Pasal tol dan lebuh raya

Tuesday, May 15, 2012 · Posted in , ,


Setiap negara ada highway atau lebuh raya nasional sendiri yang berfungsi sebagai jalan utama sesebuah negara tersebut atas kapasitinya yang 'high'. Daripada lebuh raya ini, kemudian wujud pula sistem jalan raya yang menghubungkan jalan negeri, daerah, pekan dan seumpamanya.

Di Malaysia, lebuh raya PLUS adalah antara lebuh raya nasional yang menghubungkan hampir semua daerah sepanjang negeri Pantai Barat Malaysia. Ia menjadi tulang belakang utama kepada ekonomi Malaysia kerana sejak ia siap dibina, laluan perdagangan darat dapat disingkatkan dan kos dikurangkan.

Kita selalu kaitkan lebuh raya dengan tol, walhal ia sebenarnya tak ada kaitan langsung. Dalam erti kata lain, sesebuah lebuh raya itu boleh saja ada tol atau tidak. Sebaliknya, jalan raya bukan berstatus lebuh raya pula boleh saja mengenakan tol kepada penggunanya.

Tapi, aku tak salahkan kau pun atas ketidakfahaman tersebut kerana apabila menyebut tentang lebuh raya, kita selalu mengaitkannya dengan saiz jalan yang lebar, kualiti jalan terbaik, menjimatkan masa perjalanan dan ada kemudahan lain seperti kawasan Rehat & Rawat (RnR). Tak salah pun kalau kau sinonimkan lebuhraya dan tol.

Namun, terminologi sebenar tol ialah apa saja laluan (lebuh raya atau biasa) yang mengenakan bayaran kepada pengguna dengan menawarkan akses perjalanan pantas dan tiada kesesakan jalan raya.

Ini bertepatan dengan tujuan asal tol dibina, iaitu mengalih aliran dan mod trafik. Bagi pihak tol, hasil tol yang dikutip digunakan semula untuk kos penyelenggaraan, pentadbiran dan keuntungan, manakala bagi pengguna jalan raya pula, mereka membayar tol untuk akses pantas ke sesuatu destinasi. Muktamad.

Ini hukum mudah kapitalisme yang perlu kau faham, yakni setiap sen yang kau bayar mesti bersandar kepada nilai sesuatu produk/servis itu. Maknanya, lagi mahal harga sesuatu produk/servis, maka lagi berkualiti sesuatu produk/servis tersebut.

Peliknya, Malaysia sebagai negara yang mengamalkan kapitalisme gagal menepati maksud isme itu sendiri, di mana rakyat membayar sesuatu produk/servis yang tidak berbaloi dengan harganya, macam tol.

Aku setuju kau buat jalan raya bertol, tetapi biarlah ia benar-benar laluan akses pantas dan tidak membabitkan laluan utama orang ramai.

Cuba bayangkan satu-satunya jalan depan rumah kau dirembat entah siapa syarikat konsesi untuk dijadikan laluan tol hanya kerana laluan rumah kau itu jalan pintas ke Shah Alam (contoh). Jangan kata orang miskin, kalau aku orang kaya pun jadi panas hati (kecuali kau totok parti politiklah).

Jadi, aku faham sangat sebab apa orang KL marah gila dengan Kerajaan bila masuk bab tol ni. Cakap kawan aku yang datang dari kampung, "Patutlah orang KL duk berdemo saja, keluaq rumah saja dah kena tol berlambak."

Brader, hidup sekarang mana ada semua free saja. Tak mau bayar tol naiklah pengangkutan awam?

Betul, antara tujuan jalan bertol ialah mengurangkan kesesakan trafik dan boleh saja dianggap sebagai cukai kepada mereka yang mampu berkereta.

Ia juga boleh dianggap sebagai antara usaha mengurangkan pencemaran, dengan harapan caj tol tinggi membuatkan orang ramai tidak berkereta dan menggunakan pengangkutan awam. Ataupun mengenakan tol pada waktu tertentu (malam/hari minggu) bagi memberikan ruang dan masa untuk bandar 'bernafas'.

Tapi, semua itu boleh dilakukan kalau Malaysia ada sistem pengangkutan awam bersepadu yang kau boleh akses ke mana-mana tempat dengan harga murah dan relatif ralat masa yang minimum.

[Info: Di Iran, sebuah negara yang dikenakan sekatan antarabangsa pun tambang bas lebih kurang 10 sen saja, manakala di Jepun, ralat masa lewat sistem tren di sana cuma beberapa saat!]

Aku tak nampak semua tu ada di Malaysia, malah kalau aku naik pengangkutan awam dari rumah aku di Pantai Dalam ke Subang USJ di Taipan, kos pengangkutan aku lebih mahal daripada kos aku tuang petrol. Bukan itu saja, aku juga terpaksa habiskan masa lebih lama berbanding aku berkereta.

Lagipun kerja aku yang selalu keluar sana sini menyukarkan aku menggunakan pengangkutan awam yang kita sedia maklum dibangunkan ikut sedap kepala lutut. Jadi, aku tak ada pilihan untuk tidak berkereta ke tempat kerja.

Mengenai caj tol pula, aku tak tau kriteria apa yang digunakan syarikat konsesi untuk mengenakan caj. Nampak macam suka-suka hati saja dia orang kenakan tol. Ada laluan yang kenakan banyak tol untuk jarak laluan yang pendek sangat, seperti di lebuh raya NPE dan Guthrie. Ada juga laluan bertol yang tarafnya macam jalan biasa saja, sesak bukan main.

Kenapa buat permulaan, caj tol tidak boleh dikenakan pada kadar rata, contohnya RM1 untuk semua laluan bertol dalam bandar. Volum kereta bertambah apa? Dan aku pernah buat satu entri pasal Malaysia yang menduduki tempat ketiga antara negara paling ramai kenderaan bermotor selepas Amerika Syarikat dan Luxembourg. Logiknya, syarikat konsesi kita sudah buat untung hari-hari.

Brader, kau pun tahu Malaysia nombor tiga paling banyak kereta. Kalau tol murah sangat, lagilah sesak KL ni.

Macam aku beritahu. Aku sokong laluan bertol dengan syarat kau mesti ada satu sistem pengangkutan awam bersepadu yang dapat akses ke mana-mana tempat dengan murah dan cekap.

Kalau itu dapat dilakukan, percayalah, takkan ada demo hapuskan tol. Tak ada siapa yang peduli pasal tol mahal kerana masa tu sesiapa saja boleh naik pengangkutan awam. KL akan jadi lebih hijau.

Tapi, kalau hapuskan tol, apa jadi dengan nasib brader dan makwe pondok tol? Dia orang nak kerja apa?

Kau ingat tak masa semua syarikat minyak buat sistem layan diri (angkat-tolak-masuk-picit) untuk kurangkan kos operasi, ada kau peduli pasal nasib pekerja stesen minyak?

Kalau benda tu nampak macam pro-rakyat, kau peduli pula pasal nasib pekerja, walhal dia orang boleh saja diserap masuk kerja pejabat atau mana-mana jabatan. Lagipun, berapa ramai sangat shif pekerja pondok tol. Tapi bila benda tu pro-cukong, mana suara kau?

One Response to “Pasal tol dan lebuh raya”

AinNur Haris said...

dulu sebelum kahwin, bila nk balik kampung di selatan..bapak pesan guna PLUS sbb kalau jd apa2 (kete rosak ke) ..bnyk kete leh berhenti tolong.. jalan kampung sunyi..

skrng jenayah di PLUS sungguh menakutkan.. :(

*nasib baik dah kahwin..kalau x confirm bapak suruh tinggalkn saje kete kt umah..balik naik bas.. :-p

Powered by Blogger.