Pasal kerja, kereta dan kecintaan

Tuesday, September 20, 2011 · Posted in , ,

Aku kerja baru lagi. Masih lagi jurnalis, cuma kali ni bukan surat khabar, tetapi majalah baru yang akan sibuk bercerita perihal kereta sana sini. Nanti bila sudah ada di pasaran, aku akan umum dalam blog ni.

Memang ironi, aku yang memang tak ada nafsu tentang kereta, akhirnya tercampak dalam dunia itu juga. Bayangkan, kau yang berjuang menentang riba, tetapi bekerja di firma perbankan dalam bahagian pinjaman kewangan yang sudah tentu mengajak orang berhutang untuk dikenakan faedah (atau caj perkhidmatan).

Bukan aku tidak minat langsung dengan kereta, cuma kecintaan itu tak ada. Kereta bagi aku cuma alat bergerak dari titik A ke B. Itu jugalah matlamat asal Benz dan Daimler ketika mamat Jerman dua orang ni mencipta jentera berkuasa petrol itu. Namun, selepas Ford berjaya memurahkan pengeluaran kereta, besi-besi bergerak itu mula menjadi antara senjata utama kapitalis Barat untuk mengeksploitasi sumber dan meraih keuntungan, negara dunia ketiga tentunya.

Sama ada Benz, Daimler ataupun Ford, ketiga-tiganya pasti tidak menyangka betapa usaha mereka berkurun dulu kini sudah jauh menyeleweng daripada sekadar alat untuk membawa umat manusia dari titik A ke B. Manusia melihat kereta hari ini bukan lagi sebagai medium pengangkutan ataupun seni kejuruteraan, tetapi ia sudah menjadi kasta baru yang akan menentukan status dan kelas kau.

Aku selalu hairan, kenapa kewujudan kereta hari ini mengubah cara kita berfikir, bergaya dan menilai seseorang. Kenapa ada orang sanggup berhabis beribu-ribu ringgit untuk beli aksesori dan upgrade kereta mereka? Kenapa orang kita kalau naik gaji atau naik pangkat atau dapat bonus atau ada duit lebih mesti nak beli kereta baru? Kenapa kalau kau bos kau mesti ada perasaan mahu pakai kereta besar? Kenapa kalau kau naik kereta besar, mesti orang pandang kau ada kelas?

Akhirnya aku faham, bukankah kecintaan kepada kereta itu memang sudah jadi sebahagian fitrah hidup sejak nenek moyang kita membina tamadun? Kuda, lembu, keldai, unta dan gajah, bukankah digunakan sebagai alat pengangkutan untuk mereka pergi berperang, berburu, mengembara, bercucuk tanam, bermain dan aset yang dibangga-banggakan, termasuk dijadikan sumber protein meneruskan hidup.

Aku terbayangkan, mungkin pada abad pertengahan dulu, kalau kau berduit, kau boleh beli kuda muda yang gagah dan mampu berlari deras. Tapi, kalau kau kurang berduit pula, cukuplah sekadar lembu atau keldai saja. Kalau teringin juga mahu berkuda deras, masuk saja hutan dan gunakan tulang empat kerat untuk jinakkan binatang buas itu.

Masalahnya, dalam dunia moden hari ini, tak ada mana-mana hutan yang boleh kau masuk untuk jinakkan kuda bernama Ferrari dengan tulang empat kerat kau.

2 Responses to “Pasal kerja, kereta dan kecintaan”

Unknown said...

Kalau ada gak Mush tahan sebab ceroboh masuk hutan..hhahahaa

b.r.u.t.a.l.s.o.l.o said...

gua setuju apa lu tulih kali ni

Powered by Blogger.