Teh o ais dan keamanan

Wednesday, March 14, 2012 · Posted in , , ,


Satu hari, selepas balik kerja, saja aku singgah di sebuah restoran untuk pekena minum.  Sambil meletakkan kereta buatan tempatan di dalam kotak parkir, aku terbayangkan segunung ombak teh o ais menderu laju membasahi rongga tekak aku yang sedang kontang dan keletihan.

Sungguh, itulah nikmat tak terungkap, ia nikmat yang lebih nikmat daripada nikmat mendapat sejuta ringgit dalam bank!

Begini, kalau kau ada duit sejuta, kau akan risau pasal macam-macam. Kau akan risau pasal mau beli rumah apa, mau naik kereta apa, mau simpan duit di bank mana, mau tambah bini berapa dan macam-macam kerisauan lain.

Tapi bila kau pekena air ais, teh o ais misalnya, kau tak perlu fikir semua kerisauan itupun. Ah, kenapa nikmat semudah ini pun manusia senang lupakan?

Apabila aku amati gelembung air di sekeliling kaca gelas, aku terbayangkan butir peluh si pembacuh teh o ais ini. Dan aku mula keliru kenapa sebutir padi disamakan dengan peluh petani, walhal segelembung air ais di kaca gelas itu lebih realistik jika disamakan dengan peluh si pembacuhnya. Peluh ini mungkinkah datang sejauh Dhaka atau Mumbai?

Aku rapatkan penyedut minuman ke muncung mulut. Jingga teh nampak begitu sekata dan sempurna bersama wap sejuk menerpa-nerpa wajah. Aku sedut perlahan air berais dari perut gelas sambil mata terpejam-pejam. Dan belum sempat aku sambung sedutan kedua, tiba-tiba saja aku bangun dan berlari-lari anak ke kereta.

"Dey, minum tarak bayar ka?" laung abang mapley penuh curiga.

"Kejap kejap.. Tertinggal laptop.." Aku sambung berlari sambil terbayangkan Malaysia sebagai negara nombor 19 paling selamat di dunia.

6 Responses to “Teh o ais dan keamanan”

Mr Sylarius said...

Tak dapat nak bayangkan macam mana life di negara di tangga ke-20 paling selamat.

Hambali ® said...

tiba2 gua teringat slogan Lah Badawi dulu:

Selamat, Aman, Makmur.
dan Hadhari.

sUe said...

hahaha..
kalau tertinggal laptop dalam kereta, jgnkan teh ais, minum air harga ratus-ratus pun boleh terhenti. :)

kingbinjai said...

Ha ha kalo aku dpt sejuta aku tak perlu risau laptop tinggal dlm kete

Anonymous said...

so nampaknya tak aman juga lah minum teh o ais sebab tertinggal laptop dalam kereta.hmmmm

CAHAYA MATA said...

ending memang tip-top....!!


:)

Powered by Blogger.