Pasal PPSMI, PAGE dan Bahasa Melayu

Thursday, November 03, 2011 · Posted in ,

Aku geleng kepala saja baca berita pasal PAGE yang beri kata dua kepada kerajaan supaya pihak sekolah diberi pilihan untuk laksanakan PPSMI.

Dan kalau kerajaan tunduk kepada desakan itu, sekali lagi mala petaka dunia pendidikan akan menimpa, yang mana warga pendidik tiada lagi suara dalam menentukan dasar pendidikan negara. Selepas ini, tidak mustahillah muncul kumpulan yang mahu bahasa Jerman untuk subjek Teknologi, bahasa Perancis untuk subjek seni dan bahasa Mandarin untuk subjek Ekonomi dan Perdagangan.

Cukup-cukuplah dunia pendidikan kita tunggang langgang semasa Hishammuddin jadi menteri dulu. Aku tak tahu kajian ilmiah apa yang sudah dibuat PAGE berdasarkan laman webnya. Bentangkanlah kajian empirikal mengenai sebab kenapa PPSMI patut diteruskan. Cari statistik dan tulis buku. Cuba bandingkan pula dengan kajian yang dibuat kumpulan penentang PPSMI. Kalau bebal sangat baca habis dulu ebook ni.

Aku malas ulang balik alasan tipikal pasal Jepun dan Jerman yang boleh maju dengan guna bahasa sendiri. Nanti PAGE akan jawab BM pun meminjam daripada BI, walhal dia orang sendiri tak tahu berapa banyak bahasa yang dipinjam BI dalam kosa katanya.

PAGE juga akan kata BM tak mampu bersaing di segi istilah teknologi dalam BI, tapi dia orang tahu tak terbitan asal istilah teknologi itu asalnya daripada bahasa apa? Memang dungulah kalau PAGE masih lagi berdegil dengan menganggap semua istilah datangnya dalam BI.

Antara apa yang dibimbangkan ialah PPSMI, jika dilaksanakan, akan membunuh kosa kata BM dalam dua subjek tersebut. PAGE tahu tak berapa banyak tesis di UKM yang ditulis dalam BM dan dalam pelbagai bidang? Kalau sekolah diberikan pilihan memilih PPSMI, pelaksanaan berkenaan hanya akan membunuh sifat dinamika BM (yang sekarang pun sedang nazak). Semua istilah BM dalam Sains dan Teknologi yang puluhan tahun difikirkan pakar dan pejuang bahasa kita akan habis dipancung! Lebih menyakitkan ialah rata-rata mereka itu masih hidup.

Perasaannya macam kau tanam pokok durian, kau cari benih terbaik, kau letak baja, kau tengok ia tumbuh membesar setiap hari, bulan dan tahun, tetapi tiba-tiba ada orang kampung bebal mahu gantikan durian kau dengan epal sebab orang ramai suka epal. Lagipun, epal lebih moden, boleh dibawa naik kapal terbang dan semua orang boleh makan. Kalau nak maju kenalah makan epal.

Tetapi, bukankah sifat bahasa itu bergerak, menyerap, berkembang dan berdiri sendiri selagi ia diberikan ruang untuk itu. Sesebuah bahasa itu perlu ditutur, ditulis dan dimahsyurkan oleh komuniti penuturnya. Dalam konteks BM, ia bukan milik DBP dan bukan milik orang Melayu saja. Ia milik tanah sebelah sini dan itu hak yang perlu warganya pertahankan.

Hak durian itu sepatutnya di tanah mana?

Adalah suatu hairan lagi tercengang aku sebab melihat dan memikirkan hal orang Melayu ini belum sedar akan dirinya, dia tinggal dalam bodohnya itu oleh sebab ia tiada mahu belajar bahasanya sendiri dan tiada mahu menaruh tempat belajar bahasanya, maka mustahil pada akal adakah orang yang tiada belajar itu boleh menjadi pandai dengan sendirinya. Bukankah segala bangsa di dunia ini masing-masing ada belajar bahasanya?
~Abdullah Munsyi, 1822~

2 Responses to “Pasal PPSMI, PAGE dan Bahasa Melayu”

BuRuuj said...

susah nak cakap lah kalau masing-masing mahu menentukan ideologi mereka. yang hancur masa depan sebab kanak-kanak di zaman ini penentu masa hadapan.

admin AlKhattab Batik said...

sedap kata-kata Abdullah Musnyi!

Powered by Blogger.