sahaja. Bermakna pelajar hanya perlu membayar yuran asrama RM600 sahaja pada setiap semester. Anggaplah RM600 tu macam yuran pendaftaran.

Untuk pengetahuan kawan-kawan, pelajar USM pun kena bayar RM1000++ pada setiap semester di universiti mereka. Begitu juga dengan UiTM yang mengenakan RM200++ untuk setiap semester pelajar mereka. Tapi Universiti Kerajaan Swasta cuma mengenakan bayaran hostel untuk 3 bulan dan yuran awal tahun (sekali setahun) sebanyak RM500++ sahaja. Tentulah berbaloi.

Yang berbezanya cuma Universiti Kerajaan Swasta mengenakan yuran pengajian bagi setiap jam kredit untuk subjek pengajian pelajarnya. 1 jam kredit bersamaan RM200. Kalau satu semester kau ambil 18 jam kredit maka kau perlu bayar RM3600. Itu sahaja.

Kadang-kadang para pelajar ni tahu komplen sahaja padahal dia tak tahu status universiti yang didudukinya. Mereka bandingkan dengan Universiti Kerajaan. Ini Universiti Kerajaan Swastalah! Samalah seperti Petronas, Pos Malaysia dan Telekom. Kau dilindungi tetapi kau perlu mencari duit sendiri. Faham!

Sebab itu penting PTPTN. Tapi kau (baca: aku) pakai duit tu beli handphone, bayar muka kereta, beli aksesori peribadi, bersuka ria dan beriang girang.

Aku nak pesan, di Universiti Kerajaan Swasta kau perlu bayar untuk setiap ilmu yang kau belajar. Tidak seperti universiti kerajaan lain dimana bila telefon mereka melebihi yuran pengajian sendiri. Terpulang kepada korang macamana mahu meletak nilai ilmu itu pada diri sendiri.

Selamat berpindah untuk para staf dan pelajar. Selamat meneroka pembaharuan!!


TAK ADA AIR

Ada pelajar tanya En. Md Nor, Penolong Pendaftar U*****,

En., kalau kat hostel nanti tak ada air macamana?

Hah, bagi aku jawab,

Kalau tak ada air kau perlu berlari satu bangunan sampai baju kau berpeluh. Kemudian kau perah peluh tu dan kau minum.

Dah tak ada air. Carilah air. Tak pun buat report. Samalah juga kalau rumah kau tak ada air. Takkan kau nak menangis dan mengamuk tengah jalan.

'Hangin' juga aku dengan beberapa pertanyaan kurang pandai ni. Takkanlah semuanya nak dilayan. Wei, kita mahasiswalah!


SPECIAL BRANCH

Ada seorang pensyarah selalu jenguk dan baca blog aku. Sekarang dia jadi felo di asrama baru nanti. Aku tak boleh beritahu nama dia sebab takut bos panggil dia mengadap pula.

Hari tu aku komplen pasal makan. Dia telefon dan beritahu nak pancung aku sebab belum apa-apa dah keluar dalam paper (baca: blog). Tapi dia tak adalah marah-marah. Kami gelak-gelak saja kerana masing-masing sudah berkroni dan punya fikiran terbuka.

Jadi, sekarang aku dah jadi SB. Hati-hati tau kawan-kawan.. :)


TAI CHI MASTER

Sabahan suruh aku buat tai chi untuk persembahan khas dari para fasilitator pada malam penutup minggu orientasi nanti. Sabahan ajar buat dikir barat kat pelajar perempuan.

Manalah aku tau. Akhirnya aku reka sendiri gerak tai chi tu. Lantaklah.

Aku guna konsep membelah dan menghidang buah tembikai. Gerak buat sendiri. Janji nampak slow dan ala tai chi sikit. Diorang tanya betul ke aku tau tai chi. Aku jawab aku tau asas ja.

Masa habis diorang panggil aku sifu sambil tangan rapat ke dada. Aku dah rasa macam Jet Li. Wachaaa!!

tahanan

Saturday, July 16, 2005 · Posted in

TAHANAN

Hari ni tak jadi pindah ke Universiti Kerajaan Swasta lagi sebab kampus baru tak siap sepenuhnya. Tak masuk air dan api lagi. Jadi aku kena kuarantin di Shah Alam selama 10 hari sehingga 25 haribulan nanti.

Tak banyak aktiviti yang boleh dibuat cuma post-mortem saja dibuat setiap malam. Kalau aku sakit buah pinggang maknanya buah pinggang aku dari elok sudah jadi tak elok dan tak boleh pakai lagi sebab hari-hari kena post-mortem.

Tadi sarapan pagi kami dijamu nasi goreng dan mee goreng. Semua suka sebab penat berjalan keliling bangunan. Semua ambil 2 senduk. 2 senduk untuk nasi goreng dan 2 senduk untuk mee goreng. Tapi kami semua makan 2 sudu nasi goreng dan dua sudu mee goreng.

Makanan dah macam tahanan perang Iraq. Aku terbayangkan cacing Fear Factor. Tapi mengunyah makanan sarapan ngeri ni kami tak diberi hadiah pun. Aku terus tak habis makan. Tahap makanan teruk. Aku keluar dengan Why makan di Restoren Gembira, Seksyen 3. Duka aku terus bertukar gembira! Yeayy!!

Aku tak kisah sebab masih boleh keluar pergi restoren luar. Tak melayu Abah, aku boleh ke mamak Khulafa. Tapi aku takut kalau junior-junior nanti dijamu dengan makanan yang sama di kampus Universiti Kerajaan Swasta nanti. Nanti masuk pula surat khabar "Pelajar Baru Universiti Kerajaan Swasta Dijamu Makanan Untuk Ayam!". Siapa nak jawab? Oh, Nanti ayam jawab: Kalau ayam boleh makan nasi manusia. Manusia juga patut makan nasi ayam!

salju jabal musa, sms to blog, pulang

Wednesday, July 13, 2005 · Posted in

SALJU JABAL MUSA



Sebenarnya hampir dua minggu menerima kiriman buku ini dari saudari Ghafirah, seorang rakan penulis yang aku kenal. Tetapi baru hari ini berkesempatan mempromosi hasil karyanya yang terkumpul bersama hasil karya rakan sasteranya yang lain. Untuk pengetahuan semua saudari Ghafirah merupakan antara pelapis muda bidang kesusasteraan negara. Bolehlah aku gelarkan dia ni sebagai generasi junior selepas Faisal Tehrani, Mawar Shafei, Nisah Haron dan seangkatannya.

Tapi itu tidak bermakna hasil karya mereka banyak berunsur romantica d'amor dan uh la la tetapi ada pelbagai nilai yang perlu dipandang oleh kita. Nilai tentang suara anak-anak muda yang menjerit dari celah-celah kehidupan mereka dan masyarakatnya. Tentang keadilan, alam sekitar, kasih sayang, globalisasi dan pelbagai unsur yang merencamkan manusia seputar dengan olah bahasa yang sarat dan segar.

Selain itu saudari Ghafirah baru sahaja memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Kategori Cerpen 2004 dengan karyanya yang berjudul Telah Diberinya Hati (ada di dalam buku ini). Beliau juga merupakan penulis paling muda dalam anugerah tersebut. Baru 2 tahun! Eh, 22 tahunlah! (Jangan marah aa cik Gopi) :)

Dapatkan antologi cerpen ini di esastera.com yang merupakan hasil karya 5 penulis muda tanah air seperti Amiza Khusyri, Fahd Razy, Ghafirah Idris, Ida Munira dan Nimoiz T.Y. Cerpen yang terkandung di dalam buku ini pernah tersiar di dalam media-media cetak tempatan seperti Tunas Cipta, Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Dewan Siswa, Dewan Agama dan Falsafah dan Sarina. Mereka ini boleh dikatakan bintang baru di dalam bidang penulisan tanah air.

Sebuah buku kategori U. Bagus untuk bacaan semua. Beli jangan tak beli!



SMS TO BLOG


Sekarang tak ada GPRS pun dah boleh update blog. Caj bayaran adalah mengikut bayaran sms. Cuba tengok teks berwarna biru di atas tagboard tu. Ha, itulah entri yang aku update menggunakan sms.

Tetapi entri tersebut akan digantikan (replace) dengan entri terkini yang dihantar oleh korang nanti. Ia tak disimpan di dalam arkib Blogspot. Kalau nak tahu bagaimana mahu menggunakan fungsi sms ke blog ni silalah ke blog MBA.

Nak tahu apa kelebihannya? Korang dapat memberitahu berita terkini kepada rakan blog korang pada bila-bila masa dan di mana jua korang berada. Contoh;

"Wei, kawan-kawan. Tolong aku. Aku sesat kat Midvalley ni. Tolong bagitau polis, boleh! Plzz! :("



PULANG

Pukul 11.30 pagi nanti aku akan balik ke Shah Alam. Naik bas rakyat=> Transnasional. Semester baru akan bermula. Aku kena balik awal sebab aku terlibat dengan sesi orientasi pelajar baru nanti. Maklumlah biro mesraaaa....

Nanti kalau free (baca:ada duit pergi cc) aku updatelah. Kalau malas aku pakai sms ja. Baca sajalah apa yang aku merepek kat tepi tu nanti ye..

Ok, bye!

war of the world

Monday, July 11, 2005 · Posted in

FILEM - WAR OF THE WORLD

Sebenarnya malas nak ulas pasal filem Hollywood. Biarlah mat saleh saja yang ulas filem diorang. Kita ulas pasal filem kita (ulas ke kutuk?). Tapi aku nak ulaslah sikit pasal filem yang dikatakan bagus ni.

War of The World (WOTW) memang menarik. Aku tersandar pada bangku wayang seawal 30 minit pertama. Menyaksikan ganasnya alien tripod dan betapa bernasib baiknya Tom Cruise dan anaknya.

Jangan nak bangga dengan efek. Itu sudah jadi permainan Hollywood yang dapat mencipta apa saja ke depan mata anda.

WOTW adalah filem anti-klimaks. Nak tahu apa itu anti-klimaks? Kau ingat tak karangan semasa kita bersekolah rendah dulu? Masa tu kita gemarkan cerita tentang pengembaraan atau seram dan akhir ceritanya disudahi dengan 'rupa-rupanya aku bermimpi'. Maksud aku pengakhiran filem yang tiba-tiba. Atau pun dalam bahasa mudahnya orang panggil 'ending asal dah'.

Jangan impikan tentang kebangkitan umat manusia bersatu melawan makhluk asing di dalam WOTW ini. Klimaksnya terhenti begitu sahaja apabila ke semua makhluk asing mati disebabkan virus yang terimun oleh manusia. Akhirnya hanya manusia yang berupaya meneruskan survival hidup mereka di muka bumi ini seperti yang termaktub dalam sejarah evolusi manusia.

Walau bagaimanapun, Steven Spielberg tetap berjaya menjual namanya sebagai pengarah tersohor agar khalayak dunia menonton buah tangan terbarunya ini. 3.5 bintang saja untuk filem ni! :)

ucapan bush

Saturday, July 09, 2005 · Posted in

UCAPAN BUSH

"Sebenarnya saya mengutuk sebarang bentuk keganasan di muka bumi ni. Ini termasuklah pembunuhan orang awam yang tak berdosa. Saya berasa amat kesal dan dukacita tentang peristiwa pengeboman di London semalam.

Cuba la pikiaq sikit pasai depa yang terbunuh. Tak pasai-pasai ada anak jadi yatim piatu. Kalau yang suami jadi duda. Kalau yang isteri jadi janda. Masyarakat akan hidup dalam ketakutan dan ekonomi dunia boleh jatuh. Masyarakat dunia akan huru-hara dibuatnya.

Tapi tak pa, saya akan cuba selesaikan masalah ini sebaik mungkin. Ni mesti Osama punya kerja ni. Nasib baikla negara saya tak dapat pi Olimpik. Kalau tak jenuh dok kelam-kabut sedia sekuriti. Cubala hangpa semua pikiaq elok-elok no. Jangan dok ganas-ganas. Dok baik-baik dan aman-aman dah la. Dunia oh dunia.."

- George W. Bush, White House

protonku protonmu & csi malaysia

Thursday, July 07, 2005 · Posted in

PROTONKU PROTONMU

Proton gagal dengan keretanya. Salah siapa. Dasar kerajaan (Rafidah) yang terlalu terbuka mengimport kereta luar atau dasar Proton (Tengku Mahaleel) yang gagal menepati citarasa rakyat Malaysia.

Kau perlu ingat. Rakyat Malaysia rakyat berjenama.

Antara McDonald dan KL Fried Chicken.
Antara Nike dan Bata.
Antara Proton Gen2 dan Honda Ferio.
Antara Proton Savvy dan Chevrolet.
Antara Kedai Runcit Aminah dan Giant.

Kalau nilai harganya sama. Mana satu kau akan pilih! Import atau tempatan?

Ini masalah mentaliti rakyat! Untuk membentuk mentaliti kau perlu jadi diktator. Seperti Sukarno yang berjaya meng'Indonesia'kan semua etnik negaranya. Atau pun seperti Iran yang menyekat kemasukan filem-filem Hollywood.

Pada zaman penjajahan Jepun, datuk nenek kita tunduk ke matahari sebagai simbolik kesetiaan pada maharaja Jepun. Tapi sayang hari ini kita masih dibelenggu mentaliti dijajah.

Aku mencadangkan dasar tutup pintu untuk merancakkan pertumbuhan Proton. Seperti yang pernah dilakukan Jepun dan Cina. Menggalakkan rakyat membeli barangan tempatan dan mengurangkan aliran keluar matawang.

Lambakan barangan import dan pelabur asing kadang kala merimaskan. Betul, pasaran bebas dan pelaburan asing akan memakmurkan ekonomi negara. Tetapi apalah gunanya kalau kuasa beli rakyat terlepas bebas pada jenama asing. Kita mahu terus berbangga dengan Hondakah? Atau mahu jadi sepatriotik Korea yang tiada kenderaan asing di negara mereka.

Beri peluang pada Proton. Hyundai mengambil masa 40 tahun untuk menerobos pasaran antarabangsa. Proton baru 20 tahun usianya.

Baca:

- Dr M pertahan Tengku Mahaleel


CSI: MALAYSIA
Misteri kehilangan 1 juta.

- Kau perlu cari cap jari pada pintu Securiforce. Mengimbas dan mengesannya pada rekod pendaftaran negara. Barangkali ada tertulis rekod jenayah di Bukit Aman.
- Bagaimana pula dengan kesan lecetan tayar? Mungkinkah cuba mengelak atau cuba melanggar? Kesan tapak kasut dan paten remukan.
- Dengan apa si pemandu lori melarikan diri? Mungkin rekod klinikal berjaya menjejaknya.

Kronologi kehilangan wang yang misteri dan begitu mengujakan. Rakyat menanti tuntutan pembelaan dan keadilan yang perlu ditegakkan buat keluarga mangsa yang terkorban.

Bagaimana pasukan C.S.I:Malaysia menyelesaikannya? Nanti saja di akhbar tempatan dan kaca tv anda. Apakah terhenti separuh jalan atau bersambung ke musim keduanya?

Baca:

- RM1j lesap dalam nahas

tengok bola

Tuesday, July 05, 2005 · Posted in

TENGOK BOLA

Buang Kit Kong. Dia rasuah.
Jangan gentel bola terus through pass ja. Hang kena main laju.
Hang main tengah saja jangan dok buka tepi. Lambat!
Awat penalti tak jadi? Refree jahat! Bodoh, penalti pun tak gol. Kaki kayu!
Keeper berlakon. Hang main jahat!
Padan muka hang kena kad merah!
Rugi aku beli tiket (paling murah=RM5). Baik tengok kat tv.

Aduh, susahnya tengok bola bila ada banyak ulasan di tepi aku. Itulah, siapa suruh korang tak main macam Brazil.

Aku rasa abang tu baik saja main game Championship Manager!

penguin, angin kering, universiti

Sunday, July 03, 2005 · Posted in , ,

PENGUIN

penguin rockhopper ada di sini

Wei, Malaysia dah ada Penguin! Kalau nak tengok pergilah ke Underwater World, Langkawi. Bayaran masuk RM28.

Sudah tentu berbaloi bagi pencinta alam seperti aku. Kau boleh tengok Anaconda, Marmoset - monyet terkecil di dunia (muka dia besar dua ibu jari), beburung yang riang berkicau, Flamingo yang langsing kakinya dan juga burung undan yang saling berkejar-kejaran. Ikan pula jangan ceritalah. Macam-macam ada.


marmoset pun ada!

Bukan itu saja. Yang bestnya sudah tentu ada anjing laut dan Penguin. Kau tak perlu pergi Afrika atau ke Antartika. Kau hanya perlu bayar RM18 untuk feri ke Langkawi. Percayalah!

Aku ke Langkawi semata-mata untuk tengok penguin. Aku rasa sangat bangga!


ANGIN KERING

Teater arahan Puan Aznida dipentaskan oleh grup Kubas sempena Bulan Manifestasi Teater Negeri Kedah. Angin Kering sebuah karya Dato' Johan Jaafar.

Mengisahkan sebuah daerah yang ditimpa petaka kemarau yang panjang pada kelompok-kelompok manusia di daerah itu iaitu golongan petani dan tuan tanah.

Petaka angin kering atau kemarau itu telah mewujudkan satu trauma jiwa sehingga terjelma satu halusinasi pada diri maing-masing bahawa hujan sudah turun sehingga melimpahkan banjir dan kemakmuran yang meruah. Tetapi yang dimakan mereka cuma debu dan panas matahari yang membakar kulit dan isi. Lalu mereka dibaham mati kerananya.

Sebuah karya yang bagus dan penuh manifestasi. Tentang bagaimana manusia itu terlalu kerdil di sisi alam. Betapa alam itu bila-bila masa sahaja dengan kehendak-Nya bisa menghancur luluhkan umat manusia.

Persembahan mantap dari grup Kubas. Cuma mungkin sedikit membosankan bagi khalayak biasa. Pelakon tersasul pada beberapa dialog tetapi boleh dimaafkan dengan ekspresi wajah yang natural. Pengucapan dialog kadang kala tenggelam pada babak emosi. Kawalan pentas dan pergerakan pelakon penuh artistik teater. Gambaran gunung, rumah merekah dan tanah yang kontang serta ditaburi daun kering mengindahkan lagi latar props. Tahniah untuk grup Kubas!


UNIVERSITI

Adik Mahfuzah daftar USM hari ni. Dia dapat kursus Biologi Gunaan. Seperi biasa aku jadi driver. Oleh kerana bosan menunggu sesi pendaftaran yang panjang aku pun turut serta sesi taklimat dan soal jawab antara ibu bapa dan para penggawa (penghulu).

Ada seorang penggawa cakap, kita di USM ni bagus sebab kita Universiti Dalam Bandar. Keluar je terus ada McD, Snooker, Bukit Jambul. Jadi pelajar diberi kebebasan untuk menjadi lebih bijak dalam menentukan arah tuju masing-masing. Kita tak macam UUM. Universiti Dalam Hutan (gelak). Kurang cabaran..

Amboi, nasionalism universiti. Nasib baik dia tak sebut Universiti Kerajaan Swasta. Kalau dia tanya apa ada di Universiti Kerajaan Swasta. Aku akan jawab, universiti kami masuk saja terus ada bangunan warni-warni! :)

Powered by Blogger.