Pasal baju kuning, kemeja T, cinta dan menonton TV

Friday, July 08, 2011 · Posted in , ,

Malam tadi Jarul pakai baju Diadora, kaler kuning pergi minum. Aku syak baju tu dia beli longgok sehelai RM10 di uptown. Mungkin juga ori aku tak tahu. Aku teka saja.

Aku ingatkan dia pasal bahaya pakai baju kuning sekarang ni. Dia buat tak peduli sambil minum teh o ais dan cucuh rokok sebatang dan tengok skrin henfon. Budak-budak meja belakang sedang asyik main game poker, sejenis game bodoh yang tak akan dapat buat kau beli BMW, apatah lagi Kia Forte yang diidamkan ibu bapa mereka. Menjadi spekulator mata wang jauh sekali. Aku hirup teh tarik.

Aku teringat baju bundle (gambar atas) yang aku beli di uptown dekat rumah aku, lama sebelum Bersih versi 1 dianjurkan. Cantik dan nampak rare. Kain kapas lembut. Ada gambar orang lidi yang memberi makna ibu, bapa, anak, datuk dan nenek saling berpegangan tangan dengan hati masing-masing berbentuk cinta. Sebenarnya itu baju promo stesen NTV di Jepun.

Aku agak, dalam dunia moden hari ini mungkin cinta itu datang jika seisi keluarga dapat saling menonton TV bersama. Tapi berapa ramai kita hari ini yang ada masa buat benda tu semua kerana kita tidak pernah mahu melayan rancangan yang bukan taste kita? Kita biarkan abah dan atuk dengan RTM, ibu dan nenek dengan telenovela dan drama, manakala kita rasa Leverage lebih layak mengajar kita tentang korupsi dan anarki. Cita rasa rancangan TV sudah menunjukkan betapa kita manusia sudah lama tidak sehaluan dan berbeza pandangan. Tapi bila Astro mahu naik bil, kita tak ada pilihan.

Baju bundle ni aku jarang pakai sebab aku sayang warnanya luntur atau lusuh, sama macam baju lambang bendera Turki (juga bundle) yang aku beli 11 tahun lepas. Masih elok.

Biasanya t-shirt yang aku sayang aku akan lenjan pakai 3 bulan saja dan lepas tu aku simpan. Cuma pakai hari-hari tertentu seperti balik kampung, pergi bercuti atau tiba-tiba rasa nak pakai. Aku rasa kalau aku mati hari tu, kawan-kawan aku mesti cakap, "Sebelum ni arwah jarang pakai baju macam tu. Mungkin itu petanda ajal dia." Terima kasih kepada Metro kerana berjaya mengajar bagaimana kami patut berfikir.

Aku suka baju bundle bukan sebab aspek rare saja, tapi kualiti tekstil. Contohnya baju atas, kolarnya tahan dan tak mudah layut. Tak macam kolar baju lokal dan baju branded lain.

Satu-satunya t-shirt mahal aku pernah beli berharga RM80 yang di dadanya ada cuma lambang 'Swoosh' dan nama dewi bersayap Greek, Nike. Tapi, tak sampai 6 bulan, warnanya luntur dan kolarnya berkedut dan lambangnya serpih. Sejak itu, aku bertobat tak akan beli baju mahal-mahal lagi.

3 Responses to “Pasal baju kuning, kemeja T, cinta dan menonton TV”

Nik Zulkhairi said...

Terima kasih kepada Metro kerana berjaya mengajar bagaimana kami patut berfikir.

haha.. nice quote.

b.r.u.t.a.l.s.o.l.o said...

salam
bro lazo... hidup bundle
bro jarul...gua tabik spring

Anonymous said...

smart r. haha!

Powered by Blogger.