Pasal kelajuan, teruja dan AES

Thursday, October 18, 2012 · Posted in , , , ,


Manusia sejak berabad lama dulu memang sukakan kelajuan atau apa saja yang boleh dikaitkan dengan kecepatan dan kepantasan. Seolah-olah hidup kita ini memang diciptakan untuk mencintai kelajuan.

Tidak cukup hanya berjalan kaki dan berlari, moyang kita jadikan lembu sebagai kenderaan. Tidak cukup laju, mereka jinakkan pula kuda. Selepas berlaku revolusi industri, ditambah pula penemuan emas hitam (petrol), manusia akhirnya tiba pada satu tahap kepantasan yang tidak pernah dibayangkan nenek moyang mereka dahulu. Samalah seperti fikiran puak Quraisy yang gelakkan Nabi ke Baitulmaqdis dalam tempoh semalam. Difikirkan mustahil pada zaman itu, tapi tidak sekarang.

Kini, hasil kebijakan manusia, besi-besi mula dihidupkan dan menggantikan haiwan sebagai medium kenderaan utama. Jika dulu manusia berbangga memiliki kuda yang cantik, laju dan lasak, tapi kini kebanggaan itu dibawa pula kepada kenderaan besi bernama kereta, pikap, motosikal, trak, treler dan kapal terbang.

Kelajuan mencetuskan keseronokan dan keterujaan. Buktinya, majoriti sukan dunia adalah berasaskan kelajuan. Macam aku kata tadi, hidup kita ini memang diciptakan untuk mencintai kelajuan.

Malangnya, kesan daripada penghasilan kenderaan pengganti haiwan (kerana tidak cukup laju dan kuasa terhad), kita tanpa dirancang  mewujudkan pula satu wabak baru dinamakan kemalangan akibat kenderaan biar betapa sofistikated teknologi keselamatan sesebuah kenderaan itu. Di Malaysia, misalnya, jumlah setahun kematian akibat kemalangan adalah bersamaan jumlah kematian setahun akibat perang selepas tumbangnya rejim Saddam.

Kemudian berlaku perdebatan mengenai bagaimana mengurangkan kematian akibat kemalangan dan akhirnya kelajuan dikenal pasti sebagai salah satu punca. Manakan sama impak kereta yang dipandu 40kmj dengan impak kereta yang dipecut 140kmj.

Ironinya, statistik maut disebabkan kemalangan menunggang kuda seperti jatuh kuda atau terlanggar kuda lain (ada ke?) tidak pernah seteruk kemalangan jalan raya walaupun tanpa beg udara, sistem brek anti-kunci (ABS) dan agihan brek elektronik (EBD).

Ah, ciptaan manusia bukankah tidak pernah sempurna? Cakaplah apa saja. Lalu kita cadangkan AES dengan harapan kematian akibat kesilapan kita sendiri dapat dikurangkan. Dan orang ramai mengamuk kerana keterujaan mereka disekat.

Matematiknya begini. Kelajuan adalah bahagian daripada kecintaan dan keterujaan manusia. Dek desakan semula jadi manusia (yang sukakan kelajuan), kita hasilkan sesuatu (kereta) untuk terus mengujakan kecintaan itu.  Tapi, keterujaan itu mendekatkan pula kita dengan kematian, dan kita cipta mesin untuk mengurangkan kematian akibat terujaan, AES namanya.

Mati kerana keterujaan adalah satu kebodohan dan mencipta mesin untuk menghalang keterujaan juga satu kebodohan. Itulah resam manusia, suka membodoh-bodohkan diri sendiri asalkan boleh berasa sedikit teruja.

One Response to “Pasal kelajuan, teruja dan AES”

Anonymous said...

bagus entry ni. tak membodoh-bodohkan orang langsung:-D

Powered by Blogger.